Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Prasarana berhasrat tambah 300 bas termasuk 100 bas elektrik di Lembah Klang menjelang tahun 2024

    Prasarana berhasrat tambah 300 bas termasuk 100 bas elektrik di Lembah Klang menjelang tahun 2024

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berhasrat menambah hampir 300 bas, termasuk 100 bas elektrik membabitkan peruntukan bernilai RM180 juta, menjelang tahun 2024.

    Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah, penambahan fasa pertama bas ini melalui Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) disasarkan untuk perkhidmatan Rapid KL berdasarkan permintaan tinggi di kalangan penggunanya khususnya di sekitar ibu negara, laporan Bernama.

    “Kita akan mula membuka tender pada suku pertama 2023 dan peruntukan yang disediakan juga meliputi kerja menaik taraf infrastruktur dan kabel elektrik di depoh stesen bagi proses pengecasan.

    “Menjelang suku pertama 2023 Rapid Bus menyasarkan sebanyak 1,183 bas akan beroperasi setiap hari. Bilangan bas itu masih sangat sedikit jika hendak dibandingkan dengan negara mempunyai pengangkutan awam yang efisien seperti Singapura,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Mohd Azharuddin berkata, pihaknya akan memperkenalkan penggunaan bas elektrik terdiri daripada 45 unit bas mini, dengan panjang antara tujuh hingga lapan meter dan 55 unit bas bersaiz besar berukuran 10 hingga 12 meter. Ia adalah bertujuan membuat pembaharuan di dalam perkhidmatan pengangkutan awam ini.

    Prasarana berhasrat tambah 300 bas termasuk 100 bas elektrik di Lembah Klang menjelang tahun 2024

    “Jadi, melalui pembaharuan ini kita mendengar pendapat dan cadangan daripada orang ramai yang mahukan perkhidmatan bas mini dikembalikan. Kita lihat perkhidmatan bas mini lebih efisien, kerana lebih mudah untuk bergerak melalui kawasan sibuk dan jalan sempit seperti kawasan perumahan, selain mempunyai kekerapan tinggi,” katanya.

    Sebelum ini, Rapid KL pernah melakukan percubaan menggunakan bas elektrik bagi koridor Bus Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, dalam operasi perkhidmatan basnya di dua laluan bas terpilih selama tiga bulan bermula April sehingga 13 Jun lalu.

    Dua laluan percubaan yang terbabit adalah Laluan 400: Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang dan Laluan 650: Taman Desa ke Hab Pasar Seni menggunakan kaedah pengecasan semalaman.

    “Jadi, melalui hasil percubaan ini, kita yakin dapat menggerakkan 100 bas elektrik ini, selari dengan pertambahan sistem rel pada masa akan datang sekali gus menawarkan perkhidmatan yang optimum kepada pengguna pengangkutan awam,” katanya.

     
     
  • Laluan NKVE dari Setia Alam arah utara ditutup pada 15-18 Dis ini, lencongan untuk ke ELITE, KLIA/JB

    Laluan NKVE dari Setia Alam arah utara ditutup pada 15-18 Dis ini, lencongan untuk ke ELITE, KLIA/JB

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa lorong kiri dan tengah bagi laluan Setia Alam-KLIA/Johor Baharu di Persimpangan Shah Alam di KM9.0 hingga KM9.32 (arah utara) di Lebuhraya NKVE akan ditutup sementara pada 15 hingga 18 Disember 2022. Penutupan tersebut bermula dari jam 10 malam hingga 6 pagi bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan.

    Menurut PLUS, sepanjang tempoh tersebut, pengguna Lebuhraya NKVE dari Bukit Raja dan Setia Alam yang ingin menuju ke KLIA/Johor Baharu (Lebuhraya ELITE) dinasihatkan supaya keluar di Plaza Tol Shah Alam. Seterusnya menggunakan Jalan Persiaran Gerbang Utama dan membuat pusingan-U di bulatan berhampiran Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

    Walau bagaimanapun, lorong kanan di laluan terbabit masih dibuka kepada pengguna lebuh raya yang ingin menuju ke Kuala Lumpur dan Ipoh.

    Justeru, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan bagi mengelakkan kebarangkalian kesesakan trafik yang tinggi. Dalam masa yang sama, pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas pengawal trafik ketika melalui kawasan terbabit.

    Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik terkini atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

     
     
  • Polis Kedah beri diskaun saman trafik 50% bagi kesalahan terpilih 17-19 Dis ini – hanya walk-in sahaja

    Polis Kedah beri diskaun saman trafik 50% bagi kesalahan terpilih 17-19 Dis ini – hanya walk-in sahaja

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah bakal menawarkan pemberian diskaun saman trafik sehingga 50% pada 17 hingga 19 Disember 2022, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

    Justeru, orang ramai yang berada di Kedah bolehlah mengambil peluang ini untuk melangsaikan saman tertunggak di seluruh kaunter trafik kontijen Kedah termasuk di IPK Kedah (tingkat 1, Bangunan Annex).

