Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: smart #1 Brabus – EV pantas dan tangkas!

    PANDU UJI: smart #1 Brabus – EV pantas dan tangkas!

    Untuk mereka yang masih belum tahu, smart automobile merupakan subsidiari di bawah Mercedes-Benz, di mana jenama tersebut dengan dua model popularnya iaitu smart fortwo dan forfour telah pun dijual di pasaran tempatan oleh DaimlerChrysler Malaysia (sekarang dikenali sebagai Mercedes-Benz Malaysia) pada pertengahan era 2000.

    Penjualan kedua-dua model berkenaan kemudiannya dihentikan oleh Daimler, namun ia kemudiannya dihidupkan kembali pada 2019 apabila gergasi automotif China, Geely telah menandatangani perjanjian dengan Daimler bagi membangunkan semula jenama smart; kali ini ia bukan sahaja menghasilkan kereta kompak, tetapi hanya menampilkan unit rangkaian kuasa elektrik penuh. Model-model baharu dari smart akan dibangunkan oleh Geely, tetapi Mercedes-Benz masih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aspek rekaan.

    Model konsep untuk kerjasama ini didedahkan di IAA Mobility Show di Munich, Jerman pada September 2021, digelar sebagai smart Concept #1, manakala versi produksi dengan rupa yang hampir sama membuat kemunculan sulungnya di Berlin pada April 2022.

    Dengan insentif yang diberikan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan penggunaan EV di Malaysia, Geely dan Proton dilihat tidak mahu melepaskan peluang tersebut di mana smart #1 dilancarkan secara rasmi di sini pada November tahun lalu, di mana anak syarikat Proton iaitu Pro-Net bertanggungjawab untuk mengendalikan smart Malaysia.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • BAIC X55 di Malaysia — SUV segmen C, 1.5T jana 188 PS, 7DCT, serahan Q4; anggaran RM12xk-RM14xk

    BAIC X55 di Malaysia — SUV segmen C, 1.5T jana 188 PS, 7DCT, serahan Q4; anggaran RM12xk-RM14xk

    BAIC yang membuat pengenalan rasminya di Malaysia turut memperkenalkan model SUV X55. Ia merupakan SUV dalam segmen C yang akan bersaing antaranya dengan Proton X70 dan Honda CR-V. Untuk pasaran di sini, X55 akan ditawarkan dalam dua varian — Standard dan Premium (dengan harga anggaran dari RM12xk-RM14xk). Yang ditampilkan ini ialah model pra-produksi — versi CKD-nya akan mula beredar pada suku keempat tahun ini, yang akan dipasang di kilang EP Manufacturing (EPMB) di Pegoh, Melaka.

    Mengikut ukuran dimensinya, X55 berada dalam segmen C — 4,620 mm panjang, 1,886 mm lebar dan 1,680 mm tinggi. Model ini hampir 100 mm lebih panjang, 55 mm lebih lebar dan 14 mm lebih rendah berbanding X70, manakala jarak rodanya pula 2,735 mm ialah 65 mm lebih panjang. Untuk itu, telahan awal kami bahawa SUV ini adalah dalam segmen B meleset.

    Ia juga bahkan hanya sedikit lebih kecil berbanding CR-V, yang mempunyai ukuran 4,691 mm panjang, 1,866 mm lebar dan 1,691 mm tinggi. Suspensi belakang X55 ini juga menggunakan jenis multi-link, yang kerap menjadi pilihan bagi SUV segmen C.

    BAIC X55 di Malaysia — SUV segmen C, 1.5T jana 188 PS, 7DCT, serahan Q4; anggaran RM12xk-RM14xk

    Kedua-dua varian ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder suntikan terus yang menghasilkan 188 PS pada 5,500 rpm dan 305 Nm tork dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi klac berkembar basah tujuh-kelajuan, yang membolehkan model ini memecut 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat. Kadar penggunaan minyak pula didakwa 7.2 liter bagi 100 km (kitaran WLTP).

    Rekaan luarannya tajam, dengan DRL LED bentuk L yang nipis, kedudukan lampu utama LED yang lebih rendah, rekaan tingkap yang tajam serta kemasan krom di kelilingnya. Wajah depan yang tertutup memperlihatkannya sebagai sebuah EV, ditambah pula dengan rekaan bampar dengan corak hexagon ala Lexus RX. Pemegang pintunya juga tersorok.

    Di belakang, spoiler terpisah yang ada memberikan imej sporty. Ini ditambah dengan empat muncung ekzos yang tiada pada model pra-produksi tetapi akan ada untuk model jualan nanti. Skim dua tona warna badan juga diberikan sebagai pilihan, dengan bumbung dan cermin sisi hitam. Lencana “Beijing” yang masih dilihat ini pula akan digantikan dengan “BAIC” kelak.

    BAIC X55 di Malaysia — SUV segmen C, 1.5T jana 188 PS, 7DCT, serahan Q4; anggaran RM12xk-RM14xk

    Di dalam pula menerapkan rekaan ringkas — papan pemuka tirus dengan corong pendingin di sudut berbentuk L. Konsol tengah juga terapung dengan pemilih gear rata, banyak ruang simpanan serta pengecas tanpa wayar Qi. Model Standard datang dengan kemasan balutan kulit buatan, manakala Premium dengan kulit sebenar dengan fungsi memori untuk kerusinya, berliang dengan ciri pemanas.

