Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Projek jajaran jalan antara ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao dijangka siap lebih awal dari dijadualkan

    Projek jajaran jalan antara ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao dijangka siap lebih awal dari dijadualkan

    Projek jajaran jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dijangka siap lebih awal daripada jadual, laporan Bernama.

    “Tarikh pemilikan tapak untuk projek ini adalah pada 21 Jun 2024, dan ia dijadualkan siap pada September tahun ini… namun, saya telah dimaklumkan oleh kontraktor dan mereka yang terlibat dalam projek itu bahawa ia mungkin disiapkan lebih awal.

    “Itu berita baik. Jika kita dapat menyiapkannya lebih awal daripada jadual, itu bagus… sehingga 29 April, kemajuan fizikal mencapai 47%. Bagaimanapun, saya telah dimaklumkan bahawa ia masih boleh disiapkan seperti yang dirancang,” kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Projek bernilai RM141.57 juta itu melibatkan pembinaan jalan berkembar enam lorong dua hala baharu sepanjang 900 meter. Ia turut membabitkan pembinaan jalan perkhidmatan piawaian sepanjang 300 meter ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam, bangunan pos kawalan akhir dan pintu masuk berbumbung. Turut dilakukan kerja merobohkan bangunan dan fasiliti lama bagi menggantikan dengan bangunan baru Kem Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan.

     
     
  • Jetour G900 didedah di Auto Shanghai 2025 – model konsep SUV mewah dengan tork hingga 18,000 Nm!

    Jetour G900 didedah di Auto Shanghai 2025 – model konsep SUV mewah dengan tork hingga 18,000 Nm!

    Selain Jetour G700, Jetour Auto International turut mempamerkan model konsep SUV mewah G900 menerusi Auto Shanghai 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

    Seperti G700, model konsep G900 ini turut dibangunkan dengan GAIA (Gimbal Off-road Chassis) Intelligent Off-Road Architecture yang menjadi platform baharu bagi kenderaan hibrid off-road mewah jenama ini. Di mana platform ini menggabungkan kuasa dan teknologi pintar untuk menghasilkan sebuah kenderaan moden yang padu daripada segi pemanduan, pengendalian dan prestasi.

    Dengan platform GAIA ini, ia mengoptimumkan kecekapan tinggi bagi pemanduan off-road dengan memberikan hamburan kuasa yang tinggi dan dalam masa yang sama menggunakan bahan api yang lebih efisien. Ia turut dilengkapi dengan empat unit motor elektrik untuk setiap rodanya dan walau pun spesifikasi penuhnya tidak didedahkan, namun Jetour memaklumkan bahawa model ini mampu mencapai tujahan tork hingga 18,000 Nm!

    Bukan itu sahaja, G900 juga dilengkapi dengan marine-grade dan iEM-O Amphibious Range Extender System yang membolehkannya dipandu di dalam air dengan jayanya, lebih kurang seperti BYD YangWang U8.

    Semasa dipamerkan di Auto Shanghai 2025, kabinnya tidak didedahkan. Namun Jetour memaklumkan bahawa kabinnya turut boleh menghasilkan oksigen pintar, bersama kelengkapan dengan fungsi dan keupayaan yang dikuasai AI.

    Selain yang dikongsikan ini, Jetour masih belum bersedia mendedahkan spesifikasi lanjut mengenai model konsep G900 termasuk ‘merahsiakan’ sebarang rekod angka prestasi mengenai keupayaannya di jalan biasa, off-road mahu pun keupayaannya meredah air.

     
     
  • Polis Perak beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 10 Mei 2025 di Perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh

    Polis Perak beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 10 Mei 2025 di Perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak bakal memberikan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan pada 10 Mei 2025 (Sabtu ini). Ia adalah sempena dengan pameran Pencegahan Jenayag PDRM Perak 2025..

    Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter yang dibuka di lokasi acara iaitu di Perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Ipoh atau daerah berhampiran, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • TQ Wuling kini di Malaysia; kerjasama Tan Chong, EV Wuling Bingo akan dilancar Q4 2025, bawah RM100k

    TQ Wuling kini di Malaysia; kerjasama Tan Chong, EV Wuling Bingo akan dilancar Q4 2025, bawah RM100k

    Tan Chong Motor Holdings Berhad bersama SAIC GM Wuling Automobile Co Ltd (SGM Wuling) hari ini mengumumkan kerjasama bagi mewujudkan entiti bagi membawa satu lagi jenama automotif China ke Malaysia iaitu TQ Wuling (atau hanya dikenali sebagai Wuling di China).

    “TQ” atau “Truckquip” merupakan jenama Tan Chong sendiri yang sebelum ini digunakan pada model-model bas dan kenderaan perdagangan ringan di Vietnam. Jadi ini kali pertama jenama TQ berkenaan digunakan pada kenderaan penumpang biasa, dan jenama ini juga turut bermaksud ‘total quality’.

