Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Benelli TRK 702 dan 702X baharu diperkenal di Eropah

    Benelli TRK 702 dan 702X baharu diperkenal di Eropah

    Benelli memperkenalkan model baru TRK 702 di Eropah, yang disediakan dalam dua versi iaitu TRK 702 biasa dan TRK 702X. Spesifikasi teknikal dua model ini kebanyakannya sama tetapi beberapa kelengkapan ditukar supaya 702 biasa dapat dijadikan lebih untuk kegunaan atas jalan biasa, sementara 702X lebih lasak.

    Enjin yang digunakan untuk 702 adalah unit dua silinder selari DOHC 698 cc, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 70 hp pada 8,000 rpm dan tork 70 Nm pada 6,000 rpm. Benelli memberitahu, enjin serba baru ini mendapat penarafan Euro 5 dan mencatat penggunaan bahan api 4.6 l/100 km dalam ujian.

    Beza utama antara 702 dengan 702X adalah pada bahagian rim, dengan 702 mendapat unit aluminium 17 inci hadapan dan belakang, dibalut tayar Pirelli Angel GT masing-masing bersaiz 120/70 dan 160/60, sementara 702X pula mendapat rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR masing-masing bersaiz 110/80 dan 150/70.

    Suspensi juga terdapat sedikit perbezaan, dengan 702X menggunakan monoshock boleh laras penuh dengan jarak gerak lebih panjang, iaitu 50 mm, sementara pada 702 biasa ia cuma 45 mm. Suspensi hadapan adalah sama, iaitu fork USD 50 mm dengan jarak gerak 140 mm. Satu lagi kelebihan 702X adalah ia mendapat tongkat tengah.

    Kelengkapan lain yang tersedia pada dua TRK 702 baru ini adalah tangki bahan api 20 liter, brek cakera berkembar 320 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 260 mm dengan angkup satu piston di belakang, ABS dual-channel, lampu utama LED serta panel paparan TFT resolusi tinggai lima inci yang boleh disambung kepada telefon pintar.

    Dijual pada harga bermula 7,490 Euro (RM38,144), TRK 702 diberikan terus dengan beg barangan tepi dan belakang sebagai promosi tempoh awal. Berat keseluruhan motosikal adalah 215 kg untuk 702 biasa dan 218 kg untuk 702X.

    GALERI: Benelli TRK 702X 2023

    GALERI: Benelli TRK 702X 2023

     
     
  • Tesla di Malaysia jadi pemangkin cita-cita EV, bakal rancakkan pembangunan ekosistem — Zafrul

    Tesla di Malaysia jadi pemangkin cita-cita EV, bakal rancakkan pembangunan ekosistem — Zafrul

    Kemasukan Tesla ke pasaran Malaysia, dengan sokongan inisiatif BEV Global Leaders oleh MITI, memberi isyarat terhadap cita-cita kenderaan elektrik negara ini, jelas Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

    “Kehadiran Tesla melalui program berkenaan adalah penting kerana ia membri isyarat yang kita serius untuk membangunkan industri EV di sini,” ujarnya. Beliau menambah, keputusan syarikat itu untuk membangunkan prasarana pengecasan sebelum ketibaan keretanya ke pasaran Malaysia tidak hanya membuktikan hasrat mereka, tetapi juga mengukuhkan keyakinan dalam kalangan pelabur yang ingin melabur dalam rangkaian pengecasan dan kemudahan lain.

    Tambahnya, walaupun industri EV di sini masih baru, banyak pelabur tempatan dan asing, termasuk mereka yang terlibat dalam perniagaan stesen pengecasan, masing ternanti-nanti “kepastian” dalam pasaran sebelum membuat sebarang keputusan untuk melabur.

    “Mereka ingin tahu seberapa pantas kereta EV akan masuk pasaran. Dan, bagi yang melabur dalam pengecasan, mereka ingin lihat keterbukaan di sini. Tesla menjadi contoh yang baik dalam menggerakkan pemasangan stesen pengecas terlebih dahulu. Kita sedang membuka industri ini, dan perlu ada dorongan,” katanya ketika ditemui sehari sebelum pelancaran jenama Tesla di Pavilion KL, Khamis minggu lalu.

    Tesla di Malaysia jadi pemangkin cita-cita EV, bakal rancakkan pembangunan ekosistem — Zafrul

    Zafrul menyatakan, pembinaan stesen pengecasan, tidak hanya oleh Tesla, juga akan mempercepat pertumbuhan ekosistem automotif tempatan, memandangkan banyak syarikat Malaysia yang terlibat di dalam rantaian pembekalnya.

    “Malaysia mempunyai ekoskstem elektrikal dan elektronik yang kukuh yang telah dibangunkan sejak 50 tahun lalu, terutamanya dalam perniagaan semikonduktor, yang menjadi komponen utama dalam pembuatan kereta EV. Saiznya agak besar, dan bagus untuk melihat syarikat Malaysia ini menyokokng bukan hanya Tesla tetapi keseluruhan industri EV,” jelasnya.

    Ditanya sama ada syarikat automotif lain ada memohon untuk program BEV Global Leaders, beliau berkata kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima permohonan. “Kami terbuka, tiada yang eksklusif. Jika mereka boleh buat apa yang Tesla lakukan, mereka juga akan menerima layanan yang sama. Tetapi mereka perlu ada kelayakan dan memenuhi keperluan yang ditetapkan dan mestilah pemain utama di peringkat global,” jelasnya.

     
     
  • Toyota Innova Zenix 2023 dilancar di Thailand – dua varian hibrid; Toyota Safety Sense; dari RM183k

    Toyota Innova Zenix 2023 dilancar di Thailand – dua varian hibrid; Toyota Safety Sense; dari RM183k

    Toyota Innova Zenix telah dilancarkan di pasaran Thailand, di mana ia ditawarkan dengan dua varian hibrid. Model asas 2.0 HEV Smart dengan harga 1.379 juta baht (RM182,967), diikuti dengan spesifikasi penuh 2.0 HEV Premium berharga 1.479 juta baht (RM196,235).

    Sama seperti di Malaysia, sistem hibrid ini dipadankan dengan unit M20A-FXS 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan hamburan kuasa hingga 152 PS (150 hp atau 112 kW) pada 6,000 rpm dan tork 187 Nm dari 4,400 hingga 5,200 rpm.

    Penjana kuasa ini, yang juga boleh menggunakan E10 gasohol di Thailand, turut digandingkan dengan motor elektrik pada kadar 113 PS (111 hp atau 83 kW) dan 205 Nm untuk keseluruhan sistem kuasa 186 PS (184 hp atau 137 kW). Motor elektrik ini dijanakan oleh bateri nickel-metal hydride dengan kapasiti 6.5 Ah, dan transmisinya menggunakan CVT elektronik (E-CVT).

    Toyota Innova Zenix 2023 dilancar di Thailand – dua varian hibrid; Toyota Safety Sense; dari RM183k

    Bagi ciri kelengkapannya, kedua-dua varian didatangkan dengan lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, lampu belakang LED, upholstery kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, pencahayaan ambien, paparan pelbagai-info tujuh-inci, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, brek parkir elektronik (dengan brek penahan auto), empat mod pemandu (EV, Power, Normal dan Eco), sistem infotainmen skrin sesentuh 10.1-inci (dengan Android Auto dan Apple CarPlay) dan enam pembesar suara.

    Selain itu, ia juga diberikan roda aloi 18-inci, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, tailgate kuasa dengan akses bebas tangan, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem keselamatan pasif (ABS, bantuan brekt, EBD, VSC, kawalan cengkaman), bantuan mula mendaki, enam beg udara dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Toyota Safety Sense juga dilengkapi fitmen standard termasuk pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, kawalan kelajuan adaptif semua-kelajuan, brek kecemasan sendiri, kepekaan ketibaan lorong, bantuan mengesan lorong dan lampu tinggi automatik.

    Di Thailand, Innova Zenix hanya menawarkan bentangan 2-2-3, dengan barisan kedua boleh dipadankan dengan kerusi kapten. Bagi varian Smart, ia diberikan kerusi kapten yang dikendalikan secara manual dengan meja sisi, manakala untuk Premium pula, kerusi kapten didatangkan dengan larasan elektronik dengan fungsi Ottoman. Selain itu, varian tertinggi juga menerima warna dalaman dua-tona Dark Chestnut/Hitam, pedal penukar gear, bumbung panoramik dan paparan pandangan panoramik.

    Empat warna diberikan untuk MPV ini, termasuk Dark Steel Mica, Attitude Black Mica, Silver Metallic dan Platinum White Pearl. Warna terakhir yang disebut ini memerlukan kos tambahan sebanyak 10,000-baht (RM1,325). Sebagai perbandingan, Innova Zenix di pasaran Malaysia diberikan lima pilihan warna iaitu Platinum White Pearl, Silver Metallic, Grey Metallic, Attitude Black Mica dan Avantgarde Bronze Metallic.

    Di mana varian 2.0 HEV di sini dijual pada harga RM202,000 dan hampir sama dengan ciri yang diberikan kepada 2.0 HEV Premium versi Thailand. Tetapi kita tidak mendapat kerusi kapten. Selain itu, Innova Zenix untuk Malaysia juga tidak diberikan aksesori rasmi dari Toyota untuk kemasan luaran dan dalaman, alas but dan jaring kargo, serta beberapa ciri lain.

     
     
  • Saladin Mazlan muncul juara kelas Super 4WD di pusingan ketiga Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023!

    Saladin Mazlan muncul juara kelas Super 4WD di pusingan ketiga Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023!

    Walaupun Malaysia kini sepi dari sebarang kejohanan rali, namun komuniti rali negara membuktikan bahawa antara pemandu-pemandu rali terbaik di ASEAN masih berada di Malaysia – tahun lalu Karamjit Singh berjaya menggegar Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022 di Indonesia dengan membawa balik tiga gelaran juara, dan minggu lalu seorang lagi pemandu rali lagenda tempatan, Saladin Mazlan berdiri megah di atas podium pusingan ke-3 Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023!

    Walaupun sudah 12 tahun tidak bertanding dalam mana-mana rali peringkat antarabangsa, dan 25 tahun tidak berlumba secara kompetitif di atas permukaan gravel, Saladin yang berlumba di bawah pasukannya sendiri iaitu Saladin Rallying masih berjaya muncul juara kategori RC1 (Super 4WD) dan naib juara keseluruhan dengan memandu Subaru Impreza WRX Version 3 yang berusia 27-tahun, disediakan oleh Secret Service Garage (SSG) dari Malaysia.

    Selain dari perlu bersaing dengan jentera-jentera rali lebih baharu, Saladin bersama juruarahnya dari Thailand, IttIpon Simaraks berhadapan dengan pelbagai lagi cabaran lain bagi menghabiskan rali yang berlangsung di Wilayah Lopburi, utara Bangkok.

    Sebanyak 65 kereta dari pelbagai pasukan dari pelbagai negara termasuk Thailand, Jepun, India dan Malaysia memulakan rali ini. Namun dengan cuaca yang tidak menentu yang menjadikan laluan SS basah, licin dan berlecak akibat hujan yang turun, hanya 41 kereta yang berjaya menamatkan perlumbaan.

    Tujuh SS disediakan pada peringkat awal, tetapi SS pertama terpaksa dibatalkan kerana hujan yang turun terlalu lebat. Cabaran yang perlu dihadapi Saladin bermula seawal SS kedua kerana masalah kebocoran sistem penyejukkan enjin. Namun ia berjaya diperbaiki sendiri oleh Saladin dan Simaraks, seterusnya menghabiskan lima lagi SS tanpa sebarang masalah mekanikal.

    Saladin bukan satu-satunya pelumba rali Malaysia yang bertanding di kejohanan rali ini hujung minggu lalu. Kontinjen dari Malaysia turut disertai oleh seorang lagi rali negara yang berpengalaman iaitu Hj. Sutan Mustafa Salihin memandu Subaru Impreza WRX STi Version 8 dan juga Ezamin Ezham Ismail memandu Perodua Myvi X4.

    Kedua-dua mereka turut berjaya menghabiskan rali ini dengan Haji Sutan berada di kedudukan ke-6 dalam kategori RC1 dan ke-12 secara keseluruhan, manakala Ezamin pula berada di tempat ke-33 untuk keseleruhan.

    Anak Saladin sendiri iaitu Ibrahim Saladin yang kini berusia 21-tahun turut menyertai rali kali ini, memandu Proton Satria Neo dalam kategori RC2.1. Ibrahim yang juga memandu untuk pasukan Saladin Rallying dibantu oleh juruarah yang sudah lama bergandingan dengan ayahnya iaitu Arish Qutb.

    Namun nasib tidak baik, Ibrahim terlibat dalam kemalangan pada SS ke-4 ketika berada di kedudukan ke-9 dalam kelasnya, memaksanya menamatkan rali ini lebih awal. Menurut pasukan Saladin Rallying dalam kenyataan yang dikeluarkan, Ibrahim akan terus dilatih oleh ayahnya selepas ini bagi kembali semula dalam perlumbaan-perlumbaan lain.

    Saladin Mazlan muncul juara kelas Super 4WD di pusingan ketiga Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023!

    Saladin Mazlan merupakan pemandu rali yang mula mencipta nama pada era 90’an, dan pernah memandu dalam pasukan Proton PERT. Namun untuk peringkat antarabangsa, Saladin meneroka jalannya sendiri dengan mendapat tempat memandu Subaru Impreza WRX GC8 untuk pasukan Subaru Rally Team Japan di WRC Safari Rally pada tahun 2000.

    Pada 2001, Saladin bertanding dalam WRC untuk kategori Super 1600, memandu Ford Puma 1600 dengan pasukan Saladin Rallying. Manakala pada 2002, Saladin memandu Hyundai Accent WRC untuk pasukan Hyundai MSD Team Asia di beberapa pusingan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC).

    Menurut pengurus pasukan Saladin Rallying Nik Ammar Mohammed, pasukan itu akan aktif semula di peringkat antarabangsa selepas ini dengan menyertai pusingan-pusingan selebihnya dalam Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023, serta mengintai peluang untuk bertanding di Indonesia dan kembali ke APRC tahun hadapan!

     
     
  • Sebanyak 100 kenderaan mewah yang dibawa keluar dari Langkawi diburu SPRM; kerajaan rugi RM33 juta

    Sebanyak 100 kenderaan mewah yang dibawa keluar dari Langkawi diburu SPRM; kerajaan rugi RM33 juta

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang gigih memburu sebanyak 100 kenderaan mewah seperti Ferrari dan McLaren, yang dibawa keluar dari Langkawi dengan mendapat pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

    Menurut sumber yang memaklumkan kepada Harian Metro, hasil siasatan menerusi operasi khas SPRM, terdapat 100 kenderaan mewah yang berada di atas jalan raya di seluruh negara selepas pemilik kenderaan terbabit dipercayai bersekongkol dengan sindiket yang ‘menguruskan’ aktiviti ini.

    “Kenderaan ini ada yang dibeli pada 2015 lagi dan mendapati ada yang sudah bertukar pemilik asalnya hingga ke pemilik ketiga.

    “SPRM sudah mengumpul dokumen berkaitan kenderaan mewah terbabit bagi mengesan kenderaan itu dan membantu siasatan. Siasatan akan diteruskan bagi membawa pulang kembali ketirisan wang cukai kerajaan oleh sindiket terbabit,” kata sumber terbabit.

    Sebanyak 100 kenderaan mewah yang dibawa keluar dari Langkawi diburu SPRM; kerajaan rugi RM33 juta

    Tambahnya, pihak SPRM akan mengadakan fasa kedua operasi khas itu untuk diambil tindakan. Di mana fasa pertama operasi khas yang dijalankan di utara negara pada 13 Julai lalu, pihaknya berjaya menyita 20 kereta mewah.

    “Hasil operasi itu, SPRM berjaya menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.

    “Dalam operasi itu, tujuh individu berjaya ditahan di Kedah dan mereka yang dikesan ini adalah ejen sebuah agensi kerajaan yang bersubahat dengan mengemukakan maklumat palsu. Siasatan SPRM mendedahkan suspek itu bersubahat bersama pemilik kereta terbabit dengan mengemukakan dokumen yang mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

     
     
  • VIDEO: Perodua Bezza dan Honda City bertembung; pemandu selamat, keluar buka pintu sendiri

    VIDEO: Perodua Bezza dan Honda City bertembung; pemandu selamat, keluar buka pintu sendiri

    Seorang pengguna Facebook dengan akaun bernama Mohd Hairi Mharryz telah memuat naik satu hantaran video dashcam yang memaparkan insiden kemalangan berdepan antara sebuah Honda City GM2 dan juga sebuah Perodua Bezza, didakwa berlaku berhampiran Pusat Giatmara Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

    Dalam video berdurasi 30 saat tersebut, dapat dilihat Honda City itu tiba-tiba terbabas dan masuk ke lorong bertentangan. Nasib tidak baik, ia merempuh Perodua Bezza yang datang dari arah hadapan. Insiden ini telah menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk pada bahagian hadapan.

    Namun dengan jelas dalam video berkenaan, pemandu Perodua Bezza tersebut masih boleh membuka pintunya sendiri dan keluar dari kereta tersebut beberapa saat selepas ia terhenti, serta dapat dilihat beg udara juga berfungsi. Namun keadaan sebenar pemandu wanita itu tidak dapat dipastikan. Apa yang berlaku keatas pemandu Honda City yang terlibat dalam kejadian ini juga tidak diketahui.

    Video ini secara tidak langsung membuktikan penarafan lima bintang untuk ketegori perlindugan penumpang dewasa (AOP) yang diterima oleh sedan segmen-A tersebut yang diberikan oleh ASEAN NCAP dalam ujian pelanggaran keselamatan yang dibuat pada tahun 2016. Namun anda kena ingat kesemua peincian keselamatan tersebut hanya berfungsi sekiranya anda memakai tali pinggang keledar.

    Jadi jangan lupa selain memilih kenderaan yang selamat, sikap kita di atas jalan raya juga penting untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku ketika memandu. Pandu cermat, jiwa selamat!

     
     
  • EVx 2023: Lotus Eletre EV dipamerkan di SCCC – 905 hp, 0-100 km/j dalam 2.95 saat, jarak gerak 600 km

    EVx 2023: Lotus Eletre EV dipamerkan di SCCC – 905 hp, 0-100 km/j dalam 2.95 saat, jarak gerak 600 km

    Pengimport dan pengedar jenama Lotus di Malaysia, Lotus Cars Malaysia, turut mempamerkan Lotus Eletre, model SUV elektrik pertama keluaran jenama ini dalam acara EVx 2023 yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam. Acara EVx 2023 sedang berlangsung sehingga jam 7 malam ini dan kemasukan adalah percuma.

    Dilancarkan pada April lalu, Eletre ditawarkan dengan dua pilihan enjin untuk tiga varian bagi pasaran Malaysia. Kesemua versi dipadankan dengan penjana kuasa dwi-motor, AWD, dengan varian asas dan Eletre S menghamburkan 605 hp dan tork 710 Nm, membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat dan pecutan antara 80-120 km/j dalam 2.2 saat, dengan kelajuan maksima cecah 258 km/j.

    Sementara itu, model tertinggi Eletre R pula mampu menghasilkan 905 hp dan tork 985 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 2.92 saat, 80-120 km/j di bawah 1.9 saat dan kelajuan maksima cecah 265 km/j, menjadikannya SUV elektrik penuh dwi-motor terpantas di dunia, menurut Lotus.

    EVx 2023: Lotus Eletre EV dipamerkan di SCCC – 905 hp, 0-100 km/j dalam 2.95 saat, jarak gerak 600 km

    Kesemua varian menerima bateri 112 kWh, yang memberikan Eletre dan Eletre S jarak gerak hingga 600 km mengikut kitaran WLTP, sementara Eletre R pula dengan 490 km (WLTP). Manakala untuk asas sistem elektrik pula, Eletre diberikan seni bina elektrikal 800-volt yang membolehkan sistem pengecas pantas beroperasi serta menampilkan sistem agihan kuasa bervoltan tinggi berintegrasi. Ia boleh menyokong pengecas pantas DC 350 kW, dengan status pengecasan 10-80% dalam masa 20 minit. Manakala kadar pengecasan AC tertinggi pula cecah 22 kW.

    Dari segi saiz, Eletre menampilkan dimensi 5,103 panjang, 2,135 mm lebar (termasuk kamera sisi) dan tinggi 1,630 mm tinggi dengan jarak roda 3,019 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiz sebenarnya, Eletra adalah 507 mm lebih panjang dengan jarak roda 359 mm lebih jauh berbanding Honda CR-V.

    Jika anda ingin melihat Eletre serta barisan EV lain di hadapan mata, jangan lupa untuk ke acara EVx 2023 yang dibawakan khas oleh paultan.org yang sedang berlangsung di SCCC, Setia Alam, sehingga jam 7 malam ini. Banyak aktiviti menarik turut menanti anda. Masuk adalah percuma.

     
     
  • EVx 2023: Ambulans WAS 500 EV di bawah penilaian oleh First Ambulance, diuji bagi kegunaan di Malaysia

    EVx 2023: Ambulans WAS 500 EV di bawah penilaian oleh First Ambulance, diuji bagi kegunaan di Malaysia

    Bukan setakat kereta elektrik, ambulans elektrik juga dipamerkan dalam acara EVx 2023 yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) sehingga jam 7 malam ini. Ambulans WAS 500 EV ini sedang dikaji oleh pengendali ambulans persendirian First Ambulans untuk kegunaan di Malaysia.

    Dengan Mercedes-Benz Sprinter sebagai asas kerangkanya, WAS pakar dari Jerman telah memberikan ‘jantung penggerak’ ambulans EV dengan pek bateri 87 kWh yang mampun memberikan jarak gerak hingga 200 km. Ia boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 22 kW menerusi sambungan pengecas Type 2. Jika di Eropah, ambulans EV ini juga boleh menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 50 kW atau 100 kW, dan mendakwa mampu mencapai kelajuan maksimum cecah 120 km/j.

    Untuk model yang ditunjukkan menerusi EVx 2023 adalah unit pemanduan sebelah-kiri yang dibawa masuk dari Eropah ke Malaysia. Walau bagaimana pun ambulans EV ini masih belum diluluskan untuk kegunaan jalan raya, oleh itu ia sedang dinilai secara statik, ujar Pengarah Urusan First Ambulance Steven Penafort.

    Ambulans EV ini ialah unit tunggal seumpamanya di Malaysia, dan First Malaysia merancang untuk menjalankan ujian ambulans EV, walaupun ia masih belum disahkan.

    Di Eropah di mana ambulans elektrik WAS 500 beroperasi dan menjalankan tugas termasuk tindak balas perubatan, ia disertai dengan konvoi ambulans kedua berkuasa pembakaran, dan mungkin ia juga akan turut diaplikasikan di sini apabila ambulans EV diuji di Malaysia, kata Penafort.

    Kalau anda tidak mempunyai sebarangan aktiviti untuk dilakukan hari ini, jangan lepaskan peluang berkunjung ke acara EVx 2023 di SCCC, Setia Alam. Acara tahunan yang membariskan model-model EV di pasaran Malaysia adalah anjuran Paultan.org, berlangsung sehingga 7 malam ini. Anda juga berpeluang memandu uji dan menempah terus mana-mana model EV yang diminati. Tiada tiket kemasukan dikenakan untuk acara EVx 2023 ini.

     
     
  • EVx 2023: CAF CE1 — van EV dengan jarak 300 km

    EVx 2023: CAF CE1 — van EV dengan jarak 300 km

    Untuk EV, tidak hanya kenderaan penumpang yang dipamerkan di EVx 2023 anjuran paultan.org hujung minggu ini, yang bertempat di Pusat Persidangan Setia City yang berlangsung hari ini. EV bagi komersial juga tidak ketinggalan.

    Contoh kenderaan komersil EV ini ada di ruang pameran Avis. Ia sebuah van panel model CE1 oleh syarikat Malaysia, CAF (Create Another Future). Van komersil EV ini membekalkan kuasa dari 30 kW hingga 80 kW bergantung kepada versi, dengan pacuan ke roda belakang.

    Bateri lithium-ion phospate (LFP) dengan kapasiti 41.86 kWh dari CATL memberikan jarak perjalanan sehingga 300 km (kitaran NEDC), yang menurut syarikat itu merupakan jarak paling jauh ditawarkan untuk van komersil EV dalam pasaran ketika ini. Laju maksimum ialah 100 km/j.

    Ia antaranya dilengkapi dengan lampu DRL LED, skrin tengah infotainmen sembilan-inci (dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto) dan sensor undur dan kemera undur. Dari segi keselamatan, CE1 hadir dengan dua beg udara, ABS dengan EBD serta ESC.

    Untuk mengetahui lebih lanjt tentang van panel CAF ini, serta banyak lagi aktiviti dan tawaran menarik lainnya, berkunjunglah ke pameran EVx hari ini, yang berlangsung sehingga jam 7 malam nanti. Masuk adalah percuma.

     
     
  • EVx 2023: Hyundai mempertontonkan barisan EV keluarannya di SCCC – Ioniq 6, Ioniq 5, Kona Electric

    EVx 2023: Hyundai mempertontonkan barisan EV keluarannya di SCCC – Ioniq 6, Ioniq 5, Kona Electric

    Hyundai menjadi antara jenama pengeluar kereta yang turut menyertai acara EVx 2023 yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) dan mampertontonkan barisan model kenderaan elektrik (EV) keluarannya. Acara EVx 2023 ini sedang berlangsung sehingga jam 7 malam ini dan kemasukan adalah percuma.

    Model yang menjadi tumpuan ramai di tapak pameran Hyundai sudah pasti Ioniq 6 yang baru saja dilancarkan pada petang Jumaat lalu. Dengan mempertontonkan varian Ioniq 6 Max AWD, ia menggunakan dua motor elektrik, bersama sistem pacuan semua roda, menyediakan kuasa 325 PS dan tork 605 Nm. Ia membolehkan varian ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat dan mampu mencapai kelajuan tertinggi hingga 185 km/j. Menjadikan fastback ini menjadi kereta yang paling aero dinamik di dunia, dengan kadar Cd hanya 0.21.

    Dibina atas platform E-GMP dengan sistem elektrikal 800 volt, Ioniq 6 boleh dicas menggunakan sumber kuasa sehingga DC 350 kW, dan menaikkan tahap bateri dari 10-80% dalam masa cuma 18 minit. Apabila menggunakan sumber DC 50 kW, ia akan mengambil masa 73 minit untuk naik dari 10-80%.

    EVx 2023: Hyundai mempertontonkan barisan EV keluarannya di SCCC – Ioniq 6, Ioniq 5, Kona Electric

    Selain itu, Hyundai turut mempertontonkan model Ioniq 5 yang menggunakan tetapan satu motor, pacuan RWD dan bateri 58 kWh, mampu memberikan jarak gerak sehingga 384 km, sementara varian Max masih lagi menggunakan bateri 72.6 kWh yang mampu menawarkan jarak gerak sehingga 430 km.

    Melengkapi barisan EV di bawah jenama Hyundai di pasaran tempatan ialah Kona Electric yang turut dipamerkan. Crossover segmen-B boleh dicas menggunakan pengecasan pantas DC berkapasiti 50 kW yang memerlukan masa 60 minit untuk penuh bagi model 39.2 kWh, manakala 90 minit untuk mengecas model dengan bateri 64 kWh. Pengecasan AC biasa dengan pengecas 7.2 kW onboard fasa-tunggal pula memerlukan masa 6.5 jam bagi model paling asas dengan bateri 39.2 kW.

    Hari ini merupakan hari kedua dan terakhir untuk acara EVx 2023 bagi tahun kedua penganjurannya. Jika anda ada kelapangan, jangan lupa untuk menyertai EVx 2023, banyak tapak pameran berkaitan EV serta pelbagai aktiviti menarik yang boleh anda sertai.

     
     
  • EVx 2023: Petronas lancar Pelan Keahlian Gentari – harga promosi RM399, diskaun 50% untuk pengecasan

    EVx 2023: Petronas lancar Pelan Keahlian Gentari – harga promosi RM399, diskaun 50% untuk pengecasan

    Sentiasa komited dengan agenda EV, Petronas telah hadir di acara EVx 2023 di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam dengan mempamerkan pelbagai inisiatif di tapak pameran. Salah satunya adalah sistem pengecasan awam, yang dibuat melalui anak syarikatnya, Gentari.

    Pemilik kenderaan EV kini boleh mendapatkan Pelan Keahlian Gentari, yang dilancarkan dengan diskaun RM500 bagi 100 pelanggan pertama. Ini bermakna, harga untuk pelan pengecasan EV awam itu sekarang cuma berharga RM399 berbanding kebiasaannya RM899.

    Melalui Pelan Keahlian Gentari ini, anda akan mendapat akses selama satu tahun (boleh diperbaharui setiap tahun) untuk rangkaian luas pusat pengecasan syarikat itu yang berada di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.

    EVx 2023: Petronas lancar Pelan Keahlian Gentari – harga promosi RM399, diskaun 50% untuk pengecasan

    Anda juga akan diberikan diskaun 50% untuk setiap urusniaga mengecas, dan melalui pakej insentif dari kerajaan, anda layak untuk menerima pengecualian cukai sehingga RM2,500 apabila melanggan program tersebut.

    Jika anda tidak mahu melanggan pelan keahlian tersebut, anda masih boleh menggunakan tempat mengecas Gentari menggunakan aplikasi Petronas, yang dapat memberikan pelbagai informasi termasuk lokasi, jenis pengecas serta harganya.

    Turut dibawa oleh Gentari ke EVx 2023 adalah EV Charge Go, bagi memberikan gambaran lebih jelas kepada orang ramai bagaimana sistem mengecas mudah alih berfungsi. Petronas juga memperkenalkan barisan pelincir Iona yang direka khas untuk transmisi EV, sewaktu acara EVx 2023.

    Dalam segmen penggerak elektrik, Petronas mempunyai kerjasama dengan Blueshark, dan sewaktu EVx 2023, anda boleh menguji sendiri skuter elektrik R1 dengan hanya menjawab kaji selidik yang disediakan. Skuter R1 ini ditawarkan dalam dua versi dan menggunakan bateri yang boleh dibawa keluar supaya mudah untuk ditukar dan dicas semula.

    Anda yang hadir ke EVx 2023 juga boleh mencuba pelbagai permainan yang disediakan oleh Petronas untuk mendapatkan hadiah menarik. Kiosk Cafe Mesra juga menyediakan donut percuma bagi 50 individu terawal yang menjawab kaji selidik mereka setiap hari.

    Kalau anda tidak mempunyai sebarang aktiviti untuk dilakukan hujung minggu ini, jangan lepaskan peluang berkunjung ke acara EVx 2023 di SCCC, Setia Alam. Acara tahunan yang membariskan model-model EV di pasaran Malaysia ini dianjurkan oleh Paultan.org, dan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Anda juga berpeluang memandu uji dan menempah terus mana-mana model EV yang diminati. Tiada tiket kemasukan dikenakan untuk acara EVx 2023 ini.

     
     
  • EVx 2023: smart #1 buat penampilan sulung di M’sia

    EVx 2023: smart #1 buat penampilan sulung di M’sia

    Antara model yang membuat penampilan umum pertamanya di Malaysia ketika acara EVx 2023 di Pusat Persidangan Setia City ialah smart #1, selepas sesi pratonton media yang berlangsung awal minggu ini.

    Untuk pasaran tempatan, akan ada dua varian yang diperkenalkan, smart #1 Premium dan versi Brabus. Bagi varian Premium, ia dilengkapi dengan motor elektrik di belakang dengan janaan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork yang memacu roda belakang.

    Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.7 saat. Varian paling tinggu pula Brabus, hadir dengan tambahan motor kedua di depan, menjadikannya pacuan AWD dengan kuasa 428 PS (315 kW) dan 543 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.

    EV ini menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang menyediakan jarak perjalanan 440 km dalam kitaran WLTP. Kadar pengecasan maksimumnya ialah 150 kW DC: dengan pengecas yang serasi, kadar bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit.

    Walaupun DC adalah pilihan yang paling ideal untuk mana-mana EV, sumber utama untuk pengecasan sebenarnya adalah melalui AC, dan smart #1 turut ada kelebihan dengan 22 kW AC berbanding kebanyakan model biasa yang hanya menyediakan kemampuan 11 kW.

    Harga smart #1 masih belum didedahkan, memandangkan ia hanya akan dilancarkan secara rasmi pada suku keempat. Namun, sebelum pelancarannya, orang ramai sudah boleh mendekati model ini di acara EVx 2023 yang sedang berlangsung hingga esok, bertempat di Pusat Persidangan Setia City. Bacaan lanjut berkaitan smart #1 ada di sini.

     
     
  • EVx 2023: BMW i7 xDrive60 2023 jadi tumpuan ramai – jarak EV 625 km, 544 PS, BMW Theatre Screen 31.3″

    EVx 2023: BMW i7 xDrive60 2023 jadi tumpuan ramai – jarak EV 625 km, 544 PS, BMW Theatre Screen 31.3″

    Pengunjung acara EVx 2023 yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) , Setia Alam, selama dua hari ini (22-23 Julai) juga berpeluang menyaksikan sendiri penampilan BMW i7 xDrive60 2023 yang dilancarkan pada Jun lalu.

    Model sedan mewah versi elektrik ini dijual pada harga RM729,800 atas jalan, tidak termasuk insuran — dan termasuk lanjutan jaminan lima-tahun dan pakej servis. Ia menjadikannya lebih mahal berbanding model plug-in hybrid 750e xDrive yang datang dalam dua versi iaitu Pure Excellence pada harga RM649,800, dan M Sport dengan harga anggaran RM700,000.

    Versi EV ini diberikan sepasang motor elektrik — satu di setiap gandar — yang memberikan janaan keseluruhan 544 PS (536 hp atau 400 kW) dan 795 Nm tork. Angka ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 4.7 saat dan kelajuan maksimum dihadkan secara elekronik pada 240 km/j. Jarak perjalanan pula ialah 615 km dengan kitaran WLTP, serta bateri yang terletak di bahagian lantai kenderaan membekalkan kapasiti 105.7 kWh (101.7 kWh bersih).

    EVx 2023: BMW i7 xDrive60 2023 jadi tumpuan ramai – jarak EV 625 km, 544 PS, BMW Theatre Screen 31.3″

    Untuk pengecasan, i7 diberikan Combine Charging Unit (CCU) yang membenarkan pengecasan AC pada kadar sehingga 22 kW melalui sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh dalam masa 5.5 jam. Untuk pengecasan pantas DC pula, kadarnya sehingga 195 kW dengan sambungan CCS2, yang membolehkan pengecasan 10-80% dalam masa 34 minit sahaja. Ia juga datang dengan Integral Active Steering (stereng roda belakang) sebagai ciri standard.

    Bagi ciri kelengkapan yang turut diberikan, i7 ini turut hadir dengan pakej luaran M Sport bersama padanan bampar yang lebih agresif, rim 21-inci M Aerodynamic Style 909 dalam kemasan Jet Black. Turut diberikan kemasan luaran Chromeline, penutupan pintu perlahan automatik, bumbung kaca panoramik Sky Lounge serta pencahayaan Iconic Glow pada “kidney grille” dan lampu kristalnya — serta ciri HBA untuk lampu hadapan juga.

    Ciri penuh mewah turut menghiasi bahagian kabin dengan kehadiran balutan kulit BMW Individual Merino dalam warna Amarone serta perincian kayu Fineline hitam dan kemasan kesan logam berkilat M, ciri kristal Crafted Clarity, BMW Interaction Bar, stereng M balutan kulit dan tempat duduk Executive Lounge berserta konsol khusus di belakang.

    Untuk sistem infotainmen, i7 menerima sistem BMW Live Cockpit Plus dengan paparan melengkung (kluster instrumen 12.3-inci dan skrin sentuh di tengah bersaiz 14.9-inci) dan BMW Operating System 8. Sistem ini terdiri daripada Connected Package Professional, My Modes dan IconicSounds Electric sebagai tambahan kepada ciri media dan sambungan lainnya.

    Sistem audio pula terdiri daripada Bowers & Wilkins, ada juga Rear-seat Entertainment Professional dengan skrin BMW Theatre Screen 31.3-inci, pengecas telefon tanpa wayar, kawalan pendingin hawa empat-zon, lampu ambien komprehensif, pelindung matahari boleh laras dan tempat duduk balutan kulit Veganza (dengan liang udara).

    Seperti yang dimaklumkan, i7 dijual pada harga RM729,800 atas jalan, tidak termasuk insuran — dan termasuk lanjutan jaminan lima-tahun dan pakej servis. Ia juga didatangkan dengan bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan BMW Group Loyalty+ Mobile App – BMW Privileges Card.

    Kalau anda tidak mempunyai sebarangan aktiviti untuk dilakukan hujung minggu ini, jangan lepaskan peluang berkunjung ke acara EVx 2023 di SCCC, Setia Alam. Acara tahunan yang membariskan model-model EV di pasaran Malaysia adalah anjuran Paultan.org, berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Anda juga berpeluang memandu uji dan menempah terus mana-mana model EV yang diminati. Tiada tiket kemasukan dikenakan untuk acara EVx 2023 ini.

     
     
  • EVx 2023: Hyundai Ioniq 6 Max AWD dipamer – varian dua motor elektrik dengan jarak gerak 519 km, 605 Nm

    EVx 2023: Hyundai Ioniq 6 Max AWD dipamer – varian dua motor elektrik dengan jarak gerak 519 km, 605 Nm

    Baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia semalam, Hyundai Ioniq 6 kini dipamerkan di acara EVx 2023 di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam bermula hari ini sehingga esok. Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Max RWD berharga RM289,888, dan Max AWD berharga RM319,888.

    Model yang dipamerkan di EVx 2023 ini adalah dari varian Max AWD, yang menggunakan dua motor elektrik, bersama sistem pacuan semua roda, menyediakan kuasa 325 PS dan tork 605 Nm. Varian Max RWD pula menggunakan tetapan satu motor dengan pacuan roda belakang, dengan kuasa 228 PS dan tork 350 Nm.

    Melihat kepada prestasi, Max RWD mampu melakukan pecutan 0-100 km/j daam masa 7.4 saat, manakala Max AWD yang lebih berkuasa boleh melakukannya dalam 5.1 saat. Kelajuan maksimum kedua-duanya adalah sama, iaitu 185 km/j. Meskipun menggunakan bateri lithium ion 77.4 kWh yang sama, jarak gerak setiap varian adalah berbeza, iaitu 614 km untuk Max RWD dan 519 km untuk Max AWD.

    EVx 2023: Hyundai Ioniq 6 Max AWD dipamer – varian dua motor elektrik dengan jarak gerak 519 km, 605 Nm

    Dibina atas platform E-GMP dengan sistem elektrikal 800 volt, Ioniq 6 boleh dicas menggunakan sumber kuasa sehingga DC 350 kW, dan menaikkan tahap bateri dari 10-80% dalam masa cuma 18 minit. Apabila menggunakan sumber DC 50 kW, ia akan mengambil masa 73 minit untuk naik dari 10-80%.

    Dari aspek saiz, fastback ini dibuat dengan panjang 4,855 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,495 mm dan jarak roda sejauh 2,950 mm. Varian Max AWD yang dipamerkan ini juga menggunakan rim 20 inci dan mempunyai ruang barangan yang lebih kecil di hadapan, iaitu 14.5 liter, berbanding 45 liter pada Max RWD. Kapasiti ruang simpanan belakang masih sama, iaitu 401 liter.

    Untuk bahagian luar, kebanyakan barang pada kedua-dua varian ini kelihatan sama sahaja, tetapi Max AWD mempunyai bumbung suria, seperti yang dipamerkan di EVx 2023 ini. Model pasaran Malaysia juga tidak dilengkapi Digital Side Mirrors dan sistem sokongan Bluelink seperti model di pasaran lain.

    Pada bahagian dalam, antara kelengkapan yang diberi adalah termasuk dua skrin 12.3 inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio Bose, sistem pendingin hawa automatik dua zon, pengecas tanpa wayar, empat port USB Type C, lampu suasana kabin 64 warna, upholsteri kulit, paparan head-up, sistem kunci pintar dengan butang pemula, kamera pemantau sekeliling serta empat mod pemanduan.

    Bagi sistem keselamatan, Ioniq 6 hadir standard dengan tujuh beg udara, bantuan mula mendaki, brek parkir elektronik, sistem pemantau tekanan angin tayar, dan juga pengingat penumpang belakang.

    Sistem bantuan pemanduan Hyundai SmartSense juga diberikan dengan fungsi termasuk bantuan titik buta, bantuan kekal lorong, bantuan pengelak pelanggaran hadapan, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan had kelajuan manual dan pengelak pelanggaran ketika parkir.

     
     
  • EVx 2023: Dekati Tesla Model Y — dari RM199k

    EVx 2023: Dekati Tesla Model Y — dari RM199k

    Kebelakangan ini, banyak berita berkaitan perkembangan EV di Malaysia, begitu juga dengan pengenalan model baru. Antara yang mencuri perhatian tentulah pengenalan rasmi jenama Tesla di Malaysia, yang juga diikuti dengan pengenalan Model Y, Khamis lalu.

    Dan, jika anda belum ada perancangan untuk hujung minggu ini, 22-23 Julai 2023, bertandanglah ke Pusat Persidangan Setia City untuk acara EVx 2023 anjuran paultan.org, yang menghimpunkan barisan kenderaan elektrik dari pelbagai jenama — yang boleh didekati dan juga dibuat tempahan.

    Antara jenama yang ada tentunya Tesla sendiri. Walaupun ruang pameran mereka di Pavilion Kuala Lumpur akan berlangsung sehingga Oktober nanti, syarikat itu turut mempamerkan model yang baru saja dilancarkan tempohari, Model Y, di EVx 2023 yang memasuki penganjurannya bagi tahun kedua ini.

    Model Y ditawarkan dalam tiga varian, Standard Range RWD (RM199,000), Long Range AWD (RM246,000) dan Performance AWD (RM288,000).

    Model paling asas misalnya ialah Model Y Standard Range RWD. Kuasa disalurkan dari motor elektrik tunggal, dan bateri menggunakan jenis LFP, memberikan jarak 455 km (kitaran WLTP). Prestasinya melibatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 217 km/j. Kelengkapan standardnya termasuk rim Gemini 19-inci, dengan pilihan rim Induction 20-inci turut ditawarkan dengan tambahan RM10,000.

    Varian Standard Range RWD datang dengan jaminan lapan-tahun/160-000 km untuk bateri dan sistem pacuan, sementara Long Range AWD dan Performance AWD datang dengan jaminan lapan-tahun/192,000 km untuk bateri dan sistem pacuan. Semua harga termasuk SST. Tempahan dalam talian, dengan yuran RM1,000 yang tidak akan dikembalikan, mula dibuka minggu lalu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025