    SUV ini juga dilengkapi dengan paparan 10-inci berkembar untuk kluster instrumen dan infotainmen, serta kawalan pendingin dua-zon. Malangnya, tiada kelibat Apple CarPlay atau Android Auto. Yang ada ialah fungsi Bluetooth dengan enam-pembesar suara.

    Kelengkapan standard yang lain termasuk sistem tanpa kunci, butang Push Start, bumbung panoramik, cermin pandang belakang anti-silau, corong pendingin belakang, kamera undur, pintu ruang barangan belakang kuasa elektirk dan enam beg udara. Premium pula menerima tambahan lampu ambient 10-warna.

    Sistem bantuan pemandu pula belum jelas penawarannya. Unit pra-produksi ini tidak dilengkapi sistem tersebut, tetapi BAIC memaklumkan versi jualan nanti akan ada ciri seperti amaran perlanggaran depan, kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong dan amaran titik buta. Tiada ciri pengekalan lorong atau ke tengah lorong, begitu juga ciri AEB yang belum disahkan.

     
     
  • BAIC BJ40 Plus dibuka untuk tempahan di Malaysia — 2.0T petrol, 221 hp/380 Nm, anggaran RM180k-200k

    BAIC BJ40 Plus dibuka untuk tempahan di Malaysia — 2.0T petrol, 221 hp/380 Nm, anggaran RM180k-200k

    Beijing Automotive Group (BAIC) kini membuat penampilan rasmi di Malaysia, dengan mempamerkan dua model SUV sebagai pengenalan jenama tersebut di pasaran tempatan. Model yang dimaksudkan ialah BAIC X55, sebuah SUV segmen C yang akan bersaing dengan model seperti Proton X70 dan Honda CR-V.

    Yang kedua pula ialah model yang sedang anda lihat ini, BJ40 Plus yang merupakan sebuah SUV gaya off-road yang menampilkan reka bentuk yang pernah kita lihat: Jeep Wrangler. Namun, namanya pula meminjam daripada sebuah lagi popular dari kelas yang sama keluaran Toyota.

    Dengan ukuran 4,645 mm panjang, 1,925 mm lebar dan 1,871 mm tinggi serta jarak roda 2,745 mm, ia sama juga seperti ciri yang ada pada Wrangler — dengan panel bumbung dan pintunya boleh dicabut.

    BAIC BJ40 Plus dibuka untuk tempahan di Malaysia — 2.0T petrol, 221 hp/380 Nm, anggaran RM180k-200k

    Aspek utama rekaannya terdiri daripada rekaan gril depan dengan lima-lubang, penampan bawah bampar dan cangkuk tunda — yang ada empat kesemuanya di bahagian depan dan belakang. Kelengkapan standard luaran yang lain termasuklah lampu utama LED dengan DRL, serta lampu kombinasi LED di belakang.

    Di dalam, kabinnya diberi balutan kulit untuk kerusi dan stereng, kawalan pendingin dua-zon, panel instrumen LCD 12.3-inci dan paparan skrin sentuh di tengah bersaiz 10-inci serta lampu ambient. Kerusi pemandu pula datang dengan larasan elektrik empat-hala, dua slot USB, sistem audio dengan enam-pembesar suara dan kamera undur.

    BAIC BJ40 Plus dibuka untuk tempahan di Malaysia — 2.0T petrol, 221 hp/380 Nm, anggaran RM180k-200k

    Ketersediaan ruang baranga pula ialah 532 liter, dan boleh dilanjutkan menjadi 965 liter dengan kerusi direbahkan. Hanya ada satu varian SUV ini yang ditawarkan di sini. BJ40 Plus ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter turbocas yang menghasilkan 221 hp dan 380 Nm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan dan sistem pacuan sempat roda separuh masa Borg-Warner, dengan tiga mod pacuan — 2H/2L/4L.

    Sama seperti model X55 II ketika pelancarannya ini, kedua-duanya merupakan model pra-produksi (yang masing menggunakan jenama Beijing). Model CKD-nya, yang akan dipasang oleh EP Manufacturing (EPMB) di Pegoh, Melaka, akan menyusul pada suku keempat tahun ini.

     
     
  • Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

    Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

    Sepanjang tahun 2023, sekitar 600,000 kemalangan jalan raya telah direkodkan. Daripada jumlah itu, sebanyak 6,443 nyawa telah terkorban — ini diterjemahkan kepada purata 18 orang yang meninggal setiap hari akibat kemalangan jalan raya di Malaysia. 65% daripada jumlah kematian itu pula disumbangkan oleh penunggang dan pembonceng motosikal, yang mana melibatkan mereka yang dalam golongan usia 16 tahun hingga 35 tahun.

    Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu sesi taklimat libat urus bersama media di ibu negara hari ini. Semua angka berkenaan sangat membimbangkan, kerana dalam setiap kes seperti itu, negara akan kerugian besar kerana kehilangan banyak sumber bernilai tinggi yang tiada gantinya.

    Sekian tahun — walaupun dengan adanya penubuhan Jawatankuasa Kabinet berkaitan keselamatan jalan raya sejak puluhan tahun lalu — isu kematian dan kemalangan maut melibatkan kenderaan masih menghantui negara ini tanpa ada satu pun pendekatan yang berkesan dan cemerlang dapat diambil.

    Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

    Seperti yang selalu kita dengar, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan hal ini, dan semuanya saling berkait: sikap pengguna jalan raya, jumlah kenderaan yang makin meningkat saban tahun, kelemahan penguatkuasaan, kesungguhan politik serta ketidakcekapan rangkaian pengangkutan awam adalah punca utamanya.

    Anehnya, walaupun punca sudah diketahui, masih belum ada cara yang tuntas dan tegas untuk mengatasi masalah ini. Apa yang sedaya upaya dilakukan hanyalah untuk “meningkatkan kesedaran awam”, walau entah apa erti frasa itu sebenarnya, kerana tetap akan berulang lagi kejadian seumpama itu, dan kita seperti berada dalam kitaran yang tak berpenghujung.

    Tentang kerugian negara, jumlahnya jika diterjemahkan dalam wang ringgit adalah bernilai RM3.1 juta kos bagi setiap seorang yang terkorban. Ini mengambil kira jika individu itu seorang pekerja yang cekap di tempat kerjanya, merupakan seorang tulang belakang untuk keluarga dan juga kos lain dari segi nilai yang disumbangkan olehnya dalam kehidupan orang sekiling dan juga dalam masyarakat. Dalam tempoh setahun, anggaran kerugian untuk negara yang disebabkan kematian atau kecederaan akibat kemalangan ialah RM9.28 bilion.

    Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

    Jumlah kenderaan yang semakin bertambah di atas jalan juga menjadi pembolehubah kepada jumlah kes yang meningkat. Data menunjukkan, pada 2019, lebih daripada 31 juta kenderaan baru didaftarkan, termasuklah motosikal. Lima tahun kemudian pada 2023, jumlah berkenaan melonjak kepada lebih 36 juta kenderaan. Untuk mengurangkan kebarangkalian kemalangan jalan raya berlaku, satu daripada caranya adalah untuk mengurangkan kenderaan yang berada di atas jalan.

    Dari pihak kerajaan, setiap langkah yang difikirkan perlu telah dan sedang dijalankan. Misalnya mempertingkatkan kecekapan pengangkutan awam dan rangkaiannya yang menyeluruh (misalnya melalui bajet RM200 juta subsidi untuk pas perjalanan bulanan tren/bas yang kini sudah mencapai 200,000 pengguna), begitu juga dengan pemberian subsidi bersasar yang akan dijalankan nanti diharap akan mula mengalih lebih ramai pengguna untuk memanfaatkan pengangkutan awam (yang bagi perjalanan penuh atau pun sebahagian daripadanya) dalam urusan seharian mereka.

    Begitu juga dengan tindakan tegas terhadap operator lori yang melanggar peraturan had muatan yang telah ditetapkan, yang antara lain menjadi antara penyumbang kepada jalan berlubang. Ini menurut Loke bukanlah satu tindakan popular oleh kerajaan, tetapi sudah dilakukan yang menyaksikan pihak berwajib bukan sahaja mengeluarkan saman, tetapi juga turut menyita lori-lori berkenaan. Ada lori yang membawa lebihan muatan sehingga 150% daripada sepatutnya: dengan menyita lori pesalah-pesalah ini daripada berada di jalan raya secara tidak langsung menyumbang kepada aspek keselamatan pengguna yang lain.

    Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

    Selain itu, sejak Mac lalu juga, pihak polis melalui laman Facebook rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM akan berkongsi data harian berkaitan jumlah kemalangan dan kematian jalan raya, yang dimaksudkan sebagai peringatan untuk semua agak mengambil iktibar. Logik ini menurut Loke dipinjam daripada pengalaman Malaysia ketika berdepan dengan pandemik Covid-19 tiga tahun dahulu, yang dengan kerjasama dan liputan menyuluruh media telah berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan membantu pengurusan wabak dengan lebih cekap.

    Namun, kita tahu, jika hanya usaha satu pihak sahaja yang diharapkan, maka ia akan menjadi sia-sia. Kita semua, tidak kira lapisan atau kelompok dalam masyarakat, perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan perkara ini dapat diubah, dan kita berjaya menghapuskan kematian akibat kemalangan jalan raya. Tak ada jalan pintas.

     
     
  • Sapu bendasing pada brek untuk lepas pemeriksaan Puspakom – punca kemalangan kenderaan berat?

    Sapu bendasing pada brek untuk lepas pemeriksaan Puspakom – punca kemalangan kenderaan berat?

    Sudah banyak kali kita lihat kemalangan yang membabitkan lori atau kenderaan berat dan alasan yang kerap muncul adalah ‘brek tidak makan’. Beberapa kejadian yang berlaku baru-baru ini mungkin boleh memberikan anda idea apa yang dimaksudkan.

    Sekarang, timbul pula satu lagi isu berkenaan brek. Dalam satu gambar tangkap layar yang dimuat naik oleh Najmi Aiman di Twitter/X, seorang individu dilihat menyapu sesuatu yang kelihatan seperti krim pada bahagian pad brek dram sebuah kenderaan.

    Apabila kami pergi kepada sumber asal video tersebut, yang dimuat naik oleh “Apoi Garage” dalam satu lagi media sosial, ia sudah mencatat lebih 200k tontonan dan hampir 500 kongsian. Ruangan komen juga menampakkan banyak maklum balas daripada orang ramai.

