Memandu dalam jarak jauh mahu pun dekat untuk ke mana-mana lokasi boleh jadi menyeronokkan, apatah lagi untuk road trip atau bercuti bersama mereka yang tersayang. Walau bagaimana pun, aspek keselamatan usah sekali diabaikan. Kadang kita tidak sedar, ada perkara yang kita rasa selamat tetapi sebenarnya…tidak selamat!
Ini seperti yang dipaparkan menerusi klip video yang dikongsikan melalui X/Twitter yang menunjukkan sebuah keluarga seramai empat orang sedang berada sama ada di dalam MPV, dengan tempat duduk penumpang belakang telah dikeluarkan.
Dengan ruang kosong yang ada di bahagian penumpang belakang, tilam dibentang bagi menggantikan tempat duduk sedia ada, dengan seorang wanita bersama dua anak kecil berada di bahagian itu, menikmati hidangan. Manakala seorang lelaki pula berada di tempat duduk pemandu.
Walaupun perjalanan seperti yang ditunjukkan dalam klip video ini kelihatan lancar, dan jalan raya juga bebas daripada kesesakan lalu lintas seperti yang dilihat melalui cermin depan, amalan ini sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kepada penumpang di dalam kenderaan tersebut, sekiranya berlaku pelanggaran, terbabas dan sebagainya.
Bestnya, siap boleh makan2. pic.twitter.com/7WpvTQJq87
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) August 17, 2024
Para penumpang juga tidak memakai tali pinggang keledar, bahkan banyak peralatan di dalam kenderaan berkenaan yang boleh mendatangkan bahaya sekiranya berlaku insiden. Sebagai contoh, sekiranya penumpang tercampak dan terhantuk akibat brek mengejut mahu pun berlaku pelanggaran.
Sekiranya menggunakan caravan sekalipun, harus diingat, bukan sahaja pemandu yang wajib menggunakan tali pinggang keledar, bahkan para penumpang juga perlu berada di tempat duduk dan memakai tali pinggang keledar. Demi keselamatan!
Walau bagaimana pun, memang ramai di antara kita yang mengabaikan aspek keselamatan sebegini. Ada yang memberikan alasan, “Ala bukannya pandu laju pun…” atau “Rimaslah pakai seatbelt!” Memang mungkin anda seorang pemandu yang cermat dan memandu mengikut kelajuan yang ditetapkan. Tetapi jangan sangka semua pengguna jalan raya akan bertindak seperti anda. Mungkin ada yang memandu sesuka hati, kenderaan yang dipandu tiba-tiba mengalami kerosakan atau pun kenderaan lain hilang kawalan. Anda mungkin terpaksa brek mengejut dan kebarangkalian besar penumpang di belakang boleh terhantuk, tercampak atau terhumban.
Sebelum perkara sebegitu berlaku, silalah beringat dan ambil langkah paling penting…utamakan keselamatan. Anda boleh tonton video di bawah, impak yang berlaku sekiranya berlaku pelanggaran. Apa yang terjadi pada penumpang di belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar? Dia terhumban di hadapan dan berisiko mengalami kecederaan, mahu pun kematian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.