Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudahpun menyiarkan data pendaftaran kenderaan baharu untuk bulan Oktober 2024. Menerusi data berkenaan dapat dilihat Perodua Bezza masih lagi model terlaris di Malaysia dengan terjual sebanyak 9,772 unit sepanjang bulan lalu.
Ini menjadikan sebanyak 81,946 unit Perodua Bezza terjual untuk 10-bulan pertama tahun ini. Dengan purata hampir 8,200 unit terjual setiap bulan, tidak mustahil Bezza akan merekodkan jualan mencecah 100,000 unit apabila berakhir tahun ini.
Model kedua terlaris di Malaysia masih lagi dengan logo Perodua, iaitu hatchback segmen-A Perodua Axia. Ia terjual sebanyak 8,318 unit sepanjang Oktober, menjadikan jualan tahunannya kini berjumlah 73,158 unit. Ia diikuti satu lagi model Perodua iaitu Myvi, terjual 6,965 unit bulan lalu, dan jualan tahunannya sehingga Oktober kini adalah 59,736 unit.
Tempat keempat barulah tiba giliran Proton, di mana model paling mampu milik jenama itu iaitu Saga terjual sebanyak 5,691 unit pada Oktober, dan jualan tahunannya kini sudah mencecah 58,455, hanya sedikit ketinggalan berbanding Myvi. Manakala di tempat kelima, ia kembali menjadi milik Perodua, di mana Alza masih menjadi MPV paling laris di Malaysia tahun ini dengan jualan yang kini mencecah 35,814 unit, di mana pada Oktober sahaja ia terjual sebanyak 4,261 unit.
Dan tempat keenam masih lagi milik Perodua menerusi SUV segmen-A Ativa, terjual sebanyak 2,959 pada Oktober dan jualan tahunannya kini sudah mencecah 30,355 unit. Kereta bukan nasional paling laris di Malaysia pula kini adalah Toyota Vios, dimana sejumlah 2,775 unit telah berjaya dijual sepanjang Oktober, menjadikan jualan tahunannya kini berjumlah 22,905 unit untuk berada di tempat ketujuh terlaris secara keseluruhan.
Di belakang Vios adalah seteru utamanya iaitu Honda City, model ini dijual sebanyak 2,320 pada Oktober, dan jualan tahunannya kini mencecah 22,757 unit. Apa yang perlu anda tahu, JPJ sebenarnya menggabungkan jualan City sedan dan hatchback, berbeza dengan Vios dan Yaris yang diasingkan.
Jadi kita boleh tengok di sini, Vios bukan sahaja sedan yang lebih laris dari City, malah jualannya juga lebih tinggi berbanding Proton S70 walaupun sedan segmen-C Proton itu dijual dalam julat harga yang sama tetapi menerima kelengkapan yang lebih banyak.
Tempat kesembilan di huni oleh trak pikap Toyota iaitu Hilux. Dijual sebanyak 2,208 unit sepanjang bulan lalu dan jualan tahunannya mencecah 19,917 unit, Hilux mengukuhkan kedudukannya sebagai trak pikap paling laris di Malaysia. Manakala tempat ke-10 pula merupakan milik model Proton X50, dimana SUV segmen-C ini terjual sebanyak 2,035 unit sepanjang Oktober 2024, dan jualan tahunannya untuk 10-bulan pertama tahun ini telah mencapai 18,513 unit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.