Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hycan Z03 SUV, A06 sedan ditemui di Malaysia – EV versi pemanduan kiri, adakah akan masuk pasaran?

    Hycan Z03 SUV, A06 sedan ditemui di Malaysia – EV versi pemanduan kiri, adakah akan masuk pasaran?

    Sekitar September tahun lepas, jenama kenderaan elektrik (EV) dari China, Hycan mengumumkan mereka mempunyai perancangan untuk masuk ke pasaran Malaysia pada suku pertama tahun 2025, dengan segala urusan pengedaran dan pemasaran akan diuruskan oleh syarikat tempatan yang dikenali sebagai Concept Fields. Tapi menariknya, Hycan turut menyatakan bahawa mereka akan guna nama berbeza di luar pasaran China.

    Namun selepas pengumuman awal itu, semuanya sepi. Dua bulan selepas itu pula, timbul laporan bahawa syarikat yang berpusat di Guangzhou itu — yang asalnya ditubuhkan hasil kerjasama antara GAC Group dan Nio pada tahun 2018 — sebenarnya sedang bergelut di negara asal. Ini sekaligus menimbulkan persoalan sama ada Hycan betul-betul akan datang ke Malaysia atau tidak.

    Tapi sekarang nampaknya seperti sudah mula ada pergerakan. Semalam, beberapa gambar muncul di laman perbincangan Facebook paultan.org menunjukkan model-model Hycan sudah berada di Malaysia. Lokasi sebenar tidak diberitahu, tapi yang pasti, SUV Hycan Z03 jelas kelihatan.

    Hycan Z03 SUV, A06 sedan ditemui di Malaysia – EV versi pemanduan kiri, adakah akan masuk pasaran?

    Satu lagi model yang turut kelihatan ialah Hycan A06, sebuah sedan yang dapat dikenal pasti melalui rekaan bampar depannya. Berbeza dengan model A06 Plus yang lebih murah, A06 ini nampak lebih sporty dan bergaya.

    Perkara penting yang perlu diketahui, kedua-dua kereta yang dilihat itu adalah model pemanduan sebelah kiri dan besar kemungkinan dibawa masuk khas untuk ujian atau sesi pratonton sahaja, bukannya untuk jualan segera. Jadi, kita masih belum tahu bila (atau kalau) versi pemanduan sebelah kanan akan tiba ke sini.

    Mengenali lebih dekat model Hycan ini, Z03 adalah sebuah SUV dalam segmen C yang menawarkan lima tempat duduk, dan ia sebenarnya dibangunkan mengunakan asas daripada model GAC Aion Y Plus. Melihat kepada saiz, ia mempunyai panjang 4,602 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,645 mm dan jarak roda 2,750 mm.

    Z03 ditawarkan dalam dua pilihan kuasa – satu varian menghasilkan 183 PS (135 kW), manakala satu lagi 217 PS (160 kW) – tork adalah sama iaitu 225 Nm. Untuk bateri, ada tiga pilihan yang disediakan di China – 55.5 kWh yang mampu memberikan jarak gerak 430 km, 63.98 kWh dengan jarak sekitar 510 km dan paling besar, 76.8 kWh yang boleh mencecah hingga 620 km (CLTC). Bagi pengecasan pantas DC, bateri 55.5 dan 63.98 kWh boleh dicas dari 30% hingga 80% dalam masa 36 minit, manakala bateri 76.8 kWh memerlukan sekitar 45 minit.

    Model kedua yang turut dilihat di Malaysia ialah Hycan A06, sebuah sedan yang ditawarkan dalam tiga versi — pacuan depan (FWD) biasa, FWD dengan jarak pemanduan lebih jauh dan juga pacuan semua roda (AWD). Untuk varian FWD biasa, kuasanya ialah 183 PS dengan tork 225 Nm, manakala versi jarak jauh pula ada peningkatan kuasa kepada 217 PS, tapi tork masih sama. Paling mengujakan sudah tentu versi AWD yang memberikan kuasa 462 PS dan tork 534 Nm.

    A06 juga hadir dengan dua kapasiti bateri iaitu 63 kWh dan 71 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak masing-masing sehingga 550 dan 630 km, mengikut ujian CLTC. Menariknya, Hycan memberitahu, semua varian A06 ini menyokong pengecasan pantas dari 30% ke 80% dalam hanya 36 minit, tanpa mengira kapasiti bateri.

    Hycan Z03 SUV, A06 sedan ditemui di Malaysia – EV versi pemanduan kiri, adakah akan masuk pasaran?

    Satu lagi model yang disebut dalam pengumuman Hycan tahun lepas ialah Hycan V09, sebuah MPV elektrik mewah dengan tujuh tempat duduk. Walaupun masih belum kelihatan secara fizikal di Malaysia, kemunculan Z03 dan A06 mungkin petanda kuat bahawa V09 juga ada dalam perancangan. Saiznya pula adalah lebih besar berbanding Toyota Alphard.

    Hycan V09 dilengkapi dengan motor elektrik yang diletakkan di bahagian depan, menghasilkan 275 PS (202 kW) dan tork 335 Nm. Sama seperti Z03, MPV ini juga ditawarkan dengan tiga pilihan bateri iaitu 92 kWh, 95.16 kWh dan 114.19 kWh. Melalui pakej bateri paling besar, jarak yang mampu dicapai boleh mencecah hingga 762 km, manakala varian paling kecil pula masih boleh bergerak sejauh 620 km — semuanya berdasarkan standard CLTC.

