Selepas hanya beberapa minggu tampil dalam pasaran Thailand, Zeekr kini tiba pula di Singapura dengan melancarkan produk pertama mereka, iaitu X. Ia sudah mula dijual, sama seperti di Thailand, dan kemudiannya akan diikuti pula oleh MPV 009.
Dua varian X ditawarkan di Singapura, bermula denan Standard RWD yang dijual pada harga SGD199,999 (sekitar RM666k) termasuk COE, dan Flagship AWD berharga SGD214,999 (RM716k) – Thailand juga mendapat dua varian.
Berkenaan spesifikasi, kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri nickel manganese cobalt (NMC) yang mempunyai kapasiti 66 kWh. Standard RWD menggunakan motor elektrik di belakang berkuasa 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan tork 343 Nm, mampu memberikan jarak gerak 440 km mengikut standard WLTC.
Sementara itu, Flagship AWD yang menggunakan dua motor mampu menghasilkan 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan tork 543 Nm, memberikan jarak gerak 420 km. Dengan kuasa yang lebih tinggi, varian ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, manakala Standard AWD memerlukan masa 5.6 saat.
Kedua-dua varian boleh menerima pengecasan DC pada kapasiti maksimum 150 kW, boleh menaikkan kadar bateri dari 10 ke 80% dalam masa 28 minit. Untuk pengecasan AC pula, kapasiti maksimum adalah 7.2 kW untuk Standard RWD dan 11 kW untuk Flagship AWD (penuh dalam masa tujuh jam).
Melihat kepada kelengkapan, X datang dengan lampu hadapan LED, DRL LED, balutan kulit mesra vegan, tempat duduk pemandu larasan kuasa, panel instrumen digital 8.8 inci, skrin sesentuh 14.6 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, pad pengecas tanpa wayar dan pengawal pendingin hawa dua zon.
Flagship AWD mendapat lebih banyak ciri, termasuk lampu suasana pelbagai warna, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan liang udara, sistem pembesar suara Yamaha 13 pembesar suara, skrin paparan tahap cas di b-pillar dan rim 19 inci (varian asas menggunakan unit 18 inci).
Semua peningkatan ini bagaimanapun masih disediakan bagi pemilik Standard RWD sebagai pilihan tambahan, kecuali rim 20 inci, yang hanya disediakan sebagai pilihan bagi varian Flagship AWD. Sistem bantuan pemandu ADAS kedua-dua varian adalah sama.
Ini termasuklah Adaptive Cruise Control dengan penukaran lorong automatik, Lane Centring Assist, Autonomous Emergency Braking, Blind Spot Monitoring, amarak buka pintu, Evasive Manoeuvre Assist, Cross Traffic Alert depan dan belakang, seta kamera 360 darjah.
Sementara Thailand dan Singapura sudah pun mula menerima kenderaan Zeekr, kita masih menunggu jenama kenderaan elektrik (EV) itu tiba secara rasmi di Malaysia tahun ini, dengan model terawal, sama seperti negara jiran adalah X dan 009.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.