Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MY50 kini lebih mudah diaktifkan dan diperbaharui menerusi aplikasi TNG eWallet bermula 1 Julai 2025

    MY50 kini lebih mudah diaktifkan dan diperbaharui menerusi aplikasi TNG eWallet bermula 1 Julai 2025

    Prasarana dan Touch ‘n Go telah mengumumkan bahawa pas perjalanan tanpa had bulanan My50 boleh diaktifkan dan diperbaharui melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet bermula 1 Julai ini. Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia dalam pendigitalan sistem pengangkutan awam, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Pendigitalan pas perjalanan tanpa had My50 ini akan membolehkan pengguna melakukan pengaktifan dan pembaharuan pas bulanan mereka melalui peranti sendiri, tanpa perlu beratur di kaunter, dan pengguna tidak lagi perlu menggunakan MyKad untuk tujuan tersebut.

    Langkah terbaru dalam pendigitalan pas My50 ini memerlukan Kad Enhanced Touch ‘n Go dengan fungsi NFC, telefon pintar yang menyokong NFC dan akaun Touch ‘n Go eWallet yang telah disahkan.

    MY50 kini lebih mudah diaktifkan dan diperbaharui menerusi aplikasi TNG eWallet bermula 1 Julai 2025

    Pengaktifan dan pembaharuan pas perjalanan tanpa had My50 dalam aplikasi adalah seperti berikut:

    • Muat turun aplikasi Touch ‘n Go eWallet ke dalam telefon pintar yang menyokong fungsi NFC
    • Daftar akaun anda dan lengkapkan proses eKYC (electronic know-your-customer)
    • Pilih pas perjalanan My50 dalam aplikasi
    • Letakkan kad Enhanced Touch ‘n Go dengan fungsi NFC pada telefon pintar
    • Pilih pas My50 dan tetapkan tarikh pengaktifan
    • Bersetuju dengan terma dan syarat serta lengkapkan bayaran
    • Sentuhkan semula kad Touch ‘n Go yang dipilih pada telefon untuk pengaktifan
    • Setelah langkah-langkah di atas selesai, pengguna boleh memulakan perjalanan tanpa had selama 30 hari menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, BRT, bas RapidKL dan bas pengantara MRT.

    MY50 kini lebih mudah diaktifkan dan diperbaharui menerusi aplikasi TNG eWallet bermula 1 Julai 2025

    Seperti pas My50 yang diperkenalkan pada tahun 2019, pas My50 yang diaktifkan dan ditambah nilai melalui eWallet ini juga adalah khas untuk warganegara Malaysia, walaupun pengguna tidak lagi perlu mengimbas MyKad mereka.

    Bagi pengguna yang masih belum bersedia beralih kepada penggunaan Touch ‘n Go eWallet untuk pembaharuan pas My50, kaedah sedia ada iaitu pembaharuan di kaunter fizikal menggunakan MyKad masih lagi diterima pakai.

    “Langkah ini selaras dengan aspirasi untuk mendigitalisasikan sistem pengangkutan awam negara, serta menyokong agenda negara ke arah transaksi tanpa tunai,” kata Loke. Prasarana juga akan memperluaskan inisiatif pendigitalan ini kepada produk lain seperti pas MyCity dan MyTourist, tambahnya. Maklumat lanjut berkenaan perkara ini akan diumumkan dari semasa ke semasa oleh pihak TNG Digital.

     
     
  • Tiada penutupan jalan di KL untuk Perjumpaan Menteri Luar ASEAN pada 8-11 Julai — Fahmi Fadzil

    Tiada penutupan jalan di KL untuk Perjumpaan Menteri Luar ASEAN pada 8-11 Julai — Fahmi Fadzil

    Tidak seperti Persidengan ASEAN ke-46 yang diadakan pada Mei lalu, tiada penutupan jalan akan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur ketika berlangsungnya Persidangan Menteri Luar ASEAN dan mesyuarat lainnya dari 8-11 Julai nanti.

    Perkara ini dinyatakan oleh jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil seperti dilaporkan oleh New Straits Times. “Tidak akan ada jalan yang ditutup untuk acara berkenaan. Bagaimanapun, untuk Persidangan ASEAN ke-47 yang dijadualkan pada Oktober nanti, lebih banyak perincian akan dimaklumkan mendekati tarikh berkenaan,” ujarnya.

    Ketika Persidangan ASEAN ke-46 lalu, sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama ditutup atau dialihkan aliran trafiknya pada masa-masa tertentu, bermula 8 pagi hingga 8 malam, dari 23-28 Mei. Dengan Persidangan ASEAN ke-47 dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur sekali lagi pada Oktober ini, kita boleh jangkakan langkah penutupan yang sama akan dijalankan nanti.

     
     
  • Chery C5 dilancarkan di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan nama baru, suspensi multi-link, dari RM83k

    Chery C5 dilancarkan di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan nama baru, suspensi multi-link, dari RM83k

    Chery Omoda 5 facelift kini dilancarkan di pasaran Indonesia dan di sana ia menggunakan nama baru iaitu Chery C5, dengan penjenamaan Omoda digugurkan sepenuhnya. Versi facelift ini pertama kali diperkenalkan di Rusia pada September 2024 dan telah pun memasuki beberapa pasaran pemanduan sebelah kanan seperti Australia.

    Melihat kepada bahagian luar, Chery C5 tampil dengan wajah baru yang lebih moden dan kemas. Lampu siang LED kini menggunakan bentuk anak panah seperti yang terdapat pada model elektrik E5 dan disambungkan dengan jalur hitam merentangi bahagian hadapan.

    Meskipun penjenamaan Omoda telah digugurkan, tulisan “Omoda” masih ada pada jalur tersebut, mungkin bagi mengekalkan sedikit identiti asal. Bahagian bampar hadapan juga direka semula dengan bentuk X yang lebih berani, manakala gril berserta kemasan krom sebelum ini digantikan dengan corak petak sama warna dengan badan. Bahagian belakang tidak menerima sebarang perubahan besar dan masih mengekalkan lencana Omoda.

    Chery C5 dilancarkan di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan nama baru, suspensi multi-link, dari RM83k

    Ciri luaran lain yang diperbaharui termasuk rekaan rim aloi. Model asas C5 menggunakan rim bersaiz 17 inci, manakala varian tertinggi pula dipadankan dengan rim 18 inci serta dilengkapi bumbung panoramik. Kemasan merah yang sebelum ini digunakan pada bahagian luar dan rim kini tidak lagi digunakan, manakala warna badan baru dikenali sebagai Red Ruby disediakan sebagai pilihan yang lebih segar kepada pembeli.

    Di bahagian dalam, tiada perubahan reka bentuk diperkenalkan, namun spesifikasinya menerima beberapa penambahan dari aspek teknologi dan keselesaan. Antaranya ialah penapis udara PM 0.3 serta sokongan sistem Internet of Vehicle (IOV). Ciri keselamatan turut dipertingkat menerusi sistem ADAS yang kini merangkumi Traffic Jam Assist dan Intelligent Avoidance System.