    GALERI: Hycan Z03 SUV

    GALERI: Hycan A06 sedan

    GALERI: Hycan V09 MPV

     
     
  • GWM Malaysia buka bilik pameran 3S baru di Melaka

    GWM Malaysia buka bilik pameran 3S baru di Melaka

    GWM Malaysia umumkan pembukaan rasmi bagi bilik pameran 3S terbaru jenama itu di Melaka bagi menampung keperluan pelanggan di negeri itu. Dengan keluasan kawasan 3,949 kaki persegi, kemudahan tersebut menampilkan ruang mempamer kenderaan dan ruang menunggu pelanggan yang direka untuk mencerminkan pengalaman jenama tersebut yang terkini. Selain itu, ada juga dua ruang servis untuk keperluan lepas jualan dengan kapasiti 104 kenderaan sebulan.

    “Pembukaan premis di Melaka ini merupakan langkah penting untuk memperkukuh rangkaian dan memudahka capaian pelanggan terhadap jenama tersebut, disamping memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi untuk pelanggan dalam pasaran yang sedang berkembang ini. Kami yakin bahawa bilik pameran ini akan memperkayakan lagi tahap kepuasan pelanggan dan menyokong pertumbuhan jangka panjang kami di kawasan tersebut,” jelas Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anai.

    Cawangan 3S GWM di Melaka ini terletak di 2A, Jalan Malim Jaya 2/1, Taman Malim Permai dan menjadi bilik pameran ke 26 kendalian GWM Malaysia di seluruh negara ketika ini.

    Syarikat itu juga memperkenalkan program GWM Care yang mana pelanggan boleh menikmati pemeriksaan kenderaan percuma. Diskaun 20% untuk servis penyelenggaraan, alat ganti serta cenderahati juga ditawarkan dalam program berkenaan, dan akan berlangsung sepanjang bulan Jun 2025.

     
     
  • VIDEO: Iklan epik Proton eMas 7 untuk pasaran Nepal – papar video seakan filem di kawasan ikonik Nepal

    Satu ketika dahulu, maksud penulis ketika era di mana televisyen menjadi sumber informasi dan hiburan utama kebanyakkan rakyat Malaysia, Proton seringkali hadir dengan iklan-iklan TV yang menarik. Antara genre yang diketengahkan oleh Proton dalam iklan-iklan berkenaan adalah genre ‘epik’, contohnya iklan Proton Tiara yang diispirasikan dari kisah Puteri Gunung Ledang dan juga iklan Proton Satria yang menggambarkan hatchback berkenaan ke medan perang bersama-sama tentera berkuda.

    Buat yang rindu dengan iklan-iklan Proton sedemikian, iklan SUV EV Proton eMas 7 untuk pasaran Nepal ini mungkin dapat mengubat perasaan tersebut. Ini kerana iklan berkenaan dibuat dengan gaya yang agak sinematik seperti filem epik, serta penggambarannya dibuat di sekitar Nepal yang menampilkan pelbagai bentuk muka bumi yang mencabar, kawasan ladang teh, dan juga lokasi-lokasi ikonik negera tersebut seperti di Jambatan Dodhara Chandani.

    Ia menampilkan Proton eMas 7 dalam varian Premium (berdasarkan rim 19-inci dan juga bumbung panaromik yang dipadankan), serta datang dalam warna badan hitam Moyu Black yang tidak ditawarkan di Malaysia.

    Iklan ini dimuat naik menerusi akaun Youtube Proton International, yang nampaknya baru sahaja diwujudkan sebulan yang lalu dan nampak fokus untuk membawa nama Proton pada tahap global. Ia sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong yang menyatakan bahawa Proton akan mula ‘menggegar’ pasaran eksport pada 2026 bagi mencapai jualan 330,000 unit setahun menjelang 2030.

    Proton eMas 7 ini dilancarkan di Nepal pada hujung Mac lalu. Di sana ia ditawarkan dalam dua varian dengan nama yang sama seperti di Malaysia iaitu eMas 7 Prime dijual pada harga atas jalan tanpa insuran NPR5,699,000 (sekitar RM183k), dan juga eMas 7 Premium berharga NPR6,799,000 (sekitar RM219k). Sebagai perbandingan, eMas 7 dijual di Malaysia pada harga RM109,800 untuk varian Prime dan RM123,800 untuk varian Premium.

    Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian eMas 7 pasaran Nepal ini sama seperti model pasaran Malaysia dengan menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dengan varian Prime diberikan bateri 49.52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 345 km (WLTP), manakala varian Premium pula diberikan bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak 410 kWj (WLTP).

    Begitu juga dengan spesifikasi dengan varian Prime menerima perincian seperti rim aloi 18-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.4-inci dengan paparan 2.5k dan sistem bantuan pemandua termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan Autonomi Tahap 2, manakala varian Premium ditambah dengan rim aloi 19-inci, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara, paparan head-up, tempat duduk hadapan berliang dan lain-lain.

    GALERI: Proton eMas 7 pasaran Nepal

    GALERI: Brosur rasmi Proton eMas 7 pasaran Nepal

     
     
  • Bateri Geely Galaxy E5/Proton eMas 7 tahan ujian impak kereta kebal, melebihi standard ujian di China

    Bateri Geely Galaxy E5/Proton eMas 7 tahan ujian impak kereta kebal, melebihi standard ujian di China

    Geely telah menjalankan sebuah demonstrasi bagi menunjukkan keselamatan bateri Golden Brick EV dalam satu ujian, yang mana bateri yang antara lain digunakan untuk Galaxy E5 itu — dan juga kembarnya, Proton eMas 7 — ditimpa dengan berat sebuah kereta kebal ZTZ-59D seberat 36-tan, lapor Car News China. Ujian itu melibatkan daya beban yang 1.8 kali ganda lebih daripada standard yang diwajibkan ke atas bateri baru di China.

