Ketika pengenalan Xpeng G6 semalam, pengedarnya Xpeng Bermaz menegaskan yang syarikat itu tidak akan terlihat dengan perang harga yang sedang menjadi amalan pengeluar kenderaan di China ketika ini.
Dalam tempoh beberapa bulan lalu, banyak syarikat memotong harga jualan bagi model kenderaan mereka, terutama sekali jenis NEV (termasuk hibrid dan EV) di China untuk mengukuhkan kedudukan jualan dalam pasaran. Perkara sama juga telah berlaku di Malaysia, seperti yang dapat dilihat melalui tindakan Tesla dan smart melalui model-model yang diperkenalkan di sini.
CEO Bermaz Auto Group, Datuk Francis Lee Kok Chuan bagaimanapun percaya yang harga Xpeng G6 adalah sangat kompetitif dan akan diterima oleh pelanggan. Ketika pelancaran, G6 dijual dengan harga bermula RM165,820 atas jalan tidak termasuk insurans untuk varian asas 580 Pro, manakala varian paling tinggi 755 Pro dengan harga RM185,820.
Beliau juga menegaskan yang Bermaz tidak akan memberikan potongan harga kepada kereta baru dalam masa terdekat untuk menjaga nilai jangka panjang kenderaan pelanggan. Malahan, menurut beliau, ada kemungkinan yang harga kenderaan Xpeng akan naik di masa hadapan, selari dengan peningkatan kemaskini dan kelengkapan yang diberikan kelak.
Berkaitan angka jualan pula, beliau tidak menyebut sebarang angka, sebaliknya menekankan yang syarikat itu akan memberi perhatian terhadap pembangunan jenama terlebih dahulu berbanding jualan dan keuntungan dalam masa terdekat. “Mengapa Bermaz memilih Xpeng sebagai rakan niaga dan bukannya jenama kenderaan China yang lain adalah kerena Xpeng tidak menekankan perihal jualan. Kebanyakan pengeluar China meletakkan jualan sebagai keutamaan. Di sini, kita bahkan belum ada prasarana yang cukup untuk EV,” ujarnya.
“Kami ingin membangunkan sebuah jenama kenderaan, dan ingin memastikan mampu menampung dan memenuhi keperluan pelanggan terlebih dahulu. Kami memilih Xpeng kerena kedua-dua syarikat mempunyai matlamat dan falsafah yang sama: mengutamakan pelanggan terlebih dahulu sebelum yang lainnya,” tambahnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.