Pemandu Grab tutup aplikasi ketika tempoh trafik tinggi, punca perkhidmatan e-hailing berkurangan

Peningkatan trafik di Lembah Klang bukan sahaja memberikan tekanan buat pengguna jalan raya, malah bagi mereka yang menggunakan pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan e-hailing. Biar pun kekurangan pemandu dan permintaan yang meningkat dengan ketara telah mendorong kadar tambang naik, tetapi nampaknya sebilangan besar pemandu e-hailing tidak teruja untuk memandu biar pun mampu memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

Difahamkan ramai pemandu Grab memilih untuk menutup aplikasi e-hailing dalam tempoh trafik yang tinggi, kerana tidak sanggup berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, laporan Malay Mail. Ia berdasarkan kenyataan dari presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA), Arif Asyraf Ali berkaitan isu tersebut, yang sebelum ini turut dilaporkan oleh The Malaysian Insight (TMI).

Bercakap pada TMI, dia berkata, sejumlah 30% hingga 40% pemandu memilih untuk tidak respons terhadap permintaan pelanggan dalam tempoh waktu tertentu, terutamanya pada waktu puncak kerana tidak mahu terkandas dalam kesesakan lalu lintas melebihi sejam. “Kesesakan trafik kini kian memuncak, malah tidak mengira waktu,” jelasnya.

Sambungnya, disebabkan kekurangan pemandu, maka pemandu yang sedia ada sangat terhad malah ada yang terpaksa berbelanja lebih untuk mengisi minyak disebabkan jarak yang lebih jauh untuk mengambil/menghantar penumpang, selain tersekat dalam kesesakan trafik.

“Kekurangan pemandu dianggarkan lebih kurang 30%, jadi jumlah pemandu yang aktif menyusut dari 70,000 ke 80,000 orang, kini tinggal 50,000 hingga 60,000 pemandu sahaja,” ujar Arif memberitahu TMI.