Proton Press Conference Tun Mahathir 1

Berikutan pelbagai persepsi negatif yang timbul terhadap Proton waima di negara sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) menggesa semua rakyat Malaysia untuk memandu uji model terbaharu jenama itu sebelum mengkritik atau menilai. Ia diluahkan menerusi kenyataan daripada blognya berikutan kejayaan Proton dalam membangunkan barisan enjin terbaharu di UK.

“Proton menyedari persepsi negatif terhadap jenama ini di pasaran Malaysia. Terutamanya yang memiliki kenderaan import. Tidak ada apa yang dapat memujuk mereka untuk membeli kereta Proton. Sudah tentu kebanggaan memiliki kereta buatan Malaysia tidak ada pada mereka,” terang Tun M.

Pengerusi Proton itu turut berkata, persepsi tersebut kebanyakannya adalah berkenaan dengan model terdahulu Proton. Namun bagi model terkini, ia jauh sama sekali bezanya berbanding yang terdahulu. Malah ia tampil dengan pelbagai elemen yang kompetitif sama seperti yang ada pada kebanyakan model yang harganya jauh lebih mahal.

“Banyak benda yang telah diberi penambah baikan dan turut menawarkan pelbagai elemen berbanding model kenderaan lain dalam kategori yang sama. Malah, dengan harga yang jauh lebih rendah, banyak elemen dalam kenderaan Proton biasanya hanya ada pada model jenama lain yang lebih mahal. Saya rasa semua pekerja kami termasuk barisan jurutera telah melakukan perkara yang terbaik biarpun tidak ada sokongan dari orang kita sendiri,” ujarnya.

Proton_Iriz_001_BM

Katanya lagi, “Sesuatu perkara itu perlu diadili dengan mengalaminya sendiri. Untuk itu, ia terdapat pada kereta Proton yang baharu. Anda perlu memandu untuk mengetahui kecekapannya. Saya memandu Iriz dan Suprima S dan percayalah, saya sangat seronok memandu kereta ini. Terutamanya Iriz, yang mempunyai stereng berkuasa elektrik. Ia sangat ringan dan ia bertindak balas dengan cepat apabila melakukan pecutan.

Saya fikir kereta Proton layak dipandu uji oleh seluruh rakyat Malaysia. Beritahu kami tentang pengalaman anda. Kritiklah kereta ini. Kami mahukan maklumbalas supaya kami boleh menambah baik kereta ini.”

Jadi selepas membaca artikel ini, adakah anda memiliki hasrat untuk memandu uji mana-mana model terbaharu Proton? Kongsikan pendirian anda bersama kami.