Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pemandu Nissan Navara mabuk rempuh Toyota Vios di Kluang mengakibatkan dua kanak-kanak cedera parah

    Pemandu Nissan Navara mabuk rempuh Toyota Vios di Kluang mengakibatkan dua kanak-kanak cedera parah

    Satu video tular yang dimuatnaik di laman Facebook Aku Budak Kluang telah tular sejak semalam, yang memaparkan sebuah Nissan Navara merempuh Toyota Vios di daerah Kluang, Johor.

    Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Md Noh mengesahkan kejadian berkenaan yang berlaku di KM 57 Jalan Batu Pahat-Mersing yang mengakibatkan dua orang kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia setahun lima bulan yang merupakan penumpang Vios berkenaan parah akibat kemalangan terbabit.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Bahrin berkata, trak pikap Navara yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang dipercayai mabuk telah merempuh Vios berkenaan hingga menyebabkannya hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

    “Mangsa dikenali sebagai Nur Hana Humaira, parah di kepala, mengalami pendarahan otak selain cedera di tulang pinggul manakala kakaknya, Nur Aisyah Humaira, 6, turut parah di kepala, mengalami pendarahan di otak dan bengkak tulang rahang.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian didapati kereta jenis Nissan Navara dan Toyota Vios dari arah yang sama iaitu dari arah Kluang menghala ke Mersing. Apabila sampai di tempat kejadian, kereta suspek melanggar dari arah belakang hingga menyebabkan Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun hilang kawalan lalu melanggar pokok di bahu jalan sebelah kiri,” katanya.

    Beliau turut mengesahkan pemandu Navara berkenaan telah ditangkap oleh Pegawai Polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang. Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

     
     
  • Polis sukar tangkap pemandu cuai dan mabuk jika orang ramai kongsi sekatan jalan raya di Waze

    Polis sukar tangkap pemandu cuai dan mabuk jika orang ramai kongsi sekatan jalan raya di Waze

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa pihaknya sukar untuk membuat penguatkuasaan sekiranya orang ramai berkongsi lokasi sekatan jalan raya dalam aplikasi Waze.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dalam laporan Berita Harian, tindakan berkongsi maklumat itu menyebabkan polis tidak dapat mengambil tindakan ke atas pemandu yang ingkar, terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain.

    “Orang ramai berpendapat dengan memaparkan keberadaan pihak polis, pemandu akan lebih cenderung untuk memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

    “Hakikatnya, ia menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu yang ingkar, terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain,” katanya.

    Polis sukar tangkap pemandu cuai dan mabuk jika orang ramai kongsi sekatan jalan raya di Waze

    Berikutan sebilangan masyarakat memberi reaksi negatif terhadap nasihat polis Kuala Lumpur yang meminta orang ramai tidak berkongsi maklumat sekatan jalan raya atau kehadiran polis di aplikasi Waze, Azmi menyatakan bahawa pengguna jalan raya harus sedar bahaya yang akan dihadapi disebabkan oleh kecuaian pemandu, termasuk yang memandu dalam keadaan mabuk, melanggar lampu isyarat dan memandu melawan arus.

    “Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah diakibatkan oleh kecuaian dan kelalaian pesalah trafik ini, mereka tidak akan dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

    “Oleh itu, besarlah harapan saya supaya orang ramai terutamanya pengguna jalan raya memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini,” katanya.

     
     
  • Stesen Petronas di R&R Seremban arah utara ditutup hingga 10 April 2023 untuk kerja naiktaraf – PLUS

    Stesen Petronas di R&R Seremban arah utara ditutup hingga 10 April 2023 untuk kerja naiktaraf – PLUS

    Bagi yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Berhad memaklumkan stesen Petronas di kawasan R&R Seremban (arah utara) di KM272.2 ditutup mulai hari ini, 30 Januari sehingga 10 April 2023. Ia adalah untuk kelancaran kerja-kerja menaiktaraf stesen minyak berkenaan.

    Menurut PLUS lagi, penutupan ini hanya melibatkan stesen minyak Petronas sahaja dan tidak membabitkan keseluruhan kawasan R&R terbabit yang masih kekal beroperasi seperti biasa. Jika sudah terbiasa mengisi minyak di situ, apa kata anda ke Stesen Minyak Petronas di KM297.2 (Arah Utara) laluan Seremban-Kuala Lumpur.