    @fazli_apak Sape tau, utk apa nie.. cer komen 😊 #ApoiGarage #CarService #RepairEngineDLL #Senawang #Seremban #Fyp #Fyppp #Fypシ ♬ DJ Tenge Teng Get IMP ID RMX – IMP ID

    Kenyataan yang diberi untuk video itu memberikan soalan sama ada orang tahu atau tidak kenapa ia dilakukan. Ada yang memberi jawapan, ia untuk memberi lebih cengkaman pada brek, dan “Apoi Garage” nampaknya bersetuju.

    Kemudiannya, ada juga yang bertanya tentang krim yang disapu. Balasan yang dibuat oleh “Apoi Garage” adalah itu merupakan “simen kereta.” Setakat yang kami tahu, simen kereta ini merujuk kepada krim yang biasanya dicampur dengan pengeras untuk menutup kecacatan pada permukaan badan kenderaan sebelum dicat.

    Keberkesanan cara ini tidak diketahui, tetapi memandangkan ia menggunakan sesuatu yang bukan sepatutnya pada bahagian penting kenderaan, ia menimbulkan keraguan. Jika cara ini sudah menjadi kebiasaan, adakah ia antara punca alasan “brek tidak makan” yang selalu digunakan oleh pemandu lori atau kenderaan berat apabila kemalangan? Pendapat anda?

     
     
  • JPJ eBid: Siri JXC dan SWL bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Sabah bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXC dibuka bidaan bermula esok, 17 Mei 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 21 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 Mei 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SWL, dibuka bidaan mulai 24 Mei 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 28 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 29 Mei 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • MBSJ beri amaran parkir percuma di fasiliti, medan selera untuk pelawat saja – saman dan kapit tayar

    Untuk pekerja dan penduduk sekitar Subang Jaya dan Puchong, sila ambil maklum tentang notis ini. Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mengeluarkan amaran bahawa kawasan parkir di fasiliti yang disediakannya adalah untuk kenderaan pelawat yang berkunjung ke premis yang berada di sekitar daerah ini.

    Ini termasuklah di medan selera, dewan serbaguna, balai masyarakat, kiosk, tadika, taman dan pusat rehabilitasi.

    MBSJ berkata bagi orang awam yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, akan berhadapan dengan saman dan kenderaan mereka juga boleh dikenakan tindakan kapit tayar atau ditunda. Kadar yang ditetapkan ialah RM50 untuk kereta dan RM200 bagi kenderaan berat, dan ini termasuk melibatkan yuran tunda, kapit tayar dan penyimpanan. Penguatkuasaan ini bermula sejak semalam (15 Mei 2024).

    Pastinya notis ini dikeluarkan disebabkan MBSJ menerima banyak aduan mengenai salah guna parkir oleh orang awam. Mungkin ada di antara orang awam yang sengaja ‘parkir percuma’ di fasiliti terbabit sampai menyusahkan pelawat lain yang berkunjung ke lokasi berkenaan memandangkan ruang parkir yang agak terhad. Memang patutlah kena saman, kapit tayar atau kenderaan kena tunda. Jangan sampai menyusahkan orang lain semata-mata nak menyenangkan diri sendiri okay!

     
     
  • PADU: Data sudah sedia untuk pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan, tunggu waktu sesuai – Rafizi

    PADU: Data sudah sedia untuk pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan, tunggu waktu sesuai – Rafizi

    Menteri ekonomi, Rafizi Ramli memberitahu bahawa data di dalam Pangkalan Data Utama (PADU) kini sudah bersedia untuk pelaksanaan oleh kerajaan, pada bila-bila masa – lapor Bernama. Ia akan digunakan untuk pelbagai program termasuk subsidi bersasar, tetapi bila dan bagaimana ia akan dilaksanakan masih bergantung kepada kerajaan.

    “Kerajaan mencuba sehabis baik untuk mengelak spekulasi berkenaan inflasi, jadi adalah lebih baik untuk kami simpan dahulu penyusunannya. Rahsianya adalah bagaimana untuk menguruskan keseimbangan berkenaan bagaimana maklum balas pasaran dan masyarakat,” kata Rafizi kepada media semasa pelancaran program realiti tv Innovathon musim kedua semalam.

    Beliau menambah, terdapat kebimbangan kumpulan tertentu akan mengambil kesempatan dalam situasi ini dengan menaikkan harga, untuk mendapatkan lebih keuntungan sekiranya pendedahan awal dibuat. Beliau berkata, kerajaan merasakan adalah lebih baik jika orang ramai diberikan informasi berkenaan data itu terlebih dahulu, manakala pelaksanaannya akan diberitahu pada masa yang sepatutnya, bersama mekanisme yang sesuai.

    PADU dilancarkan oleh perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 2 Januari 2024, dan dikatakan dapat menyediakan satu pengkalan data utama negara yang lebih terjamin, lengkap dan menghampiri keadaan sebenar. Ia seterusnya dapat memberikan analisa data yang lebih tepat untuk digunakan bagi pelbagai program termasuk subsidi bersasar.

     
     
  • Honda City Hatchback 2024 dilancar di M’sia – varian baharu RS, Honda Sensing standard; dari RM86k

    Honda City Hatchback 2024 dilancar di M’sia – varian baharu RS, Honda Sensing standard; dari RM86k

    Honda Malaysia telah pun melancarkan barisan City Hatchback facelift baharu di pasaran tempatan, selepas tempahannya dibuka sejak 22 April lalu. Untuk barisan baharu model segmen-B ini, ia menawarkan lima varian iaitu paling asas adalah S berharga RM85,900, diikuti E (RM90,900), V (RM95,900), varian baharu RS (RM100,900) dan e:HEV RS pula ditawarkan pada harga RM112,900. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Bagi varian tanpa hibrid, ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan hamburan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.