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa

     
     
  • Geely Panda Mini didedah – EV bandar dengan saiz kompak, kuasa 41 PS, jarak gerak sehingga 150 km

    Geely Panda Mini didedah – EV bandar dengan saiz kompak, kuasa 41 PS, jarak gerak sehingga 150 km

    Kereta comel yang anda lihat ini adalah Panda Mini EV, iaitu sebuah kereta elektrik bandar yang baru diperkenalkan oleh Geely Auto untuk bersaing dalam segmen sama dengan Jiayuan Komi, Wuling Nano EV dan Chery QQ Ice Cream.

    Juga dikenali sebagai M2 sebelum pelancarannya, Panda Mini menyediakan empat tempat duduk di dalam dan cuma mempunyai dua pintu. Saiznya agak kecil, dengan ukuran panjang 3,065 mm, lebar 1,522 mm, tinggi 1,600 mm dan jarak roda 2,015 mm – lebih kecil daripada Perodua Axia.

    Demi menggunakan sebaiknya ruang di dalam, Panda Mini menggunakan bentuk badan petak, tetapi dengan rekaan yang mencerminkan namanya. Lampu bulat besar di hadapan menghasilkan muka yang comel sementara corak rim pula seakan bentuk tapak kaki panda.

    Geely Panda Mini didedah – EV bandar dengan saiz kompak, kuasa 41 PS, jarak gerak sehingga 150 km

    Di antara dua lampu hadapannya, terdapat panel yang tertutup sepenuhnya dengan di tengah terdapat tempat mengecas. Jika perhatikan, di situ tertulis ‘Geome”, iaitu satu jenama di bawah Geely. Menurut laporan media China, Panda Mini sepatutnya menjadi produk di bawah Geometry, tetapi akhirnya dikeluarkan dengan nama Geely.

    Sesuai dengan namanya, pilihan warna utama yang disediakan adalah hitam dan putih, tetapi terdapat juga beberapa pilihan lain seperti merah jambu dan biru muda seperti di dalam gambar. Seperti pesaing lainnya Panda Mini EV ini juga dikhabarkan akan dijual pada harga mampu milik, iaitu antara 40,000 hingga 50,000 yuan (RM25,385 ke RM31,731).

    Spesifikasi penuh masih belum disiarkan, tetapi berdasarkan beberapa perincian yang didapati daripada kementerian industri dan informasi China, Panda Mini menggunakan motor elektrik berkuasa 41 PS yang terletak di hadapan serta bateri lithium iron phosphate (LFP), mampu memberikan jarak gerak sehingga 150 km.

     
     
  • Muatan lori jatuh penyebab kemalangan, Menteri MOT arah JPJ dan APAD ambil tindakan segera

    Muatan lori jatuh penyebab kemalangan, Menteri MOT arah JPJ dan APAD ambil tindakan segera

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya mengambil tindakan segera terhadap pemandu sebuah lori yang penuh dengan muatan dan syarikat yang terlibat dengan kes kemalangan di Gerik baru-baru ini.

    Kemalangan terbabit turut melibatkan kenderaan yang dinaiki sepasang suami isteri yang terbalik selepas terlanggar muatan yang jatuh dari lori berkenaan. Lebih menyedihkan, kemalangan itu turut meragut nyawa bayi sulung mereka dalam kandungan yang berusia 34 minggu, manakala wanita yang hamil itu cedera parah, laporan Kosmo.

    “Saya berasa amat simpati dengan keluarga mangsa kemalangan ini yang kehilangan bayi sulung mereka. Salam takziah kepada keluarga. Saya telah mengarahkan JPJ dan APAD untuk mengambil tindakan segera terhadap pemandu dan syarikat tersebut. Permit operasi syarikat lori ini akan digantung sementara untuk audit ke atas semua lori mereka.

    “Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalanraya,” tegasnya menerusi kenyataan yang dimuatnaik menerusi Facebook rasminya.

    Difahamkan, beberapa kenderaan lain turut terlibat dalam kemalangan itu setelah melanggar muatan lori yang terjatuh di atas jalan raya.

    Menerusi Facebook Dashcam Owners Malaysia, seorang lelaki yang juga pemandu kereta meluahkan rasa berang dengan tindakan cuai pemandu lori yang menjadi punca kepada insiden kemalangan tersebut.

    “Saya bersama isteri mengalu-alukan bayi kami ke dunia ini, disebabkan kejadian ini kamu (pemandu lori) telah membawa bayi kami ‘pergi’. Kejadian ini boleh dielakkan, tetapi disebabkan kecuaian pemandunya dan pihak syarikat terlibat menyebabkan kejadian ini berlaku.

