Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Honda Civic hatchback prototaip akan dipertontonkan di Geneva – miliki gabungan rekaan sedan dan coupe

    Civic Hatchback Prototype

    Honda telah merancang untuk mempertontonkan model prototaip Civic hatcback generasi akan datang di Geneva Motor Show bulan hadapan.

    Selepas memperkenalkan Civic dalam bentuk sedan dan coupe, Honda kini lebih bersedia untuk memperkenalkan Civic hatchback lima-pintu yang dijangka bakal menjengah pasaran Eropah mulai 2017 ini. Ia bakal dipasang di kilang Swindon, United Kingdom serta unit pemasangan di sana juga akan dieksport ke beberapa pasaran luar termasuk Amerika Syarikat.

    Menerusi foto yang tersebar ini, kelihatannya ia senada dengan konsep sedan dan coupe, malah boleh dikatakan gabungan antara dua bentuk kerangka itu serta ternyata ia nampak begitu sporty. Bahagian bamparnya lebih lebar dengan ekzos berkembar yang terpasang di bahagian tengah serta spoiler menambahkan lagi gayanya. Lampu belakang pula umpama berbentuk boomerang dan sangat berpadanan dengan hatchback ini.

    Ia bakal dijanakan oleh enjin 1.0 liter bersama pengecas turbo baharu tiga-silinder dengan kuasa yang dijangka sehingga 127 hp dan tork 200 Nm. Malah ia turut dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    Ia juga akan menyertai unit 1.5 liter pengecas turbo seperti Civic untuk pasaran Amerika Syarikat. Enjin yang lebih berkuasa ini dipadankan dengan transmisi CVT, tetapi model 2017 ini juga dikatakan bakal mempunyai pilihan kotak gear manual enam-kelajuan terutamanya bagi pasaran Eropah.

    Selain model prototaip Civic hatchback ini, Honda juga akan mempertontonkan Clarity Fuel Cell bersama model konsep Jazz Keenlight di Geneva bulan hadapan. Dalam masa yang sama, Honda turut mengesahkan model NSX bakal tiba di Eropah pada tahun ini.

    GALERI: Honda Civic coupe 2016

    GALERI: Honda Civic sedan 2016

     
     
  • Perodua Axia jadi pilihan pasukan peronda PDRM

    DSC_0447

    Perodua telah menyerahkan empat buah Perodua Axia kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu majlis Penyerahan Kunci Kenderaan Pasukan Perodua Axia yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.

    Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dr. Zahari Husin dengan menyerahkan replika kunci Perodua Axia kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri, Khalid Abu Bakar.

    “Kami berharap dengan sumbangan ini, ia adalah sebagai menyatakan dedikasi kami dengan adanya “kenderaan peronda komuniti” terhadap pegawai polis yang menjalankan tugas mereka,” ujar Presiden dan CEO Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Tujuan penyerahan kenderaan ini adalah untuk kegunaan PDRM bagi penugasan rondaan di komuniti penempatan dan kawasan perumahan.

    Dua buah kenderaan tersebut akan ditempatkan di Balai Polis Brickfield dan Taman Tun Dr. Ismail (T.T.D.I) manakala dua buah lagi adalah bagi kegunaan AMANITA di IPK Kuala Lumpur dan Selangor.

    Setakat ini, PDRM telah menggunakan lebih 670 unit kenderaan Perodua sebagai kenderaan rasmi sejak tahun 1995.

     
     
  • Suzuki S-Cross versi facelift muncul dalam sesi pembentangan para pengedar di Perancis

    Suzuki-SX4-S-Cross-001

    Kami telah menerima beberapa foto Suzuki S-Cross versi facelift, yang dikatakan telah dipertontonkan menerusi sesi pembentangan para pengedarnya di Perancis baru-baru ini. Versi facelift bagi generasi kedua SUV ini kelihatannya mempunyai beberapa perubahan gaya.

    Bahagian hadapannya paling ketara dengan perubahan yang lebih diperkemaskini termasuk penampilan bampar baharu, gril hadapan trapezoidal yang lebih besar serta rekaan lampu utama baharu.

    Malah S-Cross facelift ini juga dikatakan memiliki jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi. Malah bahagian kabinnya juga menerima perubahan termasuk pada papan pemukanya.