    Untuk prestasi, Chery C5 masih menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter turbo yang berkemampuan 145 hp dan 230 Nm tork, namun begitu transmisi CVT sebelum ini telah digantikan dengan transmisi automatik klac berkembar (DCT) 6-kelajuan. Untuk pasaran tertentu di luar Indonesia, model ini turut ditawarkan dengan enjin 1.6 liter turbo berkuasa 197 PS dan 290 Nm, dipadankan bersama transmisi DCT 7-kelajuan. Bahagian suspensi belakang juga telah dinaik taraf daripada sistem torsion beam kepada multi-link.

    Chery Omoda 5 facelift pasaran Rusia

    Di pasaran Indonesia, Chery C5 ditawarkan pada harga 319.9 juta Rupiah (RM83,413) bagi varian Z, manakala varian tertinggi RZ dijual pada harga 349.9 juta Rupiah (RM91,235). Menariknya, Chery turut mengadakan promosi eksklusif yang merangkumi waranti enjin selama 10 tahun atau satu juta kilometer, waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000 km serta servis dan alat ganti percuma selama empat tahun atau 60,000 km.

    Dengan peningkatan ketara dari segi reka bentuk, prestasi dan teknologi, tidak mustahil Chery C5 bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. Ia berkemungkinan diperkenalkan di bawah jenama Chery utama, bukan lagi melalui jenama Omoda atau Jaecoo yang lebih premium.

     
     
  • Proton Saga MC3 sah akan dapat fungsi ADAS bersama pelbagai naik taraf teknologi, penampilan

    Proton Saga MC3 sah akan dapat fungsi ADAS bersama pelbagai naik taraf teknologi, penampilan

    Render oleh Theophilus Chin

    Baru-baru ini Proton mengumumkan kerjasama dengan pembekal dan dalam kenyataan media yang dikeluarkan, tersembunyi pendedahan penting berkaitan produk masa hadapan mereka. Antara yang menarik perhatian ialah pengesahan model baru berasaskan platform AMA — termasuk Proton Saga generasi baru MC3 — yang dijangka dilancarkan bermula tahun ini.

    Salah satu kerjasama penting adalah melibatkan syarikat teknologi automotif dari China, Imotion Automotive Technology, bersama pembekal lama Proton, Delloyd Technology. Usaha sama ini bertujuan mempercepat pembangunan dan penggunaan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) untuk model pertama platform AMA, yang dikenali sebagai AMA01.

    Meskipun tidak disebut secara terus, kenyataan ini mengesahkan bahawa Proton Saga baru bakal dilengkapi dengan sistem keselamatan canggih — satu peningkatan besar untuk sedan bajet ini. Sebelum ini, beberapa unit prototaip dengan pelekat penyamaran telah dikesan menjalani ujian, lengkap dengan kamera ADAS di bahagian atas cermin hadapannya.

    Proton Saga MC3 sah akan dapat fungsi ADAS bersama pelbagai naik taraf teknologi, penampilan

    Render oleh Theophilus Chin

    Walaubagaimanapun, masih belum diketahui sama ada model baru ini akan dilengkapi dengan semua ciri ADAS seperti model Proton yang lebih mahal ataupun tidak. Fungsi seperti Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist mungkin tidak disertakan kerana ia merupakan teknologi yang memakan kos kerana memerlukan kamera resolusi tinggi dan radar hadapan.

    Namun begitu, kehadiran ciri seperti sistem brek kecemasan automatik (AEB) sahaja sudah cukup besar maknanya. Ia bakal meletakkan Saga sebaris dengan pesaing terdekatnya, Perodua Bezza dari aspek keselamatan. Perlu diingatkan, ada model seperti Honda Civic yang menawarkan pemanduan separa automatik Tahap 2 hanya menggunakan sistem berasaskan kamera, jadi tidak mustahil ciri lebih canggih turut hadir.

    Persoalan yang turut timbul adalah sama ada ciri-ciri ini akan ditawarkan sebagai kelengkapan standard atau pilihan tambahan. Proton juga perlu memberi perhatian kepada isu keselamatan lama iaitu hanya dua beg udara ditawarkan untuk semua varian Saga sebelum ini. Harapan kini tertumpu kepada rekaan semula model baru ini agar mampu menawarkan sekurang-kurangnya enam beg udara, sekaligus memberi kelebihan berbanding Bezza.

    Proton Saga MC3 sah akan dapat fungsi ADAS bersama pelbagai naik taraf teknologi, penampilan

    Spyshot Saga MC3

    Untuk reka bentuk, Saga baru masih mengekalkan asas daripada model semasa yang bermula dari generasi “BLM” sejak 2008, tetapi kini hadir dengan penampilan yang lebih moden. Imej dalaman yang tersebar menunjukkan lampu utama jenis projektor, gril penuh dengan kemasan krom Ethereal Bow serta bentuk bampar baru.

    Bahagian dalamnya pula menerima perubahan menyeluruh — papan pemuka baru kini menempatkan skrin paparan lebar untuk meter dan infotainmen, corong pendingin udara berbentuk kapsul, serta suis pendingin hawa rekaan baru. Turut digunakan adalah stereng tiga cabang rata di bawah seperti Proton X50 .

    Dari aspek penggerak, terdapat kemungkinan Proton akan menggunakan enjin baru daripada Geely, seperti unit 1.5 liter turbo yang dikhabarkan akan digunakan dalam X50 facelift. Segala persoalan akan terjawab menjelang pelancaran rasmi Proton Saga baru pada suku keempat tahun ini.

     
     
  • Mercedes-Benz G580 2025 dilancar untuk pasaran Malaysia – empat motor elektrik, 587 PS, dari RM959k

    Mercedes-Benz G580 2025 dilancar untuk pasaran Malaysia – empat motor elektrik, 587 PS, dari RM959k

    Mercedes-Benz Malaysia secara rasmi telah melancarkan model elektrik terbaru mereka, Mercedes-Benz G580 dengan EQ Technology, yang merupakan versi elektrik kepada SUV ikonik G-Class. Model ini pertama kali diperkenalkan sebagai EQG Concept lebih tiga tahun lalu dan kini tampil dalam bentuk produksi sebenar.

    Meskipun G580 masih dibina berasaskan ladder-frame seperti G-Class versi enjin pembakaran dalaman, struktur casisnya telah diperkuat bagi menampung bateri lithium-ion berkapasiti 116 kWh. Bateri ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 200 kW, membolehkan ia dicas 10%-80% dalam masa hanya 32 minit. Untuk pengecasan AC biasa pada kadar 11 kW, masa yang diperlukan untuk mengecas 10%-100% adalah sekitar 11.77 jam. Apabila dicas penuh, ia boleh bergerak sehingga 473 kilometer (WLTP).

