Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Aveta keluar kenyataan tiada kaitan dengan Demak

    Aveta keluar kenyataan tiada kaitan dengan Demak

    Aveta Motor, yang ditubuhkan di Malaysia sejak tahun 2018 mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan salah faham ramai berkaitan pemilikan serta hubungannya dengan jenama lain.

    Isi utama dalam kenyataan itu ditandakan dengan jelas – Aveta Motor Malaysia tidak mempunyai gabungan, kaitan atau hubungan dalam apa cara sekali pun dengan Demak, atau jenama dan pengedar motosikal lain di Malaysia.

    “Aveta Motor adalah satu syarikat milik penuh warga Malaysia sendiri, diuruskan di bawah Aveta Global Marketing Sdn Bhd, yang merupakan sebahagian daripada MAG Group. Semua bahagian perniagaan kami – dari operasi ke pembangunan produk dan pemasaran – semuanya diuruskan di dalam negara oleh pasukan Malaysia yang komited untuk memberikan motosikal mampu milik berkualiti kepada pasaran tempatan,” tertulis dalam siaran akhbarnya.

    Persepsi ramai yang mengatakan Aveta ada pertalian dengan Demak timbul apabila ada modelnya yang kelihatan sama sepeti model Demak. Namun kini, kenyataan yang dikeluarkan telah menafikan sebarang hubungan dengan Demak.

    Bermula dengan ‘kapcai murah’, sekarang Aveta mempunyai pelbagai model dalam pasaran termasuk “supermopedSVR 180, hibrid VADV 150, kapcai gaya hidup lasak Aveta Ranger, scrambler VTM 150, skuter 250 cc Vanguard dan skuter Nova.

     
     
  • Geely Galaxy M9 didedah – SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, bakal jadi Proton paling mahal?

    Geely Galaxy M9 didedah – SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, bakal jadi Proton paling mahal?

    Geely baru saja memperkenalkan model flagship dalam barisan kenderaan tenaga baharu mereka yang dinamakan sebagai Geely Galaxy M9. Ia adalah sebuah SUV plug-in hybrid besar dengan enam tempat duduk dan jika anda pernah nampak model konsep Galaxy Starship tahun lepas, ini adalah versi produksinya.

    Galaxy M9 ini menyertai dua lagi model SUV mewah tiga baris tempat duduk yang berada di bawah payung Geely Group iaitu Lynk & Co 900 dan Zeekr 9X. Tapi bagi Galaxy M9, rekaannya lebih “biasa” – tak terlalu garang, tapi tetap nampak elegan.

    Di bahagian hadapan terdapat jalur lampu penuh dengan rekaan motif bintang dan lampu utama LED jenis projektor. Reka bentuk depan agak bersih kerana tidak mempunyai gril langsung sementara lampu belakang juga menggunakan motif bintang, dengan 816 lampu LED.

    Geely Galaxy M9 didedah – SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, bakal jadi Proton paling mahal?

    Dilihat dari tepi, ia tidak mengikut trend menggunakan pemegang pintu yang sama rata dengan badan, sebaliknya masih menggunakan pemegang pintu biasa. Keliling cermin terdapat kemasan krom dan c pillar mempunyai kedudukan yang agak tegak. Melengkapkan penampilannya adalah rim aloi multi-spoke dan muncung ekzos hiasan.

    Masuk ke dalam, anda boleh nampak skrin gergasi 30 inci – dari tengah sampai ke depan penumpang – satu panel. Sistem infotainmen Flyme Auto siap dilengkapi AI generatif (dikatakan sebagai yang pertama dalam industri dengan memori adaptif dan dinamik).

    Penumpang depan disediakan dengan penyandar kaki, sistem bunyi Flyme Sound dan peti sejuk kecil 9.1 liter di belakang konsol tengah. Penumpang baris kedua pula duduk atas kerusi kapten mewah dengan fungsi urutan 10 bahagian dan boleh menonton skrin di bumbung. Baris ketiga juga bukan calang-calang, boleh baring sampai 120 darjah dan mempunyai lantai rata.

    Geely Galaxy M9 didedah – SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, bakal jadi Proton paling mahal?

    Geely Galaxy M9 ni dibina atas platform GEA Evo dan menggunakan sistem hibrid prestasi tinggi EM-P. Uniknya, motor elektrik belakang diletak terus dalam hab roda, bukan di bahagian gandar tengah dan ini mungkin dibuat untuk memberikan lebih ruang kepada penumpang belakang dan but.

    Untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, Galaxy M9 mengambil masa 4.5 saat, manakala penggunaan minyak berada sekitar 4.8L/100km dengan jarak keseluruhan lebih 1,500km. Spesifikasi penuh belum diumumkan, tapi berkemungkinan besar Galaxy M9 ni akan menggunakan penggerak sama seperti Lynk & Co 900 – termasuk enjin 1.5L turbo (190PS/300Nm), 2.0L turbo (254PS/350Nm) dan motor elektrik depan-belakang yang boleh capai kuasa gabungan lebih 462PS/560Nm (tiga motor).

    Geely M9 ni juga datang dengan sistem bantuan pemandu terbaru G-Pilot H5, lengkap dengan sensor lidar di atas cermin depan. Sistem ni boleh melakukan pemanduan separa automatik atas lebuhraya tanpa menggunakan peta HD.

    Geely Galaxy M9 didedah – SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, bakal jadi Proton paling mahal?

    Untuk pengetahuan, majlis pengenalan Galaxy M9 ni dibuat di Milan dan ini menjadi petunjuk bahawa Geely mungkin mahu memasarkan model ini secara global. Disebabkan itu, tidak mustahil jika satu hari nanti Proton juga akan membawanya masuk sebagai model PHEV flagship, mungkin digandingkan dengan Proton eMas 7 nanti.

