Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan bahawa bas ekpres dari negara luar termasuk Singapura dibenarkan memasuki Malaysia tetapi tidak akan diberikan sebarang permit untuk beroperasi di negara ini. Di mana keberadaan operasi bas dari Singapura di negara ini adalah atas kategori bas persiaran yang mana ia sememangnya dibenarkan, laporan Berita Harian.
“Bas persiaran dari Singapura boleh masuk ke negara kita begitu juga dengan bas persiaran kita yang boleh masuk ke sana. Kita tidak mengharamkan bas persiaran masuk. Namun bagi kategori bas ekspres, kita tidak pernah mempertimbangkan dan tidak akan mempertimbangkan untuk diberikan permit bagi operasi di sini,” katanya.
Ia ada bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta kerajaan menokhtahkan operasi bas ekspres haram dari Singapura yang memberi kesan kepada pengusaha bas tempatan.
Tambah Loke, bagi operasi bas persiaran dari Singapura, mereka tidak boleh mengambil penumpang lain sepanjang perjalanan seperti dibuat oleh bas ekspres. Justeru, tindakan penguatkuasaan akan diambil jika pihaknya mendapati bas persiaran dari Singapura yang membawa pelancong dari sana, membuat pengambilan penumpang ketika berada di negara ini.
“Industri tempatan mempertikaikan sama ada penguasaha ini menjalankan fungsi sebagai bas ekspres iaitu jika mereka mengambil penumpang dari Kuala Lumpur contohnya ke Singapura, yang mana jawapannya kita tidak benarkan. Jadi tidak timbul syarikat tempatan hilang punca pendapatan atau mengalami kerugian disebabkan isu terbabit,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

