Ikuti kami:
Carian lanjutan
           
Jual kereta andaBayaran dalam 24 jam Jual sekarang Jadikan paultan.org sumber pilihan anda di Google Tambah
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam

Kandungan terkini

  • Pas MyKomuter50 boleh digunakan mulai 1 Dis 2026; hanya RM50 sebulan dan tawar penjimatan lebih 80%

    Pas MyKomuter50 boleh digunakan mulai 1 Dis 2026; hanya RM50 sebulan dan tawar penjimatan lebih 80%

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan bahawa orang ramai boleh membeli dan mengaktifkan Pas MyKomuter50 bermula 16 November ini, sebagai persediaan untuk menikmati penjimatan tambang perjalanan harian menerusi perkhidmatan KTM Komuter apabila pas tersebut mula berkuat kuasa pada 1 Disember 2026.

    “Pas MyKomuter50 merupakan inisiatif kerajaan dalam usaha meringankan kos sara hidup rakyat melalui penyedian pengangkutan awam yang lebih mampu milik. Dengan harga RM50, pengguna yang layak dapat menikmati perjalanan tanpa had selama 30 hari bagi perkhidmatan terpilih, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan pengangkutan harian, khusunya bagi mereka yang berulang-alik ke tempat kerja dan institusi pendidikan.

    “Sebagai contoh, pengguna laluan Tanjung Malim-KL Sentral yang lazimnya membelanjakan RM416 bagi tambang perjalanan dalam tempoh 30 hari hanya perlu membayar RM50 dengan Pas MyKomuter50, sekali gus menikmati penjimatan sebanyak RM366 atau hampir 88%,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, bagi laluan Alor Setar-Butterworth pula, pengguna berpeluang berjimat sehingga RM234 atau kira-kira 82%, berbanding anggaran tambang biasa sebanyak RM284 bagi tempoh dan kekerapan perjalanan yang sama.

    Pengaktifan Pas MyKomuter50 terbuka kepada warganegara Malaysia berumur tujuh tahun dan ke atas yang bukan pemegang Pas MyRailLife. Pengguna hanya perlu mengemukakan MyKad atau MyKid bagi tujuan pengesahan kelayakan sebelum membuat pembelian

    Cara pengaktifan Pas MYkomuter50 boleh dibuat melalui aplikasi KTM Mobile atau KITS Style dengan muat naik salinan MyKad atau MyKid untuk pengesahan. Kelulusan mengambil masa sehingga tiga hari bekerja. Selain itu, pengguna boleh mengaktifkannya menerusi mesin kios tiket di semua stesen KM Komuter dengan memasukkan MyKad atau MyKid ke dalam slot pengimbas untuk pengesahan. Kelulusan diberikan serta-merta.

    Cara ketiga ialah mendapatkan khidmat di kaunter stesen KTM Komuter dengan mengemukakan MyKad atau MyKid asal kepada kakitangan stesen untuk pengesahan dan kelulusan diberikan serta-merta.

    Selepas pengesahan kelayakan, pengguna boleh membeli Pas MyKomuter50 melalui aplikasi KTM Mobile, KITS Style atau kaunter bagi pembelian Kad Komuter Link.

    Kemudahan pengaktifan dan pembelian kad disediakan di 34 stesen terpilih, dengan 11 kaunter pendaftaran tambahan bagi melancarkan urusan pengguna. Senarai stesen terlibat adalah seperti berikut:

    Pas MyKomuter50 boleh digunakan mulai 1 Dis 2026; hanya RM50 sebulan dan tawar penjimatan lebih 80%

    Pas MyKomuter50 boleh digunakan mulai 1 Dis 2026; hanya RM50 sebulan dan tawar penjimatan lebih 80%

    Pas MyKomuter50 ditawarkan pada harga RM50 bagi setiap jenis perkhidmatan tersebut:

    Pas MyKomuter50 boleh digunakan mulai 1 Dis 2026; hanya RM50 sebulan dan tawar penjimatan lebih 80%

    KTMB menggalakkan orang ramai untuk melengkapkan proses pengesahan kelayakan, pengaktifan dan pembelian Pas MyKomuter50 pada hari yang sama bagi memastikan urusan mendapatkan pas berjalan dengan lebih lancar dan mudah. Anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai MyKomuter50 menerusi PAUTAN INI.

    Pas MyKomuter 50 ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu bagi memberi manfaat kepada 40,000 pengguna perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang dan Utara serta Shuttle Selatan.

     
  • Zontes ZT853-R diperkenal – enjin tiga silinder 847 cc, 150 hp, laju maksimum 280 km/j, single-sided swingarm

    Zontes ZT853-R diperkenal – enjin tiga silinder 847 cc, 150 hp, laju maksimum 280 km/j, single-sided swingarm

    Zontes memperkenalkan motosikal naked sport terbarunya, ZT853-R, pada pameran EICMA 2026 yang berlangsung di Milan, Itali. Model ini menandakan langkah baru pengeluar motosikal dari China itu untuk memasuki segmen motosikal berprestasi tinggi, dengan menggunakan enjin tiga silinder serba baru berkapasiti 847 cc.

    Dari segi penampilan, ZT853-R hadir dengan reka bentuk motosikal nakd sport moden yang menekankan aspek aerodinamik. Antara ciri yang menarik perhatian ialah penggunaan komponen badan daripada gentian karbon serta sayap aerodinamik atau winglet pada bahagian hadapan. Motosikal ini turut menggunakan rangka aluminium ringan dan lengan ayun satu sisi (single-sided swingarm), yang memberikan penampilan lebih eksklusif.

    Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 150 hp pada 12,500 rpm dan tork 90 Nm pada 9,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam kelajuan yang dilengkapi sistem quickshifter dua hala, membolehkan penukaran gear naik dan turun tanpa perlu menggunakan klac. Menurut Zontes, motosikal ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat, dengan kelajuan maksimum yang didakwa mencecah 280 km/j.

    Zontes ZT853-R diperkenal – enjin tiga silinder 847 cc, 150 hp, laju maksimum 280 km/j, single-sided swingarm

    Bagi menyokong prestasi enjin tersebut, ZT853-R menggunakan rangka aluminium baru dengan berat sekitar 10 kg bagi gabungan rangka utama dan subframe. Sistem suspensi dibekalkan oleh Kayaba (KYB) dengan di bahagian hadapan menggunakan fork USD berdiameter 43 mm boleh laras sepenuhnya, sementara bahagian belakang menerima penyerap hentak tunggal yang turut boleh dilaras.

    Sistem brek pula menggunakan cakera berkembar 310 mm di hadapan, yang dipadankan dengan angkup Brembo M4.30. Sistem ini turut disokong Cornering ABS dan unit pengukur inertia enam paksi (IMU), yang membolehkan sistem elektronik mengambil kira sudut kecondongan motosikal ketika membrek. Gabungan ini bertujuan membantu penunggang mengekalkan kawalan ketika membrek, khususnya ketika mengambil selekoh.

    Dari segi elektronik, ZT853-R dilengkapi pelbagai sistem bantuan penunggang termasuk kawalan cengkaman yang sensitif terhadap sudut kecondongan, anti-wheelie dengan empat tahap pelarasan serta Launch Control. Sistem pendikit elektronik Ride-by-Wire turut disediakan bersama cruise control, menjadikannya antara model Zontes yang menawarkan pakej elektronik paling lengkap setakat ini.

    Bahagian kokpit menggunakan paparan instrumen digital yang turut menyediakan fungsi navigasi dan lap timer. Sistem Intelligent Control System 4.0 pula membolehkan motosikal dibuka kunci menggunakan teknologi NFC tanpa memerlukan kunci konvensional. Ia turut menyokong sambungan telefon pintar menerusi aplikasi Zontes 2.0, yang membolehkan penunggang memantau maklumat motosikal termasuk tekanan angin tayar dan lokasi kenderaan.

    Walaupun sudah muncul di khalayak ramai, ZT853-R ini bagaimanapun masih berstatus prototaip dan beberapa perincian mengenai model produksi belum dimuktamadkan. Setakat pameran tersebut, Zontes juga belum mengumumkan harga jualan atau tarikh pemasaran rasmi, termasuk kemungkinan model ini ditawarkan di Malaysia.

     
  • Mercedes-Benz CLA200 Hybrid kini di Malaysia – AMG Line untuk pasaran tempatan, harga anggaran RM275k

    Mercedes-Benz CLA200 Hybrid kini di Malaysia – AMG Line untuk pasaran tempatan, harga anggaran RM275k

    Selepas dipertonton di Singapura September lalu, Mercedes-Benz CLA200 Hybrid generasi baru (C178) kini mula muncul di bilik pameran Mercedes-Benz di Malaysia. Model ini bakal menyertai versi elektrik sepenuhnya, CLA250+ (C174), yang telah dilancarkan pada Ogos lalu. Walaubagaimanapun, CLA200 Hybrid masih belum dibuka untuk jualan, dengan harga anggaran sekitar RM275,000, iaitu hampir sama dengan versi elektrik tersebut.

    Menariknya, pemasangan tempatan (CKD) bagi model ini sudah pun bermula, berdasarkan nombor VIN pada unit yang dipamerkan dengan akhiran “PLB”. Kehadirannya di bilik pameran juga memberikan gambaran pertama mengenai spesifikasi akhir untuk pasaran Malaysia, memandangkan versi elektrik CLA250+ sebelum ini juga belum diperlihatkan dalam spesifikasi tempatan yang muktamad.

    Berbanding unit spesifikasi Singapura yang hadir dengan kelengkapan lebih ringkas, CLA200 Hybrid untuk pasaran Malaysia bakal ditawarkan dalam kemasan AMG Line. Pakej ini merangkumi bampar hadapan dan belakang dengan reka bentuk lebih sporty, selain kemasan krom pada bahagian spoiler hadapan dan diffuser belakang. Penampilan luaran turut dilengkapi lampu utama Multibeam LED, gril hadapan bercahaya, pemegang pintu jenis tersembunyi yang terkeluar secara automatik serta rim aloi AMG lima jejari berkembar berukuran 19 inci.

    Mercedes-Benz CLA200 Hybrid kini di Malaysia – AMG Line untuk pasaran tempatan, harga anggaran RM275k

    Bumbung kaca panoramik juga menjadi kelengkapan standard, termasuk salutan khas untuk mengurangkan kemasukan haba ke ruang kabin. Namun, model untuk pasaran Malaysia tidak menerima sistem Sky Control yang menggunakan panel kaca elektrokromik, membolehkan tahap ketelusan bumbung dilaraskan secara elektronik seperti yang ditawarkan pada beberapa pasaran lain.

    Di bahagian kabin, CLA200 Hybrid dilengkapi pakej MBUX Superscreen yang menampilkan tiga skrin pada papan pemuka. Ia terdiri daripada paparan instrumen digital 10.25 inci serta dua skrin sesentuh berukuran 14 inci, dengan satu daripadanya dikhaskan untuk penumpang hadapan. Susun atur ini memberikan penampilan moden pada ruang dalaman, meskipun reka bentuk papan pemukanya kelihatan agak ringkas.

    Pakej AMG Line turut membawakan stereng Nappa kulit dengan bahagian bawah rata dan rekaan dua jejari, termasuk suis fizikal jenis rocker dan roller yang menggantikan sebahagian kawalan sentuh kapasitif. Tempat duduk sport boleh laras secara elektrik dengan fungsi memori turut disediakan, menggunakan balutan kulit sintetik Artico berwarna hitam dan material microfibre Dinamica. Kelengkapan lain termasuk alas kaki AMG serta pedal aloi.

    Mercedes-Benz CLA200 Hybrid kini di Malaysia – AMG Line untuk pasaran tempatan, harga anggaran RM275k

    Antara ciri standard lain yang disediakan ialah suspensi Passive Comfort, sistem pendingin hawa automatik dua zon, corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, sistem navigasi dengan paparan AR dan lampu suasana 64 warna. Turut disediakan ialah persediaan untuk kunci digital telefon pintar, pengecas tanpa wayar Qi, kamera dalaman untuk swafoto dan rakaman video, sistem audio lapan pembesar suara serta sistem bantuan parkir.