    Cuma satu, jika betul masuk Malaysia, ia bakal menjadi Proton paling mahal pernah dijual. X90 pun boleh jadi “murah” kalau dibandingkan dengan M9 ni. Adakah orang sanggup untuk membeli Proton dengan harga sebegitu dan ciri premium?

     
     
  • Kamera perangkap laju AWAS berdasarkan point-to-point masih belum mula diuji seperti yang dirancang

    Kamera perangkap laju AWAS berdasarkan <em>point-to-point</em> masih belum mula diuji seperti yang dirancang

    Menurut laporan berita dari NST, ujian rintis untuk sistem pemantau kelajuan dari satu titik ke satu titik yang lain (point-to-point) di bawah sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) belum lagi dimulakan. Laporan pada Mac lalu menyatakan bahawa ujian rintis tersebut bakal dimulakan pada 1 Jun di dua lebuhraya iaitu KL-Karak dan Lebuhraya Utara Selatan.

    “Projek perintis sistem point-to-point belum bermula. Setakat ini, tiada maklumat mengenai bila ia dijadualkan bermula,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat menteri pengangkutan kepada akhbar berkenaan.

    Mengikut rancangan awal, bagi Lebuhraya KL-Karak ujian ini akan dibuat bermula dari terowong Genting Sempah sehingga di kawasan rehat Gombak. Manakala di Lebuhraya Utara Selatan pula ujian ini akan bermula dari plaza tol Senawang sehingga ke plaza tol Simpang Ampat.

    Menerusi sistem point-to-point ini kamera akan diletakkan pada titik permulaan dan titik akhir lokasi yang dinnyatakan, dan kesalahan akan ditentukan berdasarkan jarak dan masa yang digunakan. Antara kawasan yang disasarkan untuk menggunakan sistem ini adalah di kawasan yang selalu terjadinya kemalangan seperti laluan bermula di Terowong Menora ke kawasan rehat Sungai Perak.

    “Projek akan dilaksana secara rintis di dua lokasi lebuh raya terbabit. Jika benar-benar efisien, kita sedia serahkannya untuk dilaksanakan. Sistem ini yang dipasang di plaza tol akan ambil bacaan masa perjalanan berdasarkan jarak ke jarak,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan dalam laporan sebelum ini.

    “Contohnya pemandu dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, Perak, tiba lebih awal dari masa sepatutnya, jadi nombor plat kenderaan akan dikesan dan saman dikeluarkan automatik,” tambahnya lagi. Sistem ini didakwa turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan sama ada sesebuah kereta itu ada singgah sementara di kawasan rehat untuk memanjangkan masa sekaligus mengelakkan dari disaman.

     
     
  • Mazda CX-60 2025 – pengedar mula buka tempahan di M’sia; 2.5L NA; CBU; dijangka berharga RM199k

    Mazda CX-60 2025 – pengedar mula buka tempahan di M’sia; 2.5L NA; CBU; dijangka berharga RM199k

    Pengedar Mazda di Malaysia telah mula mengiklankan CX-60 menerusi Facebook, dengan menyatakan tempahan bagi SUV itu mula dibuka. Pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada Mazda 2022, CX-60 telah dipertontonkan di sini termasuk di Malaysia Autoshow tahun ini.

    Harga jangkaannya sekitar RM198,900, CX-60 ni akan ditawarkan dengan varian tunggal iaitu 2.5G 2WD dengan lima pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Platinum Quartz, Rhodium White, Jet Black dan Zircon Sand.

    Bagi menjana kuasanya, CX-60 untik pasaran Malaysia menampilkan unit Skyactiv-G 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris dengan output 191 PS (189 hp atau 141 kW) dan tork 261 Nm, dengan pacuannya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan. Larasan enjin ini sama dengan unit yang ditawarkan di Singapura, walaupun nampaknya kita tidak akan mendapat enjin enam-silinder sebaris seperti yang ditawarkan di pasaran jiran lain seperti Indonesia dan Filipina.

    Ciri-ciri kelengkapan standardnya masih belum diketahui secara lebih terperinci buat masa ini, namun difahamkan SUV ini didatangkan dengan tempat duduk kulit upholstery, kluster instrumen digital 12.3-inci, paparan infotainmen 12.3-inci, kawalan suhu dua zon (dengan corong di belakang), bumbung suria panoramik, roda 20-inci, paparan utama dan kelengkapan keselamatan aktif dan sistem bantuan pemandu.

    Dengan harga jangkaan itu, CX-60 lima-tempat duduk ini adalah lebih mahal berbanding CX-5 yang dijual antara RM144,469 dan RM188,760, harga atas jalan tanpa insurans. Varian tertinggi CX-5 dilengkapi dengan sistem pacuan semua-roda dan enjin 2.5 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan tork 420 Nm.

    Walau bagaimana pun, CX-60 lebih besar dan berukuran 4,740-4,745 mm panjang, 1,890 mm lebar dan 1,680 mm tinggi. Sebagai perbandingan, CX-5 pula berukuran 4,575 mm panjang, 1,845 mm lebar, 1,675 mm tinggi, sementara jarak rodanya pula 2,700 mm iaitu lebih rendah daripada CX-60 yang berukuran 2,870 mm.

    Menurut pengedar Mazda, CX-60 untuk pasaran Malaysia adalah model import sepenuhnya (CBU), dengan penghantarannya bermula September ini.

    GALERI: Mazda CX-60 dipertontonkan di KLIMS 2024

     
     
  • Puspakom cawangan Langkawi kini mula beroperasi

    Puspakom cawangan Langkawi kini mula beroperasi

    Puspakom Sdn Bhd mengumumkan bahawa cawangan terbaharunya yang terletak di Pulau Langkawi telah pun memulakan operasi. Pastinya ia memberikan kemudahan yang lebih selesa dan mudah diakses kepada penduduk pulau itu untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.