    “Saya tidak akan memaafkan kamu semua. Setakat ini, tiada sesiapa dari pihak syarikat kamu menghubungi untuk meminta maaf atau bertanya khabar,” luahnya sambil menambah pemandu lori tersebut bertindak melarikan diri dari tempat kejadian.

    Menurutnya lagi, lori tersebut dipandu melebihi had laju dibenarkan selain membawa muatan secara bertindih dan melebihi had.

    Walau bagaimana pun, IPD Gerik mengesahkan telah menahan pemandu treler tersebut dan berkata video terbabit adalah kejadian lama yang berlaku lebih sebulan lalu iaitu pada 29 Oktober lalu. Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan kertas siasatan juga sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

     
     
  • Banjir besar di M’sia dalam tempoh tiga hari – pakar

    Banjir besar di M’sia dalam tempoh tiga hari – pakar

    Musim tengkujuh yang sedang melanda negara kita nampaknya masih belum akan reda dan mungkin bertambah buruk dalam masa beberapa hari lagi. Perkara ini dinyatakan oleh Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah, kepada Sinar Harian.

    “Fenomena La Nina dan negatif IOD yang bertindak selari telah merangsang cuaca hujan secara berterusan berlaku di beberapa negeri di Malaysia. Kekerapan hujan lebat meningkatkan potensi banjir besar yang dijangka berlaku dalam tempoh tiga hari ini,” kata Azizan.

    Beliau turut menambah bahawa hujan berterusan itu akan menyebabkan paras air sungai berada pada paras bahaya dan antara negeri yang dijangka mengalami kejadian banjir besar antaranya adalah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

    Walaubagaimanapun, Azizan memberitahu bahawa keadaan ini diramal akan kembali reda dan menjadi neutral pada hujung tahun ini, seterusnya menjadikan cuaca lebih baik, terutamanya untuk negeri-negeri Pantai Timur pada awal tahun hadapan.

    Sementara itu bagi Sabah dan Sarawak pula, Azizan memberitahu bahawa biasanya musim hujan lebat di dua negeri itu berlaku pada bulan Januari dan Februari, iaitu sebulan lebih lewat berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia sahkan model EV CKD tahun depan — model EQ CKD makin hampir, EQS dahulu?

    Mercedes-Benz Malaysia sahkan model EV CKD tahun depan — model EQ CKD makin hampir, EQS dahulu?

    Tidak lama lagi, kita akan menyaksikan model EV CKD oleh Mercedes-Benz di sini. Ketika pelancaran model Mercedes-Benz EQE 350+ hari ini, Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malayasia, Sagree Sardien mengesahkan yang model EQ pemasangan tempatan sedang dalam pembikinan.

    Bila model EQ CKD EV itu akan muncul masih belum diumumkan secara jelas, sebaliknya memberi bayangan kepada pengumuman model menarik berkenaan pada suku pertama 2023 nanti. Begitu juga, tiada model spesifik yang disebut, tetapi EQS mungkin jadi yang pertama, seperti yang pernah dibayangkan sebelum ini.

    EQS yang merupakan EV flagship Mercedes-Benz, dilancarkan di sini Julai lalu. Unit CBU dari Jerman itu ditawarkan dalam versi EQS 450+ AMG Line dengan harga jualan RM698,888 atas jalan, tidak termasuk insuran. Harga berkenaan termasuk cukai dan insentif EV semasa, iaitu pengecualian penuh duti import dan eksais.

    EQS 450+ mempunyai jarak perjalanan 782 km (kitaran WLTP) dari bateri 396-volt lithium-ion dengan kapasiti tenaga terpakai 107.8 kWh. EQS menyokong penyecasan AC (sambungan Type 2) hingga 11 kW dan boleh dicas dari kadar 10-100% dalam masa 10 jam.

    Model yang dilancarkan hari ini, EQE 350+, memberikan penawaran yang sama dalam pakej lebih kecil dan mampu milik. Dengan bateri 90.56 kWh, jarak WLTP model ini ialah 669 km dan harganya pula RM419,888 atas jalan, tidak termasuk insuran.

     
     
  • Kemudahan pengangkutan awam di Malaysia kelas pertama, tapi penyelenggaraan kelas ketiga – Menteri

    Kemudahan pengangkutan awam di Malaysia kelas pertama, tapi penyelenggaraan kelas ketiga – Menteri

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan kemudahan pengangkutan awam di Malaysia sudahpun mencapai kelas pertama, namun dari aspek penyelenggaraan, sektor tersebut masih berstatus ‘kelas ketiga’. Perkara berkenaan disebut merujuk kepada perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang kerap tergendala akhir-akhir ini ekoran sistem yang usang.

