VIDEO: HCCI – enjin pembakaran dalam paling efisien, teknologi yang bakal digunakan pada masa hadapan

Teknologi enjin dalam industri automotif berkembang setiap masa. Enjin yang dibina semakin hari, semakin efisien – bermaksud jumlah bahan api yang digunakan dapat dibakar dan diubah hampir keseluruhannya menjadi tenaga dalam bentuk pergerakkan, membolehkan penjimatan bahan api dapat dicapai disamping menghasilkan kuasa yang lebih besar dan lebih mesra alam.

Hari ini, trend binaan enjin dari kebanyakkan pengeluar untuk menghasilkan enjin pembakaran dalam yang efisien adalah dengan mengecilkan kapasiti serta suapan dari sistem induksi paksaan seperti pengecas turbo atau pengecas lampau (supercharger). Namun, adakah teknologi ini akan bertahan untuk selamanya? Nissan sebelum ini pernah menyiarkan konsep baharu untuk enjin mereka pada masa hadapan iaitu dengan teknologi Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI) dan dipercayai sebagai konsep enjin paling efisien untuk enjin pembakaran dalam.

Berbanding enjin petrol konvensional yang memerlukan palam pencucuh (spark plug) atau enjin diesel yang memerlukan suntikan bahan api untuk memulakan pembakaran setelah campuran udara-bahan api dimampatkan dalam kebuk pembakaran, enjin HCCI ini sebaliknya hanya memerlukan titik pembakaran yang terjadi secara semula jadi dengan nisbah mampatan yang tinggi dan campuran udara-bahan api pada keadaan lean (bahagian udara lebih banyak berbanding bahagian bahan api dalam nisbah campuran) .

nissan-hcci_bm

Ini membuatkan pembakaran berkenaan berlaku pada suhu yang lebih rendah berbanding enjin pembakaran lain. Oleh itu, selain dari menggunakan bahan api dengan jumlah yang lebih sedikit, suhu rendah berkenaan mampu untuk melenyapkan hampir keseluruhan penghasilan gas berbahaya Nitrogen Oksida (NOx).

Namun, apa yang menjadi masalah untuk enjin ini untuk dijelmakan dalam bentuk produksi adalah bagaimana untuk mengawal pembakaran dalam kebuknya. Aspek ini tidak menjadi hal pada enjin konvensional dimana pemasaan untuk nyalaan palam pencucuh/suntikan diesel dapat dikawal sepenuhnya, tetapi untuk enjin HCCI ini, ia perlu dikawal menerusi suhu pada enjin berkenaan sendiri. Jika enjin terlalu sejuk, pembakaran tidak akan berlaku (misfire), manakala jika enjin terlalu panas pula, campuran udara-bahan api akan berlaku terlalu awal dan menghasilkan ketukan (knocking) dalam kebuk pembakaran.

nissan-hcci_2_bm

Oleh itu, dalam konsep yang didedahkan oleh Nissan, faktor ini boleh dikawal menerusi sistem pemasaan injap VVT dan VVL (anda boleh mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan sistem ini pada ulasan pandu uji Honda Civic generasi kesepuluh), di mana kawalan pada bukaan injap berkenaan serta bantuan dari sistem edaran semula gas ekzos (EGR) membolehkan tekanan dan suhu dalam kebuk pembakaran dapat dikawal.

Selain dari Nissan, Mazda sebelum ini juga telah mengumumkan akan membangunkan teknologi HCCI ini untuk enjin SkyActiv generasi datang. Tidak terikut-ikut dengan trend semasa pengeluar lain yang menumpukan pada teknologi pengecas turbo, enjin petrol NA SkyActiv-G Mazda akan datang dikhabarkan akan mempunyai nisbah mampatan setinggi 18:1 dan penggunaan bahan api 25-30% lebih jimat berbanding enjin sedia ada.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required