    Kelengkapan tambahan termasuk kamera 360 darjah dan pintu but berkuasa yang boleh dibuka tanpa menggunakan tangan. Walaupun mempunyai banyak persamaan dengan CLA elektrik, model hibrid ini menggunakan platform Mercedes-Benz Modular Architecture (MMA) yang sama, tetapi dengan sistem rangkaian kuasa berbeza. Ruang but belakang masih menawarkan kapasiti 405 liter, manakala ruang but hadapan atau frunk tidak disediakan kerana kedudukan enjin pembakaran dalaman.

    Untuk sistem rangkaian kuasa, CLA200 Hybrid menggunakan enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo yang dibangunkan oleh Horse Powertrain, syarikat usaha sama Geely di China. Enjin berkapasiti 1,499 cc ini menghasilkan kuasa 163 PS pada 5,500 rpm dan tork 250 Nm antara 1,750 hingga 4,000 rpm. Walaupun kapasiti enjinnya sama dengan unit BHE15 i-GT yang digunakan oleh Proton, pihak Mercedes-Benz memaklumkan bahawa kedua-duanya merupakan enjin yang berbeza.

    Enjin tersebut dipadankan dengan sistem hibrid 48 volt yang menggabungkan motor elektrik berkuasa 30 PS untuk membantu pecutan. Gabungan kedua-dua sumber kuasa ini menghasilkan output keseluruhan 184 PS dan tork 330 Nm. Dengan konfigurasi tersebut, CLA200 Hybrid mampu memecut 0-100 km/j dalam masa lapan saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 232 km/j.

    Walaupun dikategorikan sebagai hibrid ringkas, sistem ini membolehkan CLA200 Hybrid bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya pada beban enjin yang rendah. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi klac berkembar lapan kelajuan 8F-eDCT. Motor elektriknya juga berfungsi sebagai penjana untuk mendapatkan semula tenaga ketika nyahpecutan, dengan kadar pemulihan kuasa maksimum 25 kW yang boleh dilakukan merentasi kesemua lapan gear.

    Berbanding CLA250+ elektrik yang menggunakan pacuan roda belakang, CLA200 Hybrid hadir dengan pacuan roda hadapan. Penggunaan sistem hibrid ini membolehkannya mencatatkan penggunaan bahan api gabungan kurang daripada 5.0 liter bagi setiap 100 km. Kapasiti ruang but belakang pula kekal 405 liter, sama seperti versi elektrik, tetapi model ini tidak mempunyai ruang simpanan tambahan di bahagian hadapan.

    Mercedes-Benz CLA200 Hybrid kini di Malaysia – AMG Line untuk pasaran tempatan, harga anggaran RM275k

    Dari segi keselamatan, CLA200 Hybrid dilengkapi lapan beg udara termasuk beg udara lutut pemandu dan beg udara tengah antara pemandu dengan penumpang hadapan. Ia turut menerima pakej bantuan pemanduan MB.Drive Standard yang merangkumi brek kecemasan autonomous, bantuan stereng mengelak, cruise control adaptif Distronic dengan fungsi henti dan mula serta bantuan mengurangkan kelajuan ketika mengambil selekoh.

    Sistem keselamatan aktif lain termasuk bantuan mengekalkan lorong, pemantauan titik buta dengan fungsi mengelakkan pelanggaran, pengecaman papan tanda trafik, bantuan berhenti kecemasan dan brek kecemasan autonomous ketika mengundur atau parkir. Bagaimanapun, pakej standard ini belum menawarkan keupayaan pemanduan separa autonomous Tahap 2 sepenuhnya kerana tidak disertakan fungsi bantuan mengekalkan kedudukan di tengah lorong dan pertukaran lorong secara automatik.

    Kedua-dua fungsi tersebut hanya boleh diperoleh menerusi pakej MB.Drive Assist yang ditawarkan sebagai langganan berbayar. Di Malaysia, akses kepada pakej ini dikenakan bayaran RM169 sebulan selepas bulan pertama percuma, RM1,690 untuk setahun atau RM4,059 bagi tempoh tiga tahun. Setakat ini, Mercedes-Benz Malaysia masih belum mengumumkan tarikh jualan rasmi CLA200 Hybrid, namun kemunculannya di bilik pameran menunjukkan model tersebut semakin hampir untuk ditawarkan kepada pembeli tempatan.

     
  • Harga minyak 12-18 Nov – RON97 turun 50 sen, RON95 tanpa subsidi turun 40 sen dan diesel turun 25 sen

    Harga minyak 12-18 Nov – RON97 turun 50 sen, RON95 tanpa subsidi turun 40 sen dan diesel turun 25 sen

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi tempoh antara 12 hingga 18 Nov 2026, harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak 50 sen seliter, menjadi RM4.20 sen seliter.

    Begitu juga RON95 tanpa subsidi yang diturunkan sebanyak 40 sen seliter, menjadi RM3.87 seliter. Walau bagaimana pun, harga bersubsidi di bawah program Budi95 tetap dikekalkan pada RM1.99 seliter. Untuk Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), ia masih ditetapkan pada harga RM2.05 seliter.

    Manakala harga diesel tanpa subsidi juga diturunkan sebanyak 25 sen seliter, menjadi RM4.87 seliter. Manakala diesel di bawah program subsidi Budi Diesel kekal berharga RM2.10 seliter. Bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula, ia masih ditetapkan pada RM2.15 seliter.

    Semua harga runcit yang dinyatakan ini berkuatkuasa pada 12 tengahmalam ini (12 Nov) sehingga jam 11.59 malam pada 18 Nov 2026. Ini merupakan edisi ke-47 bagi format harga minyak mingguan untuk tahun 2026, dan yang ke-350 secara keseluruhan sejak format ini diperkenalkan pada tahun 2019.

     
  • JAC T9 PHEV dilancar – trak pikap PHEV pertama di Malaysia, 489 PS/1,000 Nm, NEDC 1,000 km, dari RM156k

    JAC T9 PHEV dilancar – trak pikap PHEV pertama di Malaysia,  489 PS/1,000 Nm, NEDC 1,000 km, dari RM156k

    Pasaran Malaysia kini menerima model pikap plug-in hybrid (PHEV) pertama menerusi JAC T9 PHEV yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Model ini ditawarkan pada harga RM156,027.60 tanpa insurans, meletakkannya di antara varian T9 diesel yang berharga sekitar RM120,000 dan T9 EV elektrik penuh yang dijual pada harga sekitar RM200,000. Turut ditawarkan ialah varian Adventure pada harga RM164,027.60, yang dilengkapi tayar all-terrain dan rim aloi berwarna hitam.

    JAC T9 PHEV juga bakal menjadi pikap PHEV pertama yang dipasang dalam negara (CKD) apabila operasi pengeluaran dimulakan di kilang baru FT Assembly, anak syarikat Feytech, di Kulim, Kedah. Kemudahan yang dibangunkan dengan pelaburan RM3.6 juta itu mempunyai keluasan 84,000 kaki persegi, dengan kapasiti pengeluaran awal dianggarkan sebanyak 3,000 unit setahun. Syarikat turut menyasarkan penggunaan komponen tempatan sehingga 30% bagi model berkenaan.

    Dari segi rangkaian kuasa, T9 PHEV menggabungkan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo yang menghasilkan 211 PS dan 370 Nm, bersama transmisi hibrid khusus empat kelajuan (DHT) yang menempatkan motor elektrik dengan output 177 PS dan 300 Nm. Satu lagi motor elektrik dipasang pada gandar belakang, menghasilkan 204 PS dan 340 Nm. Gabungan ketiga-tiga sumber kuasa ini memberikan output keseluruhan sebanyak 489 PS dan tork maksimum 1,000 Nm.

    Angka tersebut jauh mengatasi T9 diesel yang menghasilkan 170 PS dan 410 Nm, selain T9 EV yang menggunakan motor elektrik hadapan 95 PS serta motor belakang 218 PS dengan output tork gabungan 516 Nm. Kuasa disalurkan melalui sistem pacuan empat roda, manakala pemandu boleh memilih mod pemanduan Eco, Standard dan Sport mengikut keadaan serta keperluan penggunaan.

    Bekalan tenaga pula datang daripada bateri jenis LFP berkapasiti 31.2 kWh yang dibekalkan oleh Gotion High-Tech. Pek bateri ini membolehkan T9 PHEV bergerak sejauh 100 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, selain menawarkan jarak pemanduan gabungan sehingga 1,000 km. Kedua-dua angka ini berdasarkan kitaran ujian NEDC, manakala anggaran berdasarkan WLTP adalah sekitar 85 km dan 850 km.

    Bagi pengecasan, bateri boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC dalam masa kira-kira 30 minit untuk meningkatkan kapasiti daripada 15% kepada 80%. Pengecasan AC pula mengambil masa antara 3.5 hingga 5.5 jam untuk mencapai 100% daripada 15%. Bagaimanapun, kadar kuasa pengecasan maksimum masih belum didedahkan. Model ini turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan output sehingga 15 kW, membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik luaran.

    JAC T9 PHEV dilancar – trak pikap PHEV pertama di Malaysia,  489 PS/1,000 Nm, NEDC 1,000 km, dari RM156k

    Dari aspek dimensi, T9 PHEV mempunyai panjang 5,330 mm, lebar 1,965 mm dan tinggi 1,920 mm, dengan jarak roda 3,110 mm. Ukuran ini sama seperti varian diesel dan elektrik. Ruang kargo belakang pula mempunyai kapasiti 1.14 meter padu, dengan ukuran panjang 1,520 mm, lebar 1,590 mm dan tinggi 470 mm. Kelegaan tanah ialah 205 mm, manakala keupayaan meredah air berada pada paras 550 mm.

    Untuk sistem suspensi, bahagian hadapan menggunakan tetapan double wishbone, sementara bahagian belakang menggunakan gandar tegar dengan sistem multi-link dan spring gegelung. Kedua-dua gandar turut dilengkapi electronic locking differential, yang boleh membantu meningkatkan cengkaman ketika melalui permukaan mencabar. Sudut pendekatan dan pelepasan masing-masing ialah 27 darjah dan 23 darjah, manakala brek parkir elektronik turut disediakan bersama fungsi Auto Hold.

    Dengan berat tanpa muatan 2,555 kg, T9 PHEV merupakan varian paling berat dalam keluarga T9 setakat ini. Kapasiti menunda yang ditawarkan ialah 3.5 tan, sama seperti model diesel, manakala kapasiti muatan maksimum ialah 915 kg. Untuk pemanduan di luar jalan raya, model ini turut menyediakan mod permukaan Snow, Mud, Sand dan Rock, selain Off-Road Cruise bagi membantu mengawal pergerakan kenderaan ketika melalui laluan mencabar.

    JAC T9 PHEV dilancar – trak pikap PHEV pertama di Malaysia,  489 PS/1,000 Nm, NEDC 1,000 km, dari RM156k

    Dari segi penampilan, T9 PHEV menerima lencana JAC berwarna biru pada gril hadapan, sama seperti T9 EV, berbanding warna merah pada model diesel. Rim aloi 18 inci yang digunakan turut dilengkapi kemasan aerodinamik khas. Antara kelengkapan luaran lain ialah rel bumbung dan sports bar dengan reka bentuk lebih ringkas di belakang kabin. Model ini juga menerima bumbung suria, yang menjadi kelengkapan eksklusif berbanding dua varian T9 lain.

    Ruang kabinnya pula menampilkan stereng baru empat cabang, dengan pelarasan hanya untuk sudut kecondongan. Tuil gear jenis tombol putar dikekalkan seperti pada T9 EV, namun terdapat butang tambahan di bahagian bawah untuk mengaktifkan pengunci differential hadapan dan belakang serta mod pemanduan luar jalan. Sistem infotainmen menggunakan skrin sesentuh menegak bersaiz 10.4 inci, digandingkan dengan paparan meter digital 10.25 inci. Kamera 360 darjah dengan fungsi paparan lutsinar turut disediakan bagi memudahkan pemandu melihat kawasan sekeliling kenderaan.

    Kelengkapan lain termasuk lampu suasana 64 warna, sistem pemantauan tekanan angin tayar (TPMS) dan tempat duduk kulit hitam dengan corak berlian. Turut disediakan ialah pengecas telefon tanpa wayar 50W, tingkap kuasa dengan fungsi satu sentuhan, lampu tinggi automatik, pengelap cermin automatik dan cermin pandang belakang boleh malap secara automatik. Sistem pendingin hawa automatik turut dilengkapi corong udara untuk penumpang belakang.