    Model ini dipacu oleh empat motor elektrik — dua di bahagian hadapan dan dua di belakang — dengan setiap motor mempunyai transmisi dua kelajuan yang membolehkannya berfungsi seperti sistem gear rendah dan tinggi pada kenderaan 4×4 biasa. Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa 587 PS (432 kW) dan tork 1,164 Nm. Sebagai perbandingan, Mercedes-AMG G63 dengan enjin V8 4.0 liter biturbo menghasilkan 585 PS dan tork 850 Nm.

    Melihat kepada harga, G580 ditawarkan pada RM958,888 atas jalan tanpa insurans, iaitu hampir 51% lebih rendah berbanding G63 yang berharga RM1,948,888. Perbezaan harga ini disebabkan oleh insentif kerajaan terhadap kenderaan elektrik diimport sepenuhnya (CBU).

    Dari aspek prestasi, G580 mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, sedikit perlahan berbanding G63 yang mencatat 4.4 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 180 km/j berbanding 240 km/j pada G63. Menariknya, Mercedes turut memperkenalkan fungsi G-Roar bagi meniru bunyi enjin V8 agar pengalaman pemanduan tetap mengujakan walaupun tanpa enjin pembakaran dalaman.

    Salah satu ciri unik G580 ialah keupayaannya melakukan G-Turn, iaitu pusingan setempat sehingga 720 darjah yang boleh dilakukan di permukaan licin atau tidak berturap, apabila kenderaan berada dalam mod ‘Rock’ dan gear rendah diaktifkan. Selain itu, terdapat juga fungsi G-Steering yang membolehkan kenderaan membuat pusingan tajam 90 darjah menggunakan roda belakang sebagai paksi, sangat berguna dalam ruang sempit. Namun, kedua-dua fungsi ini hanya boleh digunakan dalam keadaan dan kelajuan tertentu, dengan had maksimum 25 km/j.

    Mercedes-Benz G580 2025 dilancar untuk pasaran Malaysia – empat motor elektrik, 587 PS, dari RM959k

    Bagi mereka yang ingin menggunakan G580 untuk aktiviti offroad, Mercedes menyediakan fungsi pemanduan ‘crawl’ pintar apabila gear rendah diaktifkan. Pemandu boleh mengawal kelajuan merangkak ini menggunakan pedal penukar gear di stereng, bermula serendah dua km/j bergantung pada keadaan laluan.

    Dari segi keupayaan offroad, G580 menawarkan jarak kelegaan tanah 250 mm, sudut menjunam 32 darjah dan sudut mendaki 30.7 darjah. Meskipun sudut ‘breakover’ sedikit rendah, pada 20.3 darjah berbanding G-Class biasa (26 darjah), G580 menebus kekurangan ini dengan keupayaan meredah air sedalam 850 mm — iaitu 150 mm lebih tinggi berbanding varian G-Class dengan enjin biasa.

    Untuk rekaan, G580 masih mengekalkan rupa asas G-Class tetapi menerima beberapa sentuhan khas sebagai model elektrik. Antaranya termasuk gril depan berlampu dengan jalur hitam berkilat serta lampu utama bulat dengan kemasan hitam sekeliling. Bahagian apron bawah pula dilengkapi dengan kemasan berbentuk empat segi, manakala bonet kelihatan sedikit lebih tinggi. Elemen lain termasuk salur udara khas pada lengkung tayar belakang dan kotak simpanan pengecas di bahagian belakang.

    Reka bentuk dalaman mengekalkan susun atur seperti G-Class biasa, namun dilengkapi dengan paparan dan kawalan baru pada bahagian Offroad Cockpit yang terletak di antara corong penyaman udara tengah. G580 menggunakan sistem pengagihan tork sebagai pengunci differential maya, maka tiada butang khas untuk pengunci differential mekanikal. Varian G580 yang ditawarkan di Malaysia hadir dengan pakej Superior Line yang merangkumi papan pemuka balutan kulit Nappa, kemasan gentian karbon AMG dan pelapik bumbung Microcut berwarna hitam.

    Ciri standard lain termasuk sistem suspensi adaptif, mod pemanduan Electric Dynamic Select, pakej Night, bumbung suria, rim AMG 20 inci, pemijak tepi, panel tepi pintu bercahaya, lampu utama Multibeam LED yang digelapkan, stereng kulit Nappa, lampu suasana, sistem Keyless-Go, balutan kulit Nappa hitam, tali pinggang Manufaktur berwarna kelabu magma dan pemegang tangan dengan ukiran tulisan Manufaktur.

    Pada bahagian teknologi dan keselamatan, G580 hadir dengan sistem infotainmen MBUX lengkap dengan paparan tambahan untuk penumpang belakang, sistem audio Burmester serta pelbagai sistem bantuan pemandu. Antaranya termasuk Active Parking Assist dengan Parktronic, Lane Keeping Assist, sistem Pre-Safe, Guard 360, Blind Spot Monitoring, Active Distance Assist Distronic dengan bantuan stereng, kamera 360 darjah, Adaptive Highbeam Assist Plus dan navigasi MBUX Augmented Reality.

    Mercedes-Benz G580 2025 dilancar untuk pasaran Malaysia – empat motor elektrik, 587 PS, dari RM959k

    Mercedes-Benz Malaysia turut menawarkan versi edisi khas yang dinamakan G580 Edition, dijual pada harga RM998,888. Model ini tampil dengan tiga pilihan warna eksklusif Manufaktur iaitu South Sea Blue Magno, Opalite White Magno dan Classic Grey Solid. Versi ini juga menerima jalur pelindung luaran warna dan angkup brek berwarna biru, pemegang pintu dengan huruf ‘G’ timbul serta lampu ke arah lantai yang memaparkan tulisan ‘G – Stronger Than Time’.

    Ruang dalamannya pula menampilkan gabungan kulit Nappa perak mutiara dan hitam, pemegang tangan berbalut kulit, kemasan gentian karbon biru, jahitan biru pada stereng serta karpet AMG yang turut dijahit dengan benang biru, menambahkan lagi elemen eksklusif kepada model ini.

     
     
  • Lima kenderaan yang diparkir berhampiran stesen LRT Glenmarie jadi ‘mangsa’ kes langgar lari

    Sebelum ini, kami sendiri pernah melaporkan beberapa kejadian ‘pecah kereta’ yang berlaku berhampiran stesen LRT Glenmarie, Shah Alam. Semalam pula, terdapat lima buah kenderaan yang diparkir di kawasan yang sama menjadi ‘mangsa’ langgar lari, laporan Kosmo.

    Menerusi video yang dimuatnaik oleh pemilik akaun aawinn10 di laman media sosial TikTok, lima kenderaan yang terlibat kelihatan mengalami kerosakan yang agak teruk, berkemungkinan ‘diseret’ oleh kenderaan bersaiz besar.

