Mazda CX-5 generasi ke-3, CX-60 3.3G AWD 2026 akan didedah di KLIMS 2026 dengan harga pra-pelancaran

Pengedar jenama Mazda di Malaysia, Bermaz mengumumkan bahawa ia bukan sahaja akan mendedahkan SUV Mazda CX-5 generasi ketiga buat pertama kali di Malaysia ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 minggu ini, malah turut akan membawa sekali Mazda CX-60 dalam varian 3.3G AWD juga untuk dipertontonkan kepada awam.

Pengumuman ini dibuat menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi Mazda Malaysia, dan menyatakan bahawa pelanggan yang berminat dengan CX-5 2026 tersebut boleh membuat pendaftaran (ROI) pada laman sesawang yang akan mula dibuka pada 12 Jun 2026 bagi mendapatkan akses ekslusif kepada harga pra-pelancaran.

Mazda CX-5 serba baharu ini telahpun membuat pendedahan sulung di Eropah pada Julai tahun lalu, kemudian membuat kemunculan sulungnya di Jepun pada Oktober tahun yang sama. Mazda CX-5 baharu ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sedia ada dengan menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm.

Mazda CX-5 generasi ke-3, CX-60 3.3G AWD 2026 akan didedah di KLIMS 2026 dengan harga pra-pelancaran

Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya. Jarak roda model generasi baharu ini juga lebih jauh iaitu 2,775 mm (+75 mm), membolehkan ruang kabin direka lebih luas, dalam masa yang sama turut memberikan pengendalian yang lebih stabil.

Sebelum ini Bermaz sudahpun mengesahkan bahawa CX-5 generasi baharu berkenaan akan tiba ke pasaran Malaysia pada suku ketiga tahun ini. Ia disebut sendiri oleh Pengerusi eksekutif Bermaz Auto Tan Sri Ben Yeoh bahawa model tersebut akan ditawarkan terlebih dahulu dalam versi diimport sepenuhnya, diikuti oleh versi CKD selepas itu.

Beliau turut menjelaskan, ketika dilancarkan nanti CX-5 generasi ketiga tersebut hanya akan ditawarkan dengan 2.5 liter, dan ia akan dijual sekali bersama model generasi kedua yang tidak akan dihentikan jualannya tetapi hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter. Buat masa sekarang CX-5 generasi kedua sedia ada pada pasaran Malaysia turut ditawarkan dengan enjin 2.5 liter NA dan juga 2.5 liter Turbo selain 2.0 liter NA.

Mazda CX-5 generasi ke-3, CX-60 3.3G AWD 2026 akan didedah di KLIMS 2026 dengan harga pra-pelancaran

Di Eropah Mazda CX-5 generasi ketiga ini hanya ditawarkan dengan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt. Enjin berkenaan ditala dengan kuasa 141 PS dan tork maksima 238 Nm, dialirkan ke kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan.

Bagi CX-60 3.3G AWD pula ia adalah varian lebih mewah berbanding CX-60 2.5L 2WD High yang telah dilancarkan di Malaysia pada September 2025. CX-60 merupakan salah satu model premium pacuan roda belakang Mazda yang diasaskan dari platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture Mazda untuk model-model lebih besar.

Bagi varian 3.3G AWD, ia digerakkan dengan enjin e-Skyactiv G 3.3 liter enam-silinder turbo digandingkan bersama kotak gear lapan kelajuan automatik serta sistem pacuan semua roda i-Activ AWD.

Mazda CX-5 generasi ke-3, CX-60 3.3G AWD 2026 akan didedah di KLIMS 2026 dengan harga pra-pelancaran

Bukan itu sahaja, unit rangkaian kuasa ini turut menggandingkan sistem hibrid ringkas M-Hybrid Boost 48-Volt, menampilkan motor/generator elektrik yang letakkan antara enjin dan kotak gear serta dikuasakan bateri litium-ion 0.33-kWj. Secara keseluruhan ia menghasilkan kuasa 284 PS bermula 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm.

Bagi CX-60 2.5L pacuan roda belakang sedia ada ia dijual pada harga RM200,510. Jadi bagi varian 3.3L dengan sistem pacuan semua roda ini sudah tentunya akan dijual pada harga lebih tinggi. KLIMS 2026 akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 12 hingga 21 Jun ini.

GALERI: Mazda CX-5 generasi ketiga di Japan Mobility Show 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.