Proton hari ini mengumumkan bahawa semua model baharunya yang kini dijual di bilik pameran akan ditawarkan dengan insentif untuk pembelian secara tukar beli kereta lama yang berusia lebih 20 tahun, selaras dengan pelancaran Program Geran Padanan Bagi Penggantian Kenderaan Lama yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia semalam.
Menurut Proton, nilai insentif yang ditawarkan akan dipadankan melalui program geran padanan oleh Kementerian Pengangkutan sehingga RM2,000. Bagi pembeli yang berminat untuk membuat tukar beli Saga MC3 dan Proton eMas 5, insentif yang diberikan oleh Proton adalah bernilai RM1,000, dan selepas dipadankan dengan insentif berpadanan yang juga bernilai RM1,000, proses ini akan memberikan insentif sehingga RM2,000 untuk pembelian kedua-dua model berkenaan menerusi program ini.
Manakala untuk model lain termasuk X50, X70, Proton eMas 7 dan sebagainya, insentif yang diberikan oleh Proton dalam program ini adalah bernilai RM2,000, dan selepas dipadankan dengan insentif berpadanan yang juga bernilai RM2,000, proses ini akan memberikan insentif sehingga RM4,000.
Proton menyatakan bahawa penawaran insentif ini adalah untuk menyokong usaha kerajaan bagi mengurangkan jumlah kenderaan lama di jalan raya dan menggalakkan penggantian kepada kenderaan yang lebih selamat, mesra alam dan cekap tenaga, dan menambah bahawa inisiatif ini turut menyokong sasaran Proton bagi tahun 2026 untuk mencapai jualan sebanyak 200,000 unit, susulan prestasi pada tahun sebelumnya apabila pertumbuhan volum jualan syarikat mengatasi pertumbuhan jumlah industri (TIV).
?Proton berbangga dapat menyokong pelaksanaan Program Geran Padanan Bagi Penggantian Kenderaan Lama dengan menawarkan nilai tambah kepada pelanggan. Inisiatif ini menggalakkan penggantian kenderaan lama yang tidak lagi selamat digunakan secara bertanggungjawab, di samping meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta menyokong peralihan ke arah mobiliti yang lebih bersih dan cekap,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.
?Insentif yang ditawarkan oleh Proton merupakan kesinambungan kepada Program Proton Xchange yang diperkenalkan pada Mei 2025. Melalui program ini, pelanggan yang melupuskan kenderaan lama dan membeli model Protob baharu layak menerima insentif tukar beli sehingga RM2,000. Menjelang akhir tahun 2025, sebanyak 4,344 transaksi telah direkodkan, melibatkan penyaluran kira-kira RM8.68 juta bagi membantu pembelian kenderaan baharu,? tambahnya.