    Suzuki-SX4-S-Cross-002_BM

    Malah barisan enjin Boosterjet baharu dijangka turut dipadankan termasuk pilihan 1.0L dan 1.4L petrol dan 1.6L diesel. Ia bakal digabungkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan bagi kesemua unit. Namun ada ura-ura mengatakan enjin 1.4L dan 1.6L juga akan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, sementara unit 1.0L pula dengan manual lima-kelajuan.

    Suzuki kini tidak lagi dipasarkan di Malaysia selepas Proton-Suzuki menandatangani perjanjian kerjasama pada tahun lalu. S-Cross yang dipasarkan di negara ini yang dilancarkan pada akhir 2014 lalu dijual pada harga atas jalan RM129,888, dijanakan oleh enjin 1.6 liter M16A empat-silinder dengan kuasa 117 hp dan tork 156 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi CVT serta didatangkna dengan konfigurasi pacuan roda-hadapan.

    GALERI: Suzuki S-Cross di Malaysia

     
     
  • Volkswagen mungkin terpaksa jual Ducati, Scania dan MAN untuk tampung kos kerugian akibat Dieselgate

    Ducati

    Skandal Dieselgate sememangnya menggemparkan industri automotif seglobal, malah bukan setakat menjejaskan reputasi dan kredibiliti Volkswagen (VW), malahan turut menyebabkan kerugian besar pada syarikat terbabit.

    Menurut The Detroit Bureau, Volkswagen telah mengumumkan sedang mempertimbangkan kemungkinan besar terpaksa menjual kepentingannya dalam Scania, dan MAN. Mereka menjelaskan, “Kami sedang mempertimbangkan pelbagai jalan penyelesaian termasuk menarik diri dari pasaran saham dan menjual kepentingan dalam beberapa buah syarikat utama.”

    Man-D38-truck-BM

    Walau bagaimana pun, sebarang keputusan muktamad masih belum diambil namun menegaskan ‘kos yang amat besar’ sangat-sangat diperlukan untuk menampung sejumlah kerugian akibat skandal ini.

    Menurut analisis Citi, VW memerlukan sejumlah $13.5 bilion, namun anggaran jumlah keseluruhan yang diperlukan adalah sekitar $55 bilion. Buat setakat ini, VW telah membelanjakan lebih $7 bilion untuk menampung kos bagi skandal ini dan turut menerima pinjaman tambahan berjumlah $20 bilion dari bank Eropah.

    Malah jika kos yang diperlukan masih tidak mencukupi, ada ura-ura mengatakan kemungkinan besar VW turut terpaksa menjual kepentingannya dalam Ducati.

     
     
  • Mitsubishi bakal pasang Mirage dan Attrage di Filipina

    Mitsubishi_Mirage_facelift_Thailand-1_BM

    Mitsubishi Motors Corporation (MMC) telah mengumumkan bakal mengambil bahagian dalam Program Strategi Penambahbaikan Automotif Komprehensif (CARS) di Filipina.

    Ia merupakan inisiatif daripada kerajaan negara terbabit untuk menambah baik industri automotif, dan menurut Mitsubishi, bagi mengembangkan operasi pengeluaran di Filipina, ia akan memasukkan model Mirage hatchback dan Attrage sedan (atau lebih dikenali sebagai Mirage G4 di sana) dalam program terbabit menjelang tahun 2017.

    mitsubishi-attrage-thailand-23_BM

    Penambahan dua model terbabit dalam produksi pemasangan tempatan, Mitsubishi akan menyuntik dana sebanyak 4.3 bilion peso (RM372 juta) di kilang Santa Rosa bagi membina prasarana baharu. Malah pelaburan tersebut juga membolehkan kilang terbabit meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran mereka.

    “Mitsubishi Motors telah membina produksi dan perniagaan jualan di Filipina lebih 50 tahun. Filipina merupakan salah satu daripada pasaran paling penting bagi kami. Malah kami berbesar hati untuk menyumbang sesuatu yang cukup bermakna buat industri automotif Filipina dengan membangunkan fasa baharu ini,” ujar Osamu Masuko, pengerusi dan CEO MMC.