    Penumpang belakang juga mendapat akses kepada soket kuasa 220V, satu soket USB-A dan satu soket USB-C yang ditempatkan di bawah corong penyaman udara. Di bahagian hadapan, terdapat kotak penyimpanan pada perehat tangan tengah yang dilengkapi saluran udara sejuk, sesuai untuk menyimpan barangan atau minuman pada suhu lebih rendah.

    Dari aspek keselamatan, T9 PHEV dilengkapi tujuh beg udara termasuk beg udara tengah hadapan. Sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2 turut disediakan, merangkumi brek kecemasan automatik (AEB) untuk bahagian hadapan dan belakang, adaptive cruise control (ACC), bantuan mengekalkan kedudukan di tengah lorong serta amaran trafik lintang belakang. Evolvelectric Motors turut menekankan bahawa model ini telah memperoleh penarafan keselamatan lima bintang daripada Australasian New Car Assessment Program (ANCAP).

    Pembeli boleh memilih daripada lima warna badan iaitu putih, hitam, biru, kelabu gelap dan perak. JAC T9 PHEV ditawarkan dengan jaminan kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000 km, manakala bateri voltan tinggi menerima jaminan lapan tahun atau 150,000 km, mana yang tiba dahulu.

     
  • Protokol ASEAN NCAP 2026-2030 uji AEB motosikal, sistem pengesanan kanak-kanak diberi lebih perhatian

    Protokol ASEAN NCAP 2026-2030 uji AEB motosikal, sistem pengesanan kanak-kanak diberi lebih perhatian

    ASEAN NCAP memperkenalkan protokol penilaian keselamatan kenderaan baru bagi tempoh 2026 hingga 2030, menggantikan sistem penilaian lima tahun sebelumnya. Protokol yang diperincikan dalam Kursus Keselamatan Kenderaan anjurannya itu membawa beberapa perubahan penting, termasuk penilaian keupayaan sistem brek kecemasan automatik (AEB) motosikal serta penambahbaikan dalam ujian perlindungan penumpang kanak-kanak.

    Antara perubahan paling ketara ialah pengenalan ujian AEB yang melibatkan motosikal. Menerusi penilaian ini, ASEAN NCAP mahu memastikan sistem bantuan pemandu tersebut bukan sahaja mampu mengesan kenderaan lain seperti kereta, malah dapat mengenal pasti penunggang motosikal dan bertindak mengelakkan pelanggaran sekiranya berlaku situasi berbahaya.

    Ujian berkenaan merangkumi beberapa senario, termasuk kereta menghampiri motosikal dari belakang yang bergerak pada kelajuan tetap, situasi kereta membelok di persimpangan sehingga melintasi laluan motosikal dari arah bertentangan, serta pertembungan di persimpangan jalan. Satu lagi senario melibatkan kereta yang memasuki laluan motosikal dari arah hadapan. Dalam semua keadaan ini, sistem AEB perlu bertindak dengan memberhentikan kereta atau melakukan tindakan mengelak bagi menghindari pelanggaran.

    Protokol ASEAN NCAP 2026-2030 uji AEB motosikal, sistem pengesanan kanak-kanak diberi lebih perhatian

    Bagi menjalankan ujian tersebut, ASEAN NCAP tidak menggunakan motosikal sebenar, sebaliknya mendapatkan sasaran ujian ADAS yang direka menyerupai skuter biasa digunakan di pasaran seperti Thailand dan Indonesia. Sasaran ini dibekalkan oleh 4activeSystems (4a) dari Austria atau China Automotive Engineering Research Institute (CAERI), dan dipasang pada platform yang boleh bergerak ke semua arah. Ia turut dilengkapi motor pada bahagian hab roda bagi menghasilkan putaran seperti roda motosikal sebenar.

    Pengenalan ujian AEB motosikal ini membolehkan sehingga enam mata diberikan dalam kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (Motorcyclist Safety). Dalam protokol baharu ini, jumlah markah maksimum kategori tersebut turut meningkat daripada 16 kepada 24 mata. Selain itu, markah bagi sistem lampu tinggi automatik atau adaptif ditambah daripada dua kepada tiga mata, manakala sistem paparan visual bahagian belakang seperti kamera titik buta kini dihadkan kepada dua mata. Dua mata bonus yang sebelum ini diberikan untuk teknologi keselamatan penunggang motosikal termaju pula akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada kriteria penilaian standard.

    Kategori Bantuan Keselamatan (Safety Assist) turut menerima beberapa perubahan. ASEAN NCAP kini memperuntukkan sehingga dua mata untuk teknologi bantuan kekal lorong, termasuk sistem Lane Keeping Assist dan Lane Centring Assist. Pada masa sama, markah maksimum bagi ujian AEB pada kelajuan lebih tinggi yang mewakili pemanduan antara bandar dinaikkan daripada 3.5 kepada lima mata. Bagaimanapun, markah untuk teknologi bantuan keselamatan termaju dikurangkan daripada tiga kepada dua mata, menjadikan jumlah keseluruhan markah maksimum kategori ini meningkat daripada 21 kepada 23.5 mata.

    Protokol ASEAN NCAP 2026-2030 uji AEB motosikal, sistem pengesanan kanak-kanak diberi lebih perhatian

    Sementara itu, kategori Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (Child Occupant Protection, COP) turut menerima penambahbaikan dengan pengenalan ujian teknologi pengesanan kehadiran kanak-kanak (Child Presence Detection, CPD). Sistem ini bertujuan mengelakkan kejadian kanak-kanak atau haiwan peliharaan tertinggal di dalam kereta yang berkunci, terutama ketika cuaca panas.

    Jika sebelum ini sistem peringatan penumpang di tempat duduk belakang hanya boleh memperoleh sehingga dua mata, protokol baharu menyediakan sehingga lima mata untuk sistem lebih canggih yang mampu mengesan kehadiran kanak-kanak menggunakan sensor radar, ultrasonik atau inframerah.

    Bagi menyokong penilaian tersebut, ASEAN NCAP turut memperkenalkan patung ujian khas dikenali sebagai kiDS Child Presence Detection Subject (CPD-DS3). Patung ini direka untuk meniru kadar pernafasan dan suhu badan bayi berusia sehingga 12 bulan bagi menguji keupayaan sistem mengesan kehadiran kanak-kanak di dalam kabin.

    Protokol ASEAN NCAP 2026-2030 uji AEB motosikal, sistem pengesanan kanak-kanak diberi lebih perhatian

    Selain itu, ujian pelanggaran dari hadapan dan sisi akan menggunakan patung Q6 dan Q10 yang mewakili kanak-kanak berusia enam dan 10 tahun, menggantikan patung ujian terdahulu yang mewakili kanak-kanak berusia 18 bulan dan tiga tahun.

    Perubahan tersebut membolehkan jumlah markah maksimum bagi kategori COP meningkat daripada 51 kepada 54 mata. Dalam pengiraan penarafan keseluruhan, kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (Adult Occupant Protection, AOP) menyumbang 40% daripada jumlah markah, manakala COP, Keselamatan Penunggang Motosikal dan Safety Assist masing-masing menyumbang 20%. Kategori AOP secara umumnya dikekalkan, namun menggunakan patung ujian lebih baharu dan kelajuan ujian pelanggaran sisi ditingkatkan daripada 50 kepada 60 km/j. Jumlah markah maksimum bagi kategori ini kekal sebanyak 32 mata.

    Untuk rekod, ini merupakan semakan ketiga terhadap protokol penilaian ASEAN NCAP sejak ia diperkenalkan pada 2012. Pada peringkat awal, penilaian hanya merangkumi perlindungan penumpang dewasa dan kanak-kanak, selain ujian pelanggaran sisi yang ketika itu bersifat pilihan. Bermula 2017, ujian pelanggaran sisi diwajibkan dan penilaian turut merangkumi ciri keselamatan seperti sistem brek antikunci (ABS), kawalan kestabilan elektronik, peringatan tali pinggang keledar serta pemantauan titik buta.

    Protokol ASEAN NCAP 2026-2030 uji AEB motosikal, sistem pengesanan kanak-kanak diberi lebih perhatian

    Pada 2021, ASEAN NCAP melaksanakan perubahan terbesar menerusi pengenalan ujian AEB dan kategori khusus Keselamatan Motosikal. Kini, protokol 2026-2030 meneruskan hala tuju tersebut dengan memberi lebih perhatian kepada teknologi bantuan pemandu yang mampu mengesan pengguna jalan raya lebih terdedah kepada risiko, khususnya penunggang motosikal.

    Dalam acara sama, ASEAN NCAP turut memperlihatkan hala tuju awal bagi protokol penilaian 2031-2035. Fokus seterusnya adalah beralih daripada sekadar mengurangkan kesan atau mengelakkan kemalangan kepada membantu pemandu menghindari situasi berbahaya sebelum berlakunya pelanggaran. Antara perancangannya termasuk menggabungkan penilaian AOP dan COP di bawah satu kategori baharu dinamakan Crash Protection, manakala kategori Safety Assist akan dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu Safe Driving dan Crash Avoidance.

    Bagi merealisasikan perancangan tersebut, ASEAN NCAP kini mendapatkan cadangan daripada pengeluar kenderaan dan rakan penyelidikan akademik menerusi geran penyelidikan Anchor VI. Inisiatif ini bertujuan mengumpulkan bukti serta maklumat berkaitan ciri keselamatan dan keadaan jalan raya di rantau ASEAN, supaya protokol penilaian akan datang dapat dibangunkan berdasarkan keperluan sebenar pengguna jalan raya di rantau ini.

     
  • Anthony Loke tampil di perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan buat kali terakhir

    Anthony Loke tampil di perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan buat kali terakhir

    Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, hari ini tampil di pejabat Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu buat kali terakhir susulan peletakan jawatannya yang berkuat kuasa malam tadi.

    Beliau turut menghadiri program Cahaya Madani anjuran kementerian itu bersempena sambutan perayaan Deepavali, yang menandakan antara penampilan terakhirnya bersama warga kerja MOT, laporan New Straits Times.

    Ketibaan beliau ke majlis tersebut disambut oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha MOT, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.

    Peletakan jawatannya berkuat kuasa semalam sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah. Beliau sebelum ini mengumumkan peletakan jawatannya pada 19 September dan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September.

    Dalam pengumumannya semalam, Loke merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat dalam kabinet sejak Disember 2022.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi serta seluruh warga kerja kementerian atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerajui kementerian berkenaan.

     
  • iCaur buka enam lagi pusat 3S dan 4S baharu di KL North, Setia Alam, Rawang, Kluang, Miri dan Kuching

    Bagi memperluaskan lagi rangkaiannya dalam pasaran automotif tempatan, iCaur Malaysia telah membuka lima lagi pusat 3S dan sebuah pusat 4S baharu yang terletak di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sarawak. Sekaligus menambahkan lagi jumlah keseluruhan pusat jualannya di seluruh negara kini mencecah 28 lokasi.

    Pusat 3S yang baru dibuka ini ialah iCaur KL North (kendalian Moda Garage Sdn Bhd), iCaur Setia Alam (CBHT Motozoom Sdn Bhd), iCaur Kluang (MHG Garage Sdn Bhd), iCaur Miri (MP Advanced Automotive Sdn Bhd) dan iCaur Kuching (Ghee Hwa Motorpol Sdn Bhd), manakala iCaur Rawang (Autoraya Utara Sdn Bhd) pula berfungsi sebagai pusat 4S.

    Menurut iCaur Malaysia, dengan menambah lebih banyak cawangan 3S dan 4S ini, ia membolehkan lebih ramai pelanggan mengenali rangkaian SUV elektrik iCaur yang tampil dengan rekaan berkotak berkonsepkan retro, selain menikmati akses lebih mudah kepada perkhidmatan selepas jualan. Perkembangan ini juga mencerminkan komitmen jangka panjang iCaur terhadap pasaran Malaysia.

    Seperti mana pusat 3S dan 4S yang lain, iCaur masih mengetengahkan konsep Born to Play yang menjadi identitinya, dengan pelbagai kemudahan yang menggabungkan elemen automotif dan gaya hidup. Antaranya menyediakan ruang santai pelanggan yang dilengkapi konsol permainan video dan sajian ringan, ruang khas untuk pengubahsuaian kenderaan, pilihan balutan badan kenderaan (car wrapping) serta paparan kelengkapan perkhemahan yang memberi inspirasi kepada pemilik untuk menyesuaikan SUV mereka mengikut cita rasa dan gaya hidup masing-masing.

