Kamera AWAS tingkatkan pematuhan undang-undang trafik, kurangkan risiko kemalangan jalan raya – MOT

Menerusi pelaksanaan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan ia dapat meningkatkan pematuhan undang-undang trafik, sekaligus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Timbalan Menteri MOT, Datuk Hasbi Habibollah berkata, menerusi kajian yang dijalankan oleh mendapati tahap pematuhan penggunaan jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas adalah mencecah 99% secara keseluruhannya, laporan Berita Harian.

Setakat ini, terdapat 45 kamera AWAS atau sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang sedang beroperasi dan dikuatkuasakan.

“Daripada jumlah itu 44 kamera sudah beroperasi sepenuhnya dan satu dalam proses pembaikan dan penyelenggaraan. Penggunaan kamera AWAS juga berjaya meningkatkan tahap persepsi ditangkap kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di lokasi peguatkuasa,” katanya ketika jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Kamera AWAS tingkatkan pematuhan undang-undang trafik, kurangkan risiko kemalangan jalan raya – MOT

Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun, (PH-Port Dickson) mengenai status terkini kamera penguatkuasaan ini dan jumlah yang masih beroperasi.

Jelasnya, kamera AWAS bukanlah bertujuan memerangkap pengguna jalan raya, sebaliknya ia bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan titik hitam di mana nahas kerap berlaku sebelum ini.

Di mana penggunaan kamera AWAS membolehkan aktiviti penguatkuasaan berlangsung 365 hari dan 24 jam sehari dan mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia iaitu anggota penguatkuasaan.

“Kerajaan akan menambah kamera AWAS ini tetapi mengikut keperluannya dalam jangka panjang dan melihat impak kewangan, kerana ianya memang berkesan,” katanya.