    Terletak di PT2942, Persiaran Bunga Raya Kuah, cawangan Langkawi ini menandakan komitmen berterusan Puspakom dalam memperluaskan capaian perkhidmatan di lokasi strategik bagi manfaat pelanggan. Ia juga dijangka akan memudahkan urusan pelanggan persendirian dan komersial di Langkawi untuk menjalani pemeriksaan kenderaan mengikut piawaian keselamatan dan peraturan jalan raya.

    Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata cawangan baharu yang diwujudkan di “Permata Kedah” itu merupakan antara komitmen Puspakom untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

    “Pembukaan cawangan baharu di Langkawi mencerminkan komitmen kami untuk memastikan akses yang lebih meluas kepada perkhidmatan pemeriksaan, selain menyediakan lokasi yang lebih strategik dan hampir dengan pusat bandar,” kata Mahmood.

    Cawangan Puspakom Langkawi menawarkan perkhidmatan seperti Pemeriksaan Awalan, Pemeriksaan Berkala, Pemeriksaan Tukar Hak Milik, Pemeriksaan Sewa-Beli dan lain-lain. Ia beroperasi dari Ahad hingga Khamis bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

    Dengan kapasiti pemeriksaan sehingga 100 kenderaan sehari, ia dilengkapi kemudahan seperti ruang menunggu berhawa dingin, surau dan tandas, serta dua lorong pemeriksaan untuk meningkatkan kecekapan operasi.

    “Pembinaan cawangan tetap ini merupakan sebahagian daripada kempen #MacamBaharu iaitu satu inisiatif transformasi Puspakom dalam menuju ke arah menjadi organisasi yang lebih kompetitif, berkualiti serta berintegriti sejajar dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia.

    “Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri ini, serta transformasi berterusan untuk kecemerlangan perkhidmatan, Puspakom akan terus mendahului pasaran walaupun dengan kemunculan pesaing kelak,” ujar Mahmood lagi.

    Sebelum pembukaan Puspakom Langkawi, pelanggan mendapatkan pemeriksaan kenderaan di tapak pemeriksaan sementara Puspakom yang terletak di Kompleks Kilim. Tapak sementara ini telah beroperasi sejak tahun 2023 menggunakan Unit Trak Bergerak Puspakom dan menamatkan operasinya pada 30 Mei 2025.

     
     
  • Promosi Honda Malaysia Jun 2025 — diskaun HR-V hingga RM10k, CR-V RM8k, City RM6k, Civic FL RM5k

    Promosi Honda Malaysia Jun 2025 — diskaun HR-V hingga RM10k, CR-V RM8k, City RM6k, Civic FL RM5k

    Memasuki separuh kedua tahun 2025, Honda Malaysia kini mengadakan kempen promosi ‘Level Up Deals’ sepanjang bulan Jun ini.

    Bulan ini, Honda Malaysia menawarkan diskaun sehingga RM10,000, dan itu adalah untuk stok tahun 2025! Semua model CKD termasuk dalam promosi ini, termasuk Civic facelift yang dilancarkan awal tahun ini.

    Bagi City sedan pula, diskaun yang diberikan bermula RM2,000 untuk varian paling asas S, naik kepada RM6,000 untuk E, V dan RS petrol. RS hibrid diberikan diskaun RM4,000. City hatchback pula semuanya menikmati potongan RM4,000 selain versi RS hibrid, yang diberikan RM2,000 diskaun. Rebat untuk WR-V pula ialah RM4,000 bagi semua varian.

    Promosi Honda Malaysia Jun 2025 — diskaun HR-V hingga RM10k, CR-V RM8k, City RM6k, Civic FL RM5k

    HR-V pula hadir dengan potongan RM10,000 untuk varian S dan E, sementara varian V turbo menerima diskaun RM4,000 dan RS hibrid RM6,000. Bagi CR-V, semua varian diberikan potongan RM8,000. Jika inginkan Civic facelift, model tersebut datang dengan diskaun RM5,000 selain varian 1.5T RS, yang diberikan potongan RM4,000.

    Senarai diskaun ini diberikan untuk semua kendearan yang didaftarkan sebelum 30 Jun:

    Promosi Honda Malaysia Jun 2025 — diskaun HR-V hingga RM10k, CR-V RM8k, City RM6k, Civic FL RM5k

     
     
  • GALERI: Toyota GR 86 Cup di Malaysia – RM208k, rollcage, talaan prestasi, hanya untuk perlumbaan

    GALERI: Toyota GR 86 Cup di Malaysia – RM208k, <em>rollcage</em>, talaan prestasi, hanya untuk perlumbaan

    Selain dari perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge tahun ini, kita di Malaysia bakal disajikan dengan satu lagi perlumbaan dengan format serupa menggunakan kereta lumba dari Toyota iaitu Toyota GR 86 Cup. Namun berbanding Vios Challenge yang dianjurkan oleh Toyota Gazoo Racing Malaysia (UMW Toyota) sendiri, GR 86 Cup ini pula dikelola oleh Haro Sports & Entertainment, iaitu pemegang hak dan promoter sama untuk perlumbaan Autobacs Super GT pusingan Malaysia.

    Jadi untuk perlumbaan ini, Haro telah membawa 30 unit GR 86 dalam spesifikasi Cup Car bagi dijual kepada mana-mana pihak yang berminat menyertai siri perlumbaan tersebut. Siri GR 86 Cup ini sebenarnya turut dianjurkan di pelbagai negara lain termasuk Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan banyak lagi.

    Jentera ini diasaskan dari varian ‘kosong’ GR 86 RC pasaran Jepun yang datang tanpa aksesori seperti sistem infotainmen, dan hanya dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan. Varian ini hanya menampilkan berat keseluruhan 1,260 kg, tetapi mencapai 1,290 kg selepas ia siap sebagai sebuah kereta lumba. Ia juga masih menampilkan enjin FA24D 2,387 cc boxer empat-silinder tanpa pengecas turbo menghasilkan 227 hp pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 3,700 rpm.

    GALERI: Toyota GR 86 Cup di Malaysia – RM208k, <em>rollcage</em>, talaan prestasi, hanya untuk perlumbaan

    Bagi menjadikan ia sebuah jentera dalam spesifikasi Cup Car, GR 86 ini diberikan tingkat taraf seperti sistem ekzos Fujitsubo, set klac plat tunggal perlumbaan dari Cusco dan penyejuk minyak transmisi. Talaan enjin masih lagi standard, namun talaan pada respons pendikit dibenarkan dengan penggunaan pengawal pendikit elektronik bagi memberikan kawalan pedal dan respon yang lebih baik kepada pemandu.

    Manakala untuk casis, kereta lumba ini diberikan set suspensi perlumbaan KW Racing dan juga set-set bushing suspensi dari TRD. Kereta lumba ini juga diberikan LSD Torsen pada gandar belakang, manakala sistem stereng berkuasa elektrik mendapat talaan semula.

    Dari kilang GR 86 RC ini juga sebenarnya hanya datang dengan set rim besi 16-inci bersama tayar bersaiz 205/55R16. Namun untuk perlumbaan di Malaysia ini, semua pasukan diwajibkan untuk meggunakan set rim aloi forged dari jenama tempatan, Raxer RP10X berdiameter 17-inci dan lebar 8 jj, dibalut dengan tayar rasmi untuk siri ini di Malaysia iaitu Bridgestone Potenza RE-71RS bersaiz 225/45R17.

    GALERI: Toyota GR 86 Cup di Malaysia – RM208k, <em>rollcage</em>, talaan prestasi, hanya untuk perlumbaan

    Manakala di sebalik set roda berkenaan tersorok set brek Advics dengan angkup empat omboh bersama cakera dua bahagian 345 mm x 30 mm di hadapan, dan juga angkup dua omboh bersama cakera 330 mm x 26 mm di belakang.

    Kesemua 30-unit kereta lumba ini juga akan datang sekali dengan set rollcage berdiameter 40 mm yang menerima kelulusan undang-undang pertandingan JAF di Jepun, tempat duduk bucket Bride Zeta untuk pemandu yang lengkap bersama tali pinggang keselamatan enam-point, dan juga kelengkapan HANS.

    Selain itu ia juga datang dengan sistem pemadam api dan kill switch di luar dan dalam kabin bagi mematikan arus elektrik sekiranya berlaku kemalangan dan kecemasan, pin bonet keselamatan dan juga cangkuk tunda di hadapan dan belakang bagi memudahkan kerja-kerja menunda di dalam litar.

    Walaupun datang dengan pelbagai tingkat taraf prestasi dan peralatan perlumbaan, GR 86 Cup Car ini dijual pada harga hanya RM208,315 termasuk cukai jualan dan penghantaran ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang. Untuk perbandingan, Toyota GR 86 baharu yang dijual di bilik pameran UMW Toyota dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM295,000 untuk varian manual.

    Ini kerana kereta-kereta lumba ini di bawa masuk ke Malaysia menggunakan AP sukan permotoran (Motorsport AP), bermakna ia tidak boleh didaftarkan untuk kegunaan di atas jalan raya. Menurut Haro lagi, spesifikasi untuk kereta lumba GR 86 Cup Malaysia ini juga telah memenuhi undang-undang kelas SP1 dalam siri perlumbaan Malaysia Championship Series 2025, membolehkan ia menyertai banyak lagi perlumbaan tempatan selain GR 86 Cup.

    Pusingan pertama GR86 Cup Malaysia ini akan menjadi perlumbaan sokongan untuk Super GT di Sepang pada 26 Jun nanti, dan ia akan berlangsung selama 10-lap. Sebanyak tiga pusingan akan diadakan sepanjang 2025, di mana pusingan kedua berlangsung bersama perlumbaan 300 km Malaysia Championship Series, manakala pusingan terakhir akan dibuat dalam format endurance di mana peserta perlu menghabiskan 86 lap. Ke semua pusingan akan berlangsung sepenuhnya di Sepang.

     
     
  • Perodua failkan trademark bagi nama dan logo QV-E — bakal diguna untuk kemunculan EV sulung tahun ini?

    Perodua failkan <em>trademark</em> bagi nama dan logo QV-E — bakal diguna untuk kemunculan EV sulung tahun ini?

    Perodua telah memfailkan tanda dagang (trademark) bagi nama dan logo QV-E dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), seperti yang dilihat oleh laman automotif tempatan, CarPlus.

    Logo QV-E yang dilihat mengenakan kemasan warna biru, sebahagiannya pada huruf ‘Q’ dan ‘E’ sepenuhnya, dalam rona biru yang biasa digunakan untuk menandakan jenis kenderaan EV dalam pasaran. Belum ada apa-apa pengesahan rasmi tentang nama QV-E setakat ini, walaupun Perodua sebelum ini pernah memfailkan nama “Qve” dengan MyIPO, seperti yang dilihat oleh Funtasticko Julai tahun lalu, yang mungkin menjelaskan lagi memilihan nama itu untuk digunakan.

    Gambar crossover merah yang ditampilkan ini — yang kami tambahkan logo QV-E — adalah berdasarkan prototaip akhir oleh Perodua yang ditunjukkan di Malaysia Autoshow 2025 dan dihasilkan oleh Theophilus Chin.

    Perodua failkan <em>trademark</em> bagi nama dan logo QV-E — bakal diguna untuk kemunculan EV sulung tahun ini?

    Setakat ini, kita tahu EV pertama Perodua berkenaan akan memberikan jarak penggunaan antara 400 km hingga 410 km, dengan bateri LFP daripada CATL. Prestasi 0-100 km/j adalah antara enam hingga tujuh saat, dengan laju maksimum sekitar 165 km/j.

    Selain itu, Perodua juga akan memperkenalkan program atau skim Battery-as-a-Service (BaaS) untuk menampung keperluan dan keresahan pengguna terhadap kesihatan dan penggantian bateri.

