Geely Galaxy M7 didedah – Galaxy L7 facelift dengan muka M9, PHEV dengan jarak gerak sehingga 1,730 km

Geely Galaxy M7 didedah – Galaxy L7 facelift dengan muka M9, PHEV dengan jarak gerak sehingga 1,730 km

Geely memperkenalkan model terkini dalam barisan kenderaan tenaga baharu Galaxy menerusi pelancaran Galaxy M7. Nama SUV plug-in hybrid ini memberi bayangan bahawa ia merupakan versi lebih kecil kepada model perdana tiga baris tempat duduk, Galaxy M9, dan perkara ini turut disokong oleh reka bentuk bahagian hadapannya yang jelas mengambil inspirasi daripada model tersebut.

Bahagian hadapan M7 mengekalkan jalur lampu penuh yang menampilkan motif pencahayaan seperti bintang di bahagian tengah. Ia dipadankan dengan lampu siang berbentuk L serta satu unit projektor lampu utama pada setiap sisi. Rekaan tanpa gril turut digunakan, dengan logo Galaxy diletakkan di tengah, selain bukaan udara hadapan yang melengkung ke bawah dan kemasan krom pada saluran udara menegak di bucu bampar.

Namun, apabila dilihat dari bahagian sisi dan belakang, rekaannya tidak sekata dengan muka hadapan yang lebih kemas. Lengkungan roda yang bersudut, garis bahu tajam yang menaik ke arah roda belakang serta bar lampu belakang berbentuk U terbalik yang mengikut garisan penutup bampar menyerlahkan gaya yang lebih agresif. Perbezaan ini wujud kerana M7 sebenarnya merupakan versi naik taraf atau facelift kepada Galaxy L7 yang mula dilancarkan di China pada tahun 2023.

Geely Galaxy M7 didedah – Galaxy L7 facelift dengan muka M9, PHEV dengan jarak gerak sehingga 1,730 km

Beberapa perubahan luaran dapat diperhatikan berdasarkan imej pemfailan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) yang diperoleh Autohome. Antaranya, kemasan hitam di hujung lampu belakang telah dibuang, manakala grafik lampu kini tampil lebih ringkas dan kemas dengan elemen tengah yang menjadi identiti sub-jenama Galaxy.

Ruang nombor plat turut direka semula agar kelihatan lebih moden, dan bahagian bawah bampar dilicinkan dengan menyingkirkan sirip menyerupai diffuser. Seperti L7, model ini masih berasaskan platform Boyue L, yang menjelaskan gaya rekaan badannya yang lebih tajam.

Di bahagian dalam, M7 menerima perubahan besar berbanding L7. Skrin infotainmen menegak bersaiz 13.2 inci serta paparan untuk penumpang hadapan telah digantikan dengan skrin tengah mendatar yang lebih konvensional, berkemungkinan unit bersaiz 15.4 inci yang turut digunakan pada model Galaxy lain. Susun atur papan pemuka juga mengikut rekaan terkini barisan Galaxy.

Di bawah bonet, M7 menggunakan rangkaian kuasa EMotive Intelligence atau EM-i yang sama seperti model Galaxy lain. Ia menggabungkan motor elektrik, yang berkemungkinan unit 238 PS dan 262 Nm seperti pada Starship 7 terkini di China, bersama enjin petrol 1.5 liter empat silinder NA yang menghasilkan 111 PS dan 136 Nm.

Model ini juga dilaporkan akan ditawarkan dengan pilihan bateri LFP berkapasiti 18.4 kWh dan 29.8 kWh, yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 225 km serta jarak keseluruhan mencecah 1,730 km. Maklumat lanjut dijangka didedahkan apabila model ini diperkenalkan sepenuhnya.

Galaxy M7 bagaimanapun dijangka kekal eksklusif untuk pasaran domestik China sahaja, sama seperti Galaxy L7 sebelum ini. Langkah ini dilihat sebagai usaha Geely untuk mengelakkan persaingan dalaman, terutamanya dengan model Starship 7 atau Starray EM-i yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia sebagai Proton eMas 7 PHEV.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Sell your car, get paid in 24 hours

Renew your car insurance with us, 10% discount!

Use the promo code 'PAULTAN' when you checkout for 10% discount!

Renew Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required