Kamera AI dipasang di Miri untuk pantau kesalahan trafik termasuk pandu laju dan guna telefon bimbit

Sistem kamera pengesan kesalahan trafik yang dipertingkatkan dengan adanya teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) telah pun dipasang di Miri, Sarawak untuk merakam bukti kesalahan trafik. Kamera ini juga bertindak menyalurkan data yang diperlukan bagi penguatkuasaan dan perancangan polisi, laporan The Borneo Post.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, projek proof-of-concept ini ditempatkan di persimpangan lampu isyarat Merbau-Miri-Pujut yang sering terdedah dengan kes kemalangan. Ia akan mengumpul data mengenai sikap dan tingkah laku pemandu dan sudah pun menunjukkan hasil yang mengagumkan dalam masa seminggu selepas pelancarannya, katanya.

Sebagai contoh, Lee berkata seorang pesalah berulang telah dirakam kerana memandu laju sebanyak lapan kali dalam tempoh seminggu di persimpangan terbabit, membuktikan keupayaan sistem tersebut untuk memantau dan mengenal pasti perbuatan melulu dalam kalangan pemandu.

“Tempoh percubaan adalah enam bulan dan hasilnya akan dibentangkan kepada kementerian untuk memutuskan tindakan seterusnya,” kata Lee semasa pelancaran projek tersebut pada 4 Julai lalu.

Data yang dikumpul daripada sistem akan dianalisis untuk mendapatkan gambaran yang lebih baik berkaitan tingkah laku lalu lintas, mengenal pasti kawasan berisiko tinggi serta membolehkan keputusan berasaskan data dibuat oleh kementerian dan agensi penguatkuasaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

Gambar yang disiarkan oleh laman Facebook Sibu Finger menunjukkan sistem itu mampu mengenal pasti kenderaan individu, plat lesen mereka dan potensi kesalahan yang dilakukan oleh pemandu seperti memandu laju, melanggar lampu merah, menggunakan telefon bimbit dan juga mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar.