Tahun lepas, BMW menggoda kita semua dengan Concept Skytop. Tahun ini, mereka kembali ke acara penuh gaya, Concorso d’Eleganza Villa d’Este di tepi Tasik Como, Itali dengan membawakan sebuah lagi kereta konsep yang bukan sahaja menarik perhatian, tapi juga membangkitkan keghairahan. Namanya? BMW Speedtop.
Speedtop ni bukan calang-calang jentera – ia direka sebagai sebuah shooting brake yang elegan, seolah-olah versi baru untuk Touring sporty, tapi dengan sentuhan reka bentuk yang halus dan penuh karakter.
Kalau anda perasan gaya “shark nose” yang pernah muncul pada model BMW klasik, ia kembali di sini – dengan lampu hadapan nipis dan kidney grille yang menyala, memberi wajah garang tapi tetap bergaya. Garisan tajam dari bonet depan merentasi bumbung hingga ke spoiler belakang bukan sekadar hiasan, ia benar-benar menambah aura eksklusif. Warna badan pula sangat memukau – bertukar dari Floating Sunstone Maroon ke Floating Sundown Silver, seolah-olah senja yang berubah dari emas ke perak.
Bentuk lekuk tepi yang lebar menyerlahkan postur tegap Speedtop ini dan roda 14 cabang, dua tona yang direka khas untuknya menambahkan lagi sentuhan tersendiri. Menariknya, tiada pemegang pintu tradisional – minimal dan moden, rasa seperti kereta masa hadapan.
Masuk ke dalam, DNA BMW M8 terasa – sebab memang itu asasnya. Tapi di sini, segalanya disuntik dengan tahap kemewahan yang lebih tinggi. Susun atur skrin dan kawalan nampak familiar, tetapi material yang digunakan adalah luar daripada kebiasaan. Warna coklat berkilau seperti diluar dibawa masuk ke dalam kabin, diserasikan pula dengan tona Sundown Maroon dan putih lembut Moonstone White pada tempat duduk.
Di belakang tempat duduk, ada ruang simpanan yang dibalut kulit – siap dengan pencahayaan – untuk letak beg tangan atau barang kecil. But belakang juga dapat layanan mewah yang sama. Kkalau itu belum cukup eksklusif, BMW juga berkerjasama dengan pembuat barangan kulit tersohor dari Itali, Schedoni, untuk menghasilkan set beg khas yang direka hanya untuk Speedtop. Beli kereta ini, beg itu akan diberikan sekali.
Speedtop ini bukan sekadar kereta pameran – BMW akan hasilkan 70 unit sahaja untuk peminat dan pengumpul yang benar-benar menghargai seni automotif. Ini adalah 20 unit lebih banyak dari Skytop, tapi tetap sangat terhad. Harga? Jangan harap murah. Dalam dunia kereta konsep, eksklusiviti memang datang dengan tanda harga yang tinggi.
Untuk penggeraknya, BMW tidak mendedahkan banyak perkara, cuma menyatakan ia akan menggunakan enjin V8 paling berkuasa yang mereka ada. Besar kemungkinan ia adalah enjin 4.4 liter V8 biturbo S63 dengan kuasa setinggi 635 PS (617 hp) dan 750 Nm – cukup untuk beri pengalaman pemanduan yang bukan sahaja pantas, tapi penuh emosi.



BMW iX1 L
dari RM 252,800
BMW iX
dari RM 425,800
BMW X3
dari RM 325,800
BMW M5
dari RM 1,188,800
BMW M4 Coupe
dari RM 878,800
BMW 2 Series Gran Coupe
dari RM 218,800
BMW 3 Series
dari RM 265,800
BMW 3 Series M
dari RM 388,800
BMW i4
dari RM 294,800