Selain dari menyaksikan pertarungan antara pasukan-pasukan lumba dari Jepun, ada satu lagi sebab mengapa peminat sukan bermotor tempatan perlu hadir ke perlumbaan Autobacs Super GT pusingan ketiga 2025 yang akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang Petronas nanti – menurut penganjur acara tersebut, seorang pelumba dari Malaysia akan diberikan tiket ‘wild card’ untuk berlumba dalam perlumbaan berkenaan.
Ketika sesi soal jawab yang berlangsung selepas majlis menandatangi perjanjian penganjuran acara tersebut di Putrajaya petang tadi, Rakan Pengurusan Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan mengesahkan perkara ini dan menurutnya pelumba Malaysia berkenaan akan digandingkan dengan seorang pelumba dari Indonesia bagi menghangatkan lagi perlumbaan tersebut.
Namun Fahrizal masih belum memperincikan kategori mana dan jentera apa yang pasangan pelumba Malaysia-Indonesia itu akan gunakan untuk perlumbaan tersebut.
Secara tradisinya, Super GT masih dilangsungkan dalam dua kategori iaitu GT500 dan GT300, di mana kedua-duanya dilangsungkan serentak, dilepaskan dengan cara rolling start, serta setiap kereta perlu menampilkan dua orang pelumba.
Perjanjian yang ditandatangi petang tadi adalah di antara Haro Sports & Entertainment sebagai pemegang hak dan promoter untuk pusingan Super GT di Malaysia bersama GT Association (GTA) sebagai pemegang hak perlumbaan Super GT. Dalam perjanjian itu, Malaysia bukan hanya menjadi penganjur untuk musim 2025, malah untuk musim 2026 dan 2027.
Untuk acara yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Petronas tahun hadapan, ia merupakan perlumbaan Super GT musim 2025 pusingan ketiga, akan berlangsung pada 27 hingga 28 Jun. Ia merupakan satu-satunya pusingan Super GT 2025 yang dilangsungkan diluar Jepun, dan yang pertama sejak 2019.
Pusingan di Sepang ini sepatutnya berlangsung pada musim 2020 dalam format perlumbaan malam, namun ia terpaksa dibatalkan kerana Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu. Sepang juga pernah menganjurkan perlumaan Super GT ini bermula musim 2000 hingga 2013.
Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025 ini, bermula dengan pusingan pertama yang akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 12 hingga 13 April. Seperti biasa, pusingan di Malaysia ini dijangka akan menyajikan aksi berlainan dari perlumbaan-perlumbaan di Jepun bukan sahaja dilangsungkan dalam cuaca panas, malah ia boleh hujan tanpa dijangka.