    Manakala bagi varian e:HEV RS, ia dilengkapi dengan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama, dengan roda hadapannya dipacukan oleh motor elektrik berkuasa 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan tork 253 Nm.

    Motor elektrik itu dikuasakan oleh bateri lithium-ion yang dicas oleh motor elektrik kedua yang disambungkan ke enjin 1.5 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC empat-silinder Atkinson yang mampu menghamburkan kuasa hingga 98 PS (80 kW) pada 5,600 hingga 6,400 rpm dan tork cecah 127 Nm pada 4,500 hingga 5,000 rpm. Pacuan kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transimisi satu-kelajuan (digelar E-CVT).

    Semua varian tanpa hibrid boleh mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam 10.7 saat, manakala varian e:HEV RS pula dengan 9.7 saat. Manakala kelajuan tertinggi yang boleh dicapai oleh varian S dan E ialah 195 km/j, tetapi untuk V pula hanya 194 km/j dan 193 km/j untuk RS. Bagi e:HEV RS, kelajuan tertingginya sekitar 177 km/j sahaja.

    Bagi penggunaan bahan api pula, kesemua varian tanpa hibrid dianggarkan menggunakan sekitar 5.6 liter untuk setiap 100 km, berbanding e:HEV RS yang pasti lebih menjimatkan dengan 3.7 liter bagi setiap 100 km.

    Honda City Hatchback 2024 dilancar di M’sia – varian baharu RS, Honda Sensing standard; dari RM86k

    Barisan City Hatchback 2024 ini juga masih mengekalkan sistem suspensi dengan topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan palang torsion di belakang. Manakala Sistem breknya pula menggunakan cakera Ventilated di hadapan. Untuk bahagian belakang pula, dram digunakan untuk dua varian paling rendah dan tiga varian tertinggi diberikan cakera solid.

    Tiada perubahan dimensi untuk City Hatchback 2024, masih mengekalkan ukuran yang sama iaitu 4,350 mm panjang (dua varian RS dengan 4,369 mm), 1,748 mm lebar, 1,488 mm tinggi dan jarak roda pula 2,600 mm. Manakala ruang but juga kekal dengan kapasiti 289 liter dengan kedudukan tempat duduk normal.

    Untuk penggayaan luarannya, ia diberikan sentuhan yang lebih segar di mana rekaannya berbeza berbanding City sedan yang menerima kemaskini pada Ogos lalu. Untuk varian RS dan e:HEV RS, ia menampilkan rekaan yang lebih dinamik dan sporty termasuk palang hitam yang lebih nipis pada sudut atas gril. Selain itu, bampar baharunya kini didatangkan dengan kemasan lampu kabus LED yang lebih tajam mengapit jejaring honeycomb pada corong intake dengan tambahan saluran udara.

    Lampu utama automatik dengan unit halogen projektor diberikan untuk varian S dan E, manakala tiga varian tertinggi ditampilkan dengan unit LED. Varian RS turut menerima kemasan pada ambang sisi. Di bahagian belakang, lampu kombinasi LED baharu dan bampar dengan hiasan di bawah diberikan untuk kesemua varian. Ciri luaran lain untuk kesemua varian termasuk lampu nyalaan siang (DRL) LED, dan juga antena shark fin.

    Untuk dua varian paling rendah, ia diberikan rim aloi 15-inci yang dibaluti dengan tayar 185/60R 15 dengan kemasan Sparkle Silver untuk S dan Shark Gray bagi E. Manakala untuk tiga varian teratas menerima rim aloi 16-inci dengan tayar 185/55R 16 dengan kemasan Sparkle Silver untuk V dan dua varian RS menerima gaya yang lebih agresif dengan Berlina Black yang juga antara ciri baharu untuk City Hatchback ini.

    Honda City Hatchback 2024 dilancar di M’sia – varian baharu RS, Honda Sensing standard; dari RM86k

    Menjengah bahagian kabinnya, tidak banyak perubahan yang dilakukan, sama juga dengan City Sedan. Ada sedikit sahaja bahagian yang berubah iaitu soket pengecas yang ditukar kepada unit USB-C (e:HEV sahaja), dan terdapat poket kecil di bahagian belakang tempat duduk hadapan (e:HEV sahaja). Manakala dua varian RS diberikan kemasan merah termasuk pada tempat duduk.

    Ciri kelengkapan lain yang diberikan termasuklah walk away auto lock, kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, butang ECON, pedal penukar gear (varian e:HEV RS dengan Decelaration Selector Paddle), meter kluster TFT 4.2-inci (tujuh-inci untuk RS dan e:HEV RS) dan pendingin hawa tunggal automatik (larasan manual untuk S). Ia juga diberikan suis kawalan audio untuk roda stereng, konsol tengah dengan perehat tangan, serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto (wireless untuk dua varian RS).

    Hanya varian S sahaja tidak menerima ciri tambahan Remote Engine Start dan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang. Selain itu, roda stereng, tombol gear dan tempat duduk empat varian tertinggi dibaluti material kulit.