    Apa pun, sila tingkatkan fokus pemanduan, terus berhati-hati di jalan raya dan berehat seketika di kawasan R&R berhampiran sekiranya keletihan atau mengantuk.

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor VKJ sedang dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri nombor VKJ sedang dibuka bidaan

    Anda sedang mencari siri nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu yang bakal tiba di rumah anda? Ini ada satu lagi pilihan menarik. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor pendaftaran, VKJ, sedang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VKJ ini mula dibuka bidaan pada 26 Januari 2023. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 30 Januari. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 31 Januari 2023. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Volvo panggil semula 545 unit kereta di Malaysia berhubung masalah perisian pada modul kawalan brek

    Volvo panggil semula 545 unit kereta di Malaysia berhubung masalah perisian pada modul kawalan brek

    Volvo Cars telahpun mengeluarkan notis panggilan semula terhadap 106,691 unit kenderaan keluarannya di seluruh dunia berhubung masalah perisian pada modul kawalan brek. Dari jumlah berkenaan, 545 unit daripadanya berada di Malaysia.

    Model-model yang terlibat dalam panggilan semula ini di Malaysia adalah XC40, C40, XC60, S60, V60, XC90 dan S90 – kesemuanya dalam versi 2023.

    Kereta-kereta yang terjejas dengan masalah ini mungkin akan memberikan simptom seperti pedal brek yang menjadi keras dan hilang fungsi bantuan brek elektronik, namun kuasa brek masih boleh diberikan pada pedal brek. Sekiranya masalah ini terjadi, mesej amaran akan diberikan kepada pemandu menerusi modul informasi pemandu (DIM).

    “Keselamatan menjadi keutamaan untuk Volvo dan kami ambil isu ini secara serius”, kata Volvo Car Malaysia (VCM) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Syarikat berkenaan menyatakan bahawa kesemua kenderaan-kenderaan yang terlibat akan dipanggil semula ke pusat-pusat servis bertauliahnya bagi membaikpulih masalah tersebut dan mengelakkan masalah lain dari berlaku.

    “Volvo Car Malaysia akan terus memastikan bahawa kereta-kereta tersebut dipulangkan untuk pemanduan yang lebih selamat dan baik,” tambah syarikat itu lagi.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 Max 2023 pasaran M’sia dipertingkat dengan HUD, tiada lagi bumbung solar, bateri sama

    Hyundai Ioniq 5 Max 2023 pasaran M’sia dipertingkat dengan HUD, tiada lagi bumbung solar, bateri sama

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah memberikan sedikit perubahan kepada spesifikasi Hyundai Ioniq 5 2023 pasaran Malaysia, dengan ia masih lagi ditawarkan dalam tiga varian iaitu Lite, Plus dan Max. Perubahan utama pada model elektrik penuh ini adalah termasuk head-up display (HUD) bagi varian paling tinggi, Max, serta tiada lagi bumbung solar untuk semua varian model ini.

    Spesifikasi penggerak dan bateri masih lagi sama seperti sebelum ini, dengan varian Lite dan Plus menggunakan tetapan satu motor, pacuan RWD dan bateri 58 kWh, mampu memberikan jarak gerak sehingga 384 km, sementara varian Max masih lagi menggunakan bateri 72.6 kWh yang mampu menawarkan jarak gerak sehingga 430 km.

    Melihat lebih lanjut, Ioniq 5 varian Lite dan Plus 2023 dipacu oleh motor elektrik 170 PS/340 Nm yang terletak di belakang, dan boleh memecut EV tersebut 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat. Varian Max memberikan prestasi yang lebih dengan kuasa 305 PS dan tork 605 Nm, disampaikan kepada semua roda, dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat.

    Apabila menggunakan sumber kuasa AC 11 kW, Ioniq varian Lite dan Plus dapat dicas dari kosong sehingga penuh dalam masa lima jam, sementara untuk Max ia mengambil masa 6.1 jam. Mengecas menggunakan sumber DC 50 kW pula dapat menaikkan tahap bateri dari 10% ke 80% dalam masa cuma 47 minit, sementara dengan cas DC 50 kW pula ia dapat menaikkan tahap bateri dari 10% ke 80% dalam masa cuma 18 minit – tempoh ini adalah untuk semua varian dan saiz bateri.

