LRT3 Laluan Shah Alam dilanjut ujian kerana berhadapan 33 isu teknikal di peringkat akhir

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), dan Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (SULRT3), selaku kontraktor utama projek LRT Laluan Shah Alam, memaklumkan bahawa projek tersebut kini berada dalam Fasa Pengujian dan Pentauliahan (Testing & Commissioning ? T&C).

Di mana fasa ini merangkumi beberapa komponen kritikal termasuk ujian percubaan (trial run), ujian larian tanpa gagal (fault-free run ? FFR) dan operasi percubaan (trial operations), yang perlu dipenuhi sebelum semua dokumen teknikal dapat dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk permohonan Lesen Pengendali Rel.

“Pada masa ini, projek sedang berada dalam fasa FFR, iaitu ujian integrasi menyeluruh melibatkan sistem-sistem utama seperti sistem isyarat, komunikasi, set tren LRV (rolling stock) dan sistem kawalan.

“Sepanjang FFR bermula pada 26 Ogos 2025, beberapa isu teknikal melibatkan aspek keselamatan, operasi dan prestasi telah dikenal pasti. Isu-isu ini memerlukan tindakan pembetulan oleh pihak terlibat termasuk kontraktor isyarat, kontraktor tren (LRV), dan SULRT3 sebelum sistem boleh diterima oleh Prasarana dan seterusnya melangkah ke fasa operasi percubaan,” kata Prasarana menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Jelasnya, bagi tren utama atau ?Golden Train?, ujian FFR mensyaratkan pemanduan tanpa henti sejauh 4,000 km tanpa sebarang kegagalan. Bagi set tren lain dalam kumpulan yang sama, jarak ujian ditetapkan pada 3,000 km, manakala tren selebihnya perlu melengkapkan 2,500 km sebelum memperoleh kelulusan untuk operasi.

“Untuk rekod, sebanyak 11 percubaan FFR telah dilaksanakan sebelum ini, namun, jarak perbatuan yang ditetapkan belum dapat dicapai berikutan beberapa isu teknikal yang dikenal pasti sepanjang proses tersebut. Dalam tempoh 2.5 bulan, pihak kontraktor telah mengenal pasti sebanyak 33 isu melibatkan ralat perisian serta gangguan sistem.

“Antara isu tersebut adalah kegagalan tren berhenti di platform dengan tepat yang mengakibatkan pintu tren tidak berfungsi dengan sempurna, tren tidak dapat meneruskan perjalanan ke stesen berikutnya secara automatik dan pergerakan tren tidak mengikut kelajuan yang diprogramkan di dalam sistem dan terdapat pergerakan minima ketika tren dalam keadaan pegun,” katanya lagi.

Tambah Prasarana, semua isu ini sedang dianalisis oleh pihak kontraktor, dan kerja-kerja penambahbaikan perisian sedang dijalankan bagi memastikan kestabilan, ketepatan, dan kebolehpercayaan sistem. Penambahbaikan serta pengesahan ini mesti diselesaikan sebelum langkah seterusnya dapat dilaksanakan.

LRT3 Laluan Shah Alam dilanjut ujian kerana berhadapan 33 isu teknikal di peringkat akhir

“Terdapat beberapa siri ujian dan fasa yang perlu dijalankan menjelang pembukaan operasi kepada orang ramai iaitu ujian larian percubaan, percubaan operasi, laporan jurutera bebas dan permohonan lesen layak operasi dari pihak berkuasa.

“Prasarana ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi dalam aspek keselamatan, keandalan dan kestabilan sistem, selaras dengan piawaian ketat yang ditetapkan oleh APAD. Hanya setelah semua sistem berfungsi pada tahap optimum, dan semua isu diselesaikan, barulah laluan ini boleh dipertimbangkan untuk pengoperasian,” katanya sambil menambah semua kerja pembaikan dan penambahbaikan teknikal kini diberi keutamaan bagi memastikan Laluan Shah Alam benar-benar sedia, stabil dan selamat sebelum dibuka untuk orang ramai.

Berkenaan dengan aspek operasi, Prasarana berkata kesiapsiagaan turut diperkukuh melalui tenaga kerja lebih 800 kakitangan yang telah melengkapkan semua latihan mandatori. Rapid Rail, sebagai operator Laluan Shah Alam, juga melaksanakan latihan lapangan (On-Job Training) dengan menempatkan petugas barisan hadapan di laluan rel sedia ada bagi memberikan pendedahan tambahan, khususnya dalam pengurusan orang ramai (crowd control).

Bagi memastikan keupayaan operasi berada pada tahap terbaik, Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan telah dijalankan pada 12 November 2025. Latihan ini bertujuan menguji kecekapan operasi semasa situasi krisis dan memperkukuh koordinasi antara kakitangan stesen serta agensi penyelamat.