Jaecoo Malaysia bahawa serahan kepada pelanggan bagi model J7 AWD sudah bermula lebih awal daripada jadual. Lebih 500 unit SUV berkenaan telah diserahkan kepada pemiliknya setakat ini, susulan serahan 500 unit terawal yang dilakukan kepada pengedar sebelum ini.
“Kami sangat berbesar hati dengan sambutan yang ditunjukkan oleh pelanggan yang ingin memandu pulang SUV idaman Jaecoo J7 mereka atau segera memulakan perjalanan kegemaran mereka. Selari komitmen kami untuk menyerahkan kenderaan mengikut jadual, Jaecoo Malaysia juga mengambil masa dan usaha untuk memastikan semua kenderaan berada dalam kualiti terbaik yang menepati piawaian keselamatan antarabangsa yang ketat,” ujar Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.
Akan menyusul ialah serahan bagi varian J7 2WD pula, yang menurut Jaecoo Malaysia akan tiba di tangan pengedar lebih awal daripada jadual dalam bulan September ini. J7 merupakan unit CKD dari kilang Chery di Shah Alam yang dilancarkan pada 19 Julai lalu.
Selain itu, Jaecoo Malaysia juga mengumumkan pengenalan kelab pemiliknya, J-Club. Pelanggan akan didaftarkan secara automatik dan antara manfaat yang boleh dinikmati ialah tawaran servis, aktiviti sosial seperti glamping, bengkel penjagaan kereta, jemputan eksklusif ke acara yang melibatkan artis dan auto show serta peluang untuk melawat kilang Chery di China.
“Pengalaman pemilikan premium bersama Jaecoo merupakan sebuah perjalanan. Kami teruja untuk terus bersama dengan pelanggan bahkan selepas serahan kenderaan dilakukan melalui J-Club elit ini. Antara komitmen kami adalah untuk memastikan juruteknik terlatih Jaecoo untuk menangani keperluas setiap pemilik untuk kelegaan fikiran mereka,” jelas Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.
Perjumpaan pertama J-Club adalah pada 7 September nanti di Sentul Pavilion, KL. Ahli akan dimaklumkan melalui emel, Whatsapp, WeChat dan laman Facebook J-Club.
Kedua-dua varian AWD dan 2WD bagi Jaecoo J7 dilengkapi dengan enjin 1.6 liter turbo empat-silinder yang menjana 194 hp dan 290 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan. J7 dijual di Malaysia dengan harga RM138,800 bagi varian 2WD, manakala varian AWD pula berharga RM148,800.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.