    Pek bateri berkenaan mampu menahan impak ketika digelek oleh kereta kebal berkenaan, mengekalkan ketahanan struktur tanpa sebarang kebocoran, mengelembung, terbakar atau meletup. Ujian juga dijalankan ke atas sel individual bateri berkenaan, dan sekelompok 10 sel.

    Ini adalah merujuk kepada piawaian pensijilan GB38031-2025 bateri baru di sana, yang memerlukan baterinya memperoleh standard keselamatan tertinggi, terutama bagi kitaran pengecasan pantas, perlindungan daripada kehilangan thermal serta ketahanan bawah badan bagi bahagian bawah badannya.

    Bateri Golden Brick menerima penarafan perlindungan IP68 dan IPX9K, dan ia menggunakan teknologi kesepaduan cell-to-body, dan plat bawah setebal 2.6 mm. Ciri keselamatan berikutnya termasuklah pengasingan cecair-elektrik, pengasingan elektrikal, pelepasan haba dan langkah perlindungan lain.

    Standard kebangsaan China hanya memerlukan bateri EV menjalani 24 ujian keselamatan, namun bateri Golden Brick Aegis ini melalui 36 senario ujian oleh Geely, yang mana 23 ujian melebihi daripada keperluan ujian kebangsaan. Geely juga dilaporkan akan membuka portfolio paten bateri mereka kepada industri yang lebih meluas, tambah laporan itu.

    Awal minggu ini, perincian bagi versi extended range baru bagi Galaxy E5 mula muncul dari fail Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), yang mendedahkan versi baru pek bateri yang menampilkan kapasiti 68.39 kWh.

    Ketika ini, pilihan semasa bagi pek bateri untuk Geely Galaxy E5/Geely EX5 ialah 49.52 kWh dan 60.22 kWh, masing-masing menawarkan jarak 440 km dan 530 Nm CLTC.

    Di Malaysia, Proton eMas 7 dengan pilihan bateri yang sama masing-masing memberikan jarak WLTP 345 km dan 410 km. Proton eMas 7 dilancarkan pada Disember tahun lalu, dengan harga bermula dari RM106k untuk Prime dengan bateri 49.52 kWh, dan RM120k untuk Premium dengan bateri 60.22 kWh.

     
     
  • Model misteri Chery baharu dalam kotak di Starhill Bukit Bintang – teka model apa, boleh menang hadiah!

    Model misteri Chery baharu dalam kotak di Starhill Bukit Bintang – teka model apa, boleh menang hadiah!

    Chery Malaysia bakal melancarkan satu lagi model baharu ke pasaran tempatan tak lama lagi, dan bagi menambah keterujaan pelancaran berkenaan, sebuah kotak hadiah gergasi diletakkan di hadapan Starhill, Bukit Bintang.

    Model baharu tersebut telah diletakkan di dalam kotak berkenaan, dan ia memberi peluang kepada orang ramai yang lalu lalang untuk ‘mengintai’ dan meneka model apa yang akan dilancarkan kelak.

    “Kami mahu jemput rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk menjadi sebahagian daripada keterujaan dan penantian. Apa yang ada di dalam kotak adalah sesuatu yang menarik, sesuatu yang baharu dan sesuatu yang memberi isyarat penampilan Chery yang semakin menyerlah di kalangan golongan muda dan dinamik,” kata naib presiden Chery Malaysia, Michael Chew.

    Sekiranya anda pembaca tetap paultan.org, tak perlu intai, hanya berdasarkan klu yang tertulis di luar kotak berkenaan seperti ‘Chery Tiggo’ dan #crosswonderfullife, sudah tentu anda sudah tahu model apa yang diletakkan di dalam kotak berkenaan.

    Menurut Chery Malaysia, sekiranya anda dapat meneka model berkenaan dengan tepat, anda akan terus diberikan dengan hadiah istimewa. Kotak hadiah misteri ini akan terus diletakkan di Starhill Bukit Bintang ini bermula hari ini sehingga 3 Jun nanti.

    Ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2025 pada awal bulan ini, Chery Malaysia telahpun menayangkan beberapa model baharu yang sah bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tahun ini. Antaranya adalah Chery Tiggo Cross, iaitu SUV yang lebih kecil dari Chery Omoda 5 dan bakal dijual pada harga lebih rendah berbanding model segmen-B berkenaan.

    Kami tak boleh nak sahkan bahawa kereta misteri di dalam kotak ini adalah Tiggo Cross, tapi apa kata anda cuba sahkan sendiri dengan datang intai kotak di Starhill berkenaan.

     
     
  • Alpine A390 diperkenalkan — SUV tiga motor dengan kuasa sehingga 470 hp, tork 808 Nm, jarak 555 km

    Alpine A390 diperkenalkan — SUV tiga motor dengan kuasa sehingga 470 hp, tork 808 Nm, jarak 555 km

    Alpine, jenama yang kita selalu kenal dengan kereta sports ringan seperti A110, kini mencuba sesuatu yang baru dengan memperkenalkan sebuah SUV elektrik yang dinamakan sebagai A390. Ini model elektrik kedua mereka selepas hot hatch A290 dan lebih menarik, ia juga adalah SUV pertama dalam sejarah Alpine. Boleh dikatakan, ini adalah cubaan Alpine untuk memberi saingan kepada model seperti Porsche Macan dan Hyundai Ioniq 5 N.

    Jika dilihat pada saiz, A390 ni agak kompak – panjang 4,615 mm, lebar 1,885 mm, tinggi 1,532 mm dan berat 2,121 kg. Tapi prestasinya jangan dipandang ringan kerana di sebalik badan ini, Alpine meletakkan tiga motor elektrik – satu di hadapan dan dua di belakang. Ya, ini adalah kereta pacuan semua roda (AWD) yang pertama dari Alpine.