    Luahan tersebut dilaporkan oleh Harian Metro ketika Menteri berkenaan membuat lawatan kerja pertama di Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) semalam. Beliau menegaskan bahawa pengendali pengangkutan awam negara perlu membudayakan sistem penyelenggaraan agar teknologi kemudahan kelas pertama yang dikecapi rakyat ketika ini tidak terkebelakang dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

    “Kita lihat masalah yang timbul bagi LRT, sektor pengangkutan awam kita. Kita ada kemudahan awam terbaik… 20 tahun lalu daripada zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) lagi kita sudah sebut negara ada infrastruktur awam bertaraf ‘first world’, tetapi kita di negara ketiga dalam sistem penyelenggaraan.

    Kemudahan pengangkutan awam di Malaysia kelas pertama, tapi penyelenggaraan kelas ketiga – Menteri

    “Ini yang mesti diubah kerana kita mempunyai kemudahan yang canggih, namun jika kita tiada budaya untuk memastikan penyelenggaraan seiring dengan keupayaan teknologi dalam tempoh 10 hingga 20 tahun, kita akan terus keterbelakang, jadi budaya penyelenggaraan ini perlu terus dikekalkan,” katanya.

    Minggu lalu Loke mengumumkan bahawa LRT bagi laluan Kelana Jaya dijangka pulih dan beroperasi pada kapasiti penuh dengan 48 set kereta api menjelang suku ketiga 2023, membolehkan kekerapannya mencapai masa menunggu hanya tiga minit bagi satu tren. Buat masa sekarang, beliau menyatakan bahawa hanya 38 set tren yang beroperasi, sementara 18 set tren sedang diselenggara dan tidak dapat beroperasi.

     
     
  • Lebuhraya Elite KLIA — laluan ke tol Bandar Serenia, Nilai ditutup sementara, bermula 13-16 Disember ini

    Lebuhraya Elite KLIA — laluan ke tol Bandar Serenia, Nilai ditutup sementara, bermula 13-16 Disember ini

    Perhatian untuk mereka yang kerap berulang-alik ke lapangan terbang KLIA: PLUS umumkan akan berlaku penutupan sementara di tol KLIA Lebuhraya Elite menuju Bandar Serenia/Nilai (arah Selatan) bermula hari ini (13 Disember) hingga Jumaat, 16 Disember. Penutupan ini adalah untuk semua kenderaan, dari 10 malam hingga 5 pagi, setiap hari.

    Penutupan pada sebelah malam ini adalah untuk memastikan kerja-kerja pemotongan pokok dan pengalihannya berjalan lancar dan selamat, yang mana memerlukan kehadiran jentera berat di kawasan tersebut.

    Untuk itu, pengguna dari KLIA menuju arah Nilai dan Selatan dinasihatkan untuk belok ke kiri (arah Utara) ke plaza tol Gamuda Cove dan membuat pusingan-U di situ sebelum memasuki semula Lebuhraya Elite menuju Bandar Serenia dan Nilai. Ambil maklum tentang lencongan laluan ini dan rancang perjalanan anda.

     
     
  • Mercedes-Benz EQE 350+ kini di M’sia – jarak gerak hingga 669 km janaan bateri 90.56 kWh; dari RM420k

    Mercedes-Benz EQE 350+ kini di M’sia – jarak gerak hingga 669 km janaan bateri 90.56 kWh; dari RM420k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini telah pun memperkenalkan model EQE dengan varian tunggal EQE 350+ untuk pasaran tempatan. Ia juga merupakan famili EQ terkini yang diperkenalkan di sini selepas pelancaran EQA, EQB, EQC dan EQS. Sedan elektrik penuh ini dibina dengan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) yang sama seperti EQS, dan berkongsi banyak komponen, teknologi serta perincian rekaan.

    Bagi memberikan pacuan elektrik sepenuhnya, sedan EQE 350+ ini dijanakan oleh bateri lithium-ion 90.56 kWH yang mampu menghasilkan kuasa sehingga sehingga 215 kW (292 hp) dan tork 565 Nm. Bateri lithium-ion ini dikatakan dapat memberikan jarak gerak hingga 669 km mengikut kitaran WLTP.

    EQE ini juga mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.4 saat dan mampu mencapai kelajuan sehingga 210 km/j. Ia juga diberikan fungsi Navigate dengan Electric Intelligence yang dapat mengambil kira kedudukan stesen pengecas apabila membuat cadangan jalan paling pantas ke destinasi.

    Mercedes-Benz EQE 350+ kini di M’sia – jarak gerak hingga 669 km janaan bateri 90.56 kWh; dari RM420k

    Bagi mendapatkan kuasanya, EQE ini dapat menyokong penggunaan pengecas AC sehingga 22 kW, dan bateri dapat dipenuhkan dalam masa 4.25 jam (8.25 jam apabila menggunakan pengecas 11 kW). Selain itu, ia juga boleh menggunakan pengecas pantas DC 170 kW, yang hanya mengambil masa sekitar 32 minit untuk pengecasan penuh dan memberikan jarak gerak sehingga 250 km setelah dicas selama 25 minit.