    Untuk sistem bantuan pemandu, semua varian bagi City Hatchback facelift ini didatangkan dengan kelengkapan Honda Sensing secara standard, termasuk dengan ciri baharu iaitu notifikasi ketibaan kenderaan hadapan. Ciri berkenaan menyertai fungsi sedia ada termasuk brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan di hadapan, amaran pelanggaran hadapan, sistem brek mitigasi pelanggaran, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, amaran ketibaan lorong dan lampu tinggi automatik. Varian e:HEV RS juga menerima ciri tambahan low-speed follow untuk fungsi kawalan kelajuan adaptif.

    Ciri standard lain termasuk enam beg udara, bantuan kestabilan kenderaan, ABS, EBD, penahan brek auto, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, ISOFIX jenis I-Size, dua penderia undur dan penderia kamera pelbagai-sudut. Varian V, RS dan e:HEV RS menerima ciri tambahan yang lebih padu iaitu Honda LaneWatch Camera dan dua varian tertinggi juga diberikan Honda Connect.

    Penawaran warna luarannya juga dikekalkan iaitu Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl dan Meteroid Gray Metallic untuk kesemua varian tetapi ada pertambahan satu lagi warna untuk varian bukan-hibrid iaitu Lunar Silver Metallic.

    Klik untuk besarkan imej spesifikasi penuh ini

    Honda Malaysia turut menawarkan pakej Modulo untuk City Hatchback 2024. Pakej Modulo penuh yang ditawarkan untuk semua varian termasuk kemasan bagi spoiler bawah untuk hadapan dan belakang, spoiler sisi dan tailgate, paip ekzos, fender hadapan, lencana rona hitam dan pedal sport. Manakala pakej Urban untuk semua varian yang merangkumi rear panel lining cover, foot light, pemijak tepi iluminasi dan visor pintu.

    Seperti yang telah diumumkan, harga atas jalan tanpa insurans bagi S ialah RM85,900, diikuti E (RM90,900), V (RM95,900), RS (RM100,900) dan e:HEV RS pula ditawarkan pada harga RM112,900. Kesemuanya didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan dan kos buruh percuma (terhad untuk lima kali servis dalam tempoh 100,000 km atau lima-tahun). Varian hibrid juga diberikan waranti lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk baterinya.

    Untuk mengetahui perincian penuh mengenai barisan Honda City Hatchback 2024 bagi pasaran Malaysia ini, sila layari Carbase.my.

    Honda City Hatchback facelift RS e:HEV 2024

    Honda City Hatchback facelift RS 2024

    Honda City Hatchback E 2024 dalam warna Phoenix Orange Pearl

     
     
  • Polis siasat geng kereta masak mi segera guna dapur mudah alih di stesen minyak di Genting Highlands

    Polis siasat geng kereta masak mi segera guna dapur mudah alih di stesen minyak di Genting Highlands

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan kira-kira jam 12.35 tengahari semalam berhubung klip video yang memaparkan geng kereta memasak mi segera menggunakan dapur mudah alih di kawasan sebuah stesen minyak, di Genting Highlands baru-baru ini.

    Hasil siasatan pihak polis Bentong mendapati klip video berdurasi 50 saat itu telah dimuat naik di laman media sosial sebelum ia tular menerusi ‘X’ (terdahalu dikenali sebagai Twitter) pada 13 Mei 2024. Justeru, kata Zaiham, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

    “Mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan. Polis Bentong juga akan mengambil tindakan tegas dan membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi stesen minyak berkenaan khususnya pada hujung minggu dan dan cuti umum kerana pihak polis menerima maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik kereta berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain,”kata Zaiham menerusi kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

    Harap-harap geng kereta yang buat onar di stesen minyak berkenaan tampilkan diri dan bekerjasama dengan pihak polis. Dah terang-terangan aktiviti korang itu tidak bersesuaian dilakukan di stesen minyak. Untuk pengetahuan semua, wap minyak boleh mengalir sejauh 10 meter dari punca seperti pam, tempat turun minyak dan vent pipe. Malahan wap minyak juga dikatakan lebih berat dari udara, jadi ia mendap di kawasan rendah. Maka, apa-apa lepasan elektrostatik berisiko untuk menyebabkan kebakaran.

     
     
  • BMW M4 CS 2024 diperkenal – enjin enam silinder 3.0L twin turbo 550 PS, transmisi M-Steptronic 8 kelajuan

    BMW M4 CS 2024 diperkenal – enjin enam silinder 3.0L twin turbo 550 PS, transmisi M-Steptronic 8 kelajuan

    BMW telah mendedahkan M4 CS baru, yang menggunakan asas daripada model generasi kedua G82. Mampu melakukan catatan masa tujuh minit 21.989 saat untuk melengkapkan litar Nürburgring Nordschleife sepanjang 20.832 km, model datang dengan beberapa peningkatan serta pembaharuan gaya.

    Pertama sekali, enjin petrol enam silinder 3.0 liter twin turbo yang digunakan padanya mendapat tekanan boost yang lebih tinggi, iaitu 2.1 bar, membantunya mencapai kuasa maksimum 550 PS (543 hp atau 405 kW) dan tork 650 Nm. Jumlah ini adalah sama seperti M4 CSL yang diperkenalkan dua tahun lalu dan lebih tinggi 20 PS berbanding M4 Competition.