    Setiap pusat turut menawarkan kemudahan jualan dan perkhidmatan selepas jualan di bawah satu bumbung, membolehkan pelanggan melihat sendiri model-model iCaur, membuat pandu uji serta mendapatkan perkhidmatan servis, penyelenggaraan dan alat ganti.

    Bagi iCaur Rawang, ia beroperasi sebagai pusat 4S yang turut menyediakan perkhidmatan baik pulih kenderaan dan mengecat selain merupakan pusat sehentian automotif menyeluruh dalam memberi khidmat selepas jualan.

    Pengarah Kanan iCaur Malaysia, Francis Chin, berkata peluasan rangkaian itu membuktikan komitmen syarikat untuk terus berkembang seiring dengan pertambahan pelanggan, di samping menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada jenama berkenaan.

    “Bagi kami, peluasan rangkaian ini bukan sekadar menambah bilangan bilik pameran. Apa yang lebih penting ialah memastikan pelanggan di seluruh Malaysia yakin bahawa iCaur sentiasa bersedia memberikan sokongan dan perkhidmatan yang mereka perlukan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

    “Perkembangan pesat rangkaian kami juga tidak mungkin dicapai tanpa kepercayaan dan sokongan rakyat Malaysia, dan kami amat menghargainya. Seiring dengan meningkatnya jumlah pelanggan, kami akan terus memperluas kehadiran iCaur ke lebih banyak lokasi. Kami mahu berada dekat dengan pelanggan dan membalas kesetiaan mereka dengan menyediakan akses yang lebih mudah kepada kemudahan jualan serta perkhidmatan selepas jualan,” katanya.

    Pembukaan pusat 3S dan 4S baharu ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan iCaur untuk membina rangkaian jualan dan perkhidmatan yang lebih menyeluruh, di samping menawarkan pengalaman pemilikan yang berkualiti dan menyeronokkan.

     
  • JPJ terima pengiktirafan The Malaysia Book of Records atas kejayaan siri nombor pendaftaran khas ‘H’

    JPJ terima pengiktirafan The Malaysia Book of Records atas kejayaan siri nombor pendaftaran khas ‘H’

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakar sejarah apabila kejayaan hasil Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri ‘H’ sebanyak RM91.2 juta menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Highest Cumulative Bid Value for a Vehicle Registration Number Series.

    Kejayaan ini dicapai menerusi platform JPJeBid yang melibatkan penyertaan seramai 34,664 pembida, dengan 8,223 nombor pendaftaran berjaya dibida serta bidaan tertinggi mencapai RM10.77 juta bagi nombor H1.

    “Lebih bermakna, hasil NPI Siri ‘H’ turut dimanfaatkan melalui Bantuan Khas Kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara.

    “Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen JPJ dalam memperkasa inovasi digital, meningkatkan penjanaan hasil negara serta memastikan manfaatnya dikembalikan kepada rakyat,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Bidaan bagi siri H ini dilaksanakan sepenuhnya melalui sistem JPJeBid bertemakan Hari Malaysia bermula 16 hingga 20 September 2026 itu turut memperoleh sejumlah RM1,940,100 bagi fi perkhidmatan. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (yang telah meletak jawatan serta merta semalam), turut mengumumkan bahawa kerajaan menggunakan sebahagian daripada hasil tersebut untuk membantu kelompok pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negara.

     
  • KTM 450 RC didedah – enjin dua silinder, single-sided swingarm, mula produksi hujung tahun 2027

    KTM 450 RC didedah – enjin dua silinder, single-sided swingarm, mula produksi hujung tahun 2027

    KTM membuat kejutan di pameran EICMA 2026 di Milan, Itali menerusi pengenalan KTM 450 RC 2028, sebuah motosikal supersport baru yang menggunakan enjin dua silinder. Model ini dibangunkan untuk bersaing dalam segmen motosikal sport berkapasiti sederhana, sekaligus memperluaskan pilihan dalam keluarga RC keluaran pengeluar dari Austria itu.

    Dinamakan sebagai model tahun 2028, KTM 450 RC dirancang untuk memasuki fasa pengeluaran pada penghujung 2027. Motosikal ini turut membawa pendekatan kejuruteraan KTM tersendiri, khususnya dari segi tetapan casis, talaan suspensi dan karakter pengendalian bagi menawarkan pengalaman tunggangan yang lebih sporty.

    Dari segi reka bentuk, KTM 450 RC menampilkan imej sebuah motosikal supersport moden dengan beberapa elemen yang mengingatkan kepada model lebih besar dalam keluarga RC, termasuk KTM 990 RC R. Antara ciri yang paling menonjol ialah penggunaan lengan ayun belakang single-sided, yang bukan sahaja memberikan penampilan berbeza, malah memperlihatkan fokus KTM terhadap reka bentuk casis model ini.

    KTM 450 RC didedah – enjin dua silinder, single-sided swingarm, mula produksi hujung tahun 2027

    Bagi sistem suspensi, model ini menggunakan fork USD WP APEX berdiameter 43 mm di bahagian hadapan yang boleh dilaraskan untuk mampatan dan lantunan. Di bahagian belakang pula, penyerap hentak tunggal WP APEX menawarkan pelarasan prabeban dan lantunan. Kedua-dua komponen ini dipadankan dengan lengan ayun single-sided bagi memberikan kestabilan serta maklum balas pengendalian yang lebih baik.

    Sistem brek menggunakan cakera tunggal 320 mm pada roda hadapan, yang dipadankan dengan angkup WP empat piston jenis radial. Menurut KTM, penggunaan satu cakera hadapan membantu mengurangkan unsprung weight, sekaligus menyumbang kepada karakter pengendalian motosikal. KTM 450 RC turut dilengkapi tayar Pirelli Diablo Rosso 4 sebagai kelengkapan standard.

    Dari aspek elektronik, KTM 450 RC dilengkapi pelbagai sistem bantuan penunggang yang lazimnya ditawarkan pada motosikal berkapasiti lebih besar. Antaranya ialah Cornering ABS yang mengambil kira sudut kecondongan motosikal ketika membrek, sistem kawalan cengkaman MTC serta ABS dual-channel dengan pilihan mod Road dan Supermoto. Beberapa pilihan mod tunggangan turut disediakan bagi membolehkan karakter motosikal disesuaikan mengikut keadaan jalan dan keperluan penunggang.

    KTM 450 RC didedah – enjin dua silinder, single-sided swingarm, mula produksi hujung tahun 2027

    Kesemua tetapan sistem elektronik itu boleh diakses menerusi skrin TFT berwarna berukuran lima inci. Selain itu, KTM turut menyediakan dua jenis soket pengecas, iaitu USB-A dan USB-C, bagi memudahkan penunggang mengecas peranti elektronik ketika dalam perjalanan.

    Untuk makluman, KTM sebenarnya telah memperkenalkan model 450 RC untuk pasaran China lebih awal pada April 2026. Versi berkenaan menggunakan enjin dua silinder selari DOHC penyejukan cecair berkapasiti 449.5 cc yang dibangunkan berasaskan platform CFMoto 450SR-S. Bagi versi China itu, enjin berkenaan menghasilkan kuasa sekitar 56 hp, namun KTM masih belum mengesahkan sama ada spesifikasi tersebut akan dikekalkan sepenuhnya untuk model 2028 yang dipamerkan di EICMA.

    Buat masa ini, KTM masih belum mendedahkan spesifikasi penuh enjin bagi model 2028, termasuk jumlah kuasa, tork maksimum serta berat keseluruhan motosikal. Harga jualan dan pasaran yang bakal menerima model ini juga belum diumumkan. Maklumat lanjut mengenai spesifikasi teknikal serta ketersediaannya dijangka diumumkan lebih hampir kepada tarikh pengeluaran yang dirancang pada penghujung 2027.

     
  • Proton S70 RS – rekaan diperincikan; gril Pulse Matrix, Velocity Line, rim Geostar, Commander Dial, Techshifter

    Proton S70 RS – rekaan diperincikan; gril Pulse Matrix, Velocity Line, rim Geostar, Commander Dial, Techshifter

    Seperti yang diberitahu minggu lalu, malam ini Proton telah bersiaran untuk mendedahkan lagi beberapa perincian berkenaan model kemaskini sedan segmen-C Proton S70 RS facelift 2027. Siaran langsung berkenaan telah pun bermula pada pukul 8 malam tadi, dan ia sebenarnya adalah penerangan dari ketua pereka Proton, Azlan Othman berkenaan rekaan-rekaan baharu yang diterapkan pada model tersebut, dengan ‘persembahan ala-pertunjukan fesyen’ yang dibuat di kilang Proton Tanjong Malim.

    Azlan mulakan pada bahagian hadapan, di mana muka S70 RS ini menerima gril hadapan baharu yang lebih besar dari sebelum ini. Tiada lagi bezel yang diispirasikan dari busur panah, manakala elemen gril dengan susunan dash kemasan krom ini digelar sebagai Pulse Matrix Grille, yang masih direka berasaskan corak signatur Infinite Weave Proton. Beliau menyatakan bahawa corak Pulse Matrix berkenaan diispirasikan dari corak visual ECG, yang memberikan rujukan terhadap nadi, degupan jantung dan tahap aletik seseorang.

    Manakala huruf ‘S’ berwarna merah pada gril berkenaan pula, Azlan menjelaskan bahawa ia digelar sebagai ‘Spark S’. Ia terletak di bahagian atas kanan gril berkenaan sebagai simbol “letusan (spark) yang memulakan degupan” tersebut. Tiada penerangan dibuat pada bampar hadapan, di mana rekaan yang digunakan adalah sama sepenuhnya dengan bampar pada Geely Emgrand facelift yang baru didedahkan di China minggu lalu.

    Beralih ke sisi, Azlan menyifatkan profil badan S70 ini diserlahkan oleh Velocity Line atau garisan halaju yang dibentuk menerusi serlahan jalur merah pada skirt sisi di bawah. Warna merah pada jalur tersebut digelar sebagai Adrenaline Red, yang merupakan merah yang sama pada bahagian-bahagian lain pada kemasan luaran S70 RS ini.

    Manakala set rim 17-inci baharu yang dipadankan pada S70 RS ini digelar sebagai rim Geostar, di mana rekaannya menurut Azlan diinspirasikan dari geometri Islamik dan ia turut menyerlahkan angkup brek berwarna merah di sebaliknya. Rim berkenaan dibalut dengan tayar GitiComfort F22 bersaiz 205/50R17.

    Di belakang, lampu belakang nampaknya masih sama tanpa sebarang perubahan. Namun ia berikan bampar belakang baharu yang lebih sporty menampilkan liang udara yang berdiri sendeng pada kedua-dua sudut, panel diffuser kemasan hitam dengan sirip-sirip lebih agresif, serta menyerlah dua tip ekzos berkembar seperti Proton X50. Ia juga turut menerima lip spoiler yang dipadankan pada penutup but.

    Serlahan Adrenalin Red diteruskan sebaik sahaja pintu dibuka, bermula dari scuff plate Spark S pada bendul pintu, kemudian ‘merebak’ ke bahagian kabin termasuk pada papan pemuka, upholsteri tempat duduk, panel dalaman pintu, konsol tengah, serlahan-serlahan jahitan benang dan juga tali pinggang keledar. Azlan menyatakan kabin yang dipenuhi dengan kemasan-kemasan merah ini dikenali sebagai Redline Cockpit.

    Terdapat lampu suasana kabin yang dipanggil sebagai Pulse Light pada papan pemuka sebelah penumpang yang menampilkan grafik degupan jantung. Tiada lagi tombol gear konvensional dan juga suis brek parkir elektrik pada konsol tengah, digantikan dengan tuil gear pada kolum stereng yang Azlan panggil sebagai Techshifter. Bahagian asal tombol gear berkenaan digantikan dengan satu panel suis fizikal untuk kawalan sistem pendingin hawa dan lampu isyarat kecemasan, serta satu suis putar yang digelar sebagai ‘Commander Dial’ seperti pada EV Proton eMas 7.