    Perkongsian strategik ini telah dimeterai secara rasmi oleh Kumpulan Tan Chong Motor Group yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Daniel Ho, dan SGM Wuling yang diwakili oleh Tang Wensheng, Presiden PT SGMW Motor Indonesia serta Sun Dazhi, Pengarah Komersial, Bahagian Perniagaan Luar Negara dan Pusat Kejuruteraan, SGMW. Majlis yang dibuat di fasiliti pemasangan Tan Chong Motor Assemblies Segambut turut disaksikan oleh Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke Siew Fook.

    TQ Wuling kini di Malaysia; kerjasama Tan Chong, EV Wuling Bingo akan dilancar Q4 2025, bawah RM100k

    Kerjasama ini bukan sahaja menyaksikan TQ Wuling akan menjual kenderaan jenama tersebut di Malaysia, malah turut akan menjalankan operasi pemasangan tempatan (CKD) dan juga mengeksport kenderaan keluar dari Malaysia. Model pertama yang akan dilancarkan di sini adalah EV kompak TQ Wuling Bingo CKD yang akan dipasang di Segambut, dan bakal dijual pada harga di bawah RM100,000 pada suku ke empat tahun ini.

    “Pendekatan ini mengukuhkan komitmen Tan Chong Motor Group terhadap lokalisasi menerusi penggunaan komponen yang diperoleh dari pembekal tempatan, sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan mengurangkan kos pengeluaran,” kata syarikat tersebut dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

    “TQ Wuling mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi dan kelestarian dalam menyediakan penyelesaian mobiliti berkualiti yang boleh diakses oleh seluruh rakyat Malaysia. Kerjasama kami dengan SGM Wuling merupakan satu langkah penting dalam mengembangkan kehadiran TQ Wuling di pasaran tempatan. Di samping menyumbang kepada ekonomi negara melalui pengeluaran kenderaan secara tempatan di Malaysia. Matlamat kami adalah untuk meletakkan jenama TQ Wuling sebagai pilihan utama bagi pemandu di bandar yang mementingkan nilai terbaik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Tan Chong Motor Group, Daniel Ho.

    TQ Wuling kini di Malaysia; kerjasama Tan Chong, EV Wuling Bingo akan dilancar Q4 2025, bawah RM100k

    “SGM Wuling sentiasa komited dalam menghasilkan kenderaan yang berkualiti tinggi, praktikal dan mampu milik. Kerjasama ini membolehkan kami membawa teknologi EV ke Malaysia dengan yakin. Memanfaatkan kepakaran kami dalam bidang EV, digabungkan pula dengan kehadiran pasaran Tan Chong Motor Group yang kukuh serta keupayaan pengilangannya, kami teruja untuk menyokong peralihan mobiliti hijau di Malaysia dan menawarkan penyelesaian pemanduan lestari kepada pengguna tempatan,” kata Presiden PT SGMW Motor Indonesia, Tang Wensheng pula.

    “Rantau ASEAN merupakan pasaran utama dalam pelan strategik keseluruhan SGM Wuling, dengan tumpuan khusus di Indonesia, Thailand dan Malaysia,” tambah beliau.

    Wuling Bingo EV telah diperkenalkan di China pada April 2023. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 3,950 mm, lebar 1,708 mm, tinggi 1,580 mm dan jarak roda sejauh 2,560 mm.

    Di China Bingo EV dalam versi varian asas paling murah dibekalkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 17.3 kWh, memberi jarak gerak sehingga 203 km mengikut standard CLTC. Kuasa dihantar kepada motor elektrik pada gandar hadapan dengan kuasa sehingga 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan tork 110 Nm, memberikan kelajuan maksimum 100 km/j.

    Ia juga hadir dengan varian yang diberikan bateri LFP lebih besar berkapasiti 31.9 kWj, mampu memberi jarak gerak sejauh 333 km, serta diberikan motor elektrik lebih berkuasa pada kadar 68 PS/150 Nm, tetapi masih menampilkan kelajuan maksima yang sama.

    Sementara varian paling tinggi menerima bateri LFP berkapasiti 37.9 kWj bagi memberikan jarak gerak 410 km, dengan padanan motor elektrik 68 PS/150 Nm yang sama, serta kelajuan maksima juga masih sama.

    TQ Wuling kini di Malaysia; kerjasama Tan Chong, EV Wuling Bingo akan dilancar Q4 2025, bawah RM100k

    Untuk pengecasan, kesemua versi boleh menerima pengecas AC sehingga 3.3 kW, dengan bateri yang lebih kecil memerlukan masa 5.5 jam untuk penuh, manakala bateri yang besar mengambil 9.5 jam. Walaubagaimanapun, bateri yang lebih besar itu boleh dicas dengan sumber DC, dan boleh naik dari kadar 20% ke 80% dalam masa 35 minit sahaja.

    Antara kelengkapan yang diberikan pada Bingo EV ini termasuk rim 15 inci, lampu utama dan lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik, dua skrin 10.25 inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa, dua beg udara, ABS, EBD, brek parkir elektronik, ESC, kamera undur, sistem pemerhati tekanan angin tayar, sistem tanpa kunci, cruise control dan pendingin hawa automatik.

    Model ini turut telah dilancarkan di Indonesia pada Disember tahun yang sama, tetapi dikenali sebagai Wuling Binguo EV di sana. Turut dipasang di Indonesia, Wuling Binguo EV ini dijual pada harga bermula 317 juta rupiah (RM81k) untuk varian asas Long Range sehingga 372 juta rupiah (RM95k) untuk varian tertinggi Premium Range.

    Sekiranya dipasarkan di Malaysia kelak, TQ Wuling Bingo EV ini bakal menerima saingan dari EV pertama Perodua yang turut dijadual dilancarkan pada Disember tahun ini. Dengan anggaran jarak gerak dianggar sekitar 400 km, dan akan dijual pada harga sekitar RM80k, tetapi bateri hanya ditawarkan dalam skim pajakan/sewaan.

    Malah Proton juga dijangka akan mengeluarkan EV dalam segmen sama, di mana model yang dijangka akan dikenali sebagai eMas 5 berkenaan akan membuat kemunculan sulungnya pada Malaysia Autoshow 2025 minggu ini. Model itu akan diasaskan dari Geely Star Wish, di mana varian paling tinggi digerakkan oleh motor elektrik 116 PS/150 Nm, dengan bateri LFP sehingga 40.16 kWj, dengan jarak gerak 410 km.

     
     
  • Chery QQ Qurio buat penampilan di Auto Shanghai – EV konsep yang akan masuk produksi tahun depan

    Chery QQ Qurio buat penampilan di Auto Shanghai – EV konsep yang akan masuk produksi tahun depan

    Model dalam gambar ini adalah Chery QQ Qurio, yang membuat penampilan pertama di Auto Shanghai 2025, dan menandakan kelahiran semula siri produk tesebut. Nama QQ ini sebenarnya sudah digunakan pada beberapa model daripada Chery, bermula dengan QQ3 pada tahun 2003, diikuti QQ6 dan QQme.

    Dengan harga mampu milik, hatchback daripada QQ yang disebutkan tadi mendapat sambutan baik pembeli pada awalnya, tetapi tidak bertahan lama dan akhirnya pengeluaran dihentikan. Nama QQ itu bagaimanapun masih dipakai sekarang, pada model QQ Ice Cream dan kemudiannya akan disertai oleh QQ Duomi.

    Masih lagi satu konsep, Qurio (bermaksud terus ingin tahu) dihasilkan untuk membawa semula nama klasik tersebut ke arus perdana dan akan menjadi sebuah kenderaan elektrik (EV). Buat masa ini, masih belum ada perincian penggerak yang dikeluarkan untuk Qurio tetapi Chery memberitahu, ia akan mempunyai jarak roda 2,750 mm dan akan memasuki fasa produksi pada separuh pertama tahun depan.

    Secara visualnya, konsep rekaan Qurio ini seperti satu versi daripada Nio Firefly, dengan kedua-duanya mempunyai permukaan rata serta bentuk berpetak tanpa bucu tajam. Panel warna hitam digunakan pada keliling lampu hadapan dan belakangnya, sementara pintu menggunakan pembuka jenis rata dan rim menggunakan rekaan bentuk tambah. Logo QQ baru diletakkan di merata bahagian kereta ini.

    Konsep ceria pada bahagian luar diteruskan ke dalam, di mana kita boleh melihat tona tiga warna dan struktur unik seperti panel pintu tiga bertingkat dengan tempat letak cawan. Konsol tengah yang tinggi juga membolehkan bahagian bawahnya digunakan sebagai tempat letak barang, sementara di bahagian papan pemuka terdapat skrin sesentuh tengah yang besar dan panel instrumen digital di hadapan pemandu.

     
     
  • smart #5 dalam teaser Malaysia – bakal dilancar?

    smart #5 dalam teaser Malaysia – bakal dilancar?

    smart Malaysia melalui laman media sosialnya menyiarkan teaser untuk smart #5, yang menampakkan pandangan dekat EV tersebut, dan gambar kedua jelas menunjukkan lencana #5. Bersamanya tertulis ayat yang bemaksud “pengembaraan berani baru semakin hampir. Semangat meneroka memanggil – adakah anda bersedia?” Mungkinkah ini tanda pelancaran model tersebut semakin dekat?

    #5 tidak seperti model-model smart sebelum ini. Selain kini menjadi model paling besar jenama itu, ia juga menggunakan bentuk SUV yang berpetak dengan mencatat dimensi panjang 4,705 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,705 mm dan jarak roda 2,900 mm. Sebagai perbandingan, ia malahan lebih besar daripada Hyundai Ioniq 5 dan Honda CR-V.

    Didedahkan Ogos tahun lalu, #5 didatangkan dengan pilihan empat pakej penggerak di China – RWD 340 PS (250 kW), RWD 363 PS (267 kW), AWD 587 PS (432 kW) dan terakhir Brabus AWD 646 PS (475 kW). Untuk model AWD, motor hadapannya adalah sama, iaitu unit 224 PS (165 kW), sementara motor belakang pula adalah unit 363 PS untuk model permulaan dan 421 PS untuk Brabus.

    smart #5 dalam teaser Malaysia – bakal dilancar?

    Pek bateri pula ada dua pilihan – lithium iron phosphate (LFP) 76 kWh untuk varian RWD (jarak gerak CLTC 570 km ke 660 km) dan nickel manganese cobalt (NMC) 100 kWh untuk model AWD (jarak gerak antara 720 ke 740 km).

    Bukan setakat dibesarkan daripada #1 dan #3, #5 ini sebenarnya dibina atas platform PMA2+ yang berbeza, dengan susun atur elektrikal 800V, membolehkan ia menerima pengecasan pantas DC sehingga 4C (C itu menunjukkan berapa kali ganda bateri tersebut boleh dicas dalam masa satu jam). smart memberitahu, jarak gerak 500 km dapat diperoleh selepas hanya mengecas kenderaan selama 15 minit.

    Seperti yang boleh anda lihat di atas, papan pemuka #5 dipenuhi dengan skrin, yang terdiri daripada panel instrumen digital 10.3 inci depan pemandu dan dua skrin sesentuh 13 inci AMOLED yang bersambung dari tengah ke bahagian tepi bertentangan penumpang hadapan. Turut disediakan adalah head-up display dengan ciri augmented reality serta sistem bunyi Sennheiser 20 pembesar suara.

    Sebagai peringatan, Malaysia Autoshow 2025 akan berlangsung minggu ini dan smart juga akan berada di sana. Berkemungkinan, #5 ini akan dipertonton sewaktu acara di MAEPS Serdang ini. Bersama kita saksikan nanti.

    GALERI: smart #5

    GALERI: smart #5 Brabus

     
     
  • Proton eMas 7 dipamer di Singapura sebelum dilancar – kembali ke pasaran selepas sedekad; dari RM566k!

    Proton eMas 7 dipamer di Singapura sebelum dilancar – kembali ke pasaran selepas sedekad; dari RM566k!

    Proton eMas 7 makin gigih memasuki pasaran eksport, dan terkini SUV elektrik ini telah dipamerkan di Singapura menerusi acara The Car Expo 2025 di Singapore Expo pada hujung minggu lalu. Menurut Proton, ia merupakan kemasukan semula jenama ini ke pasaran Singapura selepas lebih sedekad ketiadaannya.

    Penampilan eMas 7 di negara berkenaan adalah selepas sebulan ia memasuik pasaran Nepal. Di Singapura, Proton diwakili oleh Vincar, pengimport kenderaan yang juga pengedar bagi jenama GAC Aion di sana.

    Menurut maklumat yang dibongkarkan oleh portal automotif tempatan Sgcarmart, yang melaporkan bahawa model EV ini akan dilancarkan pada bulan Ogos dan, diposisikan di bawah Kategori B dengan keseluruhan kuasa 218 PS (160 kW) dan 320 Nm. Ini bermakna COE eMas 7 akan lebih mahal daripada kenderaan Kategori A (terhad kepada 150 PS, atau 150 kW).

    Walau bagaimana pun, seperti yang dilaporkan sebelum ini, eMas 7 di Singapura akan ditawarkan dengan unit Founder Edition, terhad dengan 99 unit pertama, yang akan diberikan diskaun sehingga S$20,000 (RM65,100). Di mana model ini akan dijual pada harga bermula S$173,988 (RM566,100).

    Harga yang dinyatakan itu adalah lima kali ganda berbanding harga yang ditawarkan di Malaysia, namun Singapura bakal mendapat satu lagi pilihan warna iaitu Moyu Black, yang akan menyertai rona sedia ada; Platinum Silver, Turquoise Green, Slate Grey, Quartz Rose dan Lithium White. Di Malaysia, kelazimannya Proton menyediakan warna hitam khas untuk kegunaan pihak tentera, itu sebabnya warna ini tidak ditawarkan di pasaran tempatan.

    Dari segi rupanya, eMas 7 yang akan ditawarkan di Singapura hanyalah varian tunggal Prime, dengan roda yang lebih kecil iaitu 18-inci (Premium mendapat 19-inci). Selain itu, varian Prime dilengkapi dengan bateri 49.52 kWh yang menawarkan jarak gerak hingga 345 km mengikut kitaran WLTP, berbanding Premium yang diberikan bateri 60.22 kWh dengan jarak gerak hingga 410 km (WLTP).

    Ia menyokong pengecasan pantas DV sehingga 100 kW untuk Premium atau 80 kW bagi Prime, dan kedua-duanya mengambil masa sekitar 20 minit untuk mencapai status pengecasan antara 30-80%. Jika menggunakan pengecas AC berkapasiti hingga 11 kW, ia mengambil masa sekitar 4.9 jam untuk Prime, an 6.1 jam bagi Premium. Bagi bantuan pemanduan, eMas 7 mendapat set kelengkapan ADAS Tahap 2.

    “Kemunculan sulung Proton eMas 7 di Singapura menandakan satu langkah penting dalam pengembangan rangkaian antarabangsa kami dan komitmen kami untuk membawa EV berkualiti tinggi dan berteknologi maju ke rantau ini. Kami yakin bahawa eMas 7 yang memiliki ciri-ciri menarik dan kesesuaiannya untuk persekitaran bandar, akan diterima dengan baik oleh pemandu Singapura,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Li Chunrong.

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025 di Malaysia

     
     
  • Pengecas TNB Electron bakal disediakan di Hotel Casuarina Meru, Ipoh — satu DC 20 kW, dua AC 22 kW

    Pengecas TNB Electron bakal disediakan di Hotel Casuarina Meru, Ipoh — satu DC 20 kW, dua AC 22 kW

    Sebagai tambahan terbaru, akan ada pengecas EV TNB Electron di Hotel Casuarina @ Meru di Ipoh. Hotel berkenaan merupakan anak syarikat Perak Corporation Berhad dan telah mengesahkan persetujuan pajakan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk operasi sebuah stesen pengecasan EV di premisnya.

    TNB akan memasang sebuah pengecas DC 120 kW dengan dua kepala dan dua pengecas AC 22 kW di hotel tersebut. Turut akan disediakan juga ruang parkir khusus untuk EV dengan akses 24-jam, yang terbuka untuk digunakan oleh pelanggan hotel dan juga orang awam. Pengecas ini akan mula beroperasi pada suku ketiga 2025.

    Setakat ini, ada 149 ruang pengecas EV di 56 lokasi di Perak — itu menyumbang 30% kepada sasaran 500-pengecas yang disasarkan oleh kerajaan negeri menjelang 2025. Sasaran kebangsaan negara ini adalah untuk mempunyai 10,000 pengecas EV pada 2025, dan kita kini berada pada kadar 36% untuk menuju sasaran tersebut.

     
     
  • Perodua Myvi dalam saduran rekaan generasi pertama dan Volkswagen ID.Every1 oleh Theophilus Chin

    Perodua Myvi dalam saduran rekaan generasi pertama dan Volkswagen ID.Every1 oleh Theophilus Chin

    Perodua Myvi kini berusia 20 tahun pada 2025. Kali terakhir model paling popular generasi ketiga dalam segmen B ini menerima facelift adalah pada penghujung 2021, sebagai model tahun 2022.

    Sebagai penghormatan kepada ikon rakyat Malaysia itu, pereka Theophilus Chin telah menghasilkan satu penawaran rekaan baru bagi model generasi pertama yang sudah sangat dikenali itu. Bagaimanapun, ini bukanlah bayanganya terhadap Myvi generasi baru yang akan datang.

    Dapat dilihat persamaan rekaan penghormatan Myvi ini dengan model semasa, terutama lampu DRL LED menegak. Wajah depannya juga boleh dilihat meminjam rekaan daripada model konsep Volkswagen ID.Every1.

    Perodua Myvi dalam saduran rekaan generasi pertama dan Volkswagen ID.Every1 oleh Theophilus Chin

    Dari sisi juga mengambil ilham yang sama dari Volkswagen ID.Every1, dan disepadankan dengan Myvi, terutama untuk bahagian rim yang digunakan — bumbung dan tiang Myvi ini bagaimanapun tidak menggunakan warna hitam, sebaliknya sekata dengan warna badan. Pemegang pintu juga menggunakan rekaan lebih konvensional, manakala tiang C lebih menyerupai rekaan dari Myvi asal.

    Bahagian belakang juga diberik rekaan yang datangnya dari Myvi generasi pertama, terutama bagi rekaan lampu belakangnya, yang oleh Theo telah ditukarkan dengan lampu dan pintu ID.Every1 termasuk bampar belakangnya.

    Ini rekaan untuk mengingati Myvi dalam keberadaannya yang lalu, dan diberi sedikit nafas baru dan bukannya merupakan sebuah rekaan yang jauh ke depan. Untuk tujuan itu, Theo sebelum ini pernah hasilkan rekaan lain. Nampak ok Myvi dengan sentuhan rekaan Jerman ini?

     
     
  • JPJ Melaka tegaskan penggunaan kenderaan mikromobiliti di jalan awam menyalahi undang-undang

    JPJ Melaka tegaskan penggunaan kenderaan mikromobiliti di jalan awam menyalahi undang-undang

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengulangi bahawa kenderaan mikromobiliti tidak dibenarkan diguna di jalan awam, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang ditangkap berbuat demikian, laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Pengarahnya, Khairul Aswad Abdul Halim, pihaknya mengambil maklum mengenai satu video berdurasi 18 saat yang tular di TikTok memaparkan tiga individu dipercayai menaiki menaiki skuter elektrik di jalan awam, dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin dekat Bachang.

    “JPJ ingin menegaskan perbuatan itu melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada individu terbabit tetapi juga pengguna jalan raya yang lain. Menurut peruntukan bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), mana-mana individu yang menggunakan kenderaan tidak dibenarkan di atas jalan awam, boleh disabitkan kesalahan,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan bahawa jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.

    Tegasnya lagi, penggunaan kenderaan mikromobiliti di jalan raya adalah dilarang, termasuk e-skuter, hoverboard, monowheel, segway serta basikal elektrik tanpa kelulusan, berdasarkan Perintah Larangan Kenderaan (Penggunaan Jalan) (Pindaan) 2021 yang telah diwartakan dan berkuat kuasa pada 17 Disember 2021.

    “Kenderaan mikromobiliti hanya dibenar digunakan di kawasan yang dikhaskan seperti taman rekreasi, laluan khas atau kawasan persendirian, dan bukan di atas jalan awam. JPJ memandang serius kesalahan ini, dan orang awam disarankan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta tidak menggunakan kenderaan yang dilarang bagi menjamin keselamatan diri dan orang lain,” katanya.

    @francis_lim86 Limited edition #melakapeople #melakahawau #melakaviraltiktok #melaka #viraltiktok #abangex5 #creatorsearchinsights ♬ original sound – Antonio Altiparmak

     
     
  • JPJ eBid: Siri QCU dan RBB dibuka bidaan

    Kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Sarawak, QCU, dibuka bidaan mulai hari ini, 5 Mei 2025. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 9 Mei ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 10 Mei 2025. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Perlis pula, RBB, bidaannya pula bakal dibuka mulai 9 Mei dan akan berakhir jam 10 malam pada 13 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 Mei 2025.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
  • Perodua eMO EV versi produksi dilihat sudah mula diuji – dijangka dilancar Disember ini, bermula RM80k

    Perodua eMO EV versi produksi dilihat sudah mula diuji – dijangka dilancar Disember ini, bermula RM80k

    Projek penghasilan model EV pertama Perodua bukan lagi perkara baharu. Pembuat kereta dari Rawang itu telahpun mula menunjukkan model konsep dalam skala 1:6 digelar sebagai EM-O (singkatan bagi Electric Motion Online), yang dibayangkan sebagai model EV pertamanya pada bulan Mei 2023.

    Unit prototaip saiz sebenar digelar sebagai eMO-1 dan boleh dipandu kemudiannya muncul setahun selepas itu, namun unit tersebut masih menggunakan Perodua Myvi sebagai asas, bagi menunjukkan asas unit rangkaian kuasa yang bakal digunakan. Manakala pada Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 Disember lalu, Perodua mendedahkan pula model konsep yang digelar sebagai eMO-II, membayangkan rupa model EV produksi sebenar kelak.

    Dan pada hujung minggu ini, internet digegarkan bahawa Perodua sudah mula menguji prototaip ujian bagi model produksi sebenar model EV berkenaan menerusi pelbagai gambar yang telah tular. Imej yang kami perolehi ini adalah milik Meng Lee Chen yang dikongsi dalam paultan.org Automotive/Car Discussion Facebook Group, yang agak lengkap dari hadapan, belakang dan juga sisi prototaip ujian berkenaan.

    Perodua eMO EV versi produksi dilihat sudah mula diuji – dijangka dilancar Disember ini, bermula RM80k

    Tapi apa yang membuatkan kereta yang dibalut sepenuhnya dengan pelekat penyamaran berkenaan adalah milik Perodua? Mudah, trade plate ‘B3598A’ yang digunakan adalah milik Perodua dan ia telah digunakan pada beberapa prototaip ujian lain sebelum ini.

    Ini bermakna projek pembangunan EV Perodua tersebut telah mendahului jadual yang ditetapkan kerana pada Februari lalu CEO kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson telah mendedahkan bahawa model EV pertama keluaran Perodua akan masuk ke fasa ujian pada Jun nanti. Dalam laporan yang sama, Datuk Jeffri turut mengesahkan pelancarannya akan dibuat pada bulan Disember tahun ini.

    Walaupun dibalut hampir sepenuhnya dengan pelekat penyamaran, dapat dilihat model produksi ini kelak akan menampilkan rupa yang diinspirasikan sepenuhnya dari model konsep eMO-11. Ia termasuk rekaan bayangan sisi dengan rekaan tiang-C yang landai, rekaan cermin-cermin tingkap dan cermin hadapan.

    Ia juga nampaknya bakal mengekalkan jalur lampu LED yang nipis merentasi sepenuhnya muka hadapan. Pembuka pintu belakang turut disorokkan bagi memberikan rupa seakan coupe dua-pintu, manakala pembuka hadapan direka tenggelam dalam panel badan.

    Sekiranya dibandingkan dengan kenderaan sekitar dalam set foto ini seperti Honda City dan Mitsubishi Triton, saiz sebenar EV pertama Perodua ini nampak memang besar seperti model konsep yang didedahkan sebelum ini. Dan berdasarkan panel pelindung badan pada ruang roda, EV ini mungkin akan diposisikan sebagai sebuah SUV dan bukan hatchback.

    Ini merupakan model pertama Perodua yang dibina tanpa pembabitan sekutu globalnya iaitu Daihatsu serta syarikat induknya, Toyota. Ini kerana kedua-dua jenama berkenaan masih belum ada teknologi EV yang dibina untuk kenderaan kompak, di mana jenama-jenama Jepun itu lebih menumpukan unit rangkaian kuasa hibrid untuk model dengan saiz sedemikian.

    Antara perincian awal yang telah disebut oleh Perodua untuk EV ini termasuk pecutan 0-100 km/j boleh dicapai sekitar enam atau tujuh saat, dan bakal menampilkan jarak gerak sejauh 400 hingga 410 km menggunakan bateri litium logam fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh pembuat bateri dari China, CATL.

    Menurut Perodua lagi, buat permulaan bateri dan motor elektrik akan dibekalkan dari luar negara, tetapi mereka mempunyai rancangan untuk memasangnya sendiri di Malaysia selepas itu. Harga anggaran bagi EV pertama ini juga telah diumumkan oleh Perodua iaitu sekitar RM80,000, tetapi ia tidak termasuk bateri kerana komponen itu dirancang akan ditawarkan menerusi program sewaan atau pajakan.

    Sekiranya anda ada rancangan untuk beralih kepada EV dengan penawaran harga bawah RM100,000, berita baik pilihan berkenaan bukan hanya akan ditawarkan oleh Perodua. Ini kerana Proton turut telah mengumumkan akan menawarkan satu lagi model EV kompak yang lebih kecil dari eMas 7.

    Model tersebut dijangka akan dikenali sebagai Proton eMas 5 dan diasaskan dari Geely Xingyuan/Star Wish, dengan spesifikasi pasaran China menawarkan jarak gerak 410 km dalam kitaran ujian CLTC.

    GALERI: Perodua e-MO-II Concept di KLIMS 2024

     
     
  • Honda ADV 160 dengan warna baru – dari RM13,249

    Honda ADV 160 dengan warna baru – dari RM13,249

    Boon Siew Honda memperkenalkan pilihan warna baru untuk ADV 160 tahun 2025. Bagi model biasa yang dijual pada harga RM13,249, warna putih sebelum ini dikekalkan dan ia ditambah dengan dua warna baru iaitu hitam matte dan merah.

    Kemudiannya bagi versi SE yang sebelum ini cuma disediakan dalam warna hijau matte ditambah dengan warna kelabu, ringkas tanpa sebarang pelekat dan dijual pada harga lebih RM300, menjadi RM13,549. Semua harga ini adalah harga cadangan pengeluar dan tidak termasuk insurans.

    Honda ADV 160 adalah skuter yang dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+, dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Selain dilengkapi brek ABS single-channel (tetapan cakera di hadapan dan belakang), model pasaran Malaysia juga tiba dengan sistem kawalan cengkaman HSTC. Demi memberikan sedikit kepuasan kepada pengguna, sistem kawalan cengkaman ini boleh ditutup dengan menekan butang yang disediakan.

    Kelengkapan lain ADV 160 adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak Showa di belakang dengan tabung gas, rim 14 inci di hadapan dengan tayar 110/80, rim 13 inci di belakang dengan tayar 130/70, sistem kunci pintar, sistem start/stop enjin, pengecas USB serta tangki bahan api 8.1 liter.

     
     
  • Kilang tayar Continental di Alor Setar tutup atas sebab perniagaan, tidak libatkan faktor lain — MB Kedah

    Kilang tayar Continental di Alor Setar tutup atas sebab perniagaan, tidak libatkan faktor lain — MB Kedah

    Hujung April lalu, syarikat pengeluaran German, Continental mengumumkan bakal menamatkan operasi pengeluaran tayarnya di Alor Setar pada penghujung tahun ini. Penutupan kemudahan itu, yang ketika ini mengeluarkan tayar bagi kenderaan penumpang, trak tugasan ringan dan motosikal untuk pasaran Asia-Pasific, akan memberi kesan kepada 950 pekerjaan.

    Susulan daripada pengumuman itu, MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan yang keputusan Continental tersebut adalah satu langkah perniagaan dan tidak ada kena-mengena dengan politik, lapor New Strait Times.

    “Itu merupakan keputusan perniagaan. Bukan kerana mereka benci Sanusi. Sejak bila syarikat tayar terlibat dengan politik?,” ujarnya terhadap hantaran di TikTok yang mengaitkannya dengan penutupan kilang itu.

    “Syarikat tayar sedang berdepan dengan tempoh sukar berdepan cabaran dan persaingan harga dan teknologi oleh syarikat dari China dalam pasaran kenderaan penumpang. Sebab itu Continental mengalih tumpuannya kepada kereta prestasi dan kenderaan industri berat. Syarikat itu juga ada kilang di Thailand dan memutuskan untuk melakukan pengeluaran tayar di sana. Ia tiada kaitan dengan politik,” tambahnya.

    Sanusi juga memaklumkan, walaupun berdepan penutupan itu, ada pelabur baru yang berminat untuk mendirikan kilang tayar di Kedah. Bagaimanapun, perinciannya belum boleh didedahkan atas permintaan pihak berkenaan.

     
     
  • Denza Z di Shanghai – kereta sports elektrik konsep dengan penyerap magnetik, kuasa cecah 1,000 PS?

    Denza Z di Shanghai – kereta sports elektrik konsep dengan penyerap magnetik, kuasa cecah 1,000 PS?

    Semasa acara Auto Shanghai 2025, BYD membawa sebuah kereta sports konsep yang dipanggil ringkas sebagai Z. Sekarang, pengeluar tersebut sudah mempunyai dua model coupe prestasi tinggi, dengan satu lagi adalah Yangwang U9.

    Menggunakan bentuk coupe dengan bumbung yang rendah dan menjunam di belakang, Z tampil garang dengan pelbagai panel aerodinamik termasuk spoiler besar di belakang, serta bukaan udara di banyak bahagian termasuk atas bonet, atas fender hadapan, tepi pintu menghala ke roda belakang serta di bampar hadapan. Rim bersaiz 21 inci.

    Di bahagian dalam, tema warna sama digunakan, dengan kebanyakan bahagian berwarna biru, sementara stereng menggunakan inspirasi daripada kereta lumba dengan terdapat banyak butang kawalan berbentuk bulat. Bukan setakat itu, stereng ini juga boleh tenggelam ke dalam apabila kereta dalam mod pemanduan sendiri.

    Sekurang-kurangnya terdapat tiga skrin dalam kereta ini (termasuk bertentangan penumpang hadapan), dan barangan lain adalah seperti tempat duduk bucket gentian karbon, roll cage separuh di belakang serta tali pinggang berwarna kuning. Disebabkan bumbungnya panjang dan masih ada ruang di bahagian belakang, kami merasakan versi produksi nanti mungkin akan mempunyai empat tempat duduk.

    Melalui Z ini, Denza menggunakan buat pertama kalinya suspensi DiSuz-M dengan penyerap magnetorheological, yang dikatakan boleh melaras kuasa serapan dalam masa milisaat. Spesifikasi teknikal tidak diberitahu, tetapi kita boleh menjangkakan Z menggunakan motor elektrik terbaru BYD yang boleh berpusing sehingga 30,511 rpm, seperti laporan Car News China.

    Motor ini sudah pun dipasang pada model termasuk Han L, dan boleh menghasilkan sehingga 789 PS (580 kW) dan tork 450 Nm, hanya daripada satu motor. Pada Han L juga, ia ada dipadankan bersama satu lagi motor 313 PS (230 kW) dan 410 Nm di hadapan, menjadikan kuasa keseluruhannya 1,101 PS (810 kW) dan 860 Nm.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025