Eclimo ES-11 dijual di Malaysia dengan harga bermula RM10.5k – skuter elektrik dengan jarak gerak 100 km

Skuter elektrik Eclimo ES-11 kini sudah mula berada di pasaran Malaysia. Anda boleh membelinya terus pada harga bermula RM10,501 untuk model asas, ataupun menggunanya secara langganan pada harga RM600 sebulan.

Untuk pembelian terus, ES-11 disediakan dalam pilihan empat model iaitu ES-11 Basic pada harga RM10,501 dan ES-11 Pro RM14,500, sementara dua model kegunaan komersial iaitu ES-11 Delivery dan ES-11 Utility dijual pada harga masing-masing RM14,500 dan RM14,700.

Sekiranya mahu mendapatkan barangan tambahan seperti kotak barangan, warna khas serta perincian yang padan dengan jenama komersial, harga ES-11 Pro dan Utility akan menjadi masing-masing Rm15,900 dan RM24,500.

Bagi yang mahu mendapatkan ES-11 secara langganan, ia disediakan bagi semua model kecuali ES-11 Basic. Bagi ES-11 Pro dan ES-11 Delivery, anda perlu membuat bayaran awal RM1,800 manakala bagi ES-11 Utility, ia memerlukan bayaran RM11,730 serta deposit RM1,200.

Selepas itu, anda perlu membayar RM600 setiap bulan, dengan bayaran bulan pertama diselesaikan lebih awal. Bagi ES-11 Pro, sekiranya catatan perjalanan tidak sampai 1,000 km, bayaran bulanan akan menjadi hanya RM450.

Rekaan ES-11 mengikuti bentuk skuter biasa, dengan bateri lithium ion 3.08 kWh berada di bahagian lantai. Ia menyampaikan tenaga kepada motor elektrik berkuasa 6 kW, yang boleh membawa skuter ini sehingga kelajuan maksimum 100 km/j dan jarak gerak maksimum 100 km. Pengecasan boleh dilakukan menggunakan soket domestik 240 volt, dan ia juga dilengkapi dengan brek cakera hadapan dan belakang, serta rim 13 inci.