Selain MPV 009, Zeekr juga ada membawa model crossover X untuk dipamerkan di Sunway Pinnacle sekarang. Kedua-dua kenderaan elektrik (EV) ini masih belum dijual di Malaysia, tetapi tempahan untuknya sudah dibuka, dengan harga X dijangka berada di bawah RM180,000.
Untuk pasaran Malaysia, X akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium RWD dan Flagship AWD. Ini adalah pilihan yang sama seperti di Singapura, dan di sana juga ia ditawarkan dengan pacuan roda belakang serta semua roda.
Model RWD menggunakan motor elektrik 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan tork 343 Nm, membantu ia untuk memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat. Pada Flagship AWD pula, ia mendapat tetapan motor berkembar dengan kuasa 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan tork 543 Nm, mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.
Kedua-dua varian ini menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) yang berkapasiti 66 kWh, dengan Premium RWD boleh menyediakan jarak gerak 440 km (WLTP) dengan sekali cas penuh, manakala pada AWD ia berkurang sedikit menjadi 420 km. Laju maksimum keduanya masih sama, iaitu 190 km/j.
Untuk pengecasan, Zeekr X boleh menerima sumber DC sehingga 150 kW, dan kuasa bateri boleh naik 10-80% dalam masa 30 minit. Jika menggunakan AC pula, kadar maksimumnya adalah 7.2 kW untuk Premium RWD, dan 11 kW untuk Flagship AWD – tujuh jam untuk penuh.
Antara kelengkapan standard yang diberikan pada X adalah seperti lampu utama LED, DRL LED, panel instrumen digital 8.8 inci, skrin sesentuh infotainmen 14.6 inci, bumbung panoramik, pintu but bukaan kuasa serta pengecas tanpa wayar. Varian AWD kemudiannya dipertingkat dengan head-up display serta sistem bunyi Yamaha 13 pembesar suara.
Turut dinyatakan adalah tujuh beg udara serta pakej keselamatan ADAS yang merangkumi Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Change Assist, Lane Centring Control, Lane Keep Assist, Blind Spot Monitoring, Front and Rear Cross Traffic Alert, bantuan parkir serta pemerhati pemandu.
Untuk warna, lima pilihan disediakan untuk Zeekr X ini, iaitu Crystal White, Mist Grey, Grid Grey, Palace Beige dan Pine Green. Kesemuanya datang dengan kemasan dalam warna dua tona Charcoal Black dan Stone Grey.



































