    Yang menarik, dua motor belakang tersebut boleh mengawal daya secara aktif antara tayar kiri dan kanan, sekaligus membantu mengelakkan kereta understeer atau oversteer. Ringkasnya, sistem ni bantu kereta lebih stabil walaupun badannya besar dan berat. Nisbah berat depan ke belakang juga hampir seimbang, 49:51.

    Dari segi kuasa, ada dua varian disediakan – A390 GT dengan 400 hp/650 Nm dan GTS dengan 470 hp/808 Nm. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan oleh GT dalam masa 4.8 saat manakala GTS pula 3.9 saat. Kelajuan maksimum GT 200 km/j dan GTS pula boleh mencecah 220 km/j.

    Kedua-dua varian A390 ini menggunakan bateri 89 kWh, cukup untuk jarak antara 520 ke 555 km mengikut standard WLTP. Bateri ni boleh dicas pantas menggunakan DC sehingga 190 kW, jadi dari 15% ke 80% masa yang diambil adalah tidak sampai 15 minit. Untuk AC biasa, pengguna boleh memilih antara 11 kW atau 22 kW, siap dengan fungsi pengecasan dua arah (bi-directional charging) – boleh caj dan juga hantar balik kuasa ke rumah kalau perlu.

    Reka bentuk luar pula masih membawa jiwa Alpine – bayangkan A110 versi SUV. Bentuk bumbung dan cermin belakang masih menampakkan bayangan coupe. Siap ada pilihan untuk letak bendera tiga warna Perancis dekat tiang-C, sama seperti A110.

    Alpine A390 diperkenalkan — SUV tiga motor dengan kuasa sehingga 470 hp, tork 808 Nm, jarak 555 km

    Rim datang dalam dua saiz iaitu 20 atau 21 inci. GT menggunakan tayar Michelin Pilot Sport EV saiz 245/45R20, manakala GTS mendapat rim 21 inci dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S. Turut disediakan adalah tayar empat musim daripada Michelin, CrossClimate 3 Sport.

    Suasana di dalam nampak moden dan canggih. Depan pemandu terdapat dua skrin besar – satu 12.3 inci untuk panel meter dan satu lagi 12 inci untuk infotainmen. Stereng menggunakan bentuk rata di bawah ala sport, ada butang khas untuk penjanaan semula kuasa brek, launch control dan juga boost untuk memotong.

    Sistem infotainmen menggunakan asas Android Automotive, jadi boleh disambung dengan Apple CarPlay, Android Auto dan ada kemaskini OTA (over-the-air). Sistem bunyi datang dari Devialet, jenama hi-fi premium dari Perancis, dengan 13 pembesar suara, amplifier 850 watt serta subwoofer 224 mm.

    Ruang dalam direka seakan A110, dengan butang gear disusun dalam bentuk anak panah. Tempat duduk hadapan jenis sport, boleh laras secara elektrik dan ada fungsi urutan. Balutan tempat duduk gabungan Alcantara dan kulit Nappa. SUV ini boleh memuatkan lima orang dan tersedia ruang simpan barang belakang sebanyak 532 liter.

    Untuk ciri keselamatan, A390 datang lengkap dengan segala ciri bantuan pemandu moden – amaran pemandu mengantuk, brek kecemasan depan dan belakang, amaran keluar lorong, cruise control adaptif dengan fungsi berhenti dan jalan dan juga fungsi memberi laluan pada penunggang dua roda.

    Pemandu juga boleh menyimpan tetapan ADAS kegemaran mereka melalui butang khas My Safety di stereng – tekan sekali sahaja, semua tetapan yang disimpan akan aktif. A390 ini akan dibuat di kilang Alpine di Dieppe, Perancis, sama seperti A110. Ia merupakan model elektrik kedua daripada tujuh model EV yang Alpine rancang untuk dilancarkan tidak lama lagi.

     
     
  • Proton eMas 7 lengkapkan ASEAN Unity Drive 2025, tempuh 10,435 km rentas 9 negara dalam masa 22 hari

    Proton eMas 7 lengkapkan ASEAN Unity Drive 2025, tempuh 10,435 km rentas 9 negara dalam masa 22 hari

    Proton hari ini mengumumkan bahawa SUV EV pertamanya iaitu eMas 7 yang menyertai ASEAN Unity Drive 2025 sudahpun sampai semula ke Malaysia selepas merentas sembilan negara ASEAN.

    Jelajah serantau yang dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) itu menyaksikan eMas 7 dipandu merentas Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Filipina, Malaysia Timur (Sarawak dan Sabah), Brunei, Indonesia dan Singapura sebelum kembali ke tanah air. Secara keseluruhan jelajah selama 22 hari ini telahpun menempuh perjalanan sejauh 10,432 km, atau 1,400 lebih jauh berbanding jarak 9,000 km yang dirancang pada peringkat awal.

    Menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan, misi selama 22 hari ini bukan sahaja tamat tanpa sebarang insiden, tetapi turut membawa pulang semua pemandu dengan selamat, seterusnya membuktikan ketahanan dan kebolehpercayaan EV tersebut di pelbagai kondisi jalan dan cuaca negara serantau.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam projek Proton e.MAS 7. Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama kita semua,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

    “Semasa dalam perjalanan, ada beberapa laluan yang mencabar disebabkan keadaan jalan yang teruk, dan ada juga laluan yang jauh dari tempat pengecasan,” kata salah seorang peserta jelajah tersebut Mohd Adib bin Mohd Azam. “Kami pernah sampai ke satu situasi di mana jarak ke stesen pengecas lebih jauh daripada baki jarak perjalanan kereta. Jadi kami berhenti di sebuah kedai kopi dan menggunakan pengecas mudah alih untuk tambah bateri supaya boleh sampai ke stesen pengecas tersebut,” tambahnya lagi.