    Hyundai Ioniq 5 Max 2023 pasaran M’sia dipertingkat dengan HUD, tiada lagi bumbung solar, bateri sama

    Berkenaan sistem bantuan pemandu, Hyundai SmartSense terus diberikan pada Ioniq 2023, dengan ia termasuk Blind Spot Collision Avoidance Assist, Rear Cross-traffic Collision Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Leading Vehicle Departure Alert, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, High Beam Assist, Driver Attention Warning, Rear Occupant Alert, Manual Speed Limit Assist dan Forward Collision Avoidance Assist.

    Sementara varian asas Lite mendapat sistem amaran Safe Exit Assist biasa, varian Plus dan Max pula diberikan dengan sistem versi aktif Safe Exit Alert serta skrin pemerhati titik buta. Untuk rim, varian Lite dan Plus menggunakan unit 19 inci manakala varian Max mendapat rim 20 inci.

    Masuk ke dalam, balutan fabrik digunakan untuk varian Lite, sementara Plus dan Max mendapat balutan kulit. Tempat duduk boleh dilaras secara elektrik hanya di bahagian pemandu untuk varian Lite, sementara Plus dan Max menggunakan larasan elektrik untuk kedua-dua tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

    Varian Max kemudiannya mendapat lagi tambahan tempat duduk hadapan Premium Relaxation dengan fungsi pemanas dan tempat duduk belakang dengan liang udara dan pemanas. Berkenaan warna kemasan di dalam, semua tiga varian model tahun 2023 boleh dipilih dengan skim warna serba hitam, ataupun pilihan Dark Pebble Gray atau Dark Teal untuk varian Max.

    Setiap varian ditawarkan dengan pilihan warna badan khas, iaitu Mystic Olive Green Pearl dan Cyber Gray Metallic untuk Lite, Galactic Gray Metallic dan Digital Teal Green Pearl untuk Plus dan Gravity Gold Matte, Lucid Blue Pearl atau Shooting Star Gray Matte untuk Max. Selain daripada itu, varian Lite dan Plus masih boleh didapati dengan warna Atlas White ataupun Phantom Black Pearl.

    Melihat di dalam laman web Hyundai Malaysia, Ioniq 5 kini ditawarkan pada harga RM207,808 untuk varian Lite 58 kWh, RM238,408 untuk Plus 58 kWh, dan RM270,408 untuk varian paling tinggi Max 72.6 kWh.

    GALERI: Hyundai Ioniq 5 Max 72.6 kWh AWD 2022 di Malaysia

     
     
  • Kerja pembangunan dekat stesen LRT Bandaraya mungkin punca struktur jejambat retak – APAD

    Kerja pembangunan dekat stesen LRT Bandaraya mungkin punca struktur jejambat retak – APAD

    Susulan akses laluan antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Bandaraya pada LRT Laluan Ampang terpaksa disekat sejak pagi tadi akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) dan struktur jejambat retak, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, hasil siasatan dan pemerhatian awal mendapati ada sebuah projek pembangunan bersebelahan kawasan kejadian yang telah mula dijalankan tanpa sebarang rundingan dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367].

    “Pihak APAD sememangnya memandang serius terhadap isu ini dan sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya insiden terbabit.

    “Sebagai langkah keselamatan, selaras dengan Peraturan 8 P.U(A) 367, APAD mengesyorkan kepada Datuk Bandar agar menggantung pembangunan dan aktiviti terhad di zon perlindungan kereta api tersebut serta merta sehingga punca sebenar diketahui dan segala aspek serta keperluan keselamatan dipatuhi oleh pemilik projek,” kata APAD menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

    Kerja pembangunan dekat stesen LRT Bandaraya mungkin punca struktur jejambat retak – APAD

    Dalam masa yang sama, Rapid KL pula memaklumkan, perkhidmatan tren alternatif telah pun diaktifkan. “Tren-tren dari Putra Heights dan Ampang berpatah balik di Hang Tuah, sementara tren-tren dari Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Bandaraya. Perkhidmatan shuttle atau ulang-alik di antara stesen Hang Tuah dan Masjid Jamek turut diaktifkan,” kata Rapid KL.