    Seperti yang telah didedahkan sebelum ini, S70 RS menerima perubahan drastik pada bahagian papan pemuka yang direka semula. Ia menampilkan rekaan lebih minimalis seperti pada X50 facelift, khususnya dengan skrin infotainmen tengah yang lebih besar, bersama paparan instrumen dengan skrin nipis ala-EV tanpa perumah dan bezel, serta konsol tengah seakan diambil dari Geely Emgrand generasi kelima.

    Akhir sekali Azlan mendedahkan bahawa S70 RS ini akan ditawarkan dengan lima warna badan iaitu Quartz Black, Space Grey, Snow White, Marine Blue, dan Armour Silver. Perincian teknikal lain dan juga maklumat berkenaan varian serta harga masih belum dinyatakan. Nampaknya kita kena tunggulah sedikit masa lagi.

    GALERI: Imej rasmi Proton S70 RS 2027

     
  • GWM Ora 5 Plus tampil pertama kali di Thailand — lebih panjang dan luas dari Ora 5; varian 1.5T hibrid, EV

    GWM Ora 5 Plus tampil pertama kali di Thailand — lebih panjang dan luas dari Ora 5; varian 1.5T hibrid, EV

    Susulan daripada pratonton yang dilakukan minggu lalu, GWM Ora 5 Plus kini telah membuat penampilan sulung peringkat global di Thailand. Ora 5 Plus adalah versi dengan saiz lebih besar bagi model Ora 5 — model yang telah mula dijual di Thailand pada bulan Mac tahun ini dan bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

    Ora 5 Plus diperkenalkan dengan pilihan sistem janaan kuasa EV dan Hi2 HEV. Varian Hi2 HEV menggabungkan enjin petrol 1.5 liter empat-silinder sebaris dengan pengecas turbo serta sebuah motor elektrik. Kedua-duanya dilancarkan di Thailand dalam satu spesifikasi sahaja, iaitu varian Ultra.

    Dari segi saiz, Ora 5 Plus mempunyai ukuran 4,758 mm panjang, 1,833 mm lebar, dan 1,630 mm tinggi dengan jarak roda 2,720 mm, tanpa mengira jenis rangkaian kuasanya. Sebagai perbandingan, Ora 5 mempunyai ukuran panjang 4,471 mm, lebar 1,833 mm, dan tinggi 1,641 mm, dengan jarak roda yang sama iaitu 2,720 mm, serta lebar jejak roda hadapan dan belakang masing-masing 1,583 mm dan 1,577 mm.

    GWM Ora 5 Plus tampil pertama kali di Thailand — lebih panjang dan luas dari Ora 5; varian 1.5T hibrid, EV

    Ini menjadikan Ora 5 Plus 287 mm lebih panjang dan mempunyai lebar yang sama, tetapi 11 mm lebih rendah berbanding Ora 5. Kelegaan tanah bagi Ora 5 Plus pula ialah 175 mm, sama seperti Ora 5. Pertambahan panjang Ora 5 Plus berbanding Ora 5 memberi manfaat kepada ruang kargo — menurut GWM, Ora 5 Plus menawarkan kapasiti 495 liter dengan tempat duduk belakang ditegakkan, berbanding 272 liter untuk Ora 5.

    Varian kenderaan elektrik (EV) bagi Ora 5 Plus dilengkapi dengan motor segerak magnet kekal berkuasa 204 PS/260 Nm yang memacu roda hadapan. Motor ini mendapat tenaga daripada bateri lithium-ion berkapasiti 58.3 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 520 km mengikut kitaran NEDC, atau sekitar 442 km berdasarkan piawaian ujian WLTP. Pengecasan pantas disokong sehingga 120 kW untuk arus terus (DC) dan pengecasan biasa dengan kapasiti 6.6 kW untuk arus ulang-alik (AC). Fungsi vehicle-to-load (V2L) pula mampu membekalkan kuasa sehingga 6 kW.

    Model Hi2 HEV pula dilengkapi enjin petrol pengecas turbo 1,499 cc. Enjin ini mampu menghasilkan 150 PS pada julat 5,500 rpm hingga 6,000 rpm, serta tork 240 Nm pada julat 1,800 rpm hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 190 PS/236 Nm yang mendapat tenaga daripada bateri 1.09 kWh, menghasilkan output gabungan sebanyak 223 PS dan 476 Nm.

    Kedua-dua sistem pacuan elektrik bateri dan hibrid ini mempunyai angka output yang sama dengan varian sepadan untuk model Ora 5. Bagi varian hibrid, kapasiti tangki bahan apinya ialah 55 liter.

    Sistem suspensi Ora 5 Plus menggunakan topang MacPherson di bahagian hadapan dan jenis multi-link di bahagian belakang—sama seperti yang terdapat pada Ora 5, yang juga berkongsi spesifikasi serupa dengan model Good Cat. Kenderaan ini menggunakan rim aloi 18-inci yang dibaluti tayar bersaiz 225/60R18, serta dilengkapi dengan kit pembaikan tayar.

    Bagi kedua-dua varian EV dan hibrid, Ora 5 Plus dilengkapi dengan sistem ADAS yang sama, merangkumi amaran perlanggaran hadapan dan belakang, amaran pintu dibuka, bantuan penukaran lorong, amaran trafik lintasan hadapan dan belakang, amaran keluar lorong, pengecaman papan tanda trafik, pengesanan titik buta serta fungsi amaran had laju.

    Ciri keselamatan aktif tambahan pada Ora 5 Plus termasuk ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki dan kawalan menuruni bukit, di samping peringatan tali pinggang keledar hadapan serta fungsi panggilan kecemasan. Bantuan visual pula merangkumi sistem kamera 360-darjah dengan paparan “badan lutsinar”, manakala ciri keselamatan pasif merangkumi beg udara hadapan, sisi, dan jenis tirai, dengan jumlah keseluruhan enam-beg udara.

    GWM Ora 5 Plus tampil pertama kali di Thailand — lebih panjang dan luas dari Ora 5; varian 1.5T hibrid, EV

    Empat mod pemanduan ditawarkan untuk varian EV dan hibrid Ora 5 Plus, yang mana kedua-duanya mempunyai mod Eco, Normal, dan Sport. Bagi mod keempat, varian EV dilengkapi dengan mod “Well-being”, manakala varian hibrid pula dilengkapi dengan mod Snow.

    Menurut GWM, casis Ora 5 Plus telah ditala bagi peringkat antarabangsa untuk memberikan pengendalian yang seimbang, kestabilan serta kawalan yang baik. Sementara itu, sistem kawalan brek bersepadunya dikatakan mampu memberikan respons yang lebih pantas, kawalan yang lebih lancar serta pemulihan tenaga yang lebih cekap.

    Kelengkapan luaran yang didatangkan sebagai ciri standard bagi kedua-dua varian EV dan hibrid Ora 5 Plus merangkumi lampu hadapan LED automatik dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED, lampu belakang LED berkelebaran penuh, bumbung suria panoramik dengan penutup yang dikendalikan secara elektrik, pintu but berkuasa, serta cermin sisi yang boleh dilipat secara elektrik.

    GWM Ora 5 Plus tampil pertama kali di Thailand — lebih panjang dan luas dari Ora 5; varian 1.5T hibrid, EV

    Di dalam, kedua-dua varian dilengkapi dengan tempat duduk pemandu boleh laras elektrik enam-hala yang mempunyai fungsi memori tiga posisi serta pengudaraan, manakala tempat duduk penumpang hadapan pula menawarkan pelarasan elektrik empat-hala dan ciri pengudaraan. Tempat duduknya dibaluti dengan kulit sintetik, sementara stereng pelbagai fungsi dipadankan dengan kolum stereng yang boleh dilaraskan dalam empat arah.

    Sistem infotainmen dikendalikan melalui skrin sentuh bersaiz 15.6-inci, manakala pemandu disajikan dengan paparan digital bersaiz 10.25-inci. Sistem audio pula terdiri daripada sembilan-pembesar suara, dengan kawalan suara yang menyokong arahan dalam bahasa Thai dan bahasa Inggeris. Kemas kini perisian pula disediakan melalui kaedah over-the-air (OTA).

    Sambungan telefon pintar disediakan melalui Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, manakala pengecasan disokong oleh pad pengecas tanpa wayar berkapasiti 50 watt. Turut disediakan ialah satu port USB-A dan satu port USB-C di barisan hadapan, satu port USB-C di barisan kedua, serta satu port USB-A tambahan untuk membekalkan kuasa kepada kamera dashcam.

    GWM Ora 5 Plus tampil pertama kali di Thailand — lebih panjang dan luas dari Ora 5; varian 1.5T hibrid, EV

    Bagi pilihan warna luaran, Ora 5 Plus ditawarkan dalam warna Ebony Black, Hamilton White, dan Mountain Grey, dengan kemasan dalaman berwarna Dark Grey. Varian kenderaan elektrik (EV) pula menampilkan pilihan warna tambahan, iaitu warna luaran Emerald Green dengan warna dalaman Brown Beige.

    Walaupun GWM Ora 5 Plus baru sahaja dilancarkan di Thailand, maklumat mengenai pemasangan tempatan (CKD) bagi model jenis station wagon yang berasaskan platform Ora 5 telah pun muncul lebih awal. Perkara ini dinyatakan semasa majlis pelancaran pengeluaran perdana bagi model Wey G9 HEV dan Ora 5 HEV di kilang EP Manufacturing (EPMB) di Pegoh, Melaka, minggu lalu.

    “Senibina platform umum termaju (oleh GWM Ora 5 SUV) membuka peluang untuk pembangunan model-model lain. Kami berharap GWM akan memberikan kepercayaan kepada kilang Pegoh untuk menghasilkan varian-varian lain berasaskan platform ini, mungkin termasuk model sedan dan station wagon,” ujar Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah, ketika majlis tersebut. Adakah mungkin kita juga akan menerima Ora 5 Plus di Malaysia sebagai model pemasangan tempatan (CKD)?

     
  • Proton i-HEV nama rasmi unit rangkaian kuasa AMA02/ Saga Cross/X30 Hybrid; motor elektrik 163 PS/220 Nm!

    Proton i-HEV nama rasmi unit rangkaian kuasa AMA02/ Saga Cross/X30 Hybrid; motor elektrik 163 PS/220 Nm!

    Proton hari ini mengesahkan bahawa unit rangkaian kuasa hibrid terbaharunya yang dikenali sebagai FutureMotion HEV di KLIMS 2026 pada Jun, kemudian digelar sebagai Proton HEV di acara Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2026 pada Ogos, kini dikenali sebagai i-HEV untuk versi produksi, sama seperti nama yang digunakan oleh Geely.

    Proton juga sekali lagi mengesahkan bahawa unit rangkaian kuasa i-HEV ini akan membuat penampilan pertamanya pada model baharu Proton yang akan dilancarkan tidak lama lagi, di mana buat masa sekarang ia hanya dikenali dengan kod AMA02, iaitu sebuah SUV kompak yang diasaskan dari platform Advance Modular Architecture (AMA) yang sama seperti pada Saga MC3, dan ia dijangka bakal dikenali dengan nama Proton Saga Cross atau Proton X30.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Proton turut mendedahkan beberapa angka rasmi untuk unit rangkaian kuasa i-HEV tersebut. Secara asasnya, unit rangkaian kuasa HEV Proton ini menggandingkan sebuah enjin petrol dan juga sebuah transmisi khusus hibrid (DHT) yang merangkumi dua buah motor elektrik. Untuk sistem ini, roda bukan hanya digerakkan oleh motor elektrik, sebaliknya ia boleh dibantu oleh enjin petrol. Malah dalam situasi tertentu roda hanya dipacu oleh enjin petrol atau dipacu sepenuhnya dengan motor elektrik sementara enjin petrol dimatikan terus.

    Proton i-HEV nama rasmi unit rangkaian kuasa AMA02/ Saga Cross/X30 Hybrid; motor elektrik 163 PS/220 Nm!

    Jadi boleh dikatakan ia berfungsi hampir sama seperti unit rangkaian kuasa pada Proton eMas 7 PHEV, tetapi dengan bateri yang lebih kecil dan ia tidak mempunyai port pengecas seperti EV. Di China, sistem ini dikenali sebagai unit rangkaian kuasa i-HEV Geely, dan sudahpun dibekalkan kepada beberapa model produksi Geely sejak tahun lalu.

