Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini memberi respon terhadap laporan berkenaan hasrat Tesla Inc (Tesla) membatalkan rancangan bagi membina kilang pengeluarannya di Asia Tenggara.
Menurut jurucakap kementerian tersebut kepada Bernama, pembatalan rancangan tersebut mungkin satu keputusan komersial operasinya di peringkat global, dan ia tidak mencerminkan pembaharuan perindustrian dan penambahbaikan landskap pelaburan yang diusahakan oleh MITI serta agensinya sejak Disember 2022.
Beliau turut menegaskan bahawa laporan media itu bukan kenyataan rasmi Tesla dan hanya berdasarkan ulasan daripada sumber yang identitinya dirahsiakan. “Sebarang pengesahan laporan itu perlu dibuat oleh Tesla,” tambahnya.
Dalam masa yang sama Bernama juga menyatakan bahawa pihaknya turut berusaha mendapatkan kenyataan daripada Tesla, namun tidak berjaya setakat ini.
Berita yang bertiup sebelum ini dilaporkan oleh portal atas talian Thailand The Nation semalam yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan negara itu, melaporkan Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.
Laporan itu menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand tetapi di peringkat dunia.
“Tesla tidak meneruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman,” lapor berita tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.


