Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) sudah pun bermula hari ini dan akan diteruskan sehingga esok dengan pintu dibuka dari 9 pagi hingga 7 malam. Masuk adalah percuma, jadi jika anda berminat dengan kenderaan elektrik, jangan ketinggalan untuk mengunjungi acara ini.
Salah satu jenama yang menyertai EVx 2024 adalah BMW, dengan diwakili oleh Wheelcorp Premium, dan mereka menawarkan rebat sehingga RM100,000 untuk pembelian kenderaan. Sudah tentu, ini tertakluk kepada terma dan syarat.
Beberapa model elektrik dibawa oleh Wheelcorp Premium ke acara ini, bersama dengan SUV bersaiz besar BMW XM plug-in hybrid. Paling mewah adalah i7, dalam versi i7 xDrive60 M Sport, yang mampu menghasilkan kuasa 544 PS/745 Nm melalui tetapan motor berkembar dan pacuan semua roda. Bateri lithium ion 101.7 kWh yang membekalkan tenaga kepada model ini boleh membawa ia untuk perjalanan sehingga 625 km mengikut standard WLTP.
Menyertai i7 di tapak pameran Wheelcorp Premium adalah satu lagi sedan iaitu i5 (dilancarkan di Malaysia hujung tahun lalu), dijual dalam versi eDrive40. Varian ini datang dengan motor elektrik belakang berkuasa 313 PS/430 Nm, dan mendapat tenaga daripada bateri 83.9 kWh dan mampu memberikan jarak gerak sehingga 582 km.
Turut dibawa oleh Wheelcorp Premium adalah model MINI elektrik, iaitu MINI Cooper SE, yang baru sahaja dilancarkan awal bulan ini, bersama MINI Countryman Cooper SE (dilancar Mei lalu).
MINI Cooper SE dipacu oleh motor elektrik hadapan 218 PS/330 Nm, mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat dan laju maksimum 170 km/j. Bateri nickel manganese cobalt (NMC) 54.2 kWh yang digunakan pada model ini boleh memberikan jarak gerak sehingga 402 km mengikut kitaran WLTP.
Sama seperti EVx yang dianjurkan sebelum ini, anda juga berpeluang untuk memandu uji model-model tertentu, dan ia dilakukan di bahagian luar dewan pameran. Masuk adalah percuma, jadi jangan lepas peluang berkunjung ke Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) 2024.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.