Crash accident collision

Sejak dilancarkan pada 29 Jun lalu, setakat 11 hari berlangsungnya Op Selamat 9/2016 telah mencatatkan sebanyak 15,524 kes kemalangan jalan raya di seluruh negara. Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 2.5% atau 377 kes berbanding 15,147 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mahamad Akhir Darus, walau bagaimanapun jumlah kemalangan maut didapati menurun sebanyak 38 kes atau 15.8% apabila mencatatkan 203 kes berbanding 241 kes tahun lepas, laporan Bernama.

Katanya, Selangor telah mencatatkan negeri yang paling banyak berlakunya kemalangan jalan raya iaitu 4.064 kes, diikuti Johor (2,351), Kuala Lumpur (1,707), Perak (1,298) dan Pulau Pinang (1,146).

“Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang 11 hari operasi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini juga menurun kepada 229 kes berbanding 266 kes tahun lepas iaitu penurunan 37 kes atau 13.9%.

“Walau bagaimana pun, PDRM akan terus melakukan pemantauan dan penguatkuasaan sehingga operasi itu tamat pada 13 Julai ini bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya tidak terus mencatatkan peningkatan pada Aidilfitri tahun ini,” ujarnya kepada pihak media.

Malah, katanya lagi, PDRM tidak akan mengurangkan kekuatan anggota seramai 5,800 polis trafik dalam Op Selamat 9 ini sehingga tamat operasi.

Dalam masa yang sama, Mahamad Akhir turut berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati pematuhan pemandu terhadap larangan menggunakan lorong kecemasan terutamanya di lebuhraya semakin bertambah baik berbanding tahun sebelum ini.

“Secara umumnya jumlah saman yang dikeluarkan kepada pemandu bagi kesalahan tersebut juga dilihat semakin menurun setakat 11 hari operasi itu jika dibandingkan dengan tahun lepas,” ujarnya tanpa memberitahu secara spesifik jumlah saman yang telah dikeluarkan bagi kesalahan tersebut.