
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal membuka penawaran siri Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) FH yang boleh dibida menerusi platform dalam talian JPJ eBid. Siri FH ini adalah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2026.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan nombor antara FH1 hingga FH 999, bidaannya akan bermula Ahad ini (1 Februari) sehingga jam 10 malam, 5 Februari 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Manakala keputusan NPI Siri FH ini akan dikeluarkan pada 6 Februari 2026, selepas 24 jam bidaan ditutup, dan nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.
Menurut JPJ, bidaan adalah mengikut harga yang ditetapkan iaitu nombor bernilai utama (golden) bermula RM20,000, nombor premium (RM5,000), nombor menarik (attractive) RM 2,500, nombor popular (RM500) dan nombor biasa (running) pula dari RM300.
Jadi, bagi sesiapa yang inginkan siri FH ini, dah boleh bersiap siaga untuk membidanya. Cuma, jangan tersilap tekan amaun bidaan, takut anda pula yang menangis tak berlagu. Apa pun, selamat maju jaya!