    Seorang lagi peserta jelajah iaitu Muhammad Taufiq bin Mohd. Zin pula berkata bahawa perjalanan dari Laos ke Kemboja memang dijangkakan mencabar kerana stesen pengecas seterusnya dari Pakse ke Krong Kracheh berjarak sejauh 356 km.

    “Walaupun jarak itu masih dalam kemampuan kenderaan, tetap ada rasa risau jika tidak cukup bateri. Keadaan jalan dan pemanduan pula sentiasa berubah, itu yang buatkan perjalanan ini lebih mencabar,” tambahnya.

    “Memang ada masa kami terpaksa bergantung pada sumber tenaga rumah penduduk. Di Laos contohnya, apabila stesen pengecasan sukar untuk dicari atau tak beroperasi pada waktu yang diperlukan, kami menggunakan pengecas mudah alih yang disambungkan terus ke soket rumah. Mujur penduduk setempat sangat membantu,” kata seorang lagi peserta jelajah tersebut, Wan Kok Chai.

    Selain dari terlibat dalam jelajah ini, Proton eMas 7 juga telah dipilih sebagai kenderaan rasmi bagi kenderaan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang baru sahaja berakhir. Sepanjang acara tersebut berlangsung, sebanyak 61 unit eMas 7 telah digunakan oleh delegasi-delegasi utama.

     
     
  • Singapura bakal kenakan denda lebih berat bagi kesalahan melebihi had laju bermula 1 Januari 2026

    Singapura bakal kenakan denda lebih berat bagi kesalahan melebihi had laju bermula 1 Januari 2026

    Kementerian Dalam Negeri Singapura telah umumkan denda lebih keras bagi kesalahan melanggar had laju, bermula 1 Januari 2026. Dengan ini, pemandu yang didapati melanggar had laju akan menerima lebih banyak mata demerit dan jumlah saman yang lebih tinggi.

    Bagi kesalahan melebihi had laju tidak lebih daripada 20 km/j, kini pesalah akan menerima enam mata demerit (sebelum ini hanya empat). Sementara itu, lapan mata demerit akan diberikan untuk mereka yang melanggar had laju melebihi 20 km/j dan tidak lebih 30 km/j (daripada enam mata).

    Kenaikan melebihi had laju 10 km/j selepas itu dan kurang daripada 40 km/j pula akan mengakibatkan 12 mata demerit kepada pelaku (sebelum ini lapan). Ini terus naik hingga 18 mata (sebelum ini 12) untuk mereka yang melanggar had laju melebihi 40 km/j, tetapi tidak melebihi 50 km/j.

    Singapura bakal kenakan denda lebih berat bagi kesalahan melebihi had laju bermula 1 Januari 2026

    Lebih di atas 50 km/j dan kurang daripada 60 km/j pula, pemandu akan dikenakan 24 mata demerit (daripada 18 mata); sementara melebihi 60 km/j akan melibatkan denda 24 mata. Jika mencecah 24 mata demerit ini, lesen akan digantung.

    Untuk saman, sebanyak SGD200 (RM655) dikenakan bagi kenderaan ringan dan SGD250 (RM819) bagi kenderaan berat yang melebihi had laju tidak lebih daripada 20 km/j. Denda ini akan dinaikkan masing-masing kepada SGD300 (RM983) dan SGD400 (RM1.3k) jika perlanggaran had laju melebihi 20 km/j dan 30 km/j, dan menjadi SGD400 (RM1.3k) dan SGD500 (RM1.6k) antara 30 km/j dan 40 km/j. Langgar had laju melebihi 40 km/j daripada yang ditetapkan, pemandu akan didakwa di mahkamah.

    Malaysia juga menggunakan sistem mata demerit di bawah Kejara, dan pemandu yang didapati bersalah melebihi had laju akan didenda hingga RM300. Berdasarkan pindaan tahun 2022 yang dikongsikan di laman web rasmi JPJ, empat mata demerit akan dikenakan jika melebihi had sebanyak 40 km/j, tiga mata antara 25-40 km/j dan dua mata bagi yang tidak melebihi 25 km/j.

    Jika mata demerit terkumpul mencapai 20 poin, pesalah akan diberikan amaran; tambahn lagi 20 mata maka lesen akan digantung antara enam dan lapan bulan. Penggantungan kedua pula akan menyebabkan tempoh lapan hingga 10 bulan, manakala penggantungan ketiga dan keempat dengan tambahan 20 poin lagi akan melibatkan tempoh 10-12 bulan. Jika lesen digantung sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun, maka lesen berkenaan akan dibatalkan.

     
     
  • Vinfast VF6 diperkenal dalam versi pemanduan sebelah kanan di Indonesia – harga bermula RM103k

    Vinfast VF6 diperkenal dalam versi pemanduan sebelah kanan di Indonesia – harga bermula RM103k

    VinFast rancak meluaskan pengaruh di Asia Tenggara dengan terbaru memperkenalkan VF6 versi pemanduan kanan ke Indonesia semasa pameran IIMS di Surabaya. SUV elektrik segmen-B ini hadir dalam dua varian – Eco dan Plus – dan masing-masing dijual pada harga sekitar 396,995,000 rupiah (RM103k) dan 451.6 juta rupiah (RM117k).

    VF6 Eco datang dengan motor elektrik hadapan 177 PS/250 Nm, manakala VF6 Plus lebih bertenaga dengan 204 PS/310 Nm. Kedua-duanya menggunakan bateri LFP 59.6 kWh yang mampu menyediakan jarak gerak sejauh 399 km untuk Eco dan 381 km untuk Plus (mengikut ujian WLTP). Jika menggunakan pengecas pantas, tahap bateri dari 10% ke 70% boleh naik dalam 25 minit.

