China sediakan draf piawaian keselamatan baru untuk sistem pemanduan autonomous, “kotak hitam” wajib

China sediakan draf piawaian keselamatan baru untuk sistem pemanduan autonomous, “kotak hitam” wajib

Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China telah menerbitkan satu draf baru yang menyenaraikan piawaian keselamatan mandatori bagi sistem pemanduan autonomous. Draf bertajuk “Intelligent Connected Vehicles – Safety Requirements for Autonomous Driving Systems” itu kini dibuka untuk maklum balas awam dan dijadualkan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2027.

Langkah ini diambil ketika China meneliti keperluan untuk memperketatkan tahap keselamatan sistem pemanduan autonomous susulan beberapa insiden kemalangan, termasuk yang melibatkan kematian, membabitkan kenderaan dengan keupayaan pemanduan sendiri seperti teksi robot.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, MIIT turut mengeluarkan piawaian baru berkaitan reka bentuk kenderaan seperti pemegang pintu dan stereng, yang turut menitikberatkan aspek keselamatan.

China sediakan draf piawaian keselamatan baru untuk sistem pemanduan autonomous, “kotak hitam” wajib

Menerusi draf terbaru ini, tahap keselamatan minimum bagi sistem autonomous Tahap 3 dipertingkatkan. Mengikut klasifikasi SAE International, Tahap 3 atau “conditional driving automation” membolehkan kenderaan mengendalikan semua tugas pemanduan dalam keadaan tertentu, namun pemandu masih perlu bersedia untuk mengambil alih kawalan apabila diminta.

Di bawah cadangan piawaian tersebut, sistem Tahap 3 mesti mampu melaksanakan tindakan kawalan risiko minimum secara sendiri sekiranya pemandu gagal memberi respons terhadap arahan mengambil alih kawalan. Ini termasuk keupayaan menukar lorong dan memberhentikan serta meletakkan kenderaan di lokasi selamat yang tidak menghalang lalu lintas ketika kecemasan, contohnya jika pemandu mengalami strok atau pengsan. Pada masa sama, sistem perlu meminimumkan risiko terhadap penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Keperluan ini secara tidak langsung menjadikan sistem Tahap 3 di bawah cadangan China semakin menghampiri keupayaan Tahap 4 mengikut definisi SAE, iaitu sistem yang tidak memerlukan pemandu mengambil alih dalam keadaan tertentu. Tahap 5 pula merupakan tahap tertinggi, dengan keupayaan operasi dalam semua keadaan tanpa memerlukan campur tangan manusia.

China sediakan draf piawaian keselamatan baru untuk sistem pemanduan autonomous, “kotak hitam” wajib

Selain itu, kenderaan dengan keupayaan pemanduan autonomous juga diwajibkan dilengkapi peranti yang dikenali sebagai Data Storage System for Automated Driving (DSSAD). Sistem ini berfungsi seperti “kotak hitam” pesawat, merakam data operasi penting bagi membantu siasatan dan pembinaan semula insiden sekiranya berlaku kegagalan sistem yang membawa kepada kemalangan jalan raya.

Menurut laporan CarNewsChina, sistem rakaman data tersebut perlu mematuhi piawaian mandatori kebangsaan China bagi sistem rakaman data kenderaan pintar berhubung, yang telah berkuat kuasa pada Januari 2026. Apabila dimuktamadkan kelak, piawaian baru ini akan menggantikan piawaian kebangsaan berbentuk saranan bertajuk “General Technical Requirements for Autonomous Driving Systems of Intelligent Connected Vehicles” yang dilaksanakan pada September 2024.

Berbeza dengan piawaian saranan yang bersifat sukarela, piawaian mandatori wajib dipatuhi sepenuhnya. Produk yang gagal memenuhi keperluan tidak akan dibenarkan untuk dikeluarkan, dijual atau diimport ke China. Bagi model kenderaan yang telah mendapat kelulusan sebelum tarikh pelaksanaan piawaian baru, tempoh peralihan selama 13 bulan akan diberikan bagi memastikan semua keperluan terkini dapat dipenuhi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Sell your car, get paid in 24 hours

Renew your car insurance with us, 10% discount!

Use the promo code 'PAULTAN' when you checkout for 10% discount!

Renew Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required