UMW Toyota Motors hari ini mengumumkan bahawa siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival musim ke-7 bakal bermula pada hujung minggu ini iaitu 9 hingga 11 Ogos. Perlumbaan ini akan berlangsung serentak dengan pusingan ketiga perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Hanya tiga kategori dipertandingkan untuk perlumbaan musim baharu ini iaitu kelas Sporting yang disertai pelumba amatur, kelas Super Sporting menyaksikan pertarungan antara pelumba professional dan juga kelas TGR Rookie yang menampilkan pelumba-pelumba muda yang telah menamatkan kelas dalam kumpulan ke-4 program pembangunan pelumba muda Gazoo Racing Malaysia.
Tiada lagi kelas Promotional yang disertai oleh selebriti-selebriti tempatan untuk musim ini, namun untuk kategori Sporting dan Super Sporting, ia turut akan disertai oleh beberapa orang pelumba dari luar negara. UMW Toyota juga mengumumkan musim kali ini akan menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM630,000 secara keseluruhan.
“Objektif sejak penglibatan awal kami adalah dengan objektif untuk menyumbang kepada sukan permotoran Malaysia dan kami telah memulakan pelbagai inisiatif sejak enam musim lalu. Ini termasuk membawa sukan permotoran kepada orang ramai (melalui litar lumba jalanan); menjadikan siri ini lebih mudah diakses oleh peserta dalam bentuk mengekalkan format perlumbaan “one make”; menjadikan siri ini sebagai acara perlumbaan paling menguntungkan di Malaysia; dan memperkenalkan Program Pembangunan Bakat Muda Toyota GR untuk pemandu muda yang beralih daripada perlumbaan kart dan simulator kepada perlumbaan kereta saloon. Toyota turut berbesar hati kerana siri ini telah menyumbang secara besar-besaran ke arah melahirkan generasi baharu pemandu berbakat yang telah berkembang ke kelas perlumbaan yang lebih tinggi di dalam dan luar negara,” kata Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K.
“Melangkah ke hadapan, sumbangan ini kini akan diperluaskan lagi dalam bentuk mengangkat status dan profil siri ini. Yang pertama adalah dengan memasukkannya ke dalam siri MCS. Kedua, kami juga mempunyai keistimewaan untuk kini menerima pemandu antarabangsa bagi menyertai siri ini dan musim ke-7 akan menyaksikan penyertaan pemandu dari Singapura, Thailand dan India buat kali pertama,” tambahnya.
Bagi perlumbaan kelas Super Sporting musim ke-7 ini, tumpuan akan diberikan kepada pertarungan antara juara tiga kali siri ini iaitu Tengku Djan Ley, juara kelas musim lalu Mitchell Cheah dan juga beberapa pelumba berpengalaman termasuk Eddie Lew, William Ho, Tom Goh dan Freddie Ang.
Namun kehadiran pelumba-pelumba muda dalam kelas ini terutamanya Putera Adam, adik-beradik Naquib dan Nabil Azlan (ketiga-tiganya merupakan bekas pelumba dan juara kelas Rookie), Bradley Benedict, Ady Rahimy, Aman Nagdev dari India juga tidak boleh dipandang remeh.
Manakala kelas Sporting pula akan menyaksikan nama-nama seperti Dato’ Dr Ken Foo, Kenneth Koh, Dannies Ng, Shafiq Samsudin, Ricky Tan dan Lim Chun Beng mengesahkan penyertaan mereka bagi sekali lagi merebut gelaran juara untuk musim ini. Ia turut akan disertai oleh naib juara kelas Rookie tahun lalu iaitu Elson Lew dan beberapa lagi pelumba muda seperti Amirul Haikal, Timothy Yeo dan Ashen Arumugan.
Cabaran antarabangsa untuk kategori Sporting ini pula akan diwakili oleh Panithan Rakpaibulsombut dari Thailand dan Daniel Inosuke Ooi dari Singapura yang akan menyertai perlumbaan Vios Challenge ini buat pertama kali.
Bagi kategori Rookie pula, enam pelumba muda akan memulakan karier mereka dalam perlumbaan jenis touring car kali ini. Mereka adalah Brandon Ho (22 tahun), Amirul Afiq (22 Tahun) dan Kingston Tan (19-tahun) ketiga-tiganya merupakan pelumba kart rekreasi, pelumba kart profesional Adam Mikail (18-tahun) dan Audrey Leong (17-tahun), serta pelumba simulator Raja Amirul (21-tahun) yang bakatnya dicungkil menerusi perlumbaan Toyota GR GT Cup Campus Tour 2023.
Vios Challenge musim ke-7 ini juga menyaksikan pelumba kelas Sporting dan Super Sporting akan berlumba dengan jentera generasi baharu Vios NGC102 bagi menggantikan model generasi sebelumnya. Ia masih menggunakan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder Dual VVTi yang sama seperti Vios yang dijual di bilik pameran, tetapi digandingkan dengan kotak gear lima-kelajuan manual yang lengkap dengan LSD.
Menurut Toyota, casis Vios NGC102 baharu yang lebih teguh dan aspek aerodinamik yang lebih baik membolehkan ia mencatatkan masa yang lebih pantas di litar. UMW Toyota mengesahkan jentera ini akan digunakan sekurang-kurangnya untuk empat musim Vios Challenge akan datang bagi mengukuhkan komitmennya dalam siri perlumbaan ini.
Secara keseluruhan TGR Festival Vios Challenge musim ke-7 ini akan berlangsung dalam tiga pusingan, kesemuanya akan berlangsung di Sepang. Pusingan kedua nanti akan diadakan pada 27 hingga 29 September, manakala pusingan terakhir akan berlangsung pada 3 hingga 5 Januari 2025 dan ia akan dibuka kepada orang ramai dan disertakan dengan pelbagai acara menarik termasuk hiburan serta aktiviti rekreasi dan keluarga.
Untuk perlumbaan pusingan pertama pada hujung minggu ini, ia akan disiarkan secara atas talian menerusi pelbagai saluran media sosial Toyota Gazoo Racing Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.