    VinFast juga tawarkan promosi menarik – caj percuma hingga 1 Mac 2028, pakej aksesori bernilai sehingga 13.345 juta rupiah (RM3.5k), pulangan tunai sehingga 15 juta rupiah (RM3.9k) serta insurans percuma untuk pembelian tunai sebelum 30 Jun 2025.

    Vinfast VF6 diperkenal dalam versi pemanduan sebelah kanan di Indonesia – harga bermula RM103k

    Dari segi saiz, VF6 ini hampir sama besar dengan BYD Dolphin – sesuai untuk kegunaan bandar. Untuk kelengkapan pula, kedua-dua varian datang standard dengan lampu LED, paparan head-up display, skrin infotainmen 12.9 inci, enam pembesar suara, sistem tanpa kunci serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Sistem keselamatan asas seperti ABS, EBD, bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula bukit juga disediakan.

    Untuk yang ambil varian Plus, ada tambahan rim 18 inci, tempat duduk balutan kulit vegan, pendingin hawa dua zon dan paling penting, sistem keselamatan ADAS penuh termasuk brek kecemasan automatik, pemantauan titik buta, kawalan pemanduan adaptif, kamera 360 dan banyak lagi.

    Satu lagi yang menarik, VinFast turut memperkenalkan polisi tukar dan beli balik yang unik di Indonesia. Mereka menawarkan sehingga 90% nilai kenderaan selepas tempoh enam bulan dan 70% selepas tiga tahun untuk semua model yang dijual. Ini sekaligus menjawab kebimbangan pembeli tentang nilai susut sesebuah EV dan memberi keyakinan jika mereka mahu naik taraf pada masa depan.

     
     
  • Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

    Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

    Selepas trak pikap Radar King Kong yang dikuasakan sepenuhnya oleh elektrik (EV) dilancarkan Disember tahun lalu, kini Geely memperkenalkan pula versi dengan enjin petrol bersama sistem plug-in hybrid (PHEV) trak berkenaan, dikenali sebagai Radar King Kong EM-P.

    Seperti namanya, trak pikap ini menerima unit rangkaian kuasa EM-P kumpulan Geely, menampilkan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan keberkesanan suhu mencecah 44.26%, digandingkan dengan kotak gear khas hibrid tiga kelajuan (3DHT) yang diintegrasikan dengan motor elektrik, serta satu lagi motor elektrik ditempatkan pada gandar belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda.

    Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menghasilkan 349 hp dan tork maksima 914 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat, dan Geely turut mendakwa bahawa dengan beban penuh trak pikap ini masih boleh mencatakan masa 8.6 saat untuk pecutan sama.

    Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

    Untuk sistem hibrid, ia dibekalkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 19.09 kWj, membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 100 km dalam kitaran ujian CLTC. Penggunaan bahan api dicatatkan serendah 1.5 liter untuk setiap 100 km, dan untuk satu tangki petrol 60 liter ia boleh bergerak sejauh 1,068 km dalam mod hibrid. Malah dengan bateri yang sudah kehabisan tenaga, ia masih boleh mencapai penggunaan petrol 6.4L/100 km.

    Ia bukan sahaja menampilkan sistem Vehicle-to-load (V2L) yang membolehkan kuasa dari bateri mengoperasikan peralatan elektrik lain, malah ia turut diberikan fungsi Vehicle-to-vehicle (V2V) yang membolehkan ia mengecas bateri EV pada kereta lain.

    Manakala untuk sistem AWD, ia tampil dengan empat mod pemanduan off-road iaitu Snow, Mud, Off-road dan juga Sand. Geely mendakwa tanpa membawa beban trak pikap ini boleh mendaki bukit dengan kecerunan 45 darjah, manakala dengan membawa beban penuh ia boleh mendaki sehingga kecerunan 33 darjah. Manakala had membawa beban pula adalah 1,000 kg.

    Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

    Sama seperti versi EV, Radar King Kong EM-P ini masih menggunakan platform sama yang diasaskan dari Multiplex Attached Platform (MAP), iaitu platform yang diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA). Jadi ia bukanlah trak pikap dengan casis ladder frame, namun menurut Geely struktur badan King Kong EM-P ini dihasilkan dari 70% logam berkekuatan tinggi bagi membolehkan ketegaran torsi mencapai 30,300 Nm.

    Juga sama seperti versi EV, Radar King Kong ini turut hadir dalam dua versi badan iaitu jarak roda pendek sejauh 3,120 mm menjadikan panjang keseluruhannya 5,260 mm, serta jarak roda panjang sejauh 3,310 mm bagi memberikan panjang keseluruhan 5,500 mm. Lebar dan tinggi juga sama iaitu masing-masing 1,900 mm dan 1,865 mm.

    Rupa luaran bagi versi EM-P ini nampaknya sama sahaja seperti versi EV, begitu juga pada dalam kabin di mana ia menerima konfigurasi lima-tempat duduk, papan pemuka yang nampak sama seperti Proton X90/Geely Haoyue, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 14.6-inci serta paparan instrumen digital dengan skrin LCD bersaiz 10.2-inci.

    Tiga varian ditawarkan pada pasaran China iaitu Radar King Kong EM-P 1000km Standard Bed berharga 139,800 yuan (RM82k), Radar King Kong EM-P All-Round Long Bed berharga 149,800 yuan (RM88k) dan Radar King Kong EM-P Intelligent Long Bed berharga 159,800 yuan (RM94k).

