Tiada perkhidmatan tren Komuter dari Pelabuhan Klang ke KL Sentral pada 7 Dis ini – KTMB

KTM Berhad (KTMB) memaklumkan bahawa tiada perkhidmatan tren Komuter disediakan dari Stesen Pelabuhan Klang ke Stesen KL Sentral pada Ahad ini, 7 Disember 2025. Walau bagaimana pun perkhidmatan tren Komuter dari KL Sentral ke Pelabuhan Klang akan beroperasi seperti biasa.

Menurut KTMB, ini adalah bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja naik taraf landasan di antara kedua-dua stesen terbabit pada tarikh berkenaan.

“Sebagai alternatif, bas perantara akan disediakan di Stesen Pelabuhan Klang, Stesen Telok Gadung, Stesen Klang, Stesen Bukit Badak, Stesen Padang Jawa, Stesen Shah Alam dan Stesen Batu Tiga ke Stesen Subang Jaya. Bas perantara akan beroperasi dari jam 6.30 pagi dari stesen berkenaan,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Untuk maklumat lanjut, para penumpang boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan KTMB, atau layari laman web rasmi www.ktmb.com.my dan aplikasi KITS.