FIVE KLIA Pit Stop kini dibuka – stesen flagship bakal dilengkapi pengecas DC EV 240 kW bantuan solar

FIVE KLIA Pit Stop kini dibuka – stesen flagship bakal dilengkapi pengecas DC EV 240 kW bantuan solar

FIVE Petroleum Malaysia hari ini telah melancarkan rangkaian stesen minyak baharunya yang terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dikenali sebagai FIVE KLIA Pitstop, dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, jenama petroleum tempatan itu menyatakan bahawa ini merupakan stesen flagship pertamanya selepas ia dilancar secara rasmi pada Oktober 2020, dengan dilengkapi pelbagai teknologi termaju. Stesen ini terletak kira-kira 4 km dari terminal utama KLIA, berhampiran dengan Parkir Jangka Panjang (LTCP) lapangan terbang itu. Selain dari kemudahan untuk mengisi bahan api, stesen ini juga menampilkan kedai serbaneka Woo! Mart.

Menurut Pengasas FIVE Petroleum Malaysia Dato’ Sri Dr. King Lim dalam ucapannya, stesen FIVE KLIA Pit Stop ini akan dilengkapi sistem kecerdasan buatan (AI) pada masa akan datang untuk fungsi seperti pengenalan wajah, pengenalan nombor plat, pengesanan kebakaran, pengesanan jenayah, dan lain-lain untuk menjadikannya “stesen minyak pintar yang paling selamat untuk pelanggan.”

Ia juga bakal dilengkapi dengan pengecas pantas DC 240 kW, di mana sebahagian kuasanya akan dijana oleh sistem solar. Pengecas pantas DC ini akan dibekalkan oleh Emergence Innovative Sdn Bhd menerusi jenama Rise, di mana urusan pembayaran boleh dibuat menerusi aplikasi web yang tidak perlu anda pasang pada telefon pintar, sebaliknya boleh diakses menerusi pelayar internet hanya dengan mengimbas kod QR yang diberikan.

Kami difahamkan sebanyak satu atau dua pengecas tersebut akan dipasang di FIVE KLIA Pitstop ini, namun bila ia akan mula dipasang dan boleh digunakan masih belum dimuktamadkan.

Dalam ucapan yang sama, Lim turut menjelaskan bahawa FIVE KLIA Pitstop ini merupakan premis yang sudah ditinggalkan selama 12 tahun, dan ia berjaya ‘diselamatkan’ oleh FIVE Petroleum selepas isu-isu berkaitan tanah dapat diselesaikan dalam masa dua tahun.

“Pembukaan FIVE KLIA Pit Stop lebih daripada sekadar stesen baharu; ia adalah bukti dedikasi kami kepada pasaran Malaysia. Lokasi utama ini menunjukkan komitmen kami terhadap inovasi, kelestarian, dan memberikan pengalaman pelanggan yang luar biasa,” katanya.

Dalam majlis yang sama, FIVE Petroleum turut mengumumkan bahawa ia juga sudah bersedia untuk menyumbang kepada Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 bagi mengedarkan bahan api Bersubsidi tersebut menggunakan kad flit.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required