    Ini mengurangkan lagi kos kereta terbabit, dan memastikan pemilik akan sentiasa mempunyai bateri yang berada dalam keadaan baik, dan penukaran bateri boleh dilakukan dalam hanya tiga minit, jelas Perodua.

     
     
  • 30 SmartLane diaktifkan di Lebuhraya PLUS sempena perayaan Hari Raya Aidiladha hujung minggu ini

    30 SmartLane diaktifkan di Lebuhraya PLUS sempena perayaan Hari Raya Aidiladha hujung minggu ini

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka peningkatan trafik sehingga dua juta kenderaan sehari pada hari-hari Puncak di rangkaian lebuhrayanya sempena musim perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 7 Jun (Sabtu ini). Ini merupakan peningkatan hampir 20% pada hari-hari biasa di rangkaian Lebuhraya PLUS. Jangkaan hari-hari puncak di Lebuhraya PLUS adalah pada 5- 6 Jun, 31 Januari dan 8-9 Jun 2025.

    Justeru, bagi melancarkan pergerakan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuhraya kendaliannya, laluan Smartlane di 30 lokasi tumpuan trafik diaktifkan yang melibatkan tiga lokasi di wilayah utara, 17 lokasi di wilayah tengah dan 10 lokasi di wilayah selatan.

    30 lokasi terbabit ialah:

    Wilayah utara

    • Persimpangan Bukit Tambun (U) – Plaza Tol Juru KM 150.4 – KM 146.4 (arah utara)
    • Bertam – Sg. Dua KM 120.6 – KM 128.0 (arah selatan)
    • Hentian Sebelah Sg. Bakap – Jawi KM 159.3 – KM 162.7 (arah selatan)

    Wilayah tengah

    • Gua Tempurung – Gopeng KM 303.2 – KM 297.0 (arah utara)
    • Slim River – Sungkai KM 367.3 – KM 354.0 (arah utara)
    • Sungkai – Slim River KM 354.0 – KM356.0 (arah selatan)
    • R&R Rawang – Sg. Buaya KM 439.5 – KM 435.5 (arah utara)
    • Hentian Sebelah Rawang – Persimpangan Rawang KM 437.1 – KM 443.3 (arah selatan)
    • Bukit Beruntung – Sg. Buaya KM 429.0 – KM 434.0 (arah selatan)
    • Setia Alam – Shah Alam KM 4.3 – KM 8.1 (arah utara)
    • Shah Alam – Setia Alam KM 8.4 – KM 7.0 (arah selatan)
    • Susur Keluar Petron, NKVE – Subang KM 11.2 – KM 13.3 (arah utara)
    • Nilai – R&R Seremban KM 280.0 – KM 276.0 (arah selatan)
    • Putra Mahkota – Southville KM 289.4 – KM 292.6 (arah utara)
    • Southville – Putra Mahkota KM 293.5 – KM 289.5 (arah selatan)
    • Restoran Jejantas USJ – Seafield KM 8.1 hingga KM6.1 (arah utara)
    • Bandar Saujana Putra – Putra Heights KM 16.3 – KM 13.2 (arah utara)
    • Putra Heights – Bandar Saujana Putra KM 13.85 – KM 15.75 (arah selatan)
    • Susur Masuk dari Lebuhraya MEX – Lingkaran Putrajaya KM P7.4 – KM P7.9 (arah timur)
    • Lingkaran Putrajaya KM P3.0 – KM 4.0 (arah timur)

    Wilayah selatan

    • Port Dickson – Seremban KM 259.6 – KM 263.1 (arah utara)
    • Pedas Linggi – Senawang KM 244 – KM 248.5 (arah utara)
    • Simpang Ampat – Pedas Linggi KM 230.0 hingga KM 235.0 (arah utara)
    • Ayer Keroh – Hentian Sebelah Kg. Bemban KM 194.5 – KM 184 (arah selatan)
    • Tangkak – Jasin KM 174 – KM 180.2 (arah utara)
    • Kulai – Hentian Sebelah Kulai KM 27 – KM 34 (arah utara)
    • Senai – Kulai KM 19 – KM 27 (arah utara)
    • Kulai – Senai KM 26.5 – KM 19 (arah selatan)
    • Dato’ Onn – Pasir Gudang KM 4.5 – KM 1.9 (arah selatan)
    • Pandan – Kempas KM 0.4 – KM 6.0 (arah utara)

    30 SmartLane diaktifkan di Lebuhraya PLUS sempena perayaan Hari Raya Aidiladha hujung minggu ini

    PLUS turut memaklumkan tiada penutupan lorong akan dilaksanakan pada 5 hingga 9 Jun kecuali jika melibatkan kecemasan seperti kemalangan. Selain itu, demi keselesaan orang ramai, PLUS turut menyediakan 26 unit tandas kabin sebagai tambahan tandas sedia ada di kawasan hentian sebelah dan plaza tol terpilih di sepanjang lebuhraya.

    Untuk pengetahuan anda, SmartLane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang. Ketika Smartlane diaktifkan, lorong kecemasan sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuhraya.

    Pengguna lebuh raya boleh mengenal pasti laluan SmartLane melalui paparan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) dan papan tanda pemberitahuan yang dipasang untuk menunjukkan bahawa laluan SmartLane diaktifkan dan boleh digunakan di lokasi-lokasi tertentu. Apa pun, tetap amalkan pemanduan cermat, fokus dalam pemanduan dan bertimbang rasa sesama pengguna jalan raya.