    Menurut Mercedes-Benz, EQE diberikan electric drivetrain (eATS) yang diletakkan pada gandar belakang. Motor elektrik ini merupakan Motor Penggerak Kekal (PSM), di mana rotor yang terletak pada motor AC dipasangkan dengan magnet kekal dan oleh itu ia tidak perlu dibekalkan dengan kuasa. Bateri ini turut dibina dengan perisian pengurusan inovatif yang membenarkan ia dikemaskini menerusi over-the-air (OTA). Dengan cara ini, pengurusan tenaga bagi EQE kekal dikemaskini menerusi kitaran hayatnya.

    Bagi suspensinya, EQE menggunakan unit biasa yang terdiri daripada four-link di hadapan dan multilink di belakang, dan tidak diberikan unit udara Airmatic dan rear-wheel steering.

    Dengan dimensi berukuran 4,946 mm panjang, 1,961 mm lebar dan 1,512 mm tinggi, EQE mempunyai saiz seperti CLS, manakala jarak roda 3,120 mm adalah 90 mm lebih pendek berbanding EQS.

    Bagi imej luarannya, jentera ini diberikan gaya AMG Line, termasuk menampilkan gril tertutup berwarna hitam di hadapan yang dipanggil sebagai “Black Panel”. Selain itu, ia diberikan lampu utama Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.

    Pada profil sisinya pula, permukaan yang licin diberikan dan ia menggunakan pembuka pintu yang rata dan hanya akan keluar apabila ditekan. Rekaan rim aloi 5-jejari-berkembar 19-inci juga disediakan. Di belakangnya pula, terdapat lampu LED yang bersambung dari kiri ke kanan, menggunakan rekaan tiga dimensi, dan spoiler kecil di atas penutup but.

    Mercedes-Benz EQE 350+ kini di M’sia – jarak gerak hingga 669 km janaan bateri 90.56 kWh; dari RM420k

    Menjengah ke ruang kabinnya, ia juga membawakan gaya AMG Line yang tampak serba mewah. Bagi pakej paparannya, ia diberikan sistem multimedia MBUX dengan dua skrin iaitu panel instrumen dan skrin sesentuh OLED serta pengimbas cap jari. Ia juga diberikan MBUX Navigation Premium serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terbaharu pada jentera ini juga membenarkan kawalan pendingin hawa serta Artificial Intelligence (AI) yang boleh memaparkan cadangan pada masa-masa tertentu.

    Ciri lain yang ditampilkan termasuklah sistem bunyi sekeliling Burmester® 3D, KEYLESS-GO, kawalan suhu automatik THERMOTRONIC, tempat duduk sport dengan fungsi memori dan pemanas bagi tempat duduk hadapan, kombinasi kemasan upholstery kulit Artico dan gentian mikro dua-tona Microcut, roda stereng sport pelbagai-fungsi dalam balutan kulit Nappa, pedal penukar gear di belakang stereng, pencahayaan ambien aktif, kemasan Backlit, dan sistem pengecasan tanpa wayar untuk telefon pintar.

    Turut dipertingkat adalah sistem kawalan suara “Hey Mercedes”. Ia kini boleh mengesan suara penumpang yang berbeza, dan membenarkan anda menjawab panggilan telefon tanpa perlu perkataan khas dan berhubung dengan peranti pintar rumah.

    Bagi Pakej Bantuan Pemanduan dan Keselamatan, EQE 350+ ini diberikan Driving Assistance Plus Package yang merangkumi Active Distance Assist DISTRONIC, Extended automatic Re-start in traffic jams, Evasive manoeuvre support, PRE-SAFE® impulse side, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Stereng Aktif, sistem pemantauan dalalan, kamera 360-darjah, Bantuan Parkir Aktif dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Untuk pasaran Malaysia, EQE 350+ ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM419,888 dengan 10% cukai SST dan tanpa insurans. Ia juga didatangkan dengan waranti empat-tahun, perbatuan tanpa had secara standard dan bateri EV pula diberikan waranti 10-tahun atau 250,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.

    Dalam majlis pelancaran EQE ini, CEO dan Presiden MBM Sagree Sardien turut mengumumkan MBM bakal memasang barisan model EV keluarannya termasuk famili EQ di kilang miliknya yang terletak di Pekan, Pahang. Walau pun tidak memaklumkan model pertama EQ yang bakal dipasang secara CKD, namun dijangkakan ia adalah model EQS, seperti mana yang dijangka sebelum ini. MBM berkata, ia akan diumumkan secara rasmi pada suku pertama tahun 2023.

     
     
  • Warisan mahu pengecualian cukai jalan kereta bawah 3.0L, subsidi alat ganti di Sabah kerana jalan raya daif

    Warisan mahu pengecualian cukai jalan kereta bawah 3.0L, subsidi alat ganti di Sabah kerana jalan raya daif

    Parti Warisan (WARISAN) menyarankan agar Kementerian Pengangkutan mengecualikan cukai jalan terhadap semua kenderaan baharu dan terpakai berkapasiti 3,000 CC ke bawah bermula tahun depan di Sabah kerana mengambil kira infrastruktur jalan raya di negeri itu yang kebanyakannya dalam keadaan daif terutama di kawasan pedalaman.

    Lapor Berita Harian, perkara ini dicadangkan oleh Setiausaha Agung Warisan supaya ia dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan ditambah baik dan dibentangkan semula oleh Kerajaan Perpaduan nanti, khususnya untuk manfaat penduduk di Sabah.

    Beliau turut menyatakan cadangan itu juga selaras dengan ‘agenda rakyat’ di bawah Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) seperti ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu yang menekan rakyat.

    “Seiring dengan nada ‘agenda rakyat’, saya berharap agar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan menimbangkan untuk memberi kelegaan segera kepada rakyat Sabah terutama di kawasan pedalaman yang sedang dihimpit masalah infrastruktur yang begitu teruk sekali.

    “Saya dan semua Setiausaha Warisan dari 25 bahagian di negeri ini berharap saudara Anthony memberi pertimbangan yang sewajarnya ke atas cadangan-cadangan ini untuk meringankan beban yang sedang dipikul oleh rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lalu.

    Warisan mahu pengecualian cukai jalan kereta bawah 3.0L, subsidi alat ganti di Sabah kerana jalan raya daif

    Dalam cadangan yang sama, Warisan turut meminta agar Kementerian Pengangkutan mengusulkan kepada Perdana Menteri dan Kabinet Persekutuan untuk memberi 50 peratus subsidi insurans kenderaan baharu dan terpakai berkuasa 2,500 CC ke bawah, subsidi ‘one off’ sebanyak 20 peratus ke atas alat ganti kereta yang berkaitan dengan jalan raya seperti suspensi, spring dan cagak-cagak untuk kenderaan dengan enjin berkapasiti 2,500 CC ke bawah di Sabah.

    “Saya mengharapkan cadangan ini diserapkan ke dalam Belanjawan 2023 yang sepatutnya dibentangkan sekali lagi oleh Kerajaan Perpaduan, manakala tempoh penguatkuasaan semua cadangan ini bolehlah dihadkan kepada dua tahun (2023/2024).

    “Saya juga bersedia untuk bertemu dengan saudara Anthony bila-bila masa sahaja untuk membincangkan perkara ini kerana ini ialah isu yang cukup kritikal bagi rakyat Sabah khususnya mereka yang berada di kawasan pedalaman,” katanya lagi.

    Buat masa sekarang, pengguna-pengguna jalan raya di Sabah dan Sarawak sememangnya diberikan kadar bayaran cukai jalan yang lebih rendah berbanding di Semenanjung. Perbezaan kadar berkenaan boleh anda baca pada laporan yang telah kami sediakan sebelum ini di PAUTAN INI.

     
     
  • VIDEO: BYD Atto 3 di Malaysia — dari RM149,800

    VIDEO: BYD Atto 3 di Malaysia — dari RM149,800

    BYD Atto 3 yang baru saja dilancarkan di sini Khamis lalu merupakan model pertama yang diperkenalkan oleh jenama BYD, juga yang hadir sulung di pasaran Malaysia. Ia sebuah SUV elektrik penuh yang mempunyai pakej cukup menarik, baik di luar dan juga dalam kabin.

    Lebih penting, ada dua varian ditawarkan — dengan perbezaan kelengkapan yang hanya sedikit — dengan capaian jarak perjalanan menjadi beza utama antara keduanya. Dua varian berkenaan adalah Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).

    Varian SR ini dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800. Harga bagi EV ini dikecualikan daripada duti, dan merupakan harga atas jalan tidak termasuk insurans. Ini menjadikan penawarannya, baik dari sudut estetika dan teknologi, sangat menarik dan penting ketika ini.

    BYD Atto 3 mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar daripada Proton X50. Dengan 4,455 mm panjang dan 1,875 mm lebar, EV BYD ini 125 mm lebih panjang daripada X50, dan 75 mm lebih lebar. Jarak antara rodanya pula ialah 2,720 mm, 120 mm lebih panjang berbanding X50. Ruang butnya pula ialah 440L, 110L lebih besar daripada X50.

    Keduanya menggunakan bateri Blade EV oleh BYD sendiri, yang disambung kepada sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 204 PS/310 Nm. Atto 3 boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW, mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa 45 minit.

    Tonton video ringkas yang kami sedia ini untuk berkenalan dengan BYD Atto 3 yang kini sudah mula dijual di Malaysia.

