Mercedes-AMG A45S 4Matic+ Limited Edition dilancar di Malaysia – RM558,888, hanya 10 unit, 421 PS/500 Nm

Mercedes-AMG A45S 4Matic+ Limited Edition dilancar di Malaysia – RM558,888, hanya 10 unit, 421 PS/500 Nm

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini telah memperkenalkan model edisi terhad untuk hot-hatch Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+ facelift, digelar sebagai Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+ Limited Edition. Seperti namanya, model ini hanya ditawarkan sebanyak 10-unit untuk pasaran Malaysia, dan hanya boleh ditempah menerusi bilik pameran atas talian Mercedes-Benz Store, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM558,888.

Berbanding model edisi terhad Street Style Edition yang nampak lebih relaks ditawarkan tahun lalu, versi Limited Edition terbaharu ini dihasilkan dengan rupa lebih menonjol. Untuk permulaan, badan kereta ini dilayangkan dengan warna AMG Green Hell Magno, iaitu warna yang sama ditawarkan pada AMG GT R dan G-Class Manufaktur.

Kemudian ia diberikan pelekat badan dengan grafik ’45 S’ pada pintu dan juga logo AMG pada bonet hadapan, kedua-duanya dalam saiz yang besar. Tidak cukup dengan itu, grafik berkenaan turut menampilkan jalur badan dari bonet hadapan hingga pintu hatch belakang dan juga pada bahagian sisi badan.

Mercedes-AMG A45S 4Matic+ Limited Edition dilancar di Malaysia – RM558,888, hanya 10 unit, 421 PS/500 Nm

Lebih membuatkan model edisi terhad ini boleh dikenali dari jauh adalah serlahan jalur-jalur kuning yang diberikan pada gril hadapan dan jalur badan, serta pada kelengkapan-kelengkapan aero dalam pakej AMG Aerodynamic seluruh badan. Ia menerima set rim forged AMG 19-inci dalam kemasan hitam matte, dan serlahan jalur kuning yang sama pada badan turut diberikan pada jejari rim ini.

Model ini juga didatangkan terus dengan sistem brek AMG High-Performance yang menampilkan angkup dalam kemasan hitam berkilat serta tulisan AMG berwarna putih. Selain itu ia turut diberikan penutup pengisi bahan api dengan logo AMG dan juga lampu selamat datang pada pintu yang memancarkan logo AMG ke permukaan tanah ketika pintu dibuka.

Perincian standard luaran lain yang turut diberikan termasuk AMG Night Package II yang memberikan kemasan hitam pada gril hadapan serta emblem-emblem, perapi pembuka pintu dan logo Mercedes pada penutup hab rim dalam kemasan krom hitam.

Mercedes-AMG A45S 4Matic+ Limited Edition dilancar di Malaysia – RM558,888, hanya 10 unit, 421 PS/500 Nm

Serlahan-serlahan kuning turut diberikan pada bahagian kabin seperti pada tempat duduk hadapan AMG Performance yang dibalut upholsteri Artico dan gentian mikro Microcut, benang-benang jahitan, roda stereng, sulaman logo 45 S pada perehat kepala dan elemen-elemen perapi. Serlahan warna yang sama juga boleh dilihat pada panel instrumen serta set karpet kaki dan nyalaan pada perapi bendul pintu model edisi terhad ini.

Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa di mana ia masih dijana oleh enjin produksi 2.0L empat silinder turbo paling berkuasa di dunia, iaitu enjin M139 yang menghasilkan kuasa 421 PS pada takat 6,750 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 5,000 hingga 5,250 rpm.

Enjin digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G, dan kuasa dialirkan dengan agihan tork bervariasi ke kesemua empat roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+. Gandingan ini membolehkan A45S ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required