Tahun ini nampak gayanya Proton mungkin menjadi jenama pengeluar kenderaan yang paling kerap dibicarakan di Malaysia. Bayangkan, untuk 2016 sahaja, empat model sudah dan akan dilancarkan. Model Perdana dan Persona sudah selamat diperkenalkan, dengan mengundang pelbagai reaksi.
Dan, seperti yang kita sedia maklum, ada dua lagi menanti untuk dilancarkan; Saga pada September ini dan MPV kompak Ertiga (dari model sama keluaran Suzuki) akan mula masuk pasaran Oktober nanti. Empat model baharu setahun? Ini mungkin pertama kali Proton bekerja sekeras ini sepanjang sejarah penubuhannya.
Kerja sama dengan Suzuki yang dimeterai tahun lalu sebetulnya turut melibatkan desas-desus pengeluaran sebuah model kompak. Apa jadi dengan hal itu? Asalnya, memang itulah niat asalnya; Proton akan membangunkan sebuah kereta kompak segmen A, yang sebelum tidak ada model yang mewakili jenama pengeluar kenderaan kebangsaan itu.
Ia khabarnya sebuah kereta kompak dengan kapasiti enjin 1.0 liter, dan bakal menjadi saingan dekat bagi model Perodua Axia, yang selesa mendominasi pasaran sehingga ke saat ini. Menariknya, Suzuki mempunyai model sedia ada yang menepati keperluan ini, iaitu Celerio.
Dibuat di India, Celerio merupakan sebuah kereta kompak hatchback lima pintu dengan padanan enjin 1.0 liter tiga silinder dengan janaan 67 hp / 90 Nm tork, digandingkan dengan transmisi manual atau “Auto Gear Shift” AMT. Versi enjin 800 cc dua silinder turbodiesel dengan output 47 hp/125 Nm turut ditawarkan.
Dipersembahkan di sini ialah versi rendering model berkenaan, jika di’rebadge’ sebagai sebuah model Proton, oleh siapa lagi kalau bukan Theophilus Chin khusus untuk kami. Ia bukanlah sekadar menukar lambang pada bahagian depan dan belakang.
Yang dibayangkan di sini ialah jika Celerio meminjam beberapa sentuhan dari reka bentuk model Proton, khususnya Persona yang baru dilancarkan minggu ini. ‘Proton Wings’ pada bahagian gril yang dilanjutkan ke bahagian lampu depan adalah antara perubahan yang dibayangkan.
Bahagian belakangnya pula, rekaan asal Celerio yang kosong ditambah dengan kemasan krom sebagai kesinambungan rekaan gril hadapannya yang kini nampak lebar. Turut ditambah ialah diffuser yang diperagakan sebelum ini oleh Iriz.
Adakah “Proton Celerio” ini akan menjadi kenyataan? Jika jawapannya ya, kita akan memperoleh sebuah model yang mampu memberi saingan kepada Perodua Axia. Menarik untuk memerhatikan perkara ini sekiranya ia menjadi kenyataan nanti. Sementara itu, nikmati dahulu imej rendering yang ada buat masa ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
wohooo..fikir panjang2 la Proton..
jangan buat gila nk rebadge kereta ni pasal satu benda je..
AMT transmission.
Proton takkan jual model ni pasal model ni akan membunuh pasaran Saga. The new Saga is the Axia / Bezza killer!