    Untuk enjin petrol, unit rangkaian kuasa ini menggunakan enjin 1.5 liter dari keluarga BHE15 dalam varian NA. Walaupun dari keluarga yang sama dengan enjin 1.5L NA pada Saga MC3, enjin untuk sistem HEV yang dikenali sebagai enjin khusus untuk hibrid (Dedicated Hybrid Engine atau DHE) ini menampilkan beberapa kelainan, dan ia juga lebih mirip kepada enjin 1.5L NA yang dipadankan pada eMas 7 PHEV.

    Ia menampilkan blok enjin yang sedikit berbeza, dan berfungsi sepenuhnya sebagai enjin kitaran Atkinson serta diberikan hanya satu mekanisma VVT, berbanding enjin pada Saga yang boleh berubah dari kitaran Otto biasa kepada kitaran Atkinson mengikut keperluan dan diberikan sistem Dual VVT. Kebuk pembakaran enjin ini direka agar boleh mencapai nisbah mampatan tinggi sehingga 14:1.

    Proton i-HEV nama rasmi unit rangkaian kuasa AMA02/ Saga Cross/X30 Hybrid; motor elektrik 163 PS/220 Nm!

    Selain dari menggunakan pam air elektrik seperti BHE15 pada Saga, enjin DHE ini juga tampil dengan alternator dan pemampat penghawa dingin yang digerakkan juga oleh kuasa elektrik. Mekanisma injap EGR juga dilihat berbeza berbanding enjin Saga MC3 di mana ia hadir dengan sistem penyejukan air bagi mengoptimumkan pembakaran dan mengurangkan kehilangan tenaga.

    Pam minyak pelincir juga berbeza di mana enjin DHE ini menerima pam jenis sesaran bervariasi, di mana ia akan mengepam minyak pelincir mengikut situasi dan keperluan.

    Proton mengesahkan bahawa enjin DHE ini menghasilkan kuasa 111 PS dan tork maksima 136 Nm – sedikit lebih rendah dari enjin Saga MC3 yang menghasilkan 120 PS/150 Nm, dan ia adalah sama dengan angka kuasa pada enjin Geely Preface i-HEV di China. Enjin ini juga menampilkan nisbah mampatan setinggi 14:1 dan keberkesanan haba pada kadar 46.% (48.41% untuk Preface i-HEV) sekiranya menggunakan minyak enjin 5W-30.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi DHT satu kelajuan 11-dalam-1, dan seperti yang disebut tadi terdapat dua buah motor elektrik dimuatkan dalam unit DHT ini. Motor pertama yang lebih kecil dikenali sebagai motor P1, di mana motor ini berfungsi sebagai stater-generator iaitu untuk menghidupkan enjin petrol dengan lancar tanpa terasa sebarang getaran, dan juga untuk menjana semula tenaga elektrik untuk disimpan ke dalam bateri hibrid ketika kereta membrek atau nyahpecut.

    Proton i-HEV nama rasmi unit rangkaian kuasa AMA02/ Saga Cross/X30 Hybrid; motor elektrik 163 PS/220 Nm!

    Manakala untuk motor utama dalam unit DHT unit rangkaian kuasa HEV berkenaan dikenali sebagai motor P3. Motor ini boleh memacu terus roda hadapan, dan dengan klac dan set gear yang disediakan, ia turut boleh bersambung dengan enjin petrol untuk memacu roda bersama. Proton hari ini mengesahkan bahawa motor P3 berkenaan menghasilkan kuasa 163 PS dan tork maksima 220 Nm.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini juga, Proton mengesahkan bahawa unit rangkaian kuasa i-HEV ini dibekalkan dengan bateri 1.38 kWj. Ia merupakan sistem hibrid asli, sebab itulah ia menggunakan bateri dengan kapasiti kecil, dan tidak memerlukan port pengecas seperti EV mahupun plug-in hybrid (PHEV).

    Unit rangkaian kuasa i-HEV Proton ini menampilkan empat mod pacuan (EV, Siri, Selari dan Pacuan Terus) yang akan berubah secara automotik berdasarkan kelajuan kenderaan, keperluan kuasa serta keadaan bateri di mana kesemuanya dikawal oleh Modul Kawalan Kuasa (PCM).

    Dalam Mod EV, bateri membekalkan tenaga kepada motor pacuan dan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya apabila keadaan mengizinkan. Dalam Mod Siri pula, ia akan menggunakan enjin petrol untuk menjana elektrik, sementara motor elektrik memacu roda. Manakala dalam Mod Selari, enjin dan motor pacuan bekerja bersama untuk menggerakkan kenderaan. Bagi Mod Pacuan Terus, ia membolehkan enjin memacu roda secara mekanikal apabila kiraan mendapati kaedah itu lebih cekap, contohnya seperti ketika bergerak pada kelajuan malar.

    Proton i-HEV nama rasmi unit rangkaian kuasa AMA02/ Saga Cross/X30 Hybrid; motor elektrik 163 PS/220 Nm!

    “Pembeli kereta di Malaysia mahukan teknologi yang memudahkan perjalanan harian mereka. Melalui i-HEV, kami menggabungkan penjimatan bahan api, prestasi responsif dan kemudahan sistem hibrid yang tidak memerlukan pengecasan luaran. Sama ada ketika mengharungi kesesakan bandar atau pulang ke kampung semasa cuti, sistem ini mengurus penggunaan kuasa petrol dan elektrik supaya pemandu boleh memberi tumpuan kepada perjalanan,” kata Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, naib CEO Proton.

    Seperti yang disebut sebelum ini, DHE, DHT dan juga unit pacuan elektrik (EDU) unit rangkaian kuasa i-HEV Proton ini akan dipasang sepenuhnya di kilang unit rangkaian kuasa Proton di Tanjong Malim

    “Melalui sistem hibrid pintar i-HEV, tumpuan PROTON adalah untuk menawarkan manfaat yang boleh difahami dan dirasai sendiri oleh pelanggan. Pada masa yang sama, pembangunan keupayaan tempatan dalam transmisi hibrid dan unit pacuan elektrik membantu membina kemahiran serta asas industri yang diperlukan Malaysia untuk menjadi peserta aktif dan hab serantau bagi pengeluaran serta pembangunan teknologi kenderaan masa hadapan,” tambah Dato Rashid.

    Sebelum ini Dato Rashid turut ada menyatakan bahawa Proton akan melancarkan dua lagi model sebelum berakhirnya tahun ini. Salah satu daripadanya mungkin Proton S70 RS yang telah didedahkan minggu lalu, dan satu lagi pastinya Proton Saga Cross/X30 ini. Jadi tak lama lagi mungkin lebih banyak perincian berkenaannya akan diumumkan oleh Proton.

    GALERI: Foto-foto intipan Proton AMA02/Saga Cross/X30

     
  • Lexus ES350h Luxury di Malaysia — 2.5L hibrid jana 247 PS, rekaan baru, saiz lebih besar; RM366,888 atas jalan

    Lexus ES350h Luxury di Malaysia — 2.5L hibrid jana 247 PS, rekaan baru, saiz lebih besar; RM366,888 atas jalan

    Lexus ES 2027 telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada awal November. Model sedan generasi kelapan tersebut ditawarkan di sini hanya dalam satu varian, iaitu ES350h Luxury. Tiada varian petrol atau elektrik seperti di pasaran Thailand, Singapura dan Indonesia.

    Harga yang dikenakan untuk Lexus ES350h di Malaysia ialah RM366,888. Ia dijana oleh enjin A25A-FXE 2.5 liter petrol empat-silinder sebaris, yang menghasilkan sebanyak 189 PS pada 6,000 rpm dan tork 235 Nm antara 4,200 rpm hingga 5,000 rpm, dan digandingkan bersama sebuah motor elektrik dengan janaan 204 PS dan 270 Nm untuk menghasilkan output keseluruhan sistem sebanyak 247 PS.

    Ini membolehkannya memberikan prestasi pecutan dari 0–100 km/j dalam masa 7.7 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j. Kadar penggunaan bahan apinya pula ialah 4.4 liter bagi setiap 100 km, mengikut kitaran NEDC.

    Saiznya bagi model generasi baru ini juga semakin bertambah berbanding yang terdahulu. ES350h memiliki ukuran dimensi 5,140 mm panjang (165 mm lebih panjang berbanding model terdahulu), 1,920 mm lebar (+55 mm), 1,555 mm tinggi (+110 mm), serta jarak roda 2,950 mm (+80 mm).

    Lexus ES350h Luxury di Malaysia — 2.5L hibrid jana 247 PS, rekaan baru, saiz lebih besar; RM366,888 atas jalan

    Oleh itu, ES generasi kelapan ini kini menghampiri dimensi sedan flagship Lexus LS, yang mempunyai panjang 5,235 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,450 mm, dan jarak roda 3,125 mm.

    Ditunjuk buat pertama kali di Auto Shanghai pada tahun 2025, perubahan model menyeluruh bagi ES ini menampilkan anjakan ketara dari segi reka bentuknya, dengan mengambil inspirasi daripada konsep LF-ZC yang pernah dipamerkan di Japan Mobility Show 2023.

    Bahagian hadapannya yang berkonsepkan “spindle body” yang menampilkan lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk ‘L’ berkembar, manakala lampu utama disepadukan ke dalam sudut bampar hadapan yang berwarna hitam. Garis bumbungnya kini lebih landai ke belakang dalam gaya “fastback”; di bahagian belakang, terdapat lampu kombinasi yang nipis merentasi keseluruhan lebar kenderaan dengan nama Lexus di tengah-tengahnya, serta reka bentuk lampu berbentuk ‘L’ pada sudut bawah bampar belakang.

    Lexus ES350h Luxury di Malaysia — 2.5L hibrid jana 247 PS, rekaan baru, saiz lebih besar; RM366,888 atas jalan

    Rekaan papan pemuka ES juga telah dirombak; garis-garis melengkung pada model terdahulu kini digantikan dengan susun atur yang lebih ringkas. Skrin sentuh infotainmen bersaiz 14-inci digandingkan dengan panel instrumen digital 12.3-inci untuk pemandu, manakala kawalan bagi sistem pendingin hawa dan fungsi-fungsi kenderaan tertentu ditempatkan pada satu baris butang di bahagian tengah—butang-butang ini tidak kelihatan sehinggalah ia dinyalakan.

    Kelengkapan standard bagi ES350h Luxury merangkumi bumbung panoramik berkuasa, balutan tempat duduk kulit sintetik dengan liang, pedal penukar gear, sokongan untuk Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio Mark Levinson dengan 17-pembesar suara (termasuk subwoofer), lampu ambient 64-warna, pengecas wayarles Qi, sistem pendingin hawa zon berkembar, serta tempat duduk hadapan berkuasa yang dilengkapi fungsi pemanas dan pengudaraan.

    Model ini dipadankan dengan rim aloi 19-inci yang dibaluti tayar bersaiz 235/55R19, di samping pengelap cermin automatik dengan penderia hujan dan penutup but berkuasa.

    Dari segi kelengkapan keselamatan, ES350h Luxury dilengkapi dengan lapan-beg udara — termasuk untuk bahagian lutut penumpang hadapan — serta pelbagai sistem seperti VSC, ABS, kawalan cengkaman, bantuan brek, bantuan mula mendaki, dan banyak lagi. Turut disertakan ialah monitor paparan panoramik, sistem pemantauan tekanan tayar, dan cermin pandang belakang digital.

    Lexus ES baru ini juga dilengkapi dengan ciri Lexus Safety System+ 4.0 ADAS, yang merangkumi fungsi seperti amaran pra-perlanggar dengan brek kecemasan autonomi, bantuan pengesanan lorong, kawalan melayar radar dinamik julat penuh serta bantuan keluar lorong.

    Turut disertakan ialah sistem pemantauan titik buta, makluman ketika kenderaan menghampiri, bantuan papan tanda jalan, makluman kenderaan hadapan bergerak, amaran keluar kenderaan dengan selamat, Lexus Teammate Advanced Park (bantuan parkir automatik), dan bantuan selekoh aktif.

    Bagi pilihan warna luaran, model ini hadir dalam warna White Nova Glass Flake, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake, Sonic Iridium, dan Sou. Di Malaysia, Lexus ES350h Luxury ditawarkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, manakala komponen sistem pacuan hibridnya dilindungi oleh jaminan lapan-tahun.

