Sementara Eropah menerima kehadiran Volkswagen Passat generasi ke-sembilan sebagai Variant, versi wagon sahaja, berbeza dengan China yang masih menggemari bentuk sedan tradisional. Menerusi penganjuran Chengdu Motor Show tahun ini, Passat Pro telah diperkenalkan di sana, sebagai alternatif kepada Magotan.
Dengan visual yang berbeza dari Magotan, yang merupakan produk kerjasama antara Volkswagen dengan FAW, Passat Pro didatangkan dari usahasama SAIC-Volkswagen dan berkongsi wajah yang sama dengan Variant di Eropah, tetapi dengan bentuk sedan di belakang dan lampu belakangnya juga mirip.
Ditawarkan dengan dua kemasan iaitu Pioneer Edition dan Starry Sky Edition, bersama pilihan kit Black Warrior yang memberikan penampilan lebih sporty. Pakej tambahan ini termasuk bampar hadapan yang lebih agresif dengan serlahan hitam pada cermin sisi dan kemasan tingkap.
Berbanding dengan abangnya di Eropah, Passat Pro buatan Chian ini lebih panjang dan berukuran 5,006 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,489 mm tinggi dan jarak roda pula 2,871 mm. Menjadikan ia 89 mm lebih panjang dari wagon dan mempunyai ruang tambahan cecah 30 mm antara gandar. Magotan terkini juga mempunyai jarak roda yang sama dengan Passat Pro tetapi keseluruhan panjangnya kurang 16 mm.
Bagi dalamannya, bentangan umum bagi papan pemuka lebih kurang sama dengan model Eropah. Ciri kelengkapannya termasuk kluster instrumen digital 10.3-inci, skrin sesentuh infotainmen sentral 15-inci, skrin sesentuh 11.6-inci untuk penumpang hadapan, paparan utama dengan teknologi realiti tambahan, sistem bunyi Harman Kardon dengan 16-pembesar suara, 30-warna bagi sistem pencahayaan ambien, sistem wangian dalam kereta dan tempat duduk dengan fungsi ventilasi, pemanas dan urut.
Di bawah bonetnya, Passat Pro dikuasai enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris TSI yang mampu menghasilkan 220 PS (217 hp atau 162 kW) dan tork 350 Nm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac (DCT) tujuh-kelajuan.
Harga bagi sedan ini akan diumumkan kelak, namun pra-tempahannya telah mula diterima. Walau pun Passat Pro berada di pasaran China, namun SAIC Volkswagen tetap akan terus menawarkan Passat spesifikasi China yang dijual sejak tahun 2019 dan diperkenalkan versi facelift pada 2022.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.