Penyambung jalan dan keadaan licin jadi punca penunggang motosikal jatuh di jejambat Kg Pandan

Seorang pengguna laman sosial X (dulunya dikenali sebagai Twitter), Ts Rezza Danial berkongsi pengalaman beliau melihat beberapa buah motosikal jatuh di hadapan mata sewaktu melalui satu bahagian di atas jejambat Kampung Pandan, berhampiran susur masuk ke lebuh raya MEX di MyTown.

Beberapa video dimuat naik oleh Rezza, yang ketika itu sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat yang disebutkan, dan menurut beliau, dalam masa tidak sampai lima minit pun, tiga orang penunggang motosikal sudah terjatuh di kawasan itu.

Penyebab yang diberitahu adalah penyambung jalan, yang dikatakan bukan sahaja sangat licin pada waktu hujan, tetapi dalam waktu kering juga adalah sama. Ini mengakibatkan tayar motosikal hilang cengkaman dan jatuh meskipun tidak ditunggang laju.

Penyambung jalan seperti ini dipanggil sebagai expansion joint, dan ia memang satu rekaan biasa bagi sesebuah jambatan, bagi membolehkan penguncupan dan pengembangan permukaan apabila suhu berubah. Ia juga kerap digunakan bagi bahagian jalan yang diperbuat daripada konkrit bersambung.

Penyambung ini biasanya dijadikan sama rata dengan jalan dan disalut dengan lapisan anti gelincir. Walaubagaimanapun apabila sudah lama, ia boleh hilang dan mendedahkan permukaan besi yang licin – itulah keadaan yang dilihat berlaku di kawasan ini. Ia juga pernah dilihat boleh menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan lubang yang besar.

Bukan setakat Rezza, pengguna lain turut berkongsi perkara yang sama, dengan salah seorang daripadanya, iaitu Boy Flow mengatakan seorang penunggang sudah pun terkorban di jalan itu 9 September tahun lalu.

Seorang lagi pengguna dengan nama Syamel pula mengatakan beliau sudah membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan jalan tersebut, tetapi ia masih belum selesai dan mempersoalkan adakah mereka mahu menunggu sehingga ada anak menteri yang terjatuh barulah mahu mengambil tindakan.

Bagi penunggang motosikal, tambahkan waspada anda apatah lagi sekarang sudah musim hujan. Penyambung jalan seperti ini ada di merata tempat dan sentiasa amalkan cara tunggangan yang berhati-hati. Dalam masa sama, pastikan juga keadaan motosikal anda baik, terutamanya bahagian tayar dan brek, dan cari tempat yang selamat untuk berteduh sewaktu hujan.