Wuling Nano EV – kereta elektrik kecil di China, harga mungkin bermula RM13k, jarak gerak cecah 305 km

Wuling Nano EV – kereta elektrik kecil di China, harga mungkin bermula RM13k, jarak gerak cecah 305 km

Syarikat kerjasama antara SAIC Motor, General Motors dan Liuzhou Wuling Automobile Industry iaitu SAIC-GM-Wuling (atau lebih dikenali sebagai Wuling) telah pun memperkenalkan kereta elektrik bersaiz sangat kecil diberi nama Wuling Nano EV ketika berlangsungnya Tianjian Auto Show baru-baru ini.

Model tersebut sebenarnya adalah versi alternatif Baojun E200 (yang juga dihasilkan oleh entiti sama), yang dilihat seakan model smart EQ fortwo. Direka untuk kegunaan bandar, Nano EV ini hanya diberikan dua tempat duduk, serta radius putaran 3.8 meter memudahkan pergerakan dan parkir di tempat sempit.

Menurut spesifikasi yang didedahkan, Nano EV ini dihasilkan dengan dimensi 2,497 mm panjang, 1,526 mm lebar, 1,616 mm tinggi dan jarak roda 1,600 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiz kereta ini, ia adalah 1,143 mm lebih pendek dari Perodua Axia, serta 94 mm kurang lebar dan jarak roda 855 mm lebih dekat berbanding hatchback segmen-A tersebut.

Wuling Nano EV – kereta elektrik kecil di China, harga mungkin bermula RM13k, jarak gerak cecah 305 km

Nano EV ini dibekalkan dengan motor elektrik magnet kekal segerak berkuasa 33 PS (32 hp atau 24 kW) dan tork maksima 85 Nm yang diletakkan di hadapan bagi memacu roda hadapan. Jadi Nano EV ini dilihat kurang berkuasa dari Baojun E200 yang dibekalkan dengan motor berkuasa 39 PS/110 Nm, namun kedua-duanya hanya mampu mencatatkan kelajuan maksima 100 km/j.

Nano EV masih diberikan bateri yang sama dengan E200, iaitu bateri lithium-ion yang mendapat pengesahan IP67 yang diletakkan di bawah tempat duduk, berkapasiti 28 kWj. Bateri tersebut membolehkan kereta elektrik kecil ini bergerak sejauh 305 km dengan sekali caj.

Menurut Wuling, bateri berkenaan memerlukan masa selama 13.5 jam bagi memenuhkan jumlah caj (SoC) dari 20-100% menggunakan soket domestik 220-volt biasa. Ia juga datang dengan opsyen pengecaj AC 6.6 kW bagi mendapatkan caj yang sama dengan masa hanya 4.5 jam.

Wuling Nano EV – kereta elektrik kecil di China, harga mungkin bermula RM13k, jarak gerak cecah 305 km

Walaupun Nano EV ini bersaiz sangat kecil, kerangkanya dihasilkan terdiri dari 40% besi kekuatan tinggi. Ia juga menerima suspensi jenis topang McPherson di hadapan serta sistem bebas di belakang. Ia juga dibekalkan dengan sistem brek cakera untuk keempat-empat roda dengan set rim 12-inci bersama tayar 145/70R12.

Sistem keselamatan pasif untuk Nano EV ini agak lengkap, dengan diberikan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC) brek ABS bersama EBD, brek parkir elektronik, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Ia juga tampil dengan sistem amaran pejalan kaki kelajuan rendah.

Antara perincian lain yang dilengkapkan pada EV kecil ini termasuk kamera undur, sistem pemantau tekanan angin tayar, pendingin hawa, sistem kemasukan tanpa kunci, sistem telematik, lampu hadapan LED serta skrin digital tujuh inci yang bertindak bukan sahaja sebagai paparan instrumen, malah turut memaparkan informasi untuk sistem audio (Bluetooth dan radio).

Wuling Nano EV – kereta elektrik kecil di China, harga mungkin bermula RM13k, jarak gerak cecah 305 km

Menerut laporan CarNewsChina, Wuling Nano EV ini akan dijual pada harga tidak melebihi 20,000 yuan (RM12,955), atau jauh lebih murah dari Baojun E200 yang dijual pada harga 54,800 yuan (RM35,509). Ia sudah tentu juga lebih murah dari kereta elektrik kompak yang sangat laris di China buat masa sekarang (dan juga lebih besar) iaitu Wuling Hongguang Mini EV yang dijual pada harga bermula 28,800 yuan (RM18,662).

Seperti yang anda lihat dalam gambar-gambar yang disertakan, Nano EV ini telah dilancarkan dalam versi edisi terhad Disney Zootopia terlebih dahulu. Ia dihasilkan hanya 5,000 unit, dan dijual pada harga 59,800 yuan (RM38,745).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required