     
     
  • JPJ tambahbaik prosedur pemeriksaan kenderaan perdagangan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor

    JPJ tambahbaik prosedur pemeriksaan kenderaan perdagangan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah mengumumkan dua penambahbaikan utama terhadap prosedur pemeriksaan kenderaan perdagangan bagi memastikan piawaian keselamatan yang lebih ketat, serta kecekapan sistem dan kualiti perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna. Penambahbaikan prosedur ini telah mula dikuatkuasa sejak 1 Jun 2025.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, langkah ini akan meningkatkan tahap keselamatan kenderaan di jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan, serta memastikan kepatuhan terhadap peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

    Penambahbaikan prosedur pemeriksaan kenderaan perdagangan ini adalah melibatkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) seperti Puspakom Sdn. Bhd. iaitu bagi pemeriksaan ketebalan bunga tayar di mana JPJ menetapkan semua kenderaan perdagangan (barangan dan perkhidmatan awam) mestilah mempunyai ketebalan bunga tayar sekurang- kurangnya 1.6 mm pada keseluruhan permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan.

    “Sebelum ini, JPJ telah menetapkan Puspakom untuk memeriksa sekurang-kurangnya 75% daripada permukaan tayar yang diperiksa perlu mematuhi had minima tersebut. Dengan penetapan baharu ini, mana- mana kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi ketetapan tersebut adalah tidak lulus terhadap pemeriksaan kenderaan,” kata Aedy.

    Prosedur yang telah ditambahbaik juga melibatkan pemeriksaan kenderaan berat jenis dumper tipper. Di mana JPJ telah bekerjasama dengan Puspakom untuk melaksanakan penguatkuasaan dengan memastikan kenderaan jenis dumper/tipper tidak mempunyai pagar sisi (side board) melebihi spesifikasi yang ditetapkan, sebagaimana Syarat Permit yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Pelan Teknikal Kenderaan yang telah diluluskan.

    “Selain itu, bagi pemilik kenderaan dumper/tipper yang mengangkut muatan khas juga hendaklah mengemukakan Surat Tawaran Kelulusan (STK) / permit semasa menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM bagi memastikan jenis badan dan jenis muatan adalah selari dengan kelulusan yang diberikan,” jelasnya.

    Tambah Aedy, langkah memperketatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat jenis dumper/tipper, selaras dengan pelaksanaan kod badan khas bagi kenderaan jenis dumper/tipper yang mengangkut muatan khas seperti baja, coal, fly ash, gypsum, habuk kayu, jagung, palm kernel, dan padi.

    “Penguatkuasaan ini juga bertujuan untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan spesifikasi kenderaan, di samping menjamin aspek keselamatan serta pematuhan terhadap syarat pengendalian muatan khas di jalan raya. Pemilik kenderaan mempunyai dua pilihan jika kenderaan telah gagal pemeriksaan di Puspakom iaitu perlu merujuk kepada APAD bagi pembetulan semula permit/ pengeluaran permit baharu mengikut muatan asal yang ditetapkan di dalam pelan teknikal serta membuat permohonan pelan baharu kepada JPJ mengikut kod badan yang muatan yang dibawa; atau

    “Selain itu, pemilik juga perlu membuat pengubahsuaian kembali tinggi side board kepada 762 mm dan tiada perubahan pada kod badan dumper/tipper sedia ada (LRD/SKD) sebelum boleh menjalani pemeriksaan di Puspakom semula,” katanya lagi.

     
     
  • Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva dapat tiket wildcard untuk berlumba di Super GT pusingan Malaysia 2025

    Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva dapat tiket wildcard untuk berlumba di Super GT pusingan Malaysia 2025

    Dua pelumba Malaysia, Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva bakal membawa nama negara dalam perlumbaan Super GT pusingan ketiga 2025 yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang hujung bulan ini menerusi penyertaan secara wildcard.

    Kedua-duanya bakal bertanding dalam kategori GT300 dengan jentera Aston Martin Vantage GT3 EVO pasukan Aston Martin EBM, di mana Jazeman akan berpasangan dengan pelumba Amerika Kerong Li, manakala D’Silva dalam jentera kedua pasukan berkenaan berpasangan dengan pelumba New Zealand, Earl Bamber.

    “Saya berasa amat berbangga dan berbesar hati untuk mewakili Malaysia sebagai satu daripada hanya dua pemandu Malaysia yang bersaing dalam Super GT. Acara Super GT Malaysia ini menandakan peristiwa penting bagi saya, kerana ia akan menjadi penampilan sulung saya dalam kejohanan berprestij ini, sesuatu yang pada mulanya kami rancang untuk lakukan pada tahun 2020,” kata Jazeman ketika pelancaran perlumbaan berkenaan di Togeya Kuala Lumpur malam tadi.

    Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva dapat tiket wildcard untuk berlumba di Super GT pusingan Malaysia 2025

    “Sekarang, dengan peluang akhirnya di sini, saya datang dengan keyakinan yang kuat dalam pakej yang telah kami himpunkan. Saya akan berkongsi tugas memandu dengan Li, dan bersama-sama, pasukan telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menyediakannya, dan saya benar-benar percaya kami mempunyai apa yang diperlukan untuk kompetitif,” tambahnya.

    Perlumbaan ini akan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun 2025. Ini merupakan kali pertama perlumbaan Super GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Tiket sudahpun boleh dibeli secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia.

    Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama, RM350 untuk GT Suite, RM500 untuk GT Live! Rock Zone, RM2,000 untuk GT Club Paddock serta bermula RM5,000 untuk pakej-pakej Ultimate dan Dream. Dan untuk pembelian tiket Grandstand Utama ke atas menggunakan Mastercard, anda bakal layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah Toyota GR Supra.

     
     
  • Penonton perlumbaan Super GT 2025 secara langsung di Sepang berpeluang menang Toyota GR Supra!

    Penonton perlumbaan Super GT 2025 secara langsung di Sepang berpeluang menang Toyota GR Supra!

    Ketika pelancaran perlumbaan Autobacs Super GT 2025 pusingan ketiga yang akan dilangsungkan kembali di Litar Antarabangsa Petronas Sepang semalam, pemegang hak dan promoter untuk acara berkenaan iaitu Haro Sports & Entertainment mengumumkan bahawa penonton yang datang akan berpeluang untuk membawa pulang sebuah Toyota GR Supra menerusi cabutan bertuah yang akan dibuat.