    Dia yang merakamkan video ini turut meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan kejadian berkenaan walau pun kenderaannya tidak terlibat. Rata-rata netizen yang memberikan respons turut meluahkan rasa simpati terhadap pemilik kenderaan yang terbabit dan berharap agar mereka bertabah menghadapi dugaan sebegini. Namun ada juga netizen yang berpendapat kawasan berkenaan tidak seharusnya menjadi ‘tempat parkir’ kerana boleh menghalang laluan kenderaan lain termasuk bas perantara.

    Isu stesen LRT tersebut yang tidak mempunyai ruangan parkir yang mencukupi sering kali diluahkan terutamanya oleh pengguna tren kendalian Rapid KL ini. Walau pun pihak Rapid KL ada menyediakan perkhidmatan bas perantara dan juga van Rapid KL On Demand, namun masih ramai pengguna tetap mahu membawa kenderaan sendiri ke stesen LRT berkenaan.

    Diharap pengguna LRT di kawasan berkenaan lebih berhati-hati meletakkan kenderaan masing-masing agar tidak menghalang laluan atau pun kebarangkalian berisiko berhadapan dengan insiden sebegini. Laluan di kawasan tersebut bukan saja sempit, bahkan tiada lampu jalan serta CCTV yang boleh membantu memantau keadaan sekeliling.

    Mungkin apabila LRT 3 beroperasi kelak, pengguna yang datang dari kawasan berhampiran terutamanya Shah Alam pastinya mempunyai lebih alternatif untuk membawa kenderaan sendiri ke stesen LRT kerana terdapat beberapa stesen berhampiran termasuk di Stesen LRT Stadium Shah Alam. Jadi, tidaklah memanjang ‘sesak’ Stesen LRT Glenmarie ini terutamanya pada hari bekerja.

    @aawinn10 Cerita hari ini [25 Jun 2025] Balik kerja harini nampak banyak kereta kene seret.. dah la tak tinggalkan sebarang nota yang tertulis perkataan maaf sekalipun.. Sakit mat tengok damage kereta walaupon bukan kereta sendiri yang kena.. takdapat bayang kalau kereta sendiri yang kene seret.. moga yg terkesan bertabah dan dipermudah segala urusan.. #glenmarie #lrtglenmarie #shahalam ♬ som original – Movimento Reggae Parnarama

     
     
  • GAC Emkoo di M’sia – pemasangan tempatan CKD di kilang Segambut bermula, dilancarkan pada Q3 2025

    GAC Emkoo di M’sia – pemasangan tempatan CKD di kilang Segambut bermula, dilancarkan pada Q3 2025

    Pengedar kenderaan GAC di Malaysia, WTC Automotif (WTCA) telah mengumumkan pemasangan tempatan untuk GAC Emkoo telah pun bermula di kilangnya di Segambut, menjelang pelancarannya yang dijangka pada suku ketiga tahun ini.

    Ini merupakan model kedua GAC yang dikeluarkan secara unit pemasangan tempatan di fasiliti berkenaan, selepas model segmen-B Emzoom GS3 dilancarkan di Malaysia pada April 2024.

    Pernah kelihatan ia dipandu di jalan raya pada Mac lalu, Emkoo merupakan SUV segmen-C yang berukuran 4,680 mm panjang, 1,901 mm lebar dan 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm, yang dikatakan mampu memberikan persaingan buat Honda CR-V dan Proton X70.

    Seperti GS3 Emzoom, Emkoo juga menggunakan Global Platform Modular Architecture (GPMA), dan untuk pasaran global, SUV ini ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin termasuk 1.5 liter, 2.0 liter pengecas turbo petrol dan juga 2.0 liter hibrid.

    GAC Emkoo di M’sia – pemasangan tempatan CKD di kilang Segambut bermula, dilancarkan pada Q3 2025

    Bagi pilihan enjin 1.5 liter petrol, ia mampu menghamburkan kuasa 177 PS pada 5,500 rpm dan tork 270 Nm antara 1,400 dan 4,500 rpm, memacukan roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan.

    Bagi Emkoo yang pernah dipertontonkan di Malaysia, kabinnya diberikan paparan instrymen digital tujuh-kelajuan dan skrin sesentuh infotainmen 10.1-inci dengan sokongan Apple CarPlay, namun tidak pasti adakah ia juga diberikan untuk model yang bakal dipasarkan di sini.

    Di China, Emkoo turut ditawarkan dengan paparan yang lebih besar iaitu paparan instrumen 10.25-inci dan skrin sesentuh 14.6-inci serta sistem bunyi Yamaha bersama 12-pembesar suara.

    “Kami berbangga untuk mara ke langkah seterusnya dalam perjalanan CKD kami dengan pelancaran pengeluaran besar-besaran Emkoo. Pencapaian ini menyerlahkan keupayaan kami untuk memenuhi piawaian kualiti global bagi pemasangan secara tempatan. Emkoo mencerminkan komitmen kami untuk memberikan kenderaan berteknologi maju dan reka bentuk ke hadapan kepada pengguna Malaysia dengan cara yang tepat pada masanya dan juga cekap,” kata Ketua Pegawai Eksekutif WTC Automotif Tan Keng Meng.

    GALERI: GAC Emkoo dipertonton di Malaysia

     
     
  • ADAS, brek, lampu, HVAC Proton akan dibuat di Malaysia; kerjasama vendornya dan pembekal Geely

    ADAS, brek, lampu, HVAC Proton akan dibuat di Malaysia; kerjasama vendornya dan pembekal Geely

    Proton telah melengkapkan empat perjanjian usahasama dan juga dua perjanjian teknikal antara beberapa vendornya di Malaysia dan pembekal-pembekal komponen Geely dari China untuk meningkatkan lagi penghasilan komponen-komponen secara tempatan di sini.

    Menerusi sesi kali ini, vendor berpengalaman Proton iaitu Delloyd Technology Bhd telah menandatangani kerjasama dengan Imotion Automotive Technology (Suzhou) Co Ltd yang merupakan pembekal utama sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) kepada OEM di China seperti Geely, ZEEKR, Chery dan Volvo, untuk “membantu mempercepatkan pembangunan dan penggunaan sistem ADAS untuk model AMA01”. Ini mungkin merujuk kepada model pertama Proton yang akan menampilkan platform AMA, iaitu Proton Saga MC3 yang akan dilancarkan tahun ini.

    Manakala PEPS JV (M) Sdn Bhd menandatangani perjanjina dengan Liuzhou Sanly Autoparts Co Ltd bagi menghasilkan komponen-komponen sistem brek yang bakal digunakan pada model Saga MC3, X50, X70 dan X90. Selain itu JHM Consolidation Bhd telah menandatangani perjanjian dengan Jiangsu Dekai Auto Parts Co Ltd untuk menghasilkan komponen sistem lampu, dan Trillion Speed (M) Sdn Bhd bersama Shanghai Yinlun Heat Exchange Systems Co Ltd pula bakal berkerjasama untuk menghasilkan komponen untuk sistem penghawa dingin (HVAC) Proton di Malaysia.

