Minggu lalu Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telahpun memperkenalkan model istimewa Volkswagen Golf GTI Edition 50 untuk pasaran tempatan, iaitu model edisi terhad yang dihasilkan sempena sambutan 50 tahun Golf GTI, selepas model generasi pertamanya muncul buat pertama kali di Frankfurt Motor Show 1975.
Tak puas dengan hanya beberapa keping gambar rasmi yang disiarkan tempoh hari? Ini dia galeri penuh Golf GTI Edition 50 kami hidangkan untuk anda. Kemunculan model ini sebenarnya sudahpun diberitahu pada Mac lalu, tetapi tidak seperti Edition 50 untuk pasaran global yang sudahpun diasaskan dari model facelift Golf Mk8.5, model edisi terhad di Malaysia ini masih diasaskan dari Golf GTI Mk8 CKD yang dikilangkan di Pekan, Pahang.
Bagi membezakan rupa model edisi terhad ini dengan GTI biasa, ia didatangkan khas dengan kit badan Oettinger secara standard. Kit tersebut terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, spoiler bumbung belakang dan juga diffuser bampar belakang, di mana kesemuanya dilayangkan dengan kemasan hitam.
Selain itu ia juga diberikan cermin sisi dengan penutup berwarna hitam, emblem-emblem Edition 50 pada tiang-B kiri dan kanan, filem penapis haba “Edition 50” isitimewa serta filem pelekat badan dengan grafik diinspirasikan gril sarang lebah GTI pada bahagian bawah pintu.
Golf GTI Edition 50 pasaran Malaysia ini hanya ditawarkan dalam dua warna badan iaitu Oryx White dan Moonstone Grey. Bagi melengkapkan rupanya, Golf edisi terhad ini juga dipadankan dengan set rim aloi 18-inci Pretoria dalam kemasan hitam berkilat yang disertakan sekali bersama penutup hab Dynamic “GTI” dan juga penutup injap pengisi angin aluminium VW Design.
Manakala pada sebelah dalam kabin, perincian istimewa yang diberikan pada model edisi terhad ini adalah termasuk logo “50” pada bahagian bawah jejari tengah roda stereng, scuff plate sisi aluminium Edition 50, dan juga karpet kaki Edition 50.
Selain dari itu, perincian lain untuk model ini adalah sama seperti Golf GTI Mk8 standard. Ia kekal dengan enjin 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 245 PS dan tork maksima 370 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik (klac basah) tujuh kelajuan, bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.
Manakala kelengkapan yang dibekalkan termasuk sistem bunyi premium 480-watt Harman Kardon dengan 10-pembesar suara, disambungkan kepada sistem infotainmen Discover Media dengan skrin 10-inci yang memberikan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay sambungan tanpa wayar.
Untuk semua ini, Volkswagen Golf GTI Edition 50 dijual pada harga runcit yang disarankan RM267,990, termasuk Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) yang turut disertakan sekali dengan pakej penyelenggaraan selama lima-tahun, waranti tanpa had perbatuan selama lima-tahun, serta bantuan tepi jalan juga selama lima-tahun.
Walaupun diberitahu bahawa Golf GTI Edition 50 ini merupakan model edisi terhad, VPCM belum memperincikan berapa unit yang dihasilkan untuk dijual di pasaran tempatan. Ia sudahpun dipamerkan di pengedar-pengedar bertauliah Volkswagen bermula 17 Ogos ini, dan ia turut akan dipamerkan ketika berlangsungnya Golf Fan Fest di Litar Antarabangsa Sepang pada 24 Ogos nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.