    Bagi membolehkan layak menyertai cabutan bertuah ini, anda perlulah membeli tiket (kecuali tiket Grandstand K1) dengan menggunakan Mastercard. Untuk mendapatkan tiket, anda sudah boleh membuat pembelian secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia. Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama, RM350 untuk GT Suite, RM500 untuk GT Live! Rock Zone, RM2,000 untuk GT Club Paddock serta bermula RM5,000 untuk pakej-pakej Ultimate dan Dream.

    “Hadiah cabutan bertuah GR Supra adalah tawaran sekali dalam seumur hidup untuk mengalu-alukan kepulangan Super GT ke Malaysia selepas ketiadaannya selama 12 tahun, dan yang tidak mungkin dapat dicapai pada magnitud ini, tanpa kerjasama dengan rakan kongsi seperti Mastercard,” kata Rakan Pengurusan Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan.

    Menurut Haro, pemenang bagi Toyota GR Supra berkenaan akan ditentukan dalam cabutan yang akan dibuat secara langsung di atas pentas di hadapan penonton ketika berlangsungnya konsert selepas perlumbaan GT Live!

    Sebelum ini UMW Toyota Motors dan juga Toyota Gazoo Racing Malaysia telah diumumkan sebagai penaja utama acara ini. Jadi selain dari perlumbaan utama GT500, GT300 dan juga perlumbaan ‘one make’ Toyota GR86 Cup Malaysia pusingan pertama, perlumbaan Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing Festival musim ke lapan pusingan kedua turut akan diadakan sekali.

    Untuk pusingan kedua Toyota Gazoo Racing Festival 2025, seperti biasa ia bukan hanya menampilkan aksi perlumbaan, malah turut diadakan pameran kereta lumba dan model-model eksklusif, zon interaktif bersama peminat dan simulator, penampilan pelumba dan duta Gazoo Racing serta pemberian eksklusif dan barangan rasmi jenama itu.

    Bagi perlumbaan Toyota GR86 Cup Malaysia pula, perlumbaan yang dianjurkan oleh Haro ini kini disokong oleh Toyota dan juga Bridgestone sebagai pembekal tayar rasmi. Perlumbaan yang diadakan sempena Super GT ini merupakan perlumbaan pertama untuk musim pertama siri berkenaan, dan ia akan berlangsung sebanyak 10-lap.

    Untuk konsert selepas perlumbaan GT Live yang dinyatakan tadi, ia akan menampilkan barisan artis tempatan dan antarabangsa, antaranya trio Tenxi, Naykilla & Jemsii aka TNJ dari Indonesia yang akan membuat persembahan “Garam & Madu (Sakit Dadaku)”, kumpulan penyanyi wanita KLP48 dari Malaysia tetapi terkenal dalam arena muzik J-Pop, Fareed dari kumpulan K-CLIQUE, Sabhi Saddi dan juga Kaka Azraff.

    Perlumbaan ini akan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun 2025. Ini merupakan kali pertama perlumbaan Super GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025 ini, bermula dengan pusingan pertama yang dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 12 hingga 13 April.

     
     
  • Proton lantik Ainol Azmil sebagai pemangku timbalan CEO, ganti Roslan Abdullah yang meletak jawatan

    Proton lantik Ainol Azmil sebagai pemangku timbalan CEO, ganti Roslan Abdullah yang meletak jawatan

    Proton mengumumkan bahawa ia melantik Ainol Azmil sebagai pemangku timbalan CEO berkuat kuasa 10 Jun 2025 bagi menggantikan tempat yang akan ditinggalkan oleh Roslan Abdullah. Dengan jawatan baharu ini Encik Ainol akan melapor kepada CEO Proton Dr Li Chunrong, namun beliau akan terus menjalankan portfolio sedia ada dalam Strategi Korporat dan Perolehan Teknikal Kumpulan.

    “Proton mengalu-alukan Ainol Azmil sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif. Kami yakin dengan kemampuannya untuk mengambil alih jawatan sementara ini. Pada masa yang sama, Proton ingin menyampaikan penghargaan tertinggi kepada Roslan Abdullah atas sumbangannya kepada syarikat dan mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha-usahanya yang akan datang,” kata Dr Li.

    Roslan menyertai Proton sejak 1 Jun 2020 dengan dilantik sebagai Naib Presiden, bahagian Pemasaran dan Jualan untuk Proton dan juga sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi Proton Edar Sdn Bhd (PESB) selepas meninggalkan Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) sebagai Ketua Pegawai Operasi. Beliau kemudiannya dilantik timbalan CEO Proton pada 1 Januari 2022 bagi menggantikan Dato’ Radzaif Mohamed yang telah bersara dari jawatan berkenaan pada 31 Disember 2021.

    Bersama Proton Roslan telah membantu jenama automotif nasional itu untuk mengukuhkan kedudukannya di Malaysia sambil juga memasuki pasaran EV dengan produk pertamanya, Proton e.MAS 7.

     
     
  • Toyota GR Corolla akan dipasang di UK bermula 2026 – fasiliti produksi GR sebenar pertama luar Jepun

    Toyota GR Corolla akan dipasang di UK bermula 2026 – fasiliti produksi GR sebenar pertama luar Jepun

    Selain dari GR Supra (yang dibina bersama BMW) yang dipasang di kilang Magna Steyr di Graz, Austria dan juga GR 86 (kembar kepada Subaru BRZ) yang dihasilkan di Subaru terletak Gunma, Jepun, dua lagi model Gazoo Racing yang dibangunkan sendiri oleh Toyota iaitu GR Yaris dan GR Corolla dipasang di sebuah fasiliti khas digelar sebagai GR Factory di kilang Motomachi Toyota di Jepun.