    Mitsubishi Motors Philippines Corporation (MMPC) telah memulakan operasi pemasangan di kilang pengeluaran baharu di Santa Rosa sejak Januari 2015. Terletak 45 km dari Manila, kilang ini mampu memproduksikan sehingga 50,000 unit setahun, berbanding kilang di Cainta yang menghasilkan pengeluaran sebanyak 30,000 unit setahun, sejak tahun 1964.

     
     
  • Honda Australia umum panggilan semula bagi isu beg udara Takata – Jazz, CR-V, Insight dan City terlibat

    jazz-hybrid

    Honda Australia telah mengumumkan panggilan semula (recalled) ekoran masalah beg udara Takata. Setakat ini, sebanyak 21,083 unit kenderaan di Australia yang terlibat.

    Ia melibatkan Honda Jazz (2012-2014), Jazz Hybrid (2012-2013), CR-V (2011), Insight (2012-2013) dan City (2012). Walau bagaimana pun, untuk pengetahuan, tidak semua kenderaan yang disenaraikan ini terlibat dan ia masih dikenalpasti.

    Bagi kenderaan yang disenaraikan, untuk kepastian, para pemiliknya diminta melayari laman web Honda Australia untuk mengetahui adakah kenderaan mereka terlibat dalam kempen ini. Sekiranya terlibat, mereka dikehendaki menghantar segera kenderaan masing-masing ke pusat servis yang dilantik untuk menukar beg udara terbabit.

    Buat masa ini, kenderaan Honda di Malaysia masih belum disahihkan turut terlibat mahu pun tidak. Nantikan perkembangan selanjutnya dari paultan.org.

     
     
  • Honda HR-V RS diperkenalkan di Jepun

    Honda-HR-V-Vezel-RS-1_BM

    Jika anda mempunyai Honda HR-V dan inginkan kelainan pada gayanya, ini mungkin boleh dijadikan idea buat anda. Honda Japan telah pun memperkenalkan varian RS bagi Honda Vezel (nama yang digunakan bagi pasaran domestik). Dengan gaya yang lebih ranggi, ia bakal menyertai varian Style Edition yang telah pun menjengah pasaran berkenaan, selain model standard.

    Malah Honda Japan juga mengesahkan akan memperkenalkan varian Honda Vezel Hybrid RS selain Honda Vezel RS. Bagi varian RS ini, ia ditampilkan dengan spoiler lips, skirt sisi, rim yang lebih bergaya bersaiz 18-inci, lampu kabus hadapan LED dan bahagian kabinnya pula dihiasi dengan kekemasan serba hitam. Walau bagaimana pun, tiada perubahan daripada sudut mekanikalnya.

    Penjana kuasa hibrid masih kekal dengan 1.5 liter SOHC i-VTEC empat-silinder (132 PS/156 Nm) dengan gabungan motor elektrik i-DCD (30 PS/160 Nm), bersama kuasa yang disalurkan menerusi transmisi CVT tujuh-kelajuan. Manakala versi tanpa hibrid juga sama tanpa motor elektrik sebagai penjana kuasa.

    Buat masa ini, harga bagi Honda Vezel RS ini masih belum diumumkan, tetapi dijangka ia bakal mula dipasarkan di Jepun pada hujung bulan ini. Sebarang perkembangan terkini akan dilaporkan dari semasa ke semasa.

     
     
  • Audi bakal pamerkan model baharu Q Mac ini

    AUDI_2016

    Audi telah menyebarkan gambar pengenalan pertama bagi model baharu Q, dijadualkan di Geneva bulan hadapan. Gambar yang disebarkan menerusi laman Facebook rasmi Audi ini memaparkan model SUV Q3, Q5 dan Q7 yang diparkir di garaj dengan ada satu petak parkir kosong yang tertulis “soon”. Ia seakan memberikan gambaran bahawa Audi bakal memperkenalkan model baharu Q bagi melengkapkan barisan Q sedia ada.

    Buat masa ini, tiada sebarang klu tetapi pemerhati industri automotif global ada yang berpendapat kemungkinan besar ia akan menggunakan Q2 memandangkan Audi sudahpun mendaftarkan nama tersebut.

    Malah Audi juga pernah mengumumkan Q2 bakal dipasarkan pada suku kedua tahun 2016, jadi kemungkinan besar model versi produksi akan dipamerkan di Geneva bulan hadapan.

    Jika benar ia Q2, ia menggunakan platform MQB tetapi sedikit pendek dan dipacukan oleh pacuan roda-hadapan tetapi turut ditawarkan dengan sistem AWD. Apa saja perkembangannya, kena tunggu di Geneva bulan hadapan.

     
     
  • Polis cadang naikkan kadar saman trafik untuk membendung kemalangan – statistik kian meningkat

    PDRM-9

    Melihat kenaikan kadar kemalangan jalan raya termasuk yang menyebabkan kematian semakin meningkat, pihak polis bercadang untuk menaikkan kadar saman. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata cadangan tersebut diharap dapat menghalang para pemandu daripada melanggar undang-undang terutamanya yang gemar memandu laju.

    “Ia juga mampu mencegah pemanduan yang berbahaya di lebuh raya, terutamanya menjelang musim perayaan kerana kadar kematian akibat kemalangan dilihat agak tinggi ketika ‘Op Selamat 8/2016’ dijalankan sempena Tahun Baru Cina,” ujar Khalid dalam laporan yang disiarkan oleh The Sun.

    Khalid turut meluahkan kekesalannya apabila ada sesetengah pengguna jalan raya yang ingkar mematuhi undang-undang ini kerana berpendapat kadar kompaun sebanyak RM300 tidak memberikan apa-apa makna buat mereka. “Kami mungkin akan meningkatkan kompaun tetapi kadar tersebut perlu dibincangkan kemudian,” katanya lagi.

    PDRM-5

    Menurut Khalid, Op Selamat sempena Tahun Baru Cina pada tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 18.8% jumlah kemalangan dengan sebanyak 17,632 kes direkodkan berbanding 14,836 kes pada tahun sebelumnya. Manakala kadar kematian akibat kemalangan pula meningkat sebanyak 22.4% iaitu sebanyak 186 kes berbanding 152 kes pada tahun 2014.

    “Sesiapa yang melanggar undang-undang perlu berhadapan dengan kompaun yang maksimum. Sudah tiba masanya untuk kita bersikap tegas terhadap semua pengguna jalan raya. Tiada lagi advokasi di jalan raya dari kami,” tegas Khalid. Beliau turut berkata Ops Selamat akan berakhir pada 16 Feb ini.

     
     
  • Ferrari GTC4 Lusso pengganti FF – kuasa 680 hp

    Ferrari_GTC4Lusso_PTBM_2

    Maranello telah pun mengumumkan Ferrari FF tidak akan disambung, sebaliknya bakal digantikan oleh GTC4 Lusso dengan ledakan kuasa yang lebih hebat.

    Kalau nak diikutkan, GTC4 Lusso ini sebenarnya model facelift bagi FF tetapi telah diterapkan rekaan yang lebih evolusi dengan perubahan kosmetik yang sedikit berbeza, serta namanya turut diubah. Rekaannya juga banyak perubahan termasuk bahagian bampar hadapan yang direka semula dengan pengambilan udara terbina dalam, bersama corong udara belakang, spoiler yang terpasang di bumbung dan lampu belakang yang diperkemaskinikan. Malah Ferrari turut menampilkan peresap belakang dan berkata perubahan pada bahagian badannya mampu membantu meningkatkan lagi aerodinamik yang lebih efisien.

    Menjengah bahagian kabinnya, GTC4 Lusso menampilkan sistem hiburan terkini dengan skrin paparan 10.25-inci dan juga roda stereng yang lebih kecil untuk menempatkan beg udara yang lebih kompak. Malah butang kawalan baharu turut melengkapi elemennya.

    Paling menguja, GTC4 Lusso ini dijanakan oleh enjin 6.2-liter aspirasi-natural V12 yang diangkat dari model FF tetapi dipertingkatkan lagi kuasanya menjadi 680 hp dan tork 697 Nm (berbanding 651 hp/683 Nm pada FF). Jentera ini juga mampu mencapai kelajuan dari 0-100 km/j dalam hanya 3.4 saat, namun kelajuan maksimumnya masih kekal pada 335 km/h.

    Selain itu, GTC4 Lusso turut menampilkan Slip Side Control yang bekerjasama dengan peredam dan kawalan perbezaan elektronik. Menurut Ferrari, teknologi ini membolehkan jentera ini memiliki pengendalian yang lebih bertenaga dengan kuasa tork tambahan termasuk ketika dipandu pada “pemukaan jalan yang dilitupi salji, basah atau kurang cengkaman”.

    Ferrari GTC4 Lusso ini dijangkakan bakal didedahkan pada umum pada Mac ini di Geneva dan kebarangkalian harganya juga lebih mahal berbenading FF kerana menampilkan elemen yang diperkemaskinikan dan dinaiktaraf.

     
     
  • Yamaha 135LC 2016 sah berharga RM7,068

    2016 Yamaha LC135 Malaysia 11

    Hong Leong Yamaha, selaku pengedar rasmi Yamaha bagi pasaran tempatan, telah mengesahkan model Yamaha 135LC 2016 akan dijual pada harga RM7,068 termasuk GST. Ia dijadualkan bakal dilancarkan pada Mac ini.

    Yamaha 135LC 2016 ini ditawarkan dengan tiga warna baharu iaitu merah, putih dan biru, bersama skim warna putih dan rim dengan warna kontras merah. Ia masih mengekalkan enjin yang sama seperti model terdahulu iaitu 134 cc penyejuk-cecair silinder tunggal yang memberikan kuasa sehingga 12 hp pada 8,500 rpm. Manakala tork puncaknya pula ialah 11.8 Nm pada 5,500 rpm.

    Terdapat beberapa perubahan pada model facelift ini termasuklah lampu ‘pilot’ LED, lampu belakang yang diberi rekaan semula yang disambung pada lampu brek belakang dan juga chin visor baharu. Model 135LC versi 2015 ialah RM6,318 menjadikan harga bagi model facelift naik sebanyak RM747.

     
     
  • Proton seharusnya tidak dipersalahkan kerana harga kenderaan yang tinggi di negara ini – Tun M

    tun-mahathir-alami-proton

    Dalam entri terbaharu menerusi blognya, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Proton tidak harus dipersalahkan dan dianggap sebagai penyebab harga kenderaan tinggi di negara ini. Sebelum ini pengerusi Proton itu turut menyeru rakyat Malaysia supaya memandu uji model Proton terlebih dahulu sebelum melemparkan kritikan.

    “Kami bukanlah punca harga kereta tinggi. Bantuan yang kami peroleh dari kerajaan juga diberikan kepada syarikat lain disebabkan oleh kandungan tempatan. Kita mempunyai hampir 90% kandungan tempatan, jadi kami kurang membayar duti eksais,” ujarnya.

    Kenyataan ini adalah bagi menjawab banyak andaian daripada pembeli yang percaya harga kenderaan yang tinggi di negara ini adalah disebabkan oleh pihak kerajaan terpaksa melindungi Proton.

    “Sejak ditubuhkan, Proton telah membayar lebih daripada RM24 bilion dalam cukai sementara menerima hanya RM14 bilion dalam potong duti eksais, bukan secara tunai. Ya, kami telah menerima sebahagian daripada geran penyelidikan dan pembangunan yang dijanjikan kepada industri,” jelasnya lagi.

    Sambungnya lagi, cukai ke atas kenderaan bermotor adalah punca kepada kenaikan harga. Tetapi kerajaan perlu mengenakan cukai pada para pengguna jalanraya kerana jalan dan infrastruktur lain yang disediakan oleh kerajaan.

    2014_Top_Five_Proton_Iriz_MT_ 001

    Malah bekas perdana menteri Malaysia ini juga mengingatkan bahawa apabila membeli kereta yang diimport, wang akan mengalir keluar dari negara ini untuk menjamin ekonomi negara terbabit, malah sebagai manfaat kepada pekerja mereka.

    “Apabila anda membeli kereta tempatan, wang akan kekal dalam negara, pekerja akan mendapat wang, pengedar dan ejen juga pekerja mereka akan menikmati perniagaan yang diusahakan dan ekonomi tempatan akan berkembang. Ribuan keluarga menikmati kehidupan yang selesa,” ujarnya.

    Tegasnya lagi, “Bayangkan sekiranya semua industri tempatan ditutup, amat sedikit yang mampu membeli barangan import. Kita akan kembali menjadi sebuah negara dunia ketiga yang gagal.”

    “Malaysia ialah sebuah negara perdagangan, kita mengeksport dan mengimport. Sekiranya import melebihi eksport, kita tidak akan berkembang dan makmur,” ujarnya yang turut berkata sebelum ini Proton telah banyak mengeksport kereta ke UK. Tetapi sejak pengenalan standard baru pengeluaran dan kecekapan bahan api, Proton tidak dapat menjual mana-mana kereta di UK. Walau bagaimana pun, Proton telah melakukan inisiatif yang diperlukan untuk membolehkannya menyambung eksport ke negara berkenaan.

    “Pembangunan enjin baru Proton oleh jurutera yang bekerjasama dengan RICARCDO di UK sekali lagi akan membolehkan kita memenuhi syarat-syarat di UK dan Eropah. Kami berharap untuk mengeksport semula kereta kami di negera-negara seperti ini,” ujar Pengerusi Proton ini.

     
     
  • Pandu uji kereta Proton dahulu sebelum nilai – Tun M

    Proton Press Conference Tun Mahathir 1

    Berikutan pelbagai persepsi negatif yang timbul terhadap Proton waima di negara sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) menggesa semua rakyat Malaysia untuk memandu uji model terbaharu jenama itu sebelum mengkritik atau menilai. Ia diluahkan menerusi kenyataan daripada blognya berikutan kejayaan Proton dalam membangunkan barisan enjin terbaharu di UK.

    “Proton menyedari persepsi negatif terhadap jenama ini di pasaran Malaysia. Terutamanya yang memiliki kenderaan import. Tidak ada apa yang dapat memujuk mereka untuk membeli kereta Proton. Sudah tentu kebanggaan memiliki kereta buatan Malaysia tidak ada pada mereka,” terang Tun M.

    Pengerusi Proton itu turut berkata, persepsi tersebut kebanyakannya adalah berkenaan dengan model terdahulu Proton. Namun bagi model terkini, ia jauh sama sekali bezanya berbanding yang terdahulu. Malah ia tampil dengan pelbagai elemen yang kompetitif sama seperti yang ada pada kebanyakan model yang harganya jauh lebih mahal.

    “Banyak benda yang telah diberi penambah baikan dan turut menawarkan pelbagai elemen berbanding model kenderaan lain dalam kategori yang sama. Malah, dengan harga yang jauh lebih rendah, banyak elemen dalam kenderaan Proton biasanya hanya ada pada model jenama lain yang lebih mahal. Saya rasa semua pekerja kami termasuk barisan jurutera telah melakukan perkara yang terbaik biarpun tidak ada sokongan dari orang kita sendiri,” ujarnya.

    Proton_Iriz_001_BM

    Katanya lagi, “Sesuatu perkara itu perlu diadili dengan mengalaminya sendiri. Untuk itu, ia terdapat pada kereta Proton yang baharu. Anda perlu memandu untuk mengetahui kecekapannya. Saya memandu Iriz dan Suprima S dan percayalah, saya sangat seronok memandu kereta ini. Terutamanya Iriz, yang mempunyai stereng berkuasa elektrik. Ia sangat ringan dan ia bertindak balas dengan cepat apabila melakukan pecutan.

    Saya fikir kereta Proton layak dipandu uji oleh seluruh rakyat Malaysia. Beritahu kami tentang pengalaman anda. Kritiklah kereta ini. Kami mahukan maklumbalas supaya kami boleh menambah baik kereta ini.”

    Jadi selepas membaca artikel ini, adakah anda memiliki hasrat untuk memandu uji mana-mana model terbaharu Proton? Kongsikan pendirian anda bersama kami.

     
     
  • Kuala Lumpur disasarkan bebas masalah jalan berlubang menjelang 2017 – DBKL

    Bad-road-2

    Menjelang tahun 2017, Kuala Lumpur dijangka akan bebas dari masalah jalan berlubang, menurut Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh. Memetik laporan yang disiarkan oleh Bernama, DBKL menyedari banyak berlaku masalah jalan berlubang, mendap, tampalan tidak sempurna dan retak sehingga mengundang banyak masalah lain seperti menjadi punca kepada kemalangan.

    Antara faktor utama yang menyebabkan masalah jalan berlubang ialah pembangunan berterusan yang sentiasa berlaku di sekitar ibu kota serta diikuti kaedah penurapan jalan tidak sempurna yang dilakukan syarikat utiliti yang bertanggungjawab mengorek lubang.

    “Oleh yang demikian, DBKL sentiasa sedang memantau setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di bandar raya ini demi memastikan setiap jalan, laluan pejalan kaki terutama yang terletak berhampiran tapak projek berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan,” kata Sabudin.

    Katanya lagi, sekiranya keadaan adalah sebaliknya, DBKL akan menarik balik permit kelulusan pembangunan atau tidak meluluskan sijil kelayakan kepada pemaju. Adalah menjadi tanggungjawab pihak pemaju membaiki jalan yang rosak berhampiran tapak projek mereka yang disebabkan kekerapan lori bermuatan tinggi keluar-masuk di jalan utama sedia ada sehingga jalan menjadi berlekok, berlopak dan seterusnya berlubang.

    Selain itu Sabudin berkata mulai tahun ini, syarikat utiliti tidak lagi dibenarkan membuat kerja menurap jalan yang mereka korek, sebaliknya ia akan dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak DBKL dengan kos turapan akan ditanggung syarikat utiliti berkenaan.

    “Pada tahun lalu, sejumlah 13,612 jalan berlubang di sekitar Kuala Lumpur telah diturap dan diperbaiki oleh pihak kami dan bagi bulan Januari tahun ini, sebanyak 1,153 jalan telah kami perbaiki,” katanya.

     
     
  • Dasar pelupusan kenderaan lama dilihat mampu tingkatkan industri automotif tempatan – Aishah

    kedai-potong

    Setahun yang lalu, Institut Automotif Malaysia (MAI) telah mencadangkan program melupuskan kenderaan berusia. Di mana pemilik kereta berusia lebih 10 tahun boleh mendapatkan rebat sehingga RM5,000 untuk membeli kereta baharu menerusi satu skim yang dicadangkan. Namun sehingga kini, program yang diusulkan itu masih ditangguhkan.

    Semalam, Utusan Malaysia melaporkan dasar pelupusan kenderaan lama merupakan langkah yang boleh dilaksana bagi memastikan pertumbuhan industri automotif kepada negara termasuk dari segi pembayaran cukai kepada kerajaan.

    Memetik kenyataan Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, menerusi industri automotif sahaja, secara kasarnya telah menyumbang bayaran cukai lebih RM6 bilion setahun kepada kerajaan dan oleh itu penting untuk mengiktiraf kepentingan sektor automotif.

    Katanya, selain dasar pelupusan kenderaan lama, antara pendekatan lain termasuklah insentif-insentif baharu untuk menggalakkan lagi pertumbuhan sektor kenderaan cekap tenaga (EEV). “Dasar pelupusan kenderaan lama ini adalah penting untuk mengalakkan pembelian kenderaan baharu, sekali gus mampu meningkatkan permintaan dalam industri ini. Dalam masa yang sama, pihak bank perlu lebih mudah memberikan pinjaman kenderaan bagi merancakkan perkembangan industi ini,” ujarnya.

    2016-maa-performance-aishah-ahmad-press-con- 025

    Walau pun telah mencatatkan TIV tertinggi dalam sejarah pada 2015 berjumlah 666,674 buah, namun bagi tahun ini, MAA telah mengunjurkan jumlah jualan industri (TIV) kenderaan yang lebih rendah tahun ini sebanyak 650,000 buah.

    Ini adalah didorong oleh kenaikan harga kereta oleh syarikat-syarikat penjual disebabkan kemerosotan nilai ringgit serta syarat pinjaman kereta yang ketat oleh bank, secara tidak langsung bakal menjejaskan jualan kenderaan sekali gus menjangka TIV tahun ini akan merosot.

    Katanya, pemain-pemain industri tempatan sedar tentang risiko yang bakal dihadapi tahun ini serta mempunyai pengalaman untuk menghadapi cabaran-cabaran yang ada.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 25, 2024