     
  • Proton S70 RS facelift 2027 – hanya varian Premium dan Sportsline; Flagship X dengan sunroof digugurkan

    Proton S70 RS facelift 2027 – hanya varian Premium dan Sportsline; Flagship X dengan sunroof digugurkan

    Minggu lalu Proton baru sahaja mendedahkan rupa sebenar sedan segmen-C yang dikemaskini iaitu S70 RS. Mesti ramai yang beranggapan nama ‘RS’ ini hanya diberikan pada model facelift baharu ini dalam kemasan paling sporty seperti imej yang didedahkan tempoh hari kan? Sebenarnya ‘RS’ bukanlah varian, tetapi ia adalah nama khas untuk Proton S70 MC2 facelift dengan enjin turbo, di mana dengan rupa dan dan nama baharu ini ia diasingkan dengan S70 MC2 dengan enjin NA yang dikelaskan dalam saingan sedan segmen-B.

    Kami diberitahu oleh seorang jurucakap Proton, bagi Proton S70 RS 2027 ini ia akan ditawarkan dalam dua varian yang dikenali sebagai Proton S70 RS Premium, dan varian tertinggi dan paling sporty seperti didedahkan tempoh hari dikenali sebagai Proton S70 RS Sporstline. Jadi selepas ini Proton S70 hanya ada empat varian secara keseluruhan iaitu S70 i-GT Lite, S70 i-GT Prime, S70 RS Premium dan S70 RS Sportsline.

    Dengan ketiadaan varian Flagship X, maka tiada lagi mana-mana varian S70 yang dibekalkan dengan bumbung suria. Dan Proton sebelum ini sudahpun menggugurkan varian turbo ‘kosong’ S70 Executive ketika pengenalan varian Lite dan Prime September lalu.

    Rupa penuh Proton S70 RS Sportsline telahpun didedahkan minggu lalu. Ia menerima gril hadapan baharu yang lebih besar dengan elemen dash krom bersama logo ‘S’ yang bermaksud Sportsline berwarna merah diberikan pada sebelah kanan. Ia diserasikan dengan bampar baharu yang nampak sama dengan Geely Emgrand facelift yang baru sahaja diperkenalkan di China pada minggu lalu, menampilkan rekaan kemasan liang udara palsu berbentuk tulang dalam kemasan hitam berkilat. Apa yang berbeza, S70 RS Sportsline ini menerima jalur serlahan merah pada pemisah liang atas dan bawah untuk rupa lebih sporty.

    Proton S70 RS facelift 2027 – hanya varian Premium dan Sportsline; Flagship X dengan sunroof digugurkan

    Lampu LED projektor hadapan nampak lebih gelap dengan latar belakang berwarna hitam bagi memberikan rupa lebih garang, tetapi ia masih menggunakan lampu yang sama seperti versi MC1, dengan lampu isyarat membelok menggunakan mentol biasa dan bukan LED.

    Manakala pada bahagian sisi, yang paling menyerlah pastinya rim aloi 17-inci baharu dengan jejari seakan kelopak bunga dalam kemasan kelabu gelap yang dibalut dengan tayar GitiComfort F22 205/50R17, bersama angkup brek yang diserlahkan dengan layangan warna merah. Jalur kemasan bawah tingkap pintu krom pada model sebelum ini ditukar kepada kemasan hitam untuk S70 RS ini. Dan ia juga diberikan skirt sisi lebih labuh berwarna hitam berkilat dengan jalur kemasan merah dan juga logo ‘S’ juga berwarna merah.

    Di belakang, lampu belakang nampaknya masih sama tanpa sebarang perubahan. Namun ia berikan bampar belakang baharu yang lebih sporty menampilkan liang udara yang berdiri sendeng pada kedua-dua sudut, panel diffuser kemasan hitam dengan sirip-sirip lebih agresif, serta menyerlah dua tip ekzos berkembar seperti Proton X50. Varian Sportsline ini juga turut menerima lip spoiler yang dipadankan pada penutup but.

    Proton masih belum mendedahkan rupa bagi S70 RS Premium. Namun kita boleh bayangkan ia menerima bampar dan gril baharu yang sama, tetapi tidak didatangkan sekali dengan kit aero serta serlahan-serlahan merah pada badan varian berkenaan.

    Proton S70 RS facelift 2027 – hanya varian Premium dan Sportsline; Flagship X dengan sunroof digugurkan

    Bahagian dalaman S70 RS ini menerima perubahan drastik pada bahagian papan pemuka yang direka semula. Ia menampilkan rekaan lebih minimalis seperti pada X50 facelift, khususnya dengan skrin infotainmen tengah yang lebih besar, bersama paparan instrumen dengan skrin nipis ala-EV tanpa perumah dan bezel, serta konsol tengah seakan diambil dari Geely Emgrand generasi kelima.

    Tiada lagi tombol gear konvensional dan juga suis brek parkir elektrik sudah lagi tidak ada pada konsol tengah, digantikan dengan tuil gear pada kolum stereng. Bahagian tersebut digantikan dengan satu panel suis fizikal untuk kawalan sistem pendingin hawa dan lampu isyarat kecemasan, serta satu suis putar yang digelar sebagai ‘Commander Dial’ seperti pada EV Proton eMas 7.

    Pemegang cawan juga kini telah direka dengan susunan melintang, manakala ruang storan dan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar kini lebih besar dan direka tanpa slot kecil di atas. Ruang storang di bawah konsol tengah S70 ini masih dikekalkan. Papan pemuka baharu berkenaan menerima balutan kulit sentuhan lembut, yang turut diberikan pada konsol tengah, perehat tangan dan pemegang pintu.

    Untuk varian Sportsline, balutan-balutan tersebut diserlahkan dengan upholsteri berwarna merah untuk rupa lebih sporty. Ia juga diberikan serlahan jahitan benang merah termasuk pada roda stereng, serta kemasan papan pemuka sebelah penumpang berwarna hitam piano yang turut diberikan grafik seperti graf equalizer berwarna merah yang bernyala bersama lampu suasana kabin. Tali pinggang keledar merah turut menambah lagi imej sporty kabin S70 RS berkenaan.

    Tiada perincian teknikal lain yang diumumkan oleh Proton, selain dari mengesahkan bahawa versi RS ini masih menampilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat sama seperti versi MC1 biasa. Jadi sudah tentu ia masih lagi digerakkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 PS/290 Nm serta digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7-DCT, tanpa sebarang tingkat taraf prestasi.

    Proton S70 RS ini akan membuat penampilan dalam pertunjukan fesyen dengan kerjasama ‘seorang pereka fesyen tempatan terkenal’ pada 10 November 2026, jam 8.00 malam yang akan disiarkan secara langsung menerusi laman-laman sosial Proton. Lebih perincian berkenaan harga dan lain-lain dijangka akan diumum ketika itu.

     
  • CFMoto 550MT diperkenal – dua varian, enjin dua silinder 526 cc, 54 hp, tangki 23 liter, bakal jadi alternatif 450MT?

    CFMoto 550MT diperkenal – dua varian, enjin dua silinder 526 cc, 54 hp, tangki 23 liter, bakal jadi alternatif 450MT?

    CFMoto memperkenalkan motosikal adventure-touring terbarunya, CFMoto 550MT semasa pameran EICMA 2026 di Milan, Itali. Model baru ini hadir dengan kapasiti enjin lebih besar berbanding 450MT, selain dilengkapi ciri elektronik dan kelengkapan yang lebih sesuai untuk perjalanan jarak jauh. Jika dibawa ke Malaysia, 550MT berpotensi menjadi pilihan lebih berkuasa berbanding 450MT yang kini dijual pada harga RM28,888.

    CFMoto 550MT dikuasakan enjin dua silinder selari serba baru berkapasiti 526 cc dengan penyejukan cecair. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 54 hp pada 8,500 rpm dan tork 52 Nm pada 6,000 rpm, yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Quickshifter ditawarkan sebagai kelengkapan standard, manakala klac kawalan elektronik pula disediakan sebagai pilihan.

    Diletakkan di atas 450MT dalam rangkaian model MT, motosikal ini menyasarkan penunggang yang mahukan prestasi lebih baik ketika menunggang di lebuh raya serta keupayaan untuk perjalanan jarak jauh. Pada masa sama, CFMoto turut memperkenalkan 550MT-X yang lebih berorientasikan offroad pada pameran sama, dengan kedua-dua model menawarkan pendekatan berbeza dalam segmen adventure kelas pertengahan.

    CFMoto 550MT diperkenal – dua varian, enjin dua silinder 526 cc, 54 hp, tangki 23 liter, bakal jadi alternatif 450MT?

    Berbanding 550MT-X, model 550MT menggunakan konfigurasi roda yang lebih sesuai untuk kegunaan atas jalan raya, iaitu rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang. Sistem suspensinya menggunakan komponen KYB yang boleh dilaraskan sepenuhnya, manakala tempat duduk jenis dua bahagian menawarkan ketinggian boleh laras antara 800 mm hingga 820 mm bagi menyesuaikan posisi tunggangan mengikut keselesaan penunggang.

    Untuk kegunaan touring, 550MT dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 23 liter yang membolehkan penunggang menikmati jarak perjalanan lebih jauh antara hentian mengisi minyak. Kelengkapan elektronik pula merangkumi tiga mod tunggangan, cruise control, Cornering ABS dan kawalan cengkaman. Kedua-dua sistem keselamatan itu dikendalikan menerusi unit pengukuran inertia (IMU).

    Selain itu, motosikal ini turut dilengkapi sistem Rear Detection System (RDS) yang membantu penunggang memantau keadaan trafik di belakang. Sistem ini melengkapkan ciri bantuan keselamatan yang disediakan, khususnya ketika menunggang dalam keadaan trafik sibuk atau melakukan perjalanan jauh.

    CFMoto 550MT diperkenal – dua varian, enjin dua silinder 526 cc, 54 hp, tangki 23 liter, bakal jadi alternatif 450MT?

    Bahagian kokpit pula menampilkan skrin sentuh MMI 2.0 bersaiz lapan inci yang menyokong sambungan Apple CarPlay. Sistem kunci pintar turut disediakan dengan fungsi Bluetooth dan NFC, sekaligus membolehkan beberapa fungsi motosikal diakses tanpa perlu menggunakan kunci konvensional.

    Kehadiran 550MT mengukuhkan lagi rangkaian motosikal adventure CFMoto yang kini merangkumi model 450MT, 700MT dan 800MT Explore. Dengan kapasiti enjin 526 cc serta kelengkapan lebih menyeluruh, model baru ini mengisi ruang antara 450MT dengan model berkapasiti lebih besar dalam keluarga MT. Bagaimanapun, setakat ini belum ada maklumat mengenai harga atau kemungkinan penawarannya untuk pasaran Malaysia.

     
  • Taj Aiman, Nabil Azlan, Ethen Low wakili Malaysia ke TGR Asia Esport GT C’ship 2026 hujung minggu ini

    Taj Aiman, Nabil Azlan, Ethen Low wakili Malaysia ke TGR Asia Esport GT C’ship 2026 hujung minggu ini

    Tiga pelumba simulator negara iaitu Taj Aiman, Nabil Azlan dan Ethen Low akan mewakili Malaysia ke perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) Asia Esport GT Championship 2026 yang akan berlangsung hujung minggu ini, dari 14-15 November di Jiospace, Petaling Jaya.

    Perlumbaan ini dianjurkan oleh Toyota Motor Asia (TMA) yang akan menyajikan pertarungan sengit antara pelumba-pelumba simulator dari lima negara Asia iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina. Kesemua pelumba berkenaan akan berlumba menggunakan platform Gran Turismo 7 dengan pelantar Sony Playstation 5, bagi merebut gelaran juara berpasukan dan individu.

    Pasukan Malaysia akan diterajui oleh Taj Aiman, yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang pingat emas di Sukan Asia yang berlangsung di Jepun pada September lalu. Beliau juga merupakan juara bagi TGR Asia 2024 serta juara empat kali kejohanan TGR Malaysia eRacing. Ini merupakan penampilan ke tujuhnya untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan peringkat rantau tersebut.