    Tambahnya, sebanyak 23 buah bas sebagai pengangkutan alternatif disediakan bagi menampung para penumpang di Stesen Bandaraya ke Plaza Rakyat, Stesen Plaza Rakyat ke Stesen Bandaraya, Stesen Sentul Timur ke Stesen Bandaraya, Stesen Bandaraya ke Sentul Timur, Stesen Hang Tuah ke Stesen Bandaraya dan Stesen Bandaraya ke Stesen Hang Tuah.

    “Kami memohon maaf di atas kelewatan ini dan kesulitan yang dialami oleh para penumpang. Namun demikian, keselamatan para penumpang menjadi keutamaan pihak kami. Malah anggota Polis Bantuan juga telah dikerah ke stesen-stesen utama bagi mengawal kesesakan,” sambungnya lagi.

     
     
  • Kereta polis disaman sebab parkir di tempat motosikal

    Kereta polis disaman sebab parkir di tempat motosikal

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan saman terhadap sebuah kenderaan milik polis Kontinjen Johor selepas didapati meletak kenderaan di petak parkir motosikal di Kuala Kubu Bharu.

    Beliau berkata, pihaknya mengesan perbuatan tersebut selepas ia dimuatnaik menerusi laman Facebook Kuala Kubu Bharu Resident dan didapati perkara berkenaan menyalahi peraturan lalu lintas, laporan Berita Harian.

    “Hasil semakan yang dijalankan mendapati kenderaan berkenaan datang ke Kuala Kubu Bharu di atas urusan rasmi. Justeru, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor mengeluarkan saman trafik ke atas kenderaan itu di bawah kesalahan halangan lalu lintas mengikut Kaedah Lalu Lintas 16(1) LN 166/59,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kesalahan yang dilakukan dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnyaa.

     
     
  • Tren KTM Komuter tambahan 24 jam ke Batu Caves disediakan pada 4-6 Feb 2023 sempena Thaipusam

    Tren KTM Komuter tambahan 24 jam ke Batu Caves disediakan pada 4-6 Feb 2023 sempena Thaipusam

    Sempena dengan sambutan Thaipusam pada 5 Februari 2023, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan KTM Komuter tambahan akan disediakan selama tiga hari dua malam iaitu mulai 4 hingga 6 Februari.

    Menurut Ketua Kawalan Operasi KTMB, Afzar Zakariya berkata, tren tambahan berkenaan akan bergerak tanpa henti 24 jam dan operasi KTM komuter itu melibatkan laluan Batu Caves- Sungai Gadut- Batu Caves dan Pelabuhan Klang-Batu Caves-Pelabuhan Klang dengan kekerapan perkhidmatan setiap satu jam.

    “Perkhidmatan KTM Komuter tambahan ini akan bermula seawal 10 malam pada 4 Feb dari stesen Sungai Gadut ke stesen Batu Caves manakala tren tambahan pertama dari Pelabuhan Klang ke Batu Caves akan bermula seawal 11.43 malam pada hari yang sama.

    “Sebanyak 24 stesen akan beropeasi selama 24 jam sepanjang tempoh tersebut antaranya Seremban, Nilai, Kajang dan Klang. Bagaimanapun, tiada perkhidmatan tren tambahan ke dan dari laluan stesen Tanjung Malim-Batu Caves -Tanjung Malim,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambah beliau, KTMB menganggarkan seramai 182,000 pengguna akan menggunakan perkhidmatan komuter sepanjang tempoh tersebut dengan jumlah penumpang dijangka meningkat pada hari kemuncak iaitu Ahad hadapan, 5 Februari 2023.

    Justeru, beliau menasihatkan pengguna supaya membuat persediaan awal dengan mendapatkan kad Komuter Link lebih awal dari tarikh perjalanan atau menggunakan kad Touch ‘n Go dengan baki mencukupi bagi memastikan kelancaran perjalanan dan mengurangkan kesesakan di stesen.