    Menurut laporan CarNewsChina, Radar King Kong EM-P ini turut akan dibawa ke pasaran eksport dan dikenali sebagai Riddara RD6 EM-P. Jadi ia mungkin akan dilancarkan di Thailand kerana negara berkenaan sudah pun menerima trak pikap EV Riddara RD6 yang sudah berada di pasaran tersebut sejak akhir tahun lalu.

     
     
  • MBSA sediakan inisiatif parkir percuma untuk warga emas – 60 tahun ke atas, daftar satu kereta sahaja

    MBSA sediakan inisiatif parkir percuma untuk warga emas – 60 tahun ke atas, daftar satu kereta sahaja

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan inisiatif parkir percuma untuk warga emas di bawah kawasan pentadbirannya. Ia ditawarkan sempena dengan sambutan jubli perak ke-25 tahun bandaraya Shah Alam.

    Menurut MBSA, inisiatif ini dibuka untuk warga emas berusia 60 tahun keatas yang merupakan pembayar cukai taksiran MBSA. Selain itu, hanya satu kereta sahaja yang layak didaftar di bawah inisiatif ini, dan kereta terbabit mestilah didaftarkan di bawah nama warga emas berkenaan. Kalau kereta didaftarkan guna nama orang lain termasuk nama anak-anak, kiranya tak layaklah nak mohon parkir percuma ini.

    Bagi warga emas yang menepati terma dan syarat yang ditetapkan, pendaftaran boleh dibuat dengan mengimbas kod QR (seperti yang dipaparkan di foto di atas) atau pun menerusi PAUTAN INI untuk mengisi borang permohonan.

    “Untuk makluman, pendaftaran adalah berterusan dan tiada tarikh akhir ditetapkan. Tuan/Puan boleh hadir ke Wisma MBSA, Seksyen 14, Shah Alam mengikut kesesuaian masa dan tarikh Tuan/Puan, bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja,” kata MBSA.

    Sebarang pertanyaan sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil 03-55133919 (talian terus) sambungan 1540/1521 atau boleh hadir ke Jabatan Kewangan, Tingkat 21, Wisma MBSA.

     
     
  • Kerajaan peruntukan RM350j bagi projek selenggara jalan persekutuan tahun ini – Ahmad Maslan

    Kerajaan peruntukan RM350j bagi projek selenggara jalan persekutuan tahun ini – Ahmad Maslan

    Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM350 juta untuk projek selenggara 563 jalan persekutuan di Semenanjung untuk tahun ini. Menurut Timbalan Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, sebanyak RM275 juta akan digunakan untuk kerja penyelenggaraan turapan berkala dan RM75 juta bagi kerja penyelenggaraan bukan turapan.

    Beliau turut berkata, kerja-kerja penyelenggaraan ditawarkan kepada kontraktor gred G1 hingga G4 melalui undian, dengan proses pengundian program di zon selatan diadakan minggu ini, manakala bagi zon utara akan dijalankan pada 5-6 Jun laporan Bernama.

    Jelasnya lagi, ia adalah bagi memastikan semua kontraktor yang terlibat diberi peluang yang sama. Tambahnya, semua kontraktor yang terlibat dalam urusan pengundian telah ditapis oleh pihak berkuasa bagi memastikan semua projek yang dilaksanakan berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual.

    Beliau berkata, tiada isu mengenai kontraktor tidak dapat menjalankan tugas itu. “Kontraktor-kontraktor ini telah disenarai pendek, yang mana kami menganggap mereka mempunyai kemampuan untuk melakukan kerja, dan kami yakin mereka dapat menyiapkan tugasan yang diberikan.

    “Pengundian dilakukan secara adil dan kontraktor boleh melihat keputusan menerusi dalam talian. Kontraktor yang dipilih tahun lepas tidak layak untuk dipilih tahun ini,” jelasnya.

     
     
  • JPJ laksana operasi khas Hari Raya Aidiladha pada 4 hingga 10 Jun – fokus 7 strategi, 9 kesalahan utama

    JPJ laksana operasi khas Hari Raya Aidiladha pada 4 hingga 10 Jun – fokus 7 strategi, 9 kesalahan utama

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan akan melaksanakan operasi khas Hari Raya Aidiladha Tahun 2025 mulai 4 hingga 10 Jun ini di seluruh negara.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, operasi khas ini adalah bertujuan untuk memantau, mengesan, dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang jalan raya yang dikuatkuasakan.

    “Melalui operasi khas ini, tujuh strategi utama akan dilaksanakan iaitu pemantauan/pemeriksaan audit operasi bas di depoh, Ops Khas sembilan kesalahan utama, Ops Khas Perkhidmatan Awam (bas), Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Barangan, Ops Khas Motosikal dan Ops Khas Teknikal.

    “Selain itu, JPJ juga akan memfokuskan sembilan kesalahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dam kaedah-kaedah di bawahnya iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, guna telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar/topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

    Tambah beliau, pihak JPJ juga komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara dan bagi mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50% menjelang tahun 2030.

    Para pengguna jalan raya juga dialu-alukan menyalurkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan@JPJ) atau e-melkan kepada [email protected].

     
     
  • Rapid Penang On-Demand diperluaskan ke tujuh zon baharu – ujian selama tiga bulan mulai 31 Mei

    Rapid Penang On-Demand diperluaskan ke tujuh zon baharu – ujian selama tiga bulan mulai 31 Mei

    Rapid Bus telah mengumumkan perkhidmatan Rapid Penang On-Demand akan diperluaskan menerusi fasa proof of concept (POC) selama tiga bulan mulai 31 Mei 2025. Buat masa ini, Rapid Penang On-Demand atau sebelum ini dikenali sebagai Demand Responsive Transit (DRT) memiliki 31 van yang beroperasi di enam zon, dengan purata penumpang seramai 1,828 orang sehari, mendorong syarikat pengendali untuk meningkatkan skop liputan.