    Enjin M4 CS ini boleh memberikan tork puncak antara 2,750 ke 5,950 rpm, sementara kuasa maksimum pula dihasilkan pada 6,250 rpm. Kuasa disampaikan kepada semua roda melalui transmisi M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic, serta sistem M xDrive dengan differential belakang Active M.

    Melalui tetapan ini ia boleh mencatat masa pecutan 0-100 km/j dalam 3.4 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 302 km/j – M Driver’s Package diberikan secara standard. Sebagai perbandingan, M4 Competition melakukan pecutan sama dalam masa 3.5 saat dan laju maksimumnya dengan pakej sama adalah 288 km/j.

    BMW M4 CS 2024 diperkenal – enjin enam silinder 3.0L twin turbo 550 PS, transmisi M-Steptronic 8 kelajuan

    Menurut BMW, M4 CS ini dapat memberikan maklum balas enjin yang cemerlang hasil daripada pengunaan tapak enjin khas dengan kadar spring yang dipertingkat, untuk memberikan sambungan lebih tegar antara unit penggerak dengan struktur kenderaan. Sistem penyampaian minyak dan penyejukan juga dipertingkat supaya dapat bertahan dengan keperluan yang tinggi di dalam litar.

    Untuk sistem M xDrive, ia boleh dipilih dalam tetapan 4WD Sport, yang menyampaikan lebih tork kepada roda belakang, atau menjadikannya pacuan dua roda terus melalui mod 2WD, yang memerlukan DSC untuk ditutup sepenuhnya.

    Memandangkan M4 CS ini adalah sebuah model yang fokus kepada pemanduan dalam litar, bahagian casis turut mendapat perubahan termasuk kinematik gandar yang ditala secara berasingan serta tetapan camber roda, spring serta anti-roll bar khas. Suspensi adaptif M yang digunakan juga adalah khas untuk model ini, dan begitu juga dengan tetapan stereng elektromekanikal M Servotronic serta brek M Compound.

    Dalam keadaan standard, model ini datang dengan rim M bersaiz 19 inci dengan tayar 275/35 di hadapan, dan 20 inci dengan tayar 285/30 di belakang. Bagi yang memerlukan kekuatan kilas yang lebih, mereka boleh mendapatkan pendakap tapak atas penyerap hentak.

    M4 CS ini adalah 20 kg lebih ringan berbanding M4 Competition, hasil daripada penggunaan plastik yang diperkuat dengan gentian karbon (CFRP) pada bahagian seperti bumbung, bonet, splitter hadapan, bukaan udara hadapan, pelindung cermin sisi, diffuser belakang serta spoiler. Di dalam, anda juga boleh menemui bahan sama pada konsol tengah, pedal penukar gear di stereng dan kemasan lain. Tempat duduk bucket M Carbon diberikan secara standard.

    Melihat kepada bahagian luar, lampu DRL M4 CS ini menggunakan pencahayaan berwarna kuning, manakala lampu utama Laserlight padanya pula menggunakan pencahayaan daripada diode laser untuk memberikan kesan 3D seperti yang dilihat kali pertama pada M4 CSL.

    Di dalam, terdapat beberapa tulisan dan huruf yang menandakan ini adalah model M4 CS. BMW Curved Display yang dipasang pada model ini (panel instrumen digital 12.3 inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.9 inci) datang dengan paparan khas M dan iDrive versi terbaru yang termasuk M Drive Professional dengan M Drift Analyser dan M Laptimer secara standard.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Mei – Masih dikekalkan

    Harga minyak 16-22 Mei – Masih dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 16 hingga 24 Mei 2024, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel masih tiada perubahan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada pertengahan April lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bahawa langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi petrol tetap akan dilaksanakan tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara. Menurutnya susulan jangkaan rasionalisasi bahan api itu, kerajaan akan melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat dengan risiko inflasi meningkat sebelum rancangan itu dilaksanakan.

     
     
  • SDAC bakal perkenal Ford Ranger edisi terhad pada 30 Mei ini — jaket istimewa percuma buat pembeli

    SDAC bakal perkenal Ford Ranger edisi terhad pada 30 Mei ini — jaket istimewa percuma buat pembeli

    Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) telah umumkan bakal melancarkan Ford Ranger edisi terhad dalam masa terdekat, dan akan dibuka untuk tempahan pada 30 Mei 2024. Orang awam juga boleh mendekati model ini dan memandu ujinya di acara pameran yang akan diadakan di kawasan Luxe, 1 Utama dari 30 Mei hingga 2 Jun 2024.

    Tiada perincian lanjut tentang model yang bakal diperkenalkan itu, selain memberi gambaran bahawa ia “direka untuk memperkaya pengalaman ketika aktiviti luar”. Bagaimanapun, ada sebuah video teaser dimuat naik ke akaun media sosial syarikat yang memberi petunjuk kepada peningkatan dan penampilan lebih ranggi yang diberikan.