    Dua perjanjian teknikal yang dimeterai pula adalah antara SHJ Interia Sdn Bhd-Changchun Fawsn Automotive Trim Co Ltd (untuk komponen bahagian kabin, terutamanya pelapik bumbung) serta Xenso Electronics Sdn Bhd dan Freetech Intelligent Systems Co Ltd (untuk ADAS, khasnya bagi pemantau titik buta dan bantuan tukar lorong).

    “Dengan komponen berteknologi tinggi menjadi semakin penting dalam model kami, penting bagi Proton untuk membawa pembangunan dan pengeluaran komponen ini ke ekosistem tempatan. Ini bukan sahaja untuk pengurangan kos tetapi juga untuk meningkatkan keupayaan pasukan R&D dan vendor. Perjanjian usaha dan teknikal ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk mengeluarkan kenderaan di Malaysia, sambil turut menjadikan negara ini hab automotif dengan menyumbang kepada merealisasikan Automotive High Tech Valley (AHTV) yang diterajui oleh pemegang saham syarikat,” kata Ketua Pegawai Perolehan Proton, Wang Huaibing.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan, JPJ dedah senarai syarikat bas ekpres, lori ada banyak saman tertunggak

    Kementerian Pengangkutan, JPJ dedah senarai syarikat bas ekpres, lori ada banyak saman tertunggak

    Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mendedahkan senarai syarikat pengusaha bas ekspres dan lori yang memiliki banyak saman trafik tertunggak atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

    Menurut Menteri MOT Anthony Loke, pihak berkuasa mengenalpasti 11 pengusaha lori dengan lebih 1,000 saman tertunggak dan 17 pengusaha bas ekspres dengan lebih 200 saman tertunggak. Beliau menambah bahawa senarai itu turut mendedahkan terdapat sebuah syarikat mempunyai 22,017 saman tertunggak sahaja. Tujuan mendedahkan senarai ini juga adalah untuk memberikan amaran kepada orang lain.

    Katanya lagi, lima kesalahan utama yang dilakukan oleh syarikat kenderaan komersial berat ialah kesalahan teknikal (brek/tayar tidak mengikut spesifikasi kenderaan/ serta pengubahsuaian kenderaan), pemandu tidak mempunyai lesen memandu yang sah, lebih muatan kenderaan, tiada cukai jalan (LKM) dan insurans yang sah, dan memandu melebihi had laju.

    Klik untuk besarkan

    Bagi pengusaha bas ekspres, lima kesalahan paling biasa yang dilakukan ialah memandu melebihi had laju, melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas (termasuk memandu lama di lorong paling kanan, memotong barisan, dan pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu), kesalahan teknikal, pemandu tidak mempunyai lesen memandu yang sah, serta tiada cukai jalan (LKM) dan insurans yang sah.

    Loke berkata bahawa semua syarikat yang terlibat telah diberi tempoh 14 hari dari tarikh pengumuman untuk menyelesaikan semua saman tertunggak di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangan. “Kegagalan untuk berbuat demikian akan diikuti dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, termasuk menyenaraihitamkan kenderaan serta-merta,” katanya.

    Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang, dan mengingatkan semua pengusaha kenderaan komersial supaya menyemak dan menyelesaikan semua saman tertunggak.

     
     
  • JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

    JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

    Semalam tular gambar sebuah Toyota GR86 menerima grafik badan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di media-media sosial. Jadi betul ke jabatan berkenaan dah guna kereta sport dua pintu tersebut untuk tugas-tugas rondaan? Jawapannya, tidak.

    Perkara sebenar telah didedahkan oleh laman Facebook rasmi perlumbaan Super GT Malaysia yang menyatakan bahawa Toyota GR86 tersebut sebenarnya adalah Safety Car yang akan digunakan dalam perlumbaan GR86 Cup Malaysia, di mana pusingan pertama siri ‘one make’ berkenaan akan berlangsung sekali dengan perlumbaan Super GT Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

    Kami turut difahamkan bahawa pihak penganjur perlumbaan berkenaan iaitu Haro Sports & Entertainment telah bekerjasama dengan pihak JPJ, membolehkan Safety Car tersebut menggunakan grafik badan kereta peronda jabatan itu. Dari gambar yang disiarkan juga dapat dilihat Haro menggunakan GR86 dengan spesifikasi yang sama seperti kereta lumba GR86 Cup sebagai asas untuk Safety Car berkenaan.

    Haro telah membawa 30 unit GR86 dalam spesifikasi Cup Car bagi dijual kepada mana-mana pihak yang berminat menyertai siri perlumbaan tersebut. Siri GR86 Cup ini sebenarnya turut dianjurkan di pelbagai negara lain termasuk Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan banyak lagi.

    JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

    Jentera ini diasaskan dari varian ‘kosong’ GR 86 RC pasaran Jepun yang datang tanpa aksesori seperti sistem infotainmen, dan hanya dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan. Varian ini hanya menampilkan berat keseluruhan 1,260 kg, tetapi mencapai 1,290 kg selepas ia siap sebagai sebuah kereta lumba. Ia juga masih menampilkan enjin FA24D 2,387 cc boxer empat-silinder tanpa pengecas turbo menghasilkan 227 hp pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 3,700 rpm.

    Bagi menjadikan ia sebuah jentera dalam spesifikasi Cup Car, GR86 ini diberikan tingkat taraf seperti sistem ekzos Fujitsubo, set klac plat tunggal perlumbaan dari Cusco dan penyejuk minyak transmisi. Talaan enjin masih lagi standard, namun talaan pada respons pendikit dibenarkan dengan penggunaan pengawal pendikit elektronik bagi memberikan kawalan pedal dan respon yang lebih baik kepada pemandu.

    Manakala untuk casis, kereta lumba ini diberikan set suspensi perlumbaan KW Racing dan juga set-set bushing suspensi dari TRD. Kereta lumba ini juga diberikan LSD jenis 1 Way pada gandar belakang, manakala sistem stereng berkuasa elektrik mendapat talaan semula.

    Dari kilang GR86 RC ini juga sebenarnya hanya datang dengan set rim besi 16-inci bersama tayar bersaiz 205/55R16. Namun untuk perlumbaan di Malaysia ini, semua pasukan diwajibkan untuk meggunakan set rim aloi forged dari jenama tempatan, Raxer RP10X berdiameter 17-inci dan lebar 8 jj, dibalut dengan tayar rasmi untuk siri ini di Malaysia iaitu Bridgestone Potenza RE-71RS bersaiz 225/45R17.

    Manakala di sebalik set roda berkenaan tersorok set brek Advics dengan angkup empat omboh bersama cakera dua bahagian 345 mm x 30 mm di hadapan, dan juga angkup dua omboh bersama cakera 330 mm x 26 mm di belakang.

