
Geely dengan rasminya telah mendedahkan model sedan plug-in hybrid (PHEV) Galaxy L6 EM-i. Ia menggunakan sistem janaan hibrid modular dari NordThor (Leishen) yang dilengkapi dengan unit BHE15 Plus yang turut digunakan oleh Galaxy L7.
Bahagian luaran L6 EM-i ini tidak banyak berubah berbanding model L6 2024 yang ketika ini dijual di China. Sedikit membezakannya adalah penggunaan pemegang pintu konvensional yang menggantikan pemegang tersorok. Ukurannya juga kekal sama, dengan dimensi 4,782 mm panjang, 1,875 mm lebar dan 1,489 mm tinggi dengan jarak roda 2,752 mm, lapor Car News China.
Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, L6 EM-i menggunakan sistem janaan NordThor 2.0 yang terdiri daripada enjin BHE15-BFN 1.5 liter NA petrol yang menghasilkan 82 kW atau 11 PS dan 136 Nm tork.
Ini digandingkan bersama dengan sebuah motor elektrik yang menjana sebanyak 107 kW (145 PS) dan 338 Nm, yang memperoleh tenaganya dari bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti antara 8.5 kWh dan 19.09 kWh. Ia membolehkan pacuan elektrik sepenuhnya masing-masing sejauh 48 km dan 115 km.
Bahagian dalaman pula memperlihatkan beberapa perbezaan berbanding L6, antaranya dengan skrin yang kini dalam kedudukan melintang. Konsol tengahnya pula dilengkapi pengecas tanpa wayar dan tombol kawalan rotari serta dua ruang cawan — rekaletak dalaman ini lebih menyerupai dalaman SUV Galaxy L7. Stereng dengan butang multi-kawalan juga diberikan rekaan berlainan dengan dua jejari.
L6 EM-i merupakan satu daripada model tenaga baru yang diperkenalkan Geely untuk tahun ini, yang akan dituruti Galaxy Starship 7, yang juga model sama dengan Galaxy E5/Proton eMas 7 dengan sistem janaan plug-in hybrid. Proton juga telah patenkan nama eMas 7 PHEV, jadi kemungkinan di sini juga akan mengambil jalan yang sama untuk memperkenalkan versi plug-in hybrid pula.

Proton eMas 7 PHEV
dari RM109,800
Proton X90
dari RM106,800
Proton S70
dari RM73,800
Proton X70
dari RM106,800
Proton Saga
dari RM38,990
Proton eMas 5
dari RM59,800
Proton X50
dari RM89,800
Proton eMas 7
dari RM103,800