    Dalam satu kenyataan, disebutkan yang tempahan hanya boleh dilakukan secara dalam talian, dan mereka yang membeli unit berkenaan akan turut menerima sehelai jaket edisi terhad Ranger percuma ketika menerima penyerahan trak pikap mereka nanti. Sebagai tambahan kepada Ranger istimewa itu, pengunjung juga akan berpeluang mencuba model biasa Ranger dan Everest di tapat acara yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

     
     
  • Kia Carnival 2.2D 8-tempat duduk 2024 — penampilan lebih jahat, tambahan ciri dan kemasan; harga RM246k

    Kia Carnival 2.2D 8-tempat duduk 2024 — penampilan lebih jahat, tambahan ciri dan kemasan; harga RM246k

    Bagi tahun 2024, penawaran bagi MPV Kia Carnival untuk pasaran tempatan diberikan beberapa kelainan. Masih model CKD pemasangan tempatan, kini hanya ada tiga varian ditawarkan (berbanding empat varian sebelum ini) — 2.2D 11-tempat duduk (RM198,500); 2.2D 8-tempat duduk High (RM245,888); dan 2.2D 7-tempat duduk High (RM259,888). Semua merupakan harga atas jalan, tidak termasuk insurans.

    Varian yang sedang anda lihat ini ialah Kia Carnival 2.2D 8-tempat duduk 2024. Walaupun bukan model facelift seperti yang diperkenalkan pada Oktober tahun lalu di peringkat global, penawaran Kia Carnival 2024 di sini tetap menerima peningkatan. Bagi dua varian teratas MPV ini, versi lapan dan tujuh tempat-duduknya, ia menerima rim 19-inci rekaan baru (terdahulu ia dilengkapi dengan rim 18-inci).

    Pilihan warna bagi Carnival ketika ini juga dikurangkan satu daripada sebelumnya, dengan yang tinggal hanya Astra Blue, Meteor Gray, Jet Black (gambar) dan Snowflake White Pearl — tiada lagi warna Sonic Silver. Di dalam pula, dua varian teratas itu diberikan balutan kulit hitam-kelabu.

    Kia Carnival 2.2D 8-tempat duduk 2024 — penampilan lebih jahat, tambahan ciri dan kemasan; harga RM246k

    Selain itu, kedua-dua varian High tersebut juga kini datang dengan sistem Blind-Spot View Monitor (BVM) baru — melibatkan paparan video dari kemara yang terletak di cermin sisi kiri dan juga kanan, dan bila aktif, paparannya akan keluar di kluster instrumen berhadapan pemandu — satu di setiap bulatan di meternya — bagi memudahkan pemandu untuk mengekalkan perhatian di jalanan. Kia Carnival 2024 datang dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan pakej servis.

    Selebihnya, Kia Carnival 2024 ini masih mengekalkan spesifikasi yang sama seperti enjin Smartstream 2.2 liter turbodiesel empat-silinder sebaris yang menghasilkan sebanyak 202 PS (199 hp) dan 440 Nm tork yang diganding bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan yang memacu roda depan.

    Antara dua varian High tersebut, yang membezakan hanyalah konfigurasi tempat duduk — lapan atau tujuh: versi tujuh-tempat duduk menggunakan captain seat untuk barisan kedua dengan konfigurasi 2-2-3, manakala versi lapan tempat duduk dengan 2-3-3.

    Kelengkapan standard lain MPV ini antaranya terdiri daripada lampu utama dan DRL LED, sistem tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, bumbung kaca luas, sensor parkir depan dan belakang, kluster instrumen digital 12.3-inci, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 12.3-inci, kawalan pendingin tiga zon, penghadang matahari di tingkap barisan kedua dan ketiga, tempat duduk pemandu berliang dengan ciri pemanas, sistem audio Bose dengan 12-pembesar suara, Apple CarPlay dan Android Auto serta pengecas telefon tanpa wayar.

    Ciri keselamatannya pula turut dilengkapi dengan High Beam Assist, Blind-Spot Collision Warning, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning, Forward Collision-Avoidance Assist (AEB) dengan sokongan keluar simpang, Lane Following Assist serta Smart Cruise Control (ACC).

    Kami pernah berkongsi pandangan melalui dua laporan pandu uji MPV ini — dalam penawarannya tahun-tahun sebelumnya. Satu bagi varian tujuh tempat duduk ketika awal pengenalannya di Malaysia pada tahun 2022, dan kedua bagi varian lapan-tempat duduk pada tahun 2023.

     
     
  • Pemandu mabuk langgar atlet kayak negara di JB

    Pemandu mabuk langgar atlet kayak negara di JB

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian yang menimpa atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias, 22 tahun, yang dilanggar dan diseret sejauh 600 meter oleh seorang pemandu mabuk petang Sabtu lalu.

    Menurut Raub, kemalangan terbabit berlaku di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL), JB, di mana motosikal yang ditunggang oleh Siti Nurul Masyitah yang ketika itu menghala ke Kota Tinggi, telah dirempuh kereta dipandu suspek dari arah belakang.

    Akibat kemalangan itu, Siti Nurul Masyitah mengalami kecederaan termasuk retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki, laporan Harian Metro.

    “Kereta suspek dari arah belakang mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa. Polis sudah menahan pemandu lelaki itu. Ujian saringan pernafasan ke atas pemandu yang berusia 30-an mendapatinya positif alkohol manakala ujian air kencing pula bebas daripada sebarang pengaruh dadah. Siasatan mendapati suspek memiliki tujuh rekod saman trafik yang belum dijelaskan tetapi tidak mempunyai rekod jenayah,” kata Raub.

    Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan. Tambahnya, lelaki berkenaan telah ditahan selama 24 jam untuk siasatan dan dibebaskan dengan ikat jamin.

    “Pihak polis memohon saksi yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek 014 6977122,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025