    Kesemua 30-unit kereta lumba ini juga akan datang sekali dengan set rollcage berdiameter 40 mm yang menerima kelulusan undang-undang pertandingan JAF di Jepun, tempat duduk bucket Bride Zeta untuk pemandu yang lengkap bersama tali pinggang keselamatan enam-point, dan juga kelengkapan HANS.

    Selain itu ia juga datang dengan sistem pemadam api dan kill switch di luar dan dalam kabin bagi mematikan arus elektrik sekiranya berlaku kemalangan dan kecemasan, pin bonet keselamatan dan juga cangkuk tunda di hadapan dan belakang bagi memudahkan kerja-kerja menunda di dalam litar.

    JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

    Pusingan pertama GR86 Cup Malaysia ini akan menjadi perlumbaan sokongan untuk Super GT di Sepang yang sebenarnya telahpun bermula hari ini. Perlumbaan utama akan bermula esok dan berlangsung selama 10-lap. Sebanyak tiga pusingan akan diadakan sepanjang 2025, di mana pusingan kedua berlangsung bersama perlumbaan 300 km Malaysia Championship Series, manakala pusingan terakhir akan dibuat dalam format endurance di mana peserta perlu menghabiskan 86 lap. Ke semua pusingan akan berlangsung sepenuhnya di Sepang.

    Masih belum terlambat untuk anda membeli tiket bagi menyaksikan perlumbaan ini. Haro Sports & Entertainment sebelum ini turut telah mengumumkan bahawa penonton yang datang akan berpeluang untuk membawa pulang sebuah Toyota GR Supra menerusi cabutan bertuah yang akan dibuat.

    Bagi membolehkan layak menyertai cabutan bertuah ini, anda perlulah membeli tiket (kecuali tiket Grandstand K1) dengan menggunakan Mastercard. Untuk mendapatkan tiket, anda sudah boleh membuat pembelian secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia atau di Litar Sepang ketika perlumbaan berlangsung. Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama, RM350 untuk GT Suite, RM500 untuk GT Live! Rock Zone, RM2,000 untuk GT Club Paddock serta bermula RM5,000 untuk pakej-pakej Ultimate dan Dream.

    GALERI: Toyota GR86 Cup Malaysia

     
     
  • Volvo XC60 sudah terjual lebih 2.7 juta unit di seluruh dunia, atasi rekod Volvo 240 sebagai model terlaris

    Volvo XC60 sudah terjual lebih 2.7 juta unit di seluruh dunia, atasi rekod Volvo 240 sebagai model terlaris

    The XC60 overtakes the 240 to become Volvo’s best-seller

    Volvo Cars hari ini mengeluarkan satu kenyataan mengumumkan bahawa SUV XC60 keluarannya kini telah pun terjual lebih dari 2.7 juta unit di seluruh dunia, mengatasi angka jualan model ikonik yang paling larisnya sebelum ini iaitu Volvo 240.

    “Ketika membesar di Sweden pada era 1980-an, Volvo 240 merupakan kereta keluarga yang ikonik – hampir setiap rumah memilikinya,” kata Susanne Hägglund, ketua penawaran global di Volvo Cars. “Hari ini, XC60 mengambil alih peranan itu – bukan sekadar sebagai pilihan keluarga, tetapi juga sebagai model paling berjaya dalam sejarah kami.”

    Model generasi pertama Volvo XC60 diperkenalkan pada tahun 2008. Ia merupakan model pertama Volvo yang dilengkapi dengan sistem City Safety, iaitu sistem brek automatik pertama di dunia yang didatangkan secara standard untuk membantu mengelak atau mengurangkan perlanggaran pada kelajuan sehingga 30 km/j. Sehingga kini, sistem yang sama sudah menjadi ciri biasa yang bukan sahaja dipadankan Volvo, malah untuk jenama-jenama lain membantu mengurangkan kemalangan.

    Volvo XC60 sudah terjual lebih 2.7 juta unit di seluruh dunia, atasi rekod Volvo 240 sebagai model terlaris

    The XC60 overtakes the 240 to become Volvo’s best-seller

    Manakala bagi model XC60 generasi kedua yang diperkenalkan pada 2017, ia kemudiannya menjadi model pertama di dunia yang memperkenalkan Oncoming Lane Mitigation – sistem yang membantu anda kembali ke lorong jika tersasar ke laluan bertentangan.

    XC60 pada mulanya hanya dipasang di Eropah menerusi kilang Volvo di Torslanda, Sweden. Namun selepas itu ia menjadi model Volvo global pertama yang turut dipasang di kilang Volvo di Chengdu, China bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan. Ia juga pernah dinobatkan sebagai World Car of the Year pada tahun 2018.

    Berbalik pada Volvo 240, ia muncul buat pertama kali pada tahun 1974, dan model ini dihasilkan hanya dalam satu generasi dengan jumlah pengeluaran sebanyak 2,685,171 unit. Ia diproduksi oleh beberapa kilang Volvo di seluruh dunia termasuk di Gothenburg dan Kalmar di Sweden, Ghent di Belgium dan tidak dilupakan ia turut diproduksi oleh kilang Volvo di Shah Alam, Malaysia.

    Ketika dilancarkan pada tahun 1974, Volvo 240 telah meletakkan standard baharu dalam keselamatan – termasuk rekaan badan yang mampu menyerap hentakan hadapan dan belakang, serta kabin penumpang yang diperkukuh. Prinsip ini bukan sahaja masih menjadi asas rekaan keselamatan Volvo hingga hari ini, malah ia turut digunakan oleh pembuat-pembuat kereta yang lain.

    Model ini juga antara yang terawal memperkenalkan perlindungan hentakan sisi yang kemudian dikembangkan menjadi sistem Side-Impact Protection System (SIPS) milik Volvo. Malah, Volvo turut memperkenalkan Child Booster Cushion pada tahun 1978 – iaitu satu inovasi baharu yang diperkenalkan pada dunia, satu ketika dahulu.

    Produksi Volvo 240 ini akhirnya ditamatkan selepas 19-tahun, dengan unit terakhirnya dikeluarkan di kilang Torslanda, Gothenburg pada 5 Mei 1993.

     
     
  • Harga minyak 26 Jun-2 Julai – diesel untuk semenanjung dan RON97 dinaikkan 7 sen seliter

    Harga minyak 26 Jun-2 Julai – diesel untuk semenanjung dan RON97 dinaikkan 7 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 26 Jun hingga 2 Jun 2025, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON 97 dinaikkan sebanyak tujuh sen seliter iaitu menjadi RM3.21 seliter berbanding RM3.14 seliter pada minggu sebelum ini.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia juga dinaikkan sebanyak tujuh sen seliter iaitu menjadi RM2.88 seliter berbanding RM2.81 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Berkaitan dengan pelaksanaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ia akan diteruskan seperti yang dirancangkan. Dalam masa yang sama, beliau turut mengulangi bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat

    Di mana mekanisme pelaksanaan subsidi ini akan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

     
     
  • GWM Tank 500 Vanta muncul di Australia – cat badan dan kemasan luaran hitam sepenuhnya, RM208k

    GWM Tank 500 Vanta muncul di Australia – cat badan dan kemasan luaran hitam sepenuhnya, RM208k

    Selepas lebih setahun berada dalam pasaran Australia, GMW Tank 500 kini diperkenalkan dalam edisi istimewa dengan rupa lebih garang untuk pasaran berkenaan, dikenali sebagai GWM Tank 500 Vanta. Sesuai dengan namanya, pengayaan luaran SUV gergasi ini nampak lebih agresif dengan diberikan lebih banyak kemasan hitam.

