BMW 520i M Sport 2024 di M’sia — 2.0T mild-hybrid; dari RM350k, RM17k lagi mahal dari bukan M-Sport

BMW 520i M Sport 2024 di M’sia — 2.0T mild-hybrid; dari RM350k, RM17k lagi mahal dari bukan M-Sport

Ini merupakan galeri ringkas bagi model BMW 520i M Sport G60 yang baru saja dilancarkan minggu ini — penawaran tambahan bagi barisan model G60 di Malaysia ketika ini. Dijual pada harga bermula RM349,800 atas jalan tidak termasuk insurans, ia RM17K lebih mahal berbanding 520i asas tanpa M-Sport yang diperkenalkan pada Mei lalu.

Itu harga tanpa pakej servis. Dengan pakej BMW Service & Repair Inclusive yang termasuk jaminan lima-tahun dan penyelenggaran yang bernilai RM26,900, ini menjadikan harga atas jalan 520i M Sport mencecah RM376,700 belum termasuk insurans.

Penampilan kosmetik antara perbezaan varian ini dengan versi asasnya. Ciri luaran termasuklah pakej M Sport, roda jejari-berkembar 935 M bicolour 19-inci dengan kemasan M High-Gloss Shadowline. Di dalam, kabin 520i M Sport dipertingkatkan dengan pelapik bumbung M anthracite, kemasan M dalam krom gelap serta kemasan aluminium rhombicle serta roda stereng tiga-jejari balutan kulit M Sport.

Kelengkapan standard yang diberikan termasuklah BMW Curved Display yang merangkumi panel instrumen 12.3-inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.9-inci, sistem bunyi Harman Kardon HiFi dan BMW Interaction Bar, bersama lampu ambient yang membolehkan pemandu membuat tetapan mengikut kesesuaian. Kereta ini juga dilengkapi pengecas telefon pintar tanpa wayar, bersama dengan Connected Drive Services dan Connected Package Professional.

Secara mekanikalnya, M Sport ini berkongsi penjana kuasa yang sama dengan model asas 520i, dengan unit B48 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol, yang turut menampilkan binaan hibrid ringkas 48V — menghasilkan 208 hp dan tork 330 Nm yang menyalurkan pacuan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan. Angka prestasinya juga lebih kurang sama dengan 520i paling asas, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum cecah 230 km/j.

Sistem bantuan pemanduan untuk model ini termasuklah Driving Assistant Plus, yang terdiri daripada sistem bantuan berasaskan radar dan kamera, dengan Kawalan kelajuan Aktif bersama fungsi Stop & Go, Bantuan Kawalan Lorong dan Stereng serta Amaran Ketibaan Lorong. Turut diberikan ialah Bantuan Parkir Tambahan.

Ada empat pilihan warna luaran diberikan untuk M Sport, iaitu Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Cape York Green Metallic dan Oxide Grey Metallic: tiga warna pertama itu sama dengan 520i asas. M Sport turut menerima balutan kerusi berliang Veganza, dalam rona Quilted Black atau Espresso Brown.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required