     
     
  • Anwar umum barisan timb. menteri: Ahmad Maslan, Steven Sim (Kewangan); Hasbibullah (Pengangkutan)

    Anwar umum barisan timb. menteri: Ahmad Maslan, Steven Sim (Kewangan); Hasbibullah (Pengangkutan)

    Seminggu selepas mengumumkan barisan menteri dalam kabinetnya, Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi mengumumkan pula barisan timbalan menteri bagi semua kementerian terlibat. Ini adalah susulan beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum itu untuk menyerahkan senarai nama berkenaan.

    Berikut adalah senarai lengkap Kementerian, Menteri dan Timbalan Menteri bagi Kerajaan Campuran Malaysia 2022:

    Perdana Menteri
    Anwar Ibrahim

    Timbalan Perdana Menteri
    Zahid Hamidi
    Fadillah Yusof

    Kewangan
    Menteri: Anwar Ibrahim
    Timb: Ahmad Maslan
    Timb: Steven Sim

    Pengangkutan
    Menteri: Anthony Loke
    Timb: Hasbibullah

    MITI
    Menteri: Tengku Zafrul
    Timb: Liew Ching Tong

    Ekonomi
    Menteri: Rafizi Ramli
    Timb: Hanifah Hajar Taib

    Kerja Raya
    Menteri: Alex Nanti Linggi
    Timb: Abdul Rahmah Mohamad

    Kemajuan Desa & Wilayah
    Menteri: Zahid Hamidi
    Timb: Hajah Rubiah

    Perladangan & Komoditi
    Menteri: Fadillah Yusof
    Timb: Siti Aminah Acing

    Pertanian & Keterjaminan Makanan
    Menteri: Mat Sabu
    Timb: Chang Fung Hin

    Pembangunan & Kerajaan Tempatan
    Menteri: Nga Kor Ming
    Timb: Akmal Nasrullah

    Sumber Asli, Alam Sekitar & Perubahan Iklim
    Menteri: Nik Nazmi
    Timb: Hwang Tiong Si

    Pendidikan Tinggi
    Menteri: Khaled Nordin
    Timb: Yusuf Afdal

    Sains, Teknologi, Inovasi
    Menteri: Chang Lih Kang
    Timb: Joseph Kurup

    Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat
    Menteri: Nancy Shukri
    Timb: Aiman Nafirah Sabu

    Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup
    Menteri: Salahuddin Ayub
    Timb: Fuziah Salleh

    Undang-undang & Reformasi Institusi
    Menteri: Azalina Othman
    Timb: Ram Karpal Singh

    Pembangunan Usahawan & Koperasi
    Menteri: Ewon Benedict
    Timb: Saraswathi Kandasamy

    Luar Negeri
    Menteri: Zambry Kadir
    Timb: Mohd Al Amin

    Pelancongan, Seni & Budaya
    Menteri: Tiong King Sing
    Timb: Khairul Firdaus Akhbar Khan

    Komunikasi & Digital
    Menteri: Fahmi Fadzil
    Timb: Teoh Ni Ching

    Pendidikan
    Menteri: Fadhlina Sidek
    Timb: Lim Hui Ying

    Belia & Sukan
    Menteri: Hannah Yeoh
    Timb: Adam Adli

    Kesihatan
    Menteri: Dr Zaliha Mustafa
    Timb: Lukanisman

    Sabah & Sarawak
    Menteri: Armizan Ali
    Timb: Wilson Uggah

    Pertahanan
    Menteri: Mat Hasan
    Timb: Adli Zahari

    Dalam Negeri
    Menteri: Saifuddin Nasution
    Timb: Shamsul Anuar Nasarah

    Sumber Manusia
    Menteri: V. Sivakumar
    Timb: Mustafa @ Mohd Yunus

    Kabinet
    Jumlah Menteri: 28 orang
    Timbalan Menteri: 27 orang
    Jumlah: 55

    Anwar umum barisan timb. menteri: Ahmad Maslan, Steven Sim (Kewangan); Hasbibullah (Pengangkutan)
    Anwar umum barisan timb. menteri: Ahmad Maslan, Steven Sim (Kewangan); Hasbibullah (Pengangkutan)

    Ahmad Maslan sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Kewangan dari 2013 hingga 2015, dan kemudian menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri MITI dari 2015 hingga 2018.

     
     
  • Chery Omoda 5 dapat 5-bintang dari ujian Euro NCAP

    Chery Omoda 5 dapat 5-bintang dari ujian Euro NCAP

    Chery Omoda 5 telah menerima penarafan lima-bintang dari ujian pelanggaran Program Penilaian Kereta Baharu Euro (Euro NCAP). Varian yang diuji ini dipadankan dengan enjin 1.6 liter turbo dan pacuan 4×2, dan penarafan itu diberikan untuk kedua-dua versi pemanduan sebelah kiri dan kanan.