    Model ini diasaskan dari varian tertinggi Tank 500 pasaran Australia iaitu varian Ultra. Ia ditawarkan hanya dalam warna badan Crystal Black secara standard, di mana warna ini merupakan opsyen dengan tambahan harga AUD595 (RM1.6k) untuk varian biasa yang lain.

    Selain itu, kemasan-kemasan krom pada Tank 500 biasa diubah kepada hitam berkilat untuk Tank 500 Vanta ini termasuk gril hadapan, lencana Tank pada gril dan juga kemasan-kemasan pada bampar hadapan. Melengkapkan mukanya, lampu hadapan Tank 500 Vanta ini juga hadir dengan latar belakang berwarna hitam.

    Tak cukup dengan itu, panel-panel kemasan perak dan krom seperti pada rel bumbung, perapi-perapi cermin tingkap, perapi pada pintu tailgate dan bampar belakang, kemasan pada perumah tayar gantian, perumah lampu belakang, pembuka pintu, kemasan bendul pintu serta kemasan diffuser belakang semuanya turut sudah dihitamkan.

    GWM Tank 500 Vanta muncul di Australia – cat badan dan kemasan luaran hitam sepenuhnya, RM208k

    Model ini juga menerima set rim aloi 18-inci enam-jejari istimewa juga dalam kemasan hitam berkilat. Manakala angkup brek hadapan dan belakang pula diserlahkan dengan kemasan warna merah.

    Bagi perincian lain, Tank 500 Vanta ini berkongsi dengan Tank 500 Ultra pasaran Australia. Ia termasuk menerima locking differential pada gandar hadapan dan belakang, cruise control untuk laluan off-road dan bantuan ‘Tank Turn’.

    Dalam kabin SUV ini diberikan paparan instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, roda stereng dengan pemanas, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, aliran udara dan pengurut, penghawa dingin tiga zon dan bumbung panaromik.

    Ia juga diberikan sistem keselamatan termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta, bantuan kekal lorong, amaran keluar selamat, kameran pemantau 540 darjah dengan pandangan telus bawah lantai dan pelbagai lagi.

    Unit rangkaian kuasanya juga tidak berubah, di mana SUV ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid dengan enjin 2.0 liter empat-silinder dengan pengecas turbo berkuasa 244 PS dari 5,500 rpm hingga 6,000 rpm dan dan tork maksima 380 Nm bermula 1,700 hingga 4,000 rpm, digandingkan bersama sebuah motor elektrik berkuasa 106 PS/268 Nm.

    Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa keseluruhan 346 PS dan 648 Nm, dan disalurkan menerusi transmisi HAT (Hydraulic Automatic Transmission) automatik sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    Dengan semua perincian ini, GWM Tank 500 Vanta dijual pada harga AUD75,990 (RM208k) atau AUD2,000 (RM5.5k)lebih mahal dari varian Ultra. Tempahannya sudah dibuka dan penghantarannya kepada pelanggan akan bermula awal bulan depan.

    GWM Tank 500 ini juga baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada Mei lalu. Kita disini menerima hanya satu varian tetapi perincian yang ditawarkan adalah hampir sama dengan varian Ultra yang ditawarkan di Australia. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM328,800

     
     
  • BMW X3 2025 – harga rasmi dikeluarkan, RM320,800 untuk X3 20 xDrive M Sport G45 hibrid ringkas

    BMW X3 2025 – harga rasmi dikeluarkan, RM320,800 untuk X3 20 xDrive M Sport G45 hibrid ringkas

    Dua minggu lalu semasa acara My BMW World, BMW Malaysia secara rasmi telah memperkenalkan BMW X3 generasi keempat, G45. Sekarang, harga untuk satu-satunya varian yang ditawarkan, iaitu X3 20 xDrive M Sport diumumkan – RM320,800 tidak termasuk insurans. Jika memilih pakej waranti lima tahun berserta servis, harganya naik menjadi RM348,700.

    Model baru ini dipasang dalam negara (CKD), di kilang BMW di Kulim, Kedah dan harganya meningkat kira-kira RM9,000 berbanding model X3 sDrive20i Final Edition sebelum ini (atau RM10,200 jika termasuk pakej waranti). Namun, peningkatan ini hadir bersama pelbagai tambahan kelengkapan canggih.

    BMW X3 G45 digerakkan oleh enjin empat silinder 2.0L turbo B48 dengan kuasa 190 PS dan tork 310 Nm, digabungkan bersama sistem hibrid ringkas 48V (menambah 18 PS dan 200 Nm secara elektrik). Transmisi automatik ZF lapan kelajuan masih kekal dan kini hadir dengan sistem pacuan semua roda xDrive.

    BMW X3 2025 – harga rasmi dikeluarkan, RM320,800 untuk X3 20 xDrive M Sport G45 hibrid ringkas

    Hasilnya, SUV ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 7.8 saat, lebih pantas 0.4 saat berbanding model sebelum ini. Kelajuan maksimum masih lagi 215 km/j. Satu ciri baru yang penting adalah pakej Driving Assistant Plus, menawarkan bantuan pemanduan semi autonomous Tahap 2 – termasuk Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop & go serta Lane Centering Assist.

    Ciri keselamatan lain dalam pakej ini termasuk Autonomous Emergency Braking, Speed Limit Assist, Blind Spot Monitoring dengan pencegahan perlanggaran, Rear Cross Traffic Alert, Rear Collision Warning dan amaran bukaan pintu belakang.

    Dari segi saiz, X3 baru kini lebih besar dan garang. Ia mencatat ukuran panjang 4,755 mm dan lebar 1,920 mm – masing-masing bertambah 34 mm dan 29 mm. Namun, ketinggiannya direndahkan sebanyak 25 mm (kepada 1,660 mm), memberikan rupa lebih sporty manakala jarak roda pula bertambah sedikit kepada 2,865 mm.

    BMW X3 2025 – harga rasmi dikeluarkan, RM320,800 untuk X3 20 xDrive M Sport G45 hibrid ringkas

    Rekaan luarannya mengambil inspirasi dari model elektrik BMW iX, dengan fender lebih bersegi, garis tingkap menaik, pemegang pintu rata dan permukaan sisi yang kemas. Bahagian hadapan menampilkan lampu utama segitiga dengan DRL berbentuk L dan gril “kidney” besar dengan pencahayaan Iconic Glow.