    “Pihak KTMB juga ingin mengingatkan semua pengguna yang bakal mengunjungi Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves diwajibkan memakai pelitup muka semasa berada di dalam tren seperti mana arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan pada masa ini,” katanya.

     
     
  • Yamaha Grand Filano Hybrid Connected dilancar di Indonesia – enjin 125cc dibantu kuasa elektrik, RM7.7k

    Yamaha Grand Filano Hybrid Connected dilancar di Indonesia – enjin 125cc dibantu kuasa elektrik, RM7.7k

    Selepas Fazzio, pasaran Indonesia mendapat satu lagi skuter hibrid dari Yamaha iaitu Grand Filano Hybrid Connected. Model ini dilancarkan pada harga 27.5 juta rupiah (RM7,764), sekaligus meletakkanya pada lingkungan harga yang sama seperti Aerox 155 Connected (NVX155) di negara itu.

    Grand Filano Hybrid ini sebenarnya sudah memasuki pasaran Thailand sejak tahun 2018, namun model terbaru yang tiba di Indonesia ini menggunakan asas daripada model yang dipertingkat pada tahun 2022 (di Thailand), menyaksikan ia datang dengan semua lampu jenis LED, meter gabungan TFT dan LCD, serta penampilan yang lebih elegan.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder 125 cc Bluecore, SOHC, suntikan bahan api, yang mampu menghasilkan kuasa 8.2 hp pada 6,500 rpm dan 10.4 Nm tork pada 5,000 rpm. Ia kemudiannya dapat dibantu dengan Electric Power Assist Start yang membuatkan pecutan awal rasa lebih bertenaga terutamanya apabila di atas bukit atau membawa penumpang. Menjadikannya lebih cekap adalah sistem start/stop.

    Selain datang dengan enjin hibrid, Grand Filano Hybrid Connected ini juga menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengguna dengan adanya ciri seperti ruang simpanan barang bawah tempat duduk 27 liter, sistem kunci pintar, soket pengecas 12V, poket barangan di depan, lampu kecemasan serta peletak kaki yang lebar untuk penumpang. Tangki bahan api berkapasiti 4.4 liter.

    Datang dengan brek cakera di hadapan dan dram di belakang, Grand Filano Hybrid Connected bagaimanapun tidak dilengkapi ABS, dan rim serta tayarnya datang dengan saiz yang sama di hadapan dan belakang iaitu unit 12 inci dibalut tayar 110/70. Sebagai sebuah model Connected, panel meter skuter ini boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect untuk memberikan pelbagai lagi informasi tambahan.

     
     
  • Rapid KL kongsi foto landasan LRT bengkok dan kerosakan struktur jejambat di Stesen Bandaraya

    Pagi ini Rapid KL telah membuat tindakan drastik di mana akses laluan antara Masjid Jamek dan Bandaraya pada LRT Laluan Ampang terpaksa disekat dengan tren-tren dari stesen LRT Putra Heights perlu berpatah balik di Plaza Rakyat, manakala tren-tren dari Sentul Timur pula terpaksa berpatah balik di Stesen Bandaraya.

    Tindakan ini terpaksa dibuat setelah pihak Rapid KL mendapati ada penjajaran landasan yang bengkok (kinked) berhampiran stesen LRT Bandaraya. Bagaimana teruk dan bahayanya kerosakan tersebut? Baru sahaja sebentar tadi foto-foto berkenaan dimuat naik di laman Facebook rasmi Rapid KL.

    Menerusi foto-foto berkenaan dapat dilihat landasan tersebut jelas bengkok, dan ia turut menyebabkan kerosakan struktur pada tiang jejambat berkenaan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Rapid KL pagi tadi, pemerhatian awal menunjukkan kerosakan in dipercayai akibat daripada kerja-kerja pembinaan bersebelahan dengan kawasan itu.

    Jurutera Rapid Rail telahpun berada di kawasan terbabit awal pagi tadi bagi menilai keadaan bersama-sama dengan pakar struktur bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan. Dalam masa yang sama pihak Rapid Rail membuat keputusan untuk menutup laluan di antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya sehingga kekukuhan dan keselamatan dapat dipastikan.

    Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Datuk Azlan Shah Al Bakri bersama Bahagian Penguatkuasaan Rel APAD turut telah turun ke lokasi berkenaan pada pukul 8 pagi tadi. Beliau telah mengarahkan siasatan dan tindakan susulan bagi menangani isu ini dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam sekitar lokasi tidak terjejas lebih teruk.

    Disebabkan kerosakan ini perkhidmatan LRT Ampang akan beroperasi dengan kelajuan yang berkurangan dan ini akan menyebabkan kelewatan perkhidmatan iaitu 9 minit di dalam Daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar Daerah Pusat Perniagaan. Pihak Rapid Rail turut menyediakan perkhidmatan bas perantara atau shuttle untuk penumpang berulang-alik di antara stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek.

    Berikut merupakan nombor plat pendaftaran perkhidmatan bas perantara yang disediakan untuk membawa penumpang berulang-alik di antara Stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek:

    • Stesen Bandaraya ke Plaza Rakyat
    No Bas : WVH9594
    No Bas : W7486Q

    • Stesen Plaza Rakyat ke Stesen Bandaraya
    No Bas : WUX5708
    No Bas : WVC3984

    • Stesen Sentul Timur ke Stesen Bandaraya
    No Bas : PJJ7149
    No Bas : WUW1702

    • Stesen Bandaraya ke Sentul Timur
    No Bas : W3607T

     
     
  • JPJ eBid: Siri JWA dan PQS dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Johor, JWA, telah pun dibuka bidaan sejak 25 Januari 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 29 Januari ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 30 Januari 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang pula, PQS, bidaannya bakal dibuka bermula 4 Februari ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 8 Februari 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 Februari ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • LRT Laluan Ampang alami kelewatan kerana penjajaran landasan bengkok dekat stesen Bandaraya

    LRT Laluan Ampang alami kelewatan kerana penjajaran landasan bengkok dekat stesen Bandaraya

    Rapid KL telah memaklumkan perkhidmatan LRT Laluan Ampang sedang mengalami kelewatan dan terpaksa menyekat akses laluan antara Masjid Jamek dan Bandaraya atas faktor keselamatan. Di mana tren-tren dari stesen LRT Putra Heights akan berpatah balik di Plaza Rakyat manakala tren-ren dari Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Bandaraya.

    Dalam masa yang sama, perkhidmatan bas perantara atau shuttle akan disediakan untuk berulang-alik di antara stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek.

    Menurut Rapid KL, isu ini timhil selepas pihaknya mendapati ada penjajaran landasan yang bengkok (kinked) berhampiran stesen LRT Bandaraya.

    “Pemerhatian awal menunjukkan ini adalah disebabkan oleh kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan, dipercayai akibat daripada kerja-kerja pembinaan bersebelahan dengan kawasan berkenaan. Jurutera Rapid Rail sedang berada di kawasan terbabit bagi menilai keadaan bersama-sama dengan pakar struktur bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan.

    “Atas faktor keselamatan, pihak Rapid Rail membuat keputusan untuk menutup laluan di antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya sehingga kekukuhan dan keselamatan dapat dipastikan,” kata Rapid KL dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya lagi, perkhidmatan LRT Ampang akan dijalankan dengan kelajuan yang berkurangan dan ini akan menyebabkan kelewatan perkhidmatan iaitu 9 minit di dalam Daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar Daerah Pusat Perniagaan.

    Berikut merupakan nombor plat pendaftaran perkhidmatan bas perantara yang disediakan untuk membawa penumpang berulang-alik di antara Stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek:

    • Stesen Bandaraya ke Plaza Rakyat
    No Bas : WVH9594
    No Bas : W7486Q

    • Stesen Plaza Rakyat ke Stesen Bandaraya
    No Bas : WUX5708
    No Bas : WVC3984

    • Stesen Sentul Timur ke Stesen Bandaraya
    No Bas : PJJ7149
    No Bas : WUW1702

    • Stesen Bandaraya ke Sentul Timur
    No Bas : W3607T

     
     
  • Akio Toyoda letak jawatan CEO dan Presiden Toyota bermula 1 April ini, akan diganti oleh Koji Sato

    Akio Toyoda letak jawatan CEO dan Presiden Toyota bermula 1 April ini, akan diganti oleh Koji Sato

    Cucu kepada Kiichiro Toyoda, pengasas Toyota Motor Corporation iaitu Akio Toyoda akan melepaskan jawatannya sebagai CEO dan pesiden syarikat berkenaan bermula 1 April ini, lapor CNBC. Perkara berkenaan disebut sendiri oleh Toyoda dalam satu siaran web yang berlangsung hari ini.

    Toyoda yang berusia 66 tahun akan menyerahkan kedua-dua jawatan berkenaan kepada Koji Sato, 53, yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Penjenamaan Toyota, Presiden Lexus International Co dan juga Gazoo Racing Company.

    Namun Akio Toyoda yang telah memegang jawatan presiden sejak 2009 bukanlah bersara sepenuhnya kerana beliau akan memegang jawatan sebagai pengerusi Toyota. Pengerusi sedia ada iaitu Takeshi Uchiyamada akan terus bertugas sebagai salah seorang ahli lembaga.

    “Saya fikir cara terbaik untuk meneruskan transformasi Toyota ialah dengan saya menjadi pengerusi bagi menyokong presiden baharu, dan ini telah membawa kepada keputusan hari ini. Pengerusi Uchiyamada telah lama menyokong saya dalam semua cara yang boleh dibayangkan,” kata Toyoda dalam siaran web tersebut.

    Akio Toyoda letak jawatan CEO dan Presiden Toyota bermula 1 April ini, akan diganti oleh Koji Sato

    “Jika diimbas kembali, 13 tahun ini adalah tempoh bergelut untuk bertahan satu hari selepas hari berikutnya, dan itu adalah perasaan sebenar saya,” tambahnya.

    Menurut Uchiyamada pula, perletakkan jawatannya ini telah mencetuskan perubahan struktur terkini dalam Toyota, dan menyatakan bahawa beliau telah lama membuat pertimbangan untuk bersara bagi menyerahkan halatuju syarikat kepada generasi baharu.

    “Kereta pada masa hadapan akan berkembang dalam konsep mobiliti itu sendiri. Di sebalik itu, saya berharap dapat mengekalkan nilai penting sesebuah kereta itu dan mencadangkan bentuk mobiliti baharu,” kata Koji Sato sebagai membayangkan misi baharu pasukan kendaliannya nanti.

    “Keterjaminan tenaga, sebagai contoh, itu adalah cabaran besar yang perlu dihadapi di seluruh dunia. Dan juga bahawa usaha ke arah neutraliti karbon akan menjadi salah satu contoh dari apa yang perlu kita usahakan,” tambahnya lagi.

     
     
  • Pekerja Singapura parkir kereta di sekitar Kim Teng Park, JB susahkan penduduk; MBJB perlu bertindak

    Pekerja Singapura parkir kereta di sekitar Kim Teng Park, JB susahkan penduduk; MBJB perlu bertindak

    Disebabkan lokasinya yang berhampiran dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Jalan Storey yang terletak di kawasan perumahan Kim Teng Park Johor Bahru menjadi tumpuan mereka yang bekerja di Singapura untuk meninggalkan kereta masing-masing di kawasan berkenaan sebelum bertolak ke seberang tambak menggunakan pengangkutan awam.

    Masalah ini telah menyusahkan penduduk setempat termasuk peniaga-peniaga di kawasan berkenaan, lapor The Star. Menurut seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, dia terpaksa meletakkan tong sampah di petak parkir di hadapan kedainya bagi mengelakkan pekerja-pekerja Singapura berkenaan meninggalkan kereta mereka di situ dalam satu tempoh masa yang lama.

    “Jika saya tidak membuat halangan di ruang tersebut, bagaimana roti, ais dan kenderaan lain mahu menurunkan dan menaikkan barang untuk kedai saya?” kata Ahmad.

    Dia menyatakan bahawa walaupun halangan telah diletak, masih ada yang cuba mengalihkannya dan dia sering dilontarkan dengan soalan “ini jalan datuk awak ke?”. “Mereka mahu bekerja di negara membangun tetapi tinggalkan kami dengan mentaliti dunia ketiga,” tambah Ahmad lagi.

    Manakala seorang pengurus restoran yang hanya dikenali dengan nama Subra, kereta-kereta berkenaan ditinggalkan dalam masa yang agak lama; ada yang sehari penuh dan ada lebih dari 10 hari. “Bayangkan mereka parkir di depan restoran. Mereka tak peduli kerana mereka mahu parkir secara percuma di sini,” kata Subra yang memaksanya untuk meletakkan kerusi plastik di hadapan restoran tersebut.

    Bagi penduduk tempatan, mereka tidak kisah akan peniaga yang meletakkan halangan di tempat-tempat parkir tersebut kerana faham dengan situasi. Malah penduduk di kawasan perumah tersebut juga terganggu kerana terdapat kereta-kereta milik pekerja-pekerja Singapura berkenaan turut diletakkan di tepi jalan luar rumah mereka yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

    Pekerja Singapura parkir kereta di sekitar Kim Teng Park, JB susahkan penduduk; MBJB perlu bertindak

    Presiden Persatuan Penduduk Kim Teng Park, Danial Lokman pula menyatakan bahawa sudah tiba masanya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengambil tindakan berhubung perkara ini. Lokman berpendapat bahawa pemilik-pemilik kereta yang menyalah gunakan kawasan tersebut sebagai tempat parkir jangka masa panjang perlu di saman dan kenderaan mereka perlu disita.

    “MBJB mempunyai kuasa untuk menunda kereta-kereta ini.Mengapa mereka tidak menguatkuasakan undang-undang? Adakah mereka kekurangan tenaga kerja, trak tunda atau ruang simpanan? Bangunan Majlis Bandaraya tak sampai satu kilometer dari sini,” soal Danial.

    Menurutnya lagi situasi ini bertambah buruk selepas pandemik, dan kini terdapat MPV yang datang ke kawasan berkenaan semata-mata untuk mengambil pemilik kenderaan yang meninggalkan kereta mereka di kawasan tersebut dan kemudian bertolak ke Singapura.

    “Ada bayaran untuk membawa penumpang tapi mereka parkir di sini secara percuma,” kata Danial yang menggesa MBJB menguatkuasakan undang-undang bagi memberi pengajaran kepada pemilik-pemilik kenderaan tersebut.

    Daniel turut menyatakan MBJB terlebih dahulu perlu melihat punca sebenar masalah ini sebelum menyaman pemilik-pemilik kedai yang meletakkan halangan di tempat parkir hadapan premis mereka.

    “Mereka perlu mencari penyelesaian untuk masalah ini sebelum mengambil tindakan terhadap pemilik-pemilik kedai. Saya tak rasa pemilik-pemilik kedai ini akan meletakkan halangan sekiranya orang ramai tidak menyalahgunakan tempat parkir tersebut,” katanya lagi.

    Pekerja Singapura parkir kereta di sekitar Kim Teng Park, JB susahkan penduduk; MBJB perlu bertindak

    MBJB menyita motosikal milik pekerja-pekerja Singapura yang diletakkan di tempat menghalang laluan sekitar CIQ BSI tahun lalu

    Menurut seorang penduduk di kawasan berkenaan, Wong Lee Fei, ada pemilik-pemilik kenderaan yang mengalihkan pasu bunga pemilik rumah bagi membolehkan mereka memarkir di tepi jalan. Wong yang sudah tinggal di Kim Teng Park selama 36 tahun berharap MBJB menunda kereta-kereta berkenaan bagi memberikan pengajaran kepada mereka.

    Manakala seorang lagi penduduk, Vincent D’Silva, 60, mendakwa bahawa dia telah dua kali membuat aduan kepada pihak MBJB iaitu pada Jun tahun lalu dan Januari tahun ini, tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil.

    “Saya penduduk di sini, tapi saya pun tak dapat tempat parkir. Semua tempat parkir sentiasa penuh, selalunya diambil oleh kereta yang sama.

    “Parkir di tepi jalan disediakan untuk kemudahan penduduk bagi keluar bertugas. Bukan untuk orang luar menyalahgunakan fasiliti tersebut untuk sehari penuh,” katanya dan berpendapat MBJB perlu mengambil langkah jangka masa panjang bagi mengatasi masalah ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025