    Namun menerusi pengumuman terbaharu dari Toyota, bermula 2026 GR Corolla turut akan dihasilkan di United Kingdom menerusi kilang Toyota Motor Manufacturing UK (TMUK). Persediaan untuk pemasangan model khas berkenaan di kilang tersebut sebenarnya sudah bermula sejak 2024, dan unit pertama hot-hatch berkenaan akan keluar dari barisan produksi itu pada tahun hadapan.

    Kilang TMUK Burnaston di Derbyshire tersebut telah mula beroperasi sejak 1992, dengan model pertama dipasang adalah sedan Toyota Carina. Ia kemudiannya memasang model pengganti Carina iaitu Toyota Avensis sebanyak tiga generasi. Kilang tersebut juga memasang asas bagi GR Corolla iaitu Toyota Auris (nama khas untuk Corolla Hatchback pasaran UK dan Eropah) dan kini ia turut memasang versi wagon untuk Corolla iaitu Corolla Touring Sports.

    Toyota GR Corolla akan dipasang di UK bermula 2026 – fasiliti produksi GR sebenar pertama luar Jepun

    Dengan bermulanya pemasangan GR Corolla di kilang ini, bermakna ia menjadi kilang pertama di luar Jepun yang memasang model Gazoo Racing sebenar. Proses pemasangan kereta-kereta Gazoo Racing ini agak berbeza dengan model-model biasa kerana ia perlu menyediakan kerangka yang lebih kuat menerusi proses kimpalan dengan cantuman yang lebih banyak, penggunaan bahan perekat badan yang lebih banyak dan juga proses khas untuk memasang bumbung gentian karbon pada kerangka badan logam.

    Walau bagaimanapun unit-unit GR Corolla yang dipasang di kilang TMUK ini bukanlah untuk dijual di pasaran UK mahupun Eropah, kerana pasaran berkenaan kini hanya menerima model GR Yaris. Toyota menyatakan ke pasaran mana GR Corolla dari UK ini akan di bawa, kapasiti tahunan pemasangan model GR di kilang TMUK tersebut dan juga jumlah pelaburan yang dibuat hanya akan diumumkan selepas ini.

    Namun dalam satu laporan Reuters mendedahkan bahawa kereta-kereta yang dipasang di UK ini akan dieksport ke Amerika Syarikat, dengan rancangan untuk membawa lebih dari 10,000 unit kenderaan pada pertengahan 2026. Logiknya, buat masa sekarang Amerika Syarikat mengenakan tarif sebanyak 25% untuk kereta yang dibawa dari Jepun, tetapi levi yang dikenakan untuk kereta yang dibuat di UK baru-baru ini telah diturunkan dari 27.5% kepada hanya 10% untuk sehingga 100,000 unit setahun.

     
     
  • Alpine akan lancar supercar enjin tengah dengan kuasa lebih 1,000 PS menjelang tahun 2028

    Alpine akan lancar supercar enjin tengah dengan kuasa lebih 1,000 PS menjelang tahun 2028

    Jenama kereta prestasi dari Perancis, Alpine, merancang untuk memperkenalkan sebuah supercar enjin tengah pada tahun 2028. Menurut laporan Autocar, model ini akan dilengkapi dengan sistem hibrid V6 turbo yang mampu menghasilkan lebih 1,000 hp dan menggunakan dua motor elektrik di gandar hadapan, menjadikannya sebuah kereta pacuan semua roda (AWD).

    Walaupun Alpine sedang giat membangunkan barisan kereta elektrik sepenuhnya, syarikat ini memilih untuk kekal dengan gabungan enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik bagi supercar terbarunya. Ketua pegawai eksekutif Alpine, Philippe Krief menegaskan bahawa mereka bukan sekadar menjual kereta elektrik, tetapi kereta yang penuh semangat, sporty dan eksklusif. “Kami bukannya menjual kereta elektrik. Kami jual kereta yang penuh semangat, kereta sporty, kereta eksklusif,” katanya semasa pelancaran model Alpine A390.

    Melihat lagi kepada laporan Autocar, supercar baru ini akan menggunakan enjin V6 serta motor elektrik yang dibangunkan sendiri oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan Kumpulan Renault, Hypertech Alpine, yang terletak di fasiliti enjin Formula 1 mereka di Viry-Châtillon, Perancis.

    Menurut Autocar, model rujukan utama bagi supercar Alpine ini mungkin ialah Ferrari SF90 Stradale, kerana Krief pernah bekerja dalam bahagian pembangunan produk Ferrari ketika SF90 dibangunkan. Walaubagaimanapun, Alpine akan mengambil pendekatan berbeza dalam rekaan motor elektrik. Berbanding dengan motor jenis axial-flux seperti yang digunakan Ferrari (direka oleh syarikat Yasa), Alpine akan menggunakan motor jenis radial-flux yang direka oleh pasukan dalaman mereka.

    Krief menjelaskan, “motor axial-flux memang bagus untuk diletakkan antara enjin dan kotak gear. Tapi untuk gandar hadapan, saiz diameter yang besar bukanlah satu masalah.”

    Sebelum ini, Alpine pernah memperkenalkan konsep Alpenglow Hy6, sebuah kereta dengan enjin V6 3.5 liter yang menggunakan bahan api hidrogen. Dalam konsep itu, kuasa yang dihasilkan ialah sekitar 740 PS dan enjinnya mampu dipusing sehingga 9,000 rpm.

    Apabila supercar ini dilancarkan nanti, ia dijangka dijual pada harga lebih 200,000 euro (sekitar RM957,000), bagi memastikan projek ini menguntungkan. Krief turut berkata, “Kalau kita boleh jual Renault 5 Turbo pada harga 155,000 euro (RM741,000), tak mustahil Alpine boleh berada di tahap lebih tinggi dari itu.”

    GALERI: Alpine Alpenglow Hy6 Concept

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025