    Buat pertama kalinya, gril ini sekarang berpisah sepenuhnya dengan rekaan jalur menegak dan menyerong. Radar pula dialihkan ke sebelah kiri untuk rekaan yang lebih bersih. Lubang udara bawah turut diubah suai bagi menyerlahkan gaya sporty.

    Di belakang, lampunya berbentuk T dan tempat nombor plet kini ditempatkan di bampar – ciri pertama untuk model X bukan coupe. Paip ekzos juga kini disembunyikan. Model spesifikasi tempatan hadir dengan lampu LED automatik serta pakej M Sport yang termasuk bampar dengan bukaan udara besar, kemasan hitam berkilat dan rim 19 inci Style 1035 M.

    BMW X3 2025 – harga rasmi dikeluarkan, RM320,800 untuk X3 20 xDrive M Sport G45 hibrid ringkas

    Bahagian dalam juga menerima perubahan besar, dengan rekaan melengkung dan panel skrin besar merangkumi paparan pemandu digital 12.3 inci dan skrin infotainmen 14.9 inci, menggunakan BMW Operating System 9. Sistem pencahayaan Interaction Bar kini disepadukan pada panel pintu, corong udara tengah dan pengecas tanpa wayar Qi.

    Ciri dalaman lain termasuk stereng tiga cabang bawah rata, tempat duduk sport larasam kuasa dengan memori di bahagian pemandu, kemasan brushed aluminium dan bumbung hitam, balutan kulit tiruan Veganza, kawalan suhu tiga zon, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, head-up display, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera 360 darjah dan pintu but boleh buka tanpa sentuhan.

    Walaupun terdapat bateri untuk sistem hibrid ringkasnya, ruang but masih dapat ditambah 20 liter menjadi 570 liter dan boleh dibesarkan hingga 1,700 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Penambahbaikan pada pengendalian termasuk anti-roll bar baru, gandar belakang lebih tegap dan jarak antara roda belakang lebih lebar.

    Namun, satu kekurangan ketara ialah sistem audio yang hanya menggunakan unit enam pembesar suara biasa (100W) – menurun daripada sistem HiFi 10 pembesar suara pada model sebelumnya. Sistem bunyi lebih baik ada disediakan sebagai pilihan tambahan, iaitu unit 15 pembesar suara Harman Kardon, tetapi di Malaysia ia masih belum ditawarkan.

     
     
  • Nissan Patrol Nismo 2026 diperkenal – Armada dengan 460 hp, suspensi dan ekzos sport, kit badan khas

    Nissan Patrol Nismo 2026 diperkenal – Armada dengan 460 hp, suspensi dan ekzos sport, kit badan khas

    Nissan terus memperkuat barisan SUV besarnya dengan memperkenalkan Patrol Nismo, versi prestasi tinggi bagi SUV yang dilancarkan pada September 2024. Juga dikenali sebagai Armada di beberapa pasaran, Patrol Nismo ini tampil lebih bertenaga dengan talaan semula stereng, suspensi sporty, sistem ekzos lebih lantang serta rekaan luaran dan dalaman yang lebih agresif – bersama warna ikonik Nismo, Stealth Gray.

    Model Nismo ini masih menggunakan enjin 3.5-liter V6 twin-turbo, tetapi dengan tambahan kuasa sebanyak 35 hp, menjadikan jumlah keseluruhannya 460 hp. Peningkatan kuasa ini dicapai menerusi penalaan semula sistem enjin dan pelarasan teliti pada ruang injap, sementara tork pula tidak berubah (dijangka kekal pada 700 Nm).

    Sistem ekzos juga telah ditala semula untuk menghasilkan bunyi yang lebih “hidup” dan kemudiannya ditambah lagi dengan teknologi Active Sound Enhancement dalam kabin yang menjadikan bunyi enjin lebih kuat ketika pemanduan.

    Nissan turut memberi sentuhan khas pada talaan stereng kuasa elektrik dan suspensi udara adaptif untuk menjadikan pengalaman pemanduan lebih responsif dan mantap. Patrol Nismo dipasang dengan rim 22 inci khas Nismo yang dibalut tayar berprestasi tinggi (UHP), sesuai dengan karekter pemanduan sporty.

    Rekaan luaran menyerlah dengan bentuk badan lebih berkotak serta lampu nyalaan siang LED berbentuk ‘E 3’. Nismo menyempurnakan gayanya dengan kit badan khas, berserta pemijak tepi, spoiler belakang, lengkuk fender yang lebih lebar, lampu kabus LED dan angkup brek berwarna merah.

    Patrol Nismo ditawarkan dalam beberapa pilihan warna eksklusif termasuk Nismo Stealth Gray, kombinasi Stealth Gray dengan bumbung hitam (Super Black) dan Black Diamond Pearl. Pembeli juga boleh memilih warna Everest White Pearl Tricoat, sama ada bumbung hitam atau warna yang sama dengan badan.

    Nissan Patrol Nismo 2026 diperkenal – Armada dengan 460 hp, suspensi dan ekzos sport, kit badan khas

    Bahagian dalaman pula diberi kemasan kulit berjahit corak berlian (quilted) dengan warna gelap dan kemasan benang merah. Tempat duduk hadapan menerima bahagian sokongan tepi boleh laras untuk keselesaan semasa pemanduan agresif, selain pedal aluminium dan lampu suasana pelbagai warna.

    Sejak dilancarkan akhir tahun lalu, Patrol generasi terbaru ini meneruskan legasi kenderaan 4×4 lasak Nissan yang telah terjual lebih 1.9 juta unit di seluruh dunia merentasi tujuh generasi. Selain versi Nismo, Patrol juga hadir dalam beberapa varian lain seperti SV, SL, Platinum, Pro-4X dan Platinum Reserve (pasaran Amerika Syarikat).

    Semua varian bukan Nismo dilengkapi enjin sama – 3.5L V6 twin-turbo berkuasa 425 hp, dipadankan dengan transmisi automatik 9 kelajuan dan pedal penukar gear di stereng. Keupayaan menarik kekal pada 3,855 kg untuk semua model.

    Varian Pro-4X pula direka khusus untuk pengembaraan lasak, dengan tayar all-terrain, bampar hadapan off-road, plat pelindung bawah, sistem pengunci differential elektronik dan suspensi udara adaptif. Rekaannya diserlahkan lagi dengan tambahan kemasan pada fender, rim 20 inci eksklusif Pro-4X dan kemasan Lava Red.

    Bahagian kabin juga didatangkan dengan pilihan tempat duduk baris kedua jenis kapten. Menambahkan daya tarikan, sistem bunyi dalam Patrol ini menggunakan jenama premium Klipsch, menampilkan 12 pembesar suara yang menjanjikan kualiti audio luar biasa – sesuatu yang jarang dilihat dalam SUV.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025