    Omoda 5 menerima 87% markah bagi kategori perlindungan penumpang dewasa, 87% untuk kategori perlindungan penumpang kanak-kanak, 68% bagi kategori perlindungan pengguna jalan raya sekitar dan 88% bagi kategori sistem bantuan keselamatan.

    Untuk perlindungan pelanggaran hadapan, Omoda 5 diberikan beg udara hadapan untuk pemandu dan penumpang hadapan, sementara itu, seat belt pretensioner dan load limiter ditampilkan untuk semua penumpang, termasuk di belakang. Manakala bagi perlindungan pelanggaran sisi, semua penumpang menerima beg udara untuk bahagian sisi kepala, sementara pemandu dan penumpang hadapan turut diberikan beg udara bahagian sisi dada, beg udara sisi pelvis dan beg udara tengah.

    Bagi perlindungan penumpang kanak-kanak, Omoda 5 menerima 23.7 daripada 24 mata untuk prestasi ujian pelanggaran, tujuh mata dari 13 mata dalam aspek keselamatan, dan 12 mata penuh untuk pemasangan CRS (child restraint system).

    Untuk pelindungan pengguna raya sekitar yang berisiko, Omoda 5 menerima markah 68%, di mana Euro NCAP memberikan 15.3 mata untuk impak kepala, 1.4 mata bagi impak pelvis, dan 6.0 mata untuk perlindungan impak kaki. Carta keputusan juga mencatatkan perlindungan bertanda ‘Good’ dan ‘Adequate’ untuk bampar hadapan dan bonet, namun diberikan catatan ‘Poor’ bagi bahagian sudut bonet dan sepanjang A-pillar.

    Omoda 5 turut menerima markah yang memuaskan bagi sistem bantuan keselamatan, dengan 88% secara keseluruhannya untuk seksyen ini. Sistem ini turut menerima penarafan ‘Good’ untuk kekal lorong kecemasan, bantuan kekal lorong dan human-machine interface sections.

    Euro NCAP juga mendapati sistem brek kecemasan sendiri (AEB) yang ada pada Omoda 5 berfungsi dengan cukup baik dalam tindakbalas terhadap kenderaan lain, dan sistem sokongan lorong boleh memperbetulkan arah kereta sekiranya ia dipandu keluar dari lorong, dan juga campur tangan dalam beberapa situasi kritikal yang lain.

    Dalam laporan ini, Euro NCAP turut mencatatkan bahawa sistem bantuan kelajuan Omoda 5 yang menggunakan kamera serta pemetaan digital untuk menentukan had kelajuan tempatan, dengan membenarkan pemandu untuk menyesuaikan dengan pengehad kelajuan yang sewajrnya.

    Di Malaysia, Chery Omoda 5 telah dipertontonkan pada Oktober lalu dengan versi 1.5 liter turbo petrol yang dipadankan dengan CVT dan pacuan roda-hadapan. Di China, ia juga diberikan pilihan 1.6 liter turbo petrol dengan 194 SS/290 Nm bersama DCT tujuh-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    GALERI: Chery Omoda 5 di Malaysia

     
     
  • WMoto XDV250 dilancar untuk M’sia – dari RM18,888

    WMoto XDV250 dilancar untuk M’sia – dari RM18,888

    MForce Bike Holdings hari ini melancarkan sebuah lagi skuter berkonsepkan adventure untuk pasaran Malaysia, iaitu XDV250. Dua varian ditawarkan, dengan versi Standard dijual pada harga RM18,888 manakala “Project X” berharga RM21,888 – tidak termasuk insurans.

    Walaupun nampak seperti skuter bersaiz kecil, XDV250 datang dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 249 cc yang dipadankan bersama transmisi automatik tali sawat untuk menghantar kuasa sehingga 24 hp dan tork 23 Nm pada 6,750 rpm ke roda belakang.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang skuter ini datang dengan unit cakera berserta ABS dual-channel dan angkup J Juan manakala suspensi pula menggunakan unit daripada Kayaba dengan fork USD di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

    Sebagai sebuah skuter, XDV250 datang dengan pelbagai kemudahan seperti sistem tanpa kunci, penghadang angin hadapan boleh laras (manual), soket kuasa 12V, pengecas USB, butang kawalan berlampu, ruang simpanan bawah tempat duduk 26 liter serta tangki bahan api 13.2 liter.

    Di hadapan penunggang terdapat skrin digital LCD yang dapat memaparkan pelbagai maklumat penting termasuk tekanan angin tayar. Berat keseluruhan XDV250 adalah 159 kg dan keseluruhan lampunya menggunakan unit LED termasuk lampu kabus.

    WMoto XDV250 standard disediakan dalam dua warna iaitu merah dan biru sementara versi Project X ditawarkan dalam warna hitam dengan jalur emas.

    GALERI: WMoto XDV250 Standard

    GALERI: WMoto XDV250 Standard

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025