Kerajaan telah mengumumkan bahawa kontrak MyEG Services telah dilanjutkan untuk membolehkannya terus menyediakan perkhidmatan berkaitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tempoh tiga tahun lagi. Kontrak semasa sepatutnya berakhir pada 22 Mei ini.
Ini bermaksud, pengguna masih boleh memperbaharui lesen pemandu dan cukai jalan serta pembayaran saman trafik melalui platform berkenaan hingga tahun 2026 nanti. Bagaimanapun, MyEG tidak lagi akan menjadi penyedia perkhidmatan itu secara eksklusif, kerana kerajaan akan membuka peluang itu kepada penyedia perkhidmatan lain juga, lapor The Edge.
Mengumumkan pelanjutan kontrak itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata walaupun kerajaan melanjutkan khidmat MyEG, ia kini bukan lagi diberikan secara eksklusif kepada hanya mereka.
“Mereka hanya satu daripada penyedia perkhidmatan kepada kerajaan. Kami izinkan mereka untuk menjadi laluan kepada kerajaan sebagai pilihan kepada pengguna untuk memperbaharui lesen, cukai jalan dan lain-lain. Jika ada penyedia perkhidmatan e-kerajaan lain yang ingin menyediakan perkhidmatan sama, kami akan pertimbangkan,” jelasnya.
Ini selari dengan pengumuman yang dibuat pada Mac lalu bahawa Puspakom tidak lagi akan menjadi monopoli dalam menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermula September tahun lalu. Sama seperti MyEG, kerajaan memaklumkan mereka akan membuka peluang itu kepada penyedia perkhidmatan lain yang layak juga.
Langkah untuk mengakhiri kontrak eksklusif ini bukan baru. Pada 2019, dilaporkan kerajaan sedang menjadi jalan untuk memecahkan monopoli perniagaan dalam usaha untuk merancakkan persaingan dan mengurangkan kos sara hidup, dan MyEG serta Puspakom memang menjadi syarikat yang dijangkakan untuk itu.