    “Memenangi pingat emas Sukan Asia pastinya akan meningkatkan keyakinan saya menjelang TGR Asia Esport GT Championship 2026 dan untuk peluang lain mewakili Malaysia. Walaupun dengan pencapaian ini, saya tetap menghadapi setiap pertandingan secara individu, kerana saya tahu bahawa saya akan menentang beberapa pelumba simulator terbaik Asia Tenggara. Matlamat saya sudah tentu adalah untuk beraksi sebaik mungkin dan diharapkan dapat merampas semula gelaran individu yang saya menangi pada tahun 2024 dan membantu Malaysia meraih gelaran pasukan keseluruhan,” kata Taj Aiman yang kini berusia 27 tahun.

    Taj Aiman, Nabil Azlan, Ethen Low wakili Malaysia ke TGR Asia Esport GT C’ship 2026 hujung minggu ini

    Pelumba kedua pasukan Malaysia, Nabil Azlan juga tidak kurang hebatnya. Nabil yang kini berusia 24-tahun bukan sahaja kini sedang membina namanya dalam perlumbaan simulator, malah turut menyinar dalam perlumbaan Touring Car sebenar di Malaysia serta luar negara.

    Beliau baru sahaja merangkul pingat emas dalam Asia Pacific Motorsports Championship (APMC) 2026 yang berlangsung di Thailand baru-baru ini, serta pernah merangkul gelaran juara TGR Malaysia eRacing 2025 dalam kategori Pro, serta menerima anugerah E-Motorsport Competitor of the Year. Untuk pertandingan kali ini, Nabil mensasarkan untuk bergelar juara TGR Asia buat kali pertama.

    “Sebagai pelumba simulator yang diberi peluang oleh UMW Toyota Motor untuk beralih ke perlumbaan dunia sebenar dan seterusnya memenangi gelaran Kelas Rookie dan Sporting dalam perlumbaan Vios Challenge, matlamat peribadi saya sekarang adalah untuk kembali ke perlumbaan simulator dan memenangi gelaran mewakili Toyota,” kata Nabil.

    Pasukan Malaysia juga memberi peluang kepada pelumba lebih junior, diwakili oleh Ethen Low, juara TGR Malaysia Esport 2025 kategori Junior yang baru berumur 16-tahun. Low kini berada di tempat kedua dalam perlumbaan Vios Gold Championship 2026 dalam kategori Rookie berkongsi mata yang sama dengan pendahulu kejuaraan. Kehadirannya di TGR Asia Esport Championship ini merupakan penampilan antarabangsa kedua Low selepas hanya dapat mara ke peringkat separuh akhir di APMC 2026.

    Taj Aiman, Nabil Azlan, Ethen Low wakili Malaysia ke TGR Asia Esport GT C’ship 2026 hujung minggu ini

    “Ia satu penghormatan besar untuk mewakili bukan sahaja Malaysia tetapi juga UMW Toyota Motor dalam acara berprestij ini. Saya sedar saya akan berada di sisi pelumba simulator yang sangat kompetitif dan berpengalaman tetapi saya yakin jika saya dapat bertahan, saya mempunyai peluang yang sama untuk menang seperti orang lain,” kata Low.

    Pertama kali diadakan pada tahun 2018, kejohanan perlumbaan simulator serantau Toyota ini pada mulanya dikenali sebaga Esports GR Velocity Championship. Dari 2019 hingga 2020, acara ini dinamakan semula sebagai Toyota GR Supra GT Cup, dan kemudiannya berkembang menjadi GR GT Cup Asia Championship pada tahun 2021.

    Pertandingan tahun ini yang diadakan untuk tahun ke sembilan berturut-turut sekali lagi dijenamakan semula sebagai TGR Asia Esport GT Championship. Namun sasarannya masih sama iaitu untuk mencari dan membangunkan pelumba simulator terbaik dari rantau ini, di mana pemenangnya setiap tahun telah mewakili Asia ke peringkat World Final.

    Final Asia tahun ini akan menyaksikan pemandu akan berlumba selama 25 minit di Fuji Speedway dengan jentera Super Formula. Manakala bagi kategori berpasukan, para pelumba akan memandu GR Supra Racing selama 20 minit di litar Grand Valley Highway – 1.

     
  • Cubaan curi kabel di landasan Laluan Putrajaya berhampiran Jinjang pada 8 Nov berjaya digagalkan

    Cubaan curi kabel di landasan Laluan Putrajaya berhampiran Jinjang pada 8 Nov berjaya digagalkan

    Rapid KL mengesahkan seorang individu berjaya ditahan selepas dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri kabel bumi di kawasan landasan Laluan Putrajaya dalam satu operasi risikan dan serbuan yang dijalankan pada malam 8 November lalu.

    “Penahanan tersebut merupakan hasil tindakan susulan pasukan Polis Bantuan berikutan kejadian cubaan mencuri kabel bumi pada 7 November 2026 yang telah menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan tren Laluan Putrajaya.

    “Susulan kejadian itu, pasukan Polis Bantuan bersama pihak operasi Laluan Putrajaya telah mempertingkatkan rondaan, pemantauan dan kawalan keselamatan di beberapa lokasi yang dikenal pasti berisiko, termasuk sepanjang tempoh cuti sambutan Deepavali, bagi memastikan keselamatan infrastruktur rel serta kelancaran perkhidmatan kepada para pengguna,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam rondaan susulan yang dijalankan pada 8 November lalu kira-kira jam 1 petang, pasukan Polis Bantuan telah menemui sejumlah kabel bumi yang dipercayai cuba dicuri berhampiran sebuah Bulk Supply Substation (BSS) berdekatan Stesen Jinjang. Hasil pemeriksaan mendapati kabel tersebut telah dipotong di lokasi lain sebelum ditinggalkan di kawasan BSS berkenaan, dipercayai untuk diambil dan diangkut keluar kemudian.

    Cubaan curi kabel di landasan Laluan Putrajaya berhampiran Jinjang pada 8 Nov berjaya digagalkan

    Antara kejadian curi kabel yang berlaku

    Berikutan penemuan itu, anggota Polis Bantuan meneruskan operasi pemantauan dan intipan di kawasan sekitar, termasuk di sepanjang jajaran antara Stesen Jinjang dan Stesen Metro Prima, bagi mengesan pihak yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.

    “Hasil operasi berkenaan, kira-kira jam 11.57 malam, sebuah lori dikesan memasuki kawasan tersebut dan dipercayai digunakan untuk mengangkut kabel yang telah dipotong. Semasa serbuan dijalankan, pemandu lori berkenaan berjaya melarikan diri, namun seorang suspek berjaya ditahan oleh anggota Polis Bantuan di lokasi kejadian. Suspek kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.

    “Penahanan ini merupakan tangkapan kedua melibatkan kes cubaan mencuri kabel di kawasan operasi Rapid KL dalam tempoh seminggu, sekali gus membuktikan keberkesanan tindakan proaktif Polis Bantuan dan pasukan operasi dalam melindungi aset kritikal sistem rel serta memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada para pengguna,” kata Rapid KL lagi.

    Tambahnya, sebarang kegiatan mencuri kabel serta pencerobohan ke kawasan landasan adalah perkara yang serius kerana perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan individu yang terlibat, merosakkan infrastruktur kritikal dan menjejaskan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam.

    “Rapid KL akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa serta meningkatkan langkah keselamatan di kawasan operasi bagi memastikan keselamatan aset, kebolehpercayaan sistem dan kelancaran perkhidmatan demi kepentingan para pengguna,” katanya.

     
  • Perkhidmatan ECRL mula laksana program operasi percubaan fasa akhir hingga 2 Disember 2026

    Perkhidmatan ECRL mula laksana program operasi percubaan fasa akhir hingga 2 Disember 2026

    Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah mengumumkan pelaksanaan program operasi percubaan bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang merupakan fasa terakhir persiapan operasi menjelang pelancaran perkhidmatan penumpang komersial yang disasarkan bermula pada 12 Disember 2026.

    Menurut syarikat terbabit, program ini dikendalikan oleh ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB), sebuah syarikat usaha sama 50:50 antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), yang bertanggungjawab mengendali serta menyelenggara rangkaian rel ECRL.

    “Program operasi percubaan ini bertujuan menilai kesiapsiagaan operasi, kecekapan perkhidmatan, pengurusan stesen dan pengalaman penumpang dalam keadaan operasi sebenar. Berlangsung dari 7 November hingga 2 Disember 2026, program ini meliputi perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu dan sebaliknya, serta merangkumi perkhidmatan ekspres dan transit.

    “Sepanjang program berlangsung, tren Electric Multiple Unit (EMU) ECRL akan beroperasi mengikut jadual yang dirancang untuk perkhidmatan penumpang komersial, termasuk pengeluaran pas masuk dan penyediaan perkhidmatan kru kabin,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Perjalanan pertama di bawah program ini berlepas dari stesen Terminal Bersepadu Gombak tepat pada pukul 7 pagi pada 7 Nov lalu dan tiba di stesen KotaSAS di Kuantan, Pahang pada pukul 8.28 pagi. Perjalanan yang membawa 170 penumpang itu mengambil masa hanya 88 minit, dengan tren mencapai kelajuan sehingga 160 km/j.

    Perjalanan ECRL antara Gombak dan Kuantan melalui beberapa jejambat dan terowong, termasuk Terowong Genting ECRL sepanjang 16.39 kilometer, merentasi kawasan berbukit antara Gombak, Selangor dan Bukit Tinggi, Pahang dalam masa enam minit sahaja.

    Tren EMU meneruskan perjalanan dari stesen KotaSAS pada pukul 9.33 pagi dan tiba di stesen Kuala Terengganu pada pukul 9.53 pagi. Tren kemudiannya berlepas dari stesen Kuala Terengganu pada pukul 9.58 pagi sebelum menamatkan perjalanan di stesen Kota Bharu pada pukul 10.58 pagi.

    Perkhidmatan ECRL mula laksana program operasi percubaan fasa akhir hingga 2 Disember 2026

    Pencapaian terbaharu ini menyusuli penyempurnaan peringkat-peringkat utama pengujian dan pentauliahan projek ECRL, termasuk System Integration Testing (SIT), serta penyempurnaan Fault-Free Run (FFR) pada 29 Oktober 2026. Setakat Oktober 2026, kemajuan pembinaan Fasa 1 ECRL yang merangkumi jajaran Kota Bharu–Gombak telah mencapai 98.47%.

    Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak berkata, “Ramai rakyat Malaysia menantikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman menaiki ECRL. Manfaat perkhidmatan rel ini dapat dinikmati dalam perjalanan seharian mereka, sama ada untuk pulang bertemu keluarga, bagi tujuan pekerjaan atau pendidikan, mahupun untuk melakukan perjalanan antara Pantai Timur dan Lembah Klang.

    “Dengan bermulanya operasi percubaan, tumpuan kami adalah untuk memastikan perkhidmatan ECRL bersedia menawarkan perjalanan yang selamat dan konsisten. Setiap perjalanan memberi kami peluang untuk menilai pengalaman penumpang serta persiapan operasi sebelum perkhidmatan dibuka kepada orang ramai.”

    Perkhidmatan ECRL mula laksana program operasi percubaan fasa akhir hingga 2 Disember 2026

    Bulan lalu, Jemaah Menteri telah meluluskan struktur tambang ECRL yang berpatutan dan mesra rakyat berasaskan mekanisme tambang dinamik, dengan tambang kelas Ekonomi bagi perkhidmatan Transit dari Gombak ke Kota Bharu bermula serendah RM125.

    MRL terus mengutamakan pengujian sistem, pensijilan dan kesiapsiagaan operasi bagi memastikan perkhidmatan dapat dimulakan dengan selamat mengikut sasaran.

    Rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, dengan Selangor di pantai barat Semenanjung Malaysia. Apabila beroperasi kelak, ECRL dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak kepada kira-kira empat jam, berbanding sekitar tujuh jam melalui jalan raya.

    Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket dan perkhidmatan penumpang akan diumumkan melalui saluran rasmi ECRL pada pertengahan November.

     
  • JPJ eBid: NEN dan VSE bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Negeri Sembilan dan WP Kuala Lumpur bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Negeri Sembilan, NEN bakal dibuka bidaan esok, 11 Nov. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 15 Nov ini. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 16 Nov 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VSE, dibuka bidaan mulai 12 Nov ini. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 16 Nov, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 17 Nov 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam