Lotus Emira telah pun menerima model tahun 2026, dengan sedikit penambahbaikan untuk sistem penyejukan. Menurut pengeluar kereta tersebut, pengaliran untuk saluran penyejukan telah dioptimumkan untuk memberikan fungsi yang lebih baik bagi kedua-dua unit penyejuk minyak transmisi dan juga radiator penyejuk utama.
Ini menghasilkan lebih penyejukan dan berat kenderaan yang lebih rendah, dengan Lotus menambah bahawa sistem penyaman udara telah ditentu ukur semula untuk memberikan suhu dalaman yang lebih stabil pada suhu tinggi. Termostat enjin Emira juga mempunyai suhu pembukaan yang disemak semula sebanyak 65 darjah Celsius (sebelum ini 75 darjah), meningkatkan pemanasan dan prestasi dalam keadaan yang tidak menentu.
Sementara itu, kotak gear dwi-klac lapan-kelajuan telah ditentu ukur semula untuk masa penukaran yang lebih pantas dan meningkatkan kualiti penukaran. Kotak gear ini dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder sebaris petrol yang boleh menghamburkan sama ada 366 PS (361 hp atau 269 kW) dan tork 430 Nm bagi unit Turbo biasa atau 400 PS (394 hp atau 294 kW) dan 470 Nm bagi Turbo SE.
Enjin 3.5 liter supercharged V6 juga ditawarkan, dengan hamburan kuasa 405 PS (400 hp atau 298 kW) dan tork sama ada 420 Nm dengan transmisi manual enam-kelajuan (termasuk limited-slip differential), atau 430 Nm dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.
Model tahun 2026 yang dipertingkatkan ini juga menyaksikan pengenalan varian Emira V6 SE baharu, yang menyertai barisan sedia ada termasuk Turbo SE. Seperti nama yang diberi, varian baharu ini juga dipadankan dengan unit supercharged V6 dan terdapat dua pilihan transmisi untuk dipilih.
Bagi versi manual, ia menerima pendakap pemampatan baharu untuk kotak gear, dengan Lotus mendakwa ia menghasilkan penukaran gear yang lebih tepat. Varian V6 SE turut menawarkan larasan casis Tour atau Sport untuk dipilih dan ia hadir dengan kemasan Zinc Grey secara standard.
Sentuhan estika lain termasuk extended Black Pack, roda aloi tempaan 20-inci, kaliper brek merah dan kemasan dalaman seperti Alcantara dan pedal sport. Untuk personalisasi, ia menawarkan 15 warna luaran, tujuh tema dalaman, lapan rekaan roda dan empat kemasan kaliper brek untuk dipilih.
Katalog Emira ini juga memaparkan dua warna baharu iaitu EOS Green dan Purple Haze. Pelanggan juga boleh memilih pakej rekaan Racing Line yang turut ditawarkan untuk varian SE, menampilkan ciri tambahan termasuk pinstripe dalam rona kuning, merah atau perak untuk dipadankan dengan warna kaliper brek.
Apa sahaja warna yang dipilih turut digunakan pada perumah cermin, dengan tambahan lain ialah lencana Racing Line, roda hitam berkilat dan logo luaran yang dihias sama ada hitam atau perak. Padanan warna tersebut turut diberikan untuk bahagian dalam yang ditampilkan dengan jahitan warna yang dipilih dan juga lencana khas.
Akhir sekali, Lotus turut memberikan pilihan Extended Co-Driver Pack dengan menambah lebih banyak kelengkapan ADAS sedia ada secara standard (AEB, amaran ketibaan lorong, pemantauan titik buta, pengesan isyarat trafik, pengesan kepenatan). Dengan bayaran ekstra, pelanggan akan menerima kawalan kelajuan adaptif (untuk transmisi automatik sahaja), kepekaan lintasan belakang, amaran membuka pintu dan bantuan lampu tinggi.