BYD mengambil kesempatan sempena penganjuran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) dengan mempertontonkan M6. MPV elektrik ini nampak agak familiar kerana ia adalah versi rebadge MPV e6, tetapi kini tampil lebih sofistikated dan lebih padu.
Ditawarkan pada harga dari 379,000,000 rupiah (RM109,500) untuk model standard tujuh-tempat duduk, meningkat kepada 419,000,000 rupiah (RM121,000) bagi varian Superior. Untuk Superior dengan pilihan enam-tempat duduk (termasuk kerusi kapten untuk barisan kedua), ia berharga 429,000,000 rupiah (RM123,900).
M6 2024 ini dikatakan lebih padu berbanding e6, dengan model asasnya diberikan motor hadapan tunggal yang mampu menghasilkan kuasa 163 PS (120 kW) berbanding 95 PS (70 kW) pada e6, manakala tork pula dari 180 Nm menjadi 310 Nm. Untuk Superior pula, ia menerima motor yang sama dengan Atto 3, menghasilkan 204 PS (150 kW). M6 ini juga boleh dipecut dari 0-100 km/j masing-masing dalam 10.1 saat dan 8.6 saat.
Semua model menerima bateri Blade lithium iron phosphate (LFP). Bagi model standard, ia diberikan bateri berkapasiti 55.4 kWh yang mampu memberikan jarak hingga 420 km, sementara Superior pula dengan kapasiti yang lebih besar iaitu 71.8 kWh yang didakwa mampu memberikan jarak gerak hingga 530 km dalam pengecasan tunggal. M6 boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 89 kWh atau 115 kW untuk Superior yang mengambil masa sekitar 40 minit untuk status pengecasan dari 10-80%. Sementara itu, pengecas AC terhad pada 7 kW.
Bagi aspek rekaan, M6 nampak lebih moden, di mana bahagia hadapannya mengadaptasikan wajah korporat terkini BYD, dengan palang perak lebar sepenuhnya (perumah bagi perkataan BYD) disambung dengan lampu utama LED pelbagai-projektor. Bampar berbentuk-sayap pula dihiasi corong pengambilan udara yang nipis dan krom “gading”.
Bahagian belakangnya juga diberikan perubahan gayanya, termasuk lampu lebar sepenuhnya yang disepadukan dengan jaluran krom nipis serta lambang BYD berbanding “Build Your Dreams” pada model lama. Penampilannya juga lebih bergaya dengan satu lagi jaluran krom di sekitar perimeter bawah, dan roda aloi jejari-Y 17-inci diberikan secara standard.
Di dalamnya, perubahan yang dilakukan tidak begitu banyak. Papan pemuka melintang, meter analog (dengan paparan pelbagai-info lima-inci) dan perkataan “Build Your Dreams” (dengan huruf yang lebih model) dikekalkan, tetapi kini dengan kemasan efek kayuan dan konsol tengah yang direka semula dengan pemilih gear yang sedikit besar berbanding tombol rotary. Paling penting, skrin tengah boleh pusing kini dengan larasan kuasa dan saiznya dipertingkatkan dari 10.1-inci ke 12.8-inci, sama saiz seperti Dolphin. Apple CarPlay pula didatangkan secara standard.
Kit kelengkapan standard yang lain termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kad kunci NFC, pendingin hawa automatik, cermin pandang belakang auto-kelam, kawalan kelajuan, upholstery kulit palsu, fungsi vehicle-to-load (V2L), sistem kamera 360-darjah dan enam-pembesar suara. Varian Superior pula ditambahkan dengan rel bumbung, bumbung kaca panoramik, tempat duduk berventilasi boleh laras, pengecas tanpa wayar Qi dan tailgate larasan kuasa.
Bagi aspek keselamatan, M6 didatangkan dengan enam beg udara, kawalan kestabilan dan amaran membuka pintu. Walau bagaimana pun, hanya Superior menerima bantuan pemandu termaju seperti brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta dan lampu tinggi automatik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.