Toyota Motor Thailand telah melancarkan secara rasmi model Toyota Vios facelift untuk pasaran di sana. Ia ditawarkan dalam empat varian – 1.5J, 1.5E, 1.5G dan 1.5S – dengan harga bermula dari 609,000 baht (RM76,621) hingga 789,000 baht (RM99,268).
Di dalam penampilan terbaru ini, Vios dilengkapi dengan enjin 2NR-FBE 1.5 liter empat silinder Dual VVT-i, yang sudah diperkenalkan bagi versi facelift sebelumnya Mac tahun lalu di Thailand dan kemudiannya pada Oktober bagi pasaran Malaysia.
Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 108 hp pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 Nm. Kuasa dari enjin disalurkan ke roda depan menerusi sistem transmisi CVT dengan nisbah maya tujuh-kelajuan (tiada pilihan manual).
Perubahan paling ketara tentulah dari aspek yang dapat kita lihat dengan jelas; penggayaannya kini lebih mirip dengan Vios yang diperkenalkan untuk pasaran China ketika Beijing Auto Show 2016. Dari depan, ia menggunakan lampu projektor bersekali dengan lampu LED, gril dalam bentuk T serta lampu kabus yang diubah kedudukannya.
Di belakang, lampunya kini adalah dari jenis LED dengan grafik yang baru, dengan palang krom ditengahnya yang lebih nipis. Bampar juga turut diberi penggayaan baru yang lebih kemas dan ringkas, termasuk pada bahagian lampu kabus. Selebihnya, rim 15 inci atau 16 inci digunakan, serta dilengkapi kamera undur, bergantung kepada varian.
Namun, di bahagian dalam, perubahan yang dilakukan agak minumum. Reka bentuk tombol kawalan pendingin hawa menjadi satu-satunya perkara baru yang diperkenalkan. Ciri-ciri seperti unit DIN berkembar dengan skrin sentuh, masukan tanpa kunci, tempat duduk fabrik/kulit serta paparan pelbagai maklumat pemanduan masih kekal seperti sebelumnya.
Dari segi ciri keselamatan, Vios facelift terbaru ini datang dengan dua beg udara di depan, ABS dengan EBD, Isofix pada tempat duduk belakang serta kawalan kestabilan (VSC) dan kawalan cengkaman. Untuk pasaran Thailand, enam pilihan warna ditawarkan; Red Mica Metallic, Quartz Brown Metallic, Super White, Silver Metallic, Gray Metallic dan Attitude Black Mica. Bagaimana pula untuk pasaran Malaysia, bila agaknya versi ini akan tiba?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.