    CEO Kumpulan Prasarana Malaysia (operasi) Amir Hamdan berkata perkhidmatan berasaskan van ini akan diperluaskan dengan tujuh zon tambahan, bagi memenuhi permintaan tempatan, kepadatan penduduk dan ketersambungan dengan liputan perkhidmatan laluan bas sedia ada.

    Tambahan zon itu melibatkan Alma dengan menyediakan empat buah van yang akan menghubungkan penumpang dengan laluan bas sedia ada termasuk (No.) 708 (Bukit Mertajam–Junjung), 801 (Penang Sentral–Nibong Tebal) and 802 (Bukit Mertajam–Nibong Tebal).

    Manakala zon Bandar Bukit Mertajam pula akan beroperasi dengan tiga buah zon di pusat bandar Seberang Perai Tengah, yang menghubungkan laluan 606 (Bukit Mertajam–Kepala Batas), 701 (Bukit Mertajam–Penang Sentral), 702 (Bukit Mertajam–Penang Sentral), 707 (Bukit Mertajam–Taman Pelangi), 708 (Bukit Mertajam–Junjung), 709 (Penang Sentral–Machang Bubuk), 802 (Bukit Mertajam–Nibong Tebal) dan CT14 (Bukit Mertajam–Komtar).

    Sementara itu, zon Bayan Baru pula disediakan tiga buah van yang akan memberikan akses untuk laluan bas sedia ada termasuk 301 (Weld Quay-Relau), 302 (Weld Quay–Batu Maung), 303 (Weld Quay–Bukit Gedung), 304 (Gurney Promenade–Bukit Gedung), 306 (Hospital–Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang), 308 (Sungai Nibong–Gertak Sanggul), 401 (Weld Quay Teluk Kumbar), 401E (Weld Quay–Balik Pulau) dan CT13 (Bayan Baru–Seberang Jaya).

    Rapid Penang On-Demand diperluaskan ke tujuh zon baharu – ujian selama tiga bulan mulai 31 Mei

    Untuk zon Bertam pula, disediakan dua buah van untuk menghubungkan penumpang dengan laluan 601 (Penang Sentral–Kepala Batas), 606 (Bukit Mertajam–Kepala Batas) dan 610 (Kepala Batas–Tasek Gelugor) bagi mengurangkan masa menunggu bagi laluan yang terlibat.

    Bagi zon Balik Pulau, dua buah van disediakan untuk laluan bas sedia ada termasuk 401E (Balik Pulau–Weld Quay), 403 (Balik Pulau–Pulau Betong), 404 (Balik Pulau–Pantai Acheh) dan 502 (Genting Town, Balik Pulau–Weld Quay).

    Akhir sekali, zon Transkrian atau Nibong Tebal yang akan mempunyai dua buah van untuk Transkrian dan tiga buah van untuk zon Batu Kawan.

    Amir berkata Rapid Bus akan memantau permintaan dan corak penggunaan sepanjang tempoh percubaan selama tiga bulan bagi memastikan perkhidmatan itu relevan untuk memenuhi keperluan, sambil menambah bahawa penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan keputusan penilaian dan maklum balas penumpang.

     
     
  • Nik Nazmi letak jawatan menteri — apa akan jadi dengan rancangan 50% EV bagi kenderaan rasmi?

    Nik Nazmi letak jawatan menteri — apa akan jadi dengan rancangan 50% EV bagi kenderaan rasmi?

    Selain Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengumumkan perletakan jawatannya hari ini sebagai Menteri Ekonomi, seorang lagi rakan sejawatnya turun mengambil langkah yang sama. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (KSAKA), Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengumumkan perletakan jawatannya, bermula 4 Julai nanti susulan kekalahannya untuk mempertahankan kedudukan sebagai Naib Presiden dalam pemilihan PKR minggu lalu.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ahli Parlimen Setiawangsa itu memaklumkan telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau juga akan menghabiskan baki cuti tahunan bermula esok hingga 3 Julai. Beliau akan memberi tumpuan untuk berkhidmat untuk Setiawangsa selepas ini.

    Nik Nazmi menyatakan, sejak pelantikannya kali pertama sebagai menteri sejak Disember 2022, beliau bersama pasukannya telah menjalankan banyak reformasi pengurusan yang berkaitm termasuklah meminda Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Akta 127) Fasa 1 untuk menjadikan laporan penilaian kesan alam sekitar lebih telus.

    Beliau juga menyenaraikan pelaksanaan penyasaran semula subsidi di bawah mekanisme pelepasan kos ketidakseimbangan elektrik (ICPT) di semenanjung sebagai satu lagi pencapaiannya. Sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pula, Nik Nazmi turut terlibat dalam beberapa perbincangan berkaitan mobiliti, termasuk elektrifikasi, dengan tumpuan terhadap strategi peralihan bagi kerajaan untuk menjadikan separuh daripada pembelian kenderaan rasmi terdiri daripada EV pada 2025. Tidak diketahui sama ada rancangan itu akan diteruskan selepas ketiadaannya dalam kabinet.

    Awal tahun ini, beliau menyatakan harapannya bahawa dengan penarikan subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan menggalakkan lebih ramai warga Malaysia untuk membeli EV sebagai salah satu cara untuk mendepani kenaikan kos bahan api. Perihal mobiliti lain yang turut pernah disentuh termasuklah untuk negara memberi tumpuan kepada pembangunan berasaskan transit serta mencadangkan caj kesesakan kenderaan dikenakan di Kuala Lumpur bagi memastikan kelestarian jangka panjang ibu kota itu.

    Apa yang akan terjadi kepada semua cadangan serta usaha itu kini tidak ada sebarang kepastian. Hanya masa yang akan menentukannya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025