Selain dari persiapan jentera perlumbaan untuk Asia Cross Country Rally (AXCR), pasukan Mitsubishi Ralliart biasanya turut turun tampil bergaya dengan kenderaan-kenderaan sokongan pasukan. Jika tahun lalu pasukan ini membawa MPV Delica D:5 yang diubahsuai sebagai pusat operasi bergerak, untuk AXCR tahun ini ia ditambah lagi dengan dua kenderaan sokongan yang tak kurang menariknya iaitu kei-MPV Mitsubishi Delica Mini dan juga SUV Mitsubishi Outlander PHEV!
Untuk Delica D:5, Mitsubshi Ralliart telah menambah satu unit lagi di mana salah satunya akan membawa pengarah pasukan iaitu lagenda dan juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka untuk memeriksa laluan yang bakal dilalui jentera-jentera rali yang bertanding.
Dalam spesifikasi standard, Delica D:5 ini digerakkan dengan enjin 2.2 liter turbodiesel DI-D empat silinder berkuasa 170 hp dan tork maksima 392 Nm, digandingkan kotak gear lapan kelajuan automatik serta dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang diberikan tiga mod iaitu 2WD, 4WD dan Lock seperti sebuah SUV yang direka untuk kegunaan lasak.
Bagi memastikan ia turut boleh meredah laluan yang sama seperti kereta rali, Delica D:5 ini turut menerima ubahsuai lain seperti pelindung bawah enjin aluminium, suspensi yang menjadikan badan MPV ini 20 mm lebih tinggi dari versi standard.
Mitsubishi tidak memperincikan ubahsuai yang dibuat pada Delica Mini dan juga Outlander PHEV. Dalam keadaan standard, Delica Mini di Jepun ditawarkan dengan enjin 660 cc tiga silinder sama ada dalam versi NA atau turbo dengan kuasa tertinggi 64PS/100 Nm, digandingkan dengan sistem hibrid ringkas menampilkan motor elektrik berkuasa 2.7 PS/40 Nm serta kotak gear CVT dan pilihan sama ada pacuan hadapan atau pacuan semua roda.
Delica Mini ini juga bukan hanya tampil standard dengan rupa yang lasak dengan dilengkapi bampar hadapan dengan kemasan seakan kanggaro bar, skid plate pada bahagian bawah bampar hadapan dan belakang serta pelindung sisi badan yang terletak di bahagian bawah pintu hadapan dan belakang, malah varian yang menerima sistem pacuan semua roda juga menerima tetapan suspensi istimewa membolehkan ia dipandu dengan selesa di atas permukaan salji dan tidak berturap.
Manakala untuk Outlander PHEV, ia menerima enjin 4B12 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 133 PS dimana enjin tersebut kebanyakkan masanya hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion 20 kWj bagi sistem elektrifikasi hibrid, tetapi masih akan menolong motor elektrik menggerakkan tayar pada kelajuan tinggi menggunakan klac lock-up dengan nisbah gear tunggal.
Sistem PHEV ini juga masih menampilkan dua motor elektrik bagi masing-masing untuk memacu gandar hadapan dan belakang, yang merupakan sebahagian dari sistem S-AWC (Super-All Wheel Control). Motor yang memacu roda hadapan kini berkuasa 116 PS/255 Nm, dan motor pada gandar belakang pula berkuasa 136 PS/195 Nm.
Secara keseluruhan, unit rangkaian kuasa PHEV tersebut menghasilkan kuasa gabungan 243 PS dan tork maksima 450 Nm. Dengan dua motor berasingan pada gandar hadapan juga membolehkan tork diagihkan dengan lebih sempurna untuk mendapatkan cengkaman tayar terbaik menerusi sistem A-AWC berkenaan, yang kini turut dibantu oleh Active Yaw Control (AYC).
Delica D:5 dan Delica Mini pasukan Mitsubishi Ralliart ini diberikan set rim aloi Work Crag T-Garbic III serta rak bumbung yang legkip dengan lampu sorot dari IPF, sementara Outlander PHEV pula diberikan set rim aloi Work Emotion. Namun ketiga-tiganya menerima set tayar off-road Yokohama Geolander yang membolehkan kesemuanya melepasi laluan yang sama diredah semua jentera rali tidak kira pada permukaan tar, batu kerikil dan juga berlumpur sepanjang rali ini berlangsung.
Ketiga-tiga kenderaan sokongan ini juga tampil dengan rekaan livery badan Mitsubishi Ralliart yang sama seperti jentera rali sebenar Mitsubishi Triton yang bertanding.
AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.
Untuk edisi 2024 AXCR, ia pada asalnya akan melibatkan laluan perlumbaan yang bermula dari Surat Thani, Thailand sehingga ke Kuala Lumpur, Malaysia. Namun disebabkan insiden pengeboman yang berlaku di Selatan Thai pada 6 Mei lalu, laluan berkenaan telah diubah bermula dari Surat Thani menuju ke Hua Hin, dan berakhir di Kanchanaburi. Ia akan bermula 11 Ogos dan